Followers

Carian dalam Blog ini

03 August 2010

Penyakit Tidak Berjangkit ancaman baru masyarakat

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2010/08/03

Gaya hidup, tingkah laku punca ramai hidap NCD pada usia muda

RAMAI rakyat negara ini mengabaikan perkara asas dalam rutin hidup seharian. Tidak mengambil makanan seimbang atau tepat pada waktu, merokok dan tidak bersenam antara amalan tidak sihat yang menjadi budaya masyarakat kini. Apabila ditanya, pasti ramai yang akan menjawab tidak berkesempatan kerana kesibukan bekerja, malas dan 1,001 macam alasan untuk menepis tabiat salah yang mereka cipta sendiri.

Oleh itu, tidak hairan jika berlaku peningkatan jumlah pesakit Non-Communicable Diseases (NCD) atau Penyakit Tidak Berjangkit (PTB) di negara ini dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini antara 1996 hingga 2006. Peningkatan ini membabitkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, kardiovaskular dan strok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini mendedahkan NCD menunjukkan peningkatan ketara pada penyakit darah tinggi, meningkat 44 peratus, kencing manis sebanyak 80 peratus dan kegemukan hampir 220 peratus.

Laporan Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMSIII), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan itu juga mendedahkan peningkatan risiko NCD dan penyakit NCD dalam tempoh terbabit. Tinjauan dilakukan ke atas responden yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun di seluruh negara.

Antara risiko yang dilihat menyumbang ke arah peningkatan penyakit NCD adalah pertambahan berat badan, meningkat daripada 16.1 peratus kepada 29.1 peratus. Obesiti pula meningkat tiga kali ganda daripada 4.4 peratus kepada 14 peratus.

Oleh itu, tidak hairanlah ia menyumbang peningkatan ketara penyakit kencing manis sebanyak dua kali ganda, iaitu 8.3 peratus kepada 14.9 peratus. Pesakit baru dikesan menghidap penyakit ini turut meningkat sebanyak 1.8 peratus kepada 5.4 peratus.
Perkara sama berlaku kepada penyakit darah tinggi, iaitu meningkat daripada 33 peratus kepada 43 peratus bagi penduduk berusia dalam lingkungan 30 tahun. Kajian itu juga mendapati, golongan yang sedar mereka menghidap darah tinggi turut meningkat. Apa yang mengejutkan ialah peningkatan pesakit yang dikesan menghidap darah tinggi dan mendapat rawatan dalam tempoh sama, iaitu 23 peratus kepada 88 peratus.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan HUKM, Prof Madya Dr Shamsul Azhar Shah menjelaskan, penyakit NCD berkongsi faktor risiko seperti kegemukan, merokok, makan makanan tidak berkhasiat dan kurang bersenam atau aktiviti fizikal.

“Perkara ini sebenarnya sudah dijangkakan kerana negara kita negara sedang membangun. Semua orang sudah tidak masak di rumah, tidak menjaga pemakanan. Bila dikesan menghidap hipertensi baru mahu menjaga pemakanan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, gaya hidup dan tingkah laku penduduk di negara ini menjadi punca mereka menghidap penyakit NCD pada usia muda. Tahap pemikiran penduduk juga memainkan peranan penting. Ramai yang sedar mengenai bahaya penyakit ini, tetapi tidak mempunyai inisiatif untuk mengelak daripada serangannya. Setiap individu sebenarnya mempunyai pilihan dan keputusan terletak di tangan masing-masing.

Prof Madya Dr Shamsul menyarankan agar program kesihatan kepada kakitangan awam dan swasta ditingkatkan bagi mencegah angka ini meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Beliau juga menyarankan agar promosi gaya hidup sihat ditingkatkan dan iklan ini sepatutnya disiarkan pada waktu puncak di televisyen.

Sebagai langkah awal, beliau turut mencadangkan agar restoran atau kedai makan di negara ini mempamer jadual kadar kolesterol atau kandungan lain yang ada dalam makanan.

“Di Jepun kebanyakan restoran menunjukkan jumlah kolesterol yang terkandung dalam setiap hidangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof Datuk Dr Syed Mohamed Al-Junid ketika diminta mengulas fenomena ini mendedahkan, hasil kajian McLaughlin-Rotman Institute (MRI) – University Toronto, Kanada, sebanyak 60 hingga 70 peratus kematian akibat NCD berlaku di negara membangun yang berpendapatan rendah mahupun pertengahan, termasuk Malaysia.

