Followers

Carian dalam Blog ini

18 April 2011

Bandar semakin diancam krisis air

Bandar semakin diancam krisis air

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Menurut ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semakin ramai orang tinggal di bandar berbanding desa.

Pada penghujung 2008, dianggarkan kira-kira separuh daripada penduduk dunia iaitu lebih tiga bilion menjadi penghuni bandar.

Setiap saat, penduduk bandar bertambah dua orang. Menjelang 2050, kira-kira 70 peratus penduduk dunia akan menjadikan bandar sebagai kediaman mereka!

Anggaran PBB yang terbaru menunjukkan penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.2 bilion pada 2050.

Air dan sanitasi dilihat sebagai dua cabaran utama untuk kesinambungan hidup penempatan manusia di bandar sehingga ada pakar yang berkata bandar akan menjadi porak peranda jika tidak ada bekalan air minuman yang bersih serta sanitasi yang mencukupi.

Perangkaan PBB menunjukkan antara 1998 dan 2008, kira-kira 1.052 bilion penduduk bandar mempunyai bekalan air minuman yang semakin baik kualitinya sementara 813 juta lagi memperoleh kemudahan sanitasi.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu, penduduk bandar melonjak kepada 1.089 bilion orang sehingga menjejaskan kemajuan yang dicapai.

Menurut data PBB itu lagi kira-kira 27 peratus daripada penduduk bandar di negara sedang membangun tidak mempunyai akses kepada air paip di rumah mereka.

TEKANAN AIR

Banyak bandar di seluruh dunia kini berdepan dengan kemelut air. Pakar-pakar berpendapat menangani masalah permintaan air yang semakin meningkat di dalam kawasan bandar adalah satu daripada isu paling mendesak abad ini. Prof Dr Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia berkata di India umpamanya, majoriti bandar di negara itu tidak mendapat bekalan air 24 jam, dengan puratanya hanya memperoleh air selama beberapa jam sehari.

"Sesetengah bandar tidak mendapat air yang mencukupi. Golongan miskin di bandar terutamanya yang tinggal di kawasan setinggan dan yang sesak dan kotor tidak mempunyai bekalan air paip.

"Mereka ini terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli air dalam botol," beliau memberitahu Bernama, dengan menambah amat bertepatan sekali untuk sambutan Hari Air Sedunia tahun ini memilih tema "Air untuk Bandar".

Menurut Dr Chan, memandangkan kemelut air pada masa ini, semakin terdapat keperluan untuk mengamalkan pengurusan permintaan air.

Ini katanya adalah untuk semua pengguna termasuk rumah kediaman, hotel, premis perniagaan, kilang, sekolah, universiti dan jabatan kerajaan.

"Jumlah air adalah terhad sejak Bumi wujud lagi, maknanya kuantitinya tidak berubah mungkin bentuknya sahaja yang berubah. Air hanya dikitar semula secara semula jadi menerusi apa yang dipanggil sebagai Kitaran Hidrologi juga dikenali sebagai kitaran air.

"Bagaimana pun bilangan penduduk terus menerus bertambah. Aktiviti pertanian dan perindustrian turut berkembang bagi menampung keperluan manusia untuk makanan serta bahan-bahan lain. Ini menjadikan bekalan air sering tidak dapat memenuhi permintaan.

"Oleh sebab itu jumlah air di masa depan (yang sama dengan apa yang ada pada hari ini) akan terpaksa dikongsi dengan orang baru (bayi yang bakal dilahirkan di masa depan) dengan orang yang ada sekarang.

"Paling getir lagi, manusia mungkin terpaksa bersaing dengan aktiviti pertanian dan perindustrian untuk bekalan air," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan untuk mewujudkan kesedaran pemuliharaan sumber air dalam kalangan orang ramai.

PERMINTAAN TINGGI

Di Malaysia, dianggarkan antara 65 hingga 70 peratus daripada 28 juta penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar dan kemelut air semakin ketara akibat permintaan tinggi untuk kegunaan domestik dan bukan domestik.

S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memberitahu Bernama kebanyakan bandar di negara ini terletak jauh dari loji perawatan air.

Sebilangan kecil sahaja bandar di Malaysia, katanya mempunyai kemudian seperti ini dan memberikan Taiping sebagai contoh.

Bagaimanapun, katanya kawasan tadahannya iaitu Bukit Larut yang terletak di tengah-tengah bandar kini diancam oleh pembangunan.

Lebih daripada 200,000 penduduk bergantung kepada sumber air ini, tambahnya. Bercakap pula mengenai Kuala Lumpur, beliau memberitahu bahawa bandar metropolitan ini bergantung sepenuhnya kepada Selangor untuk bekalan air.

"Kos membawa air terawat daripada lokasi yang jauh ke kawasan permintaan yang tinggi adalah sangat mahal. Ini disebabkan perbelanjaan modal serta operasi seperti kos tenaga, perpaipan dan buruh. Bagaimanapun di Malaysia semua kos ini disamaratakan sebagai tarif," jelas Piarapakaran.

ISU PENCEMARAN

Bagi sumber air seperti Sungai Klang yang mengalir melalui bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Puchong, Klang dan Pelabuhan Klang, airnya tidak sesuai untuk dirawat bagi sumber bekalan air.

Ini disebabkan kadar pencemaran yang tinggi yang dilepaskan oleh semua peringkat masyarakat dan industri ke dalam sungai itu. Menurut Piarapakaran, keadaan itu akan hanya memburukkan lagi masalah kekurangan sumber air.

Tambahan pula, katanya semakin banyak sungai menjadi tercemar dengan cepatnya dan dengan peningkatan ekonomi, permintaan dan populasi, bandar selalunya mengalami risiko kekurangan air dan krisis air yang lebih meruncing.

"Ini bukan sahaja disebabkan kekurangan sumber air tetapi juga margin simpanan yang tidak mencukupi bagi perawatan dan bekalan air justeru perancangan yang teliti amat penting.

"Contohnya, jika terdapat gangguan bekalan air untuk sehari dan loji perawatan hanya mempunyai lima peratus margin simpanan, adalah mustahil untuk sistem bekalan air memenuhi semua reservoir perkhidmatan, tangki simpanan dan memenuhi permintaan seharian dalam masa yang sama sebaik sahaja bekalan air pulih.

"Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengisi penuh semua tangki dan reservoir bagi menjamin bekalan air," tambahnya.

Piarapakaran memberitahu Bernama bahawa situasi seumpama itu pernah berlaku semasa penutupan Loji Semenyih pada September 2010 disebabkan pencemaran serta kerja-kerja penyelenggaraan di Pulau Pinang pada Disember 2010.

"Keadaan seperti ini akan lebih menjadi-jadi di bandar jika sistem perawatan dan bekalan air tidak mengambil kira margin simpanan yang perlu diperuntukkan.

"Untuk itu, kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah dengan mewartakan semua sungai dan lembangannya termasuk kawasan tadahan daripada ancaman pembangunan. Kawasan yang ingin dibangunkan mestilah mempunyai standard pelepasan air sisa yang lebih ketat.

"Sebarang projek baru atau industri mesti patuh kepada standard yang lebih ketat. Ini akan dapat mengurangkan tahap pencemaran. Jika kita tidak bertindak dari sekarang, kita mungkin terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk kerja pemulihan di masa depan," tegasnya.

AIR TOKSIK?

Apakah air minuman kita bertoksik?

Piarapakaran segera menjawab "Tidak".

Beliau turut berkongsi dapatan tinjauan yang dijalankan AWER baru-baru ini yang menunjukkan kebanyakan syarikat penapis air ada memasukkan bentuk maklumat atau iklan yang agak menyelirukan mengenai penapis air.

"Penapis air kini menjadi gaya hidup di bandar. Ini turut melibatkan dakwaan kesihatan, bekalan air yang bertoksik dan tenaga yang boleh diperoleh dari air. Hanya sains yang dapat