“Jika kita lihat trend NCD memang jelas peningkatannya dan negara seperti Malaysia turut menerima kesan. Agak pelik kerana negara membangun biasanya mengalami penyakit berjangkit yang selalunya meningkat seperti malaria dan denggi, perkara sebaliknya berlaku di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor yang menjadi punca kepada fenomena ini ialah kurangnya tahap kesedaran mengenai pemakanan, risiko merokok dan tidak bersenam. Beliau yakin jika rakyat di negara ini dapat mengurangkan tabiat kurang sihat ini, pasti masalah ini dapat diatasi.

Jika tidak, fenomena ini akan meruncing kerana laporan MRI juga menyatakan NCD boleh mengakibatkan kematian dua kali ganda berbanding kematian yang berpunca daripada penyakit berjangkit seperti AIDS, batuk kering dan malaria. Jika tidak dibendung dalam masa 10 tahun akan datang, ia juga mampu memberi kesan kepada ekonomi negara terbabit.

Negara seperti China, India dan United Kingdom, masing-masing dijangka mengalami kerugian sekitar AS$550 bilion, AS$237 bilion dan AS$33 bilion pendapatan negara, kesan daripada penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Ini berlaku berikutan disebabkan penurunan produktiviti ekonomi. Senario ini tidak mustahil berlaku di Malaysia.

Laporan itu menyebut, tindakan proaktif boleh mengurangkan 36 juta kematian awal di negara terbabit menjelang 2015. Sebanyak 17 juta daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang berusia 70 tahun. Oleh itu, penubuhan jawatankuasa untuk memantau NCD oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini sememang tepat pada waktunya.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan seharusnya membabitkan semua sektor, bukan semata-mata Kementerian Kesihatan saja. Semua ahli masyarakat juga perlu terbabit. Masalah ini bukan boleh diselesaikan dalam jangka masa singkat dan ia perlu membabitkan pelbagai kementerian antaranya, Kementerian Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pengangkutan.

“Kesihatan bukan milik Kementerian Kesihatan semata-mata, semua kementerian perlu terbabit. Mentaliti ini perlu diubah bagi memastikan kita mampu membawa perubahan dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melakukan kajian mengenainya dan dimanfaatkan, bukan kajian yang hanya mengharapkan habuan semata-mata.

“Kajian perlu dilakukan, terutama terhadap keberkesanan rawatan di hospital kerajaan dan rawatan yang sesuai untuk merawat penyakit ini serta penyelesaian juga perlu dicari seandainya kaedah rawatan tidak berkesan. Peluang ini perlu juga diberi kepada pakar luar, bukan hanya bergantung kepada pakar di hospital atau klinik kerajaan saja,” katanya.

Beliau juga mengambil contoh kaedah rawatan pesakit kencing manis yang memerlukan kajian kerana banyak rawatan terdahulu mengakibatkan kegagalan ginjal.

Suntikan insulin antara kaedah rawatan yang digunakan dan mungkin ada kaedah rawatan lain yang boleh digunakan bagi memastikan ia tidak memberi kesan sampingan kepada buah pinggang.

Selain itu, Dr Syed Mohamed turut menekankan perlunya sistem perkhidmatan perubatan di negara ini dipertingkatkan. Di hospital kerajaan mahupun klinik, waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan terlalu lama. Kita banyak membuang masa menunggu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Justeru, rawatan susulan terutama untuk warga tua yang menghidap penyakit terbabit tidak diuruskan dengan baik. Tambahan pula kebanyakan anak mereka bertugas jauh daripada kedua-dua ibu bapa menyebabkan tiada sesiapa yang memantau pengambilan ubat serta temu janji perubatan mereka.

“Oleh itu, dengan sendirinya, rawatan susulan tidak dibuat dan penyakit melarat. Akhirnya membawa kematian kepada pesakit. Kita memang banyak hospital dan klinik, tetapi ia hanya untuk merawat mereka yang berada di dalam hospital dan di klinik. Berbeza di negara maju, seperti Kanada dan Jepun, sistem kesihatan mereka meluas sehingga ke akar umbi dan dilakukan berterusan,” katanya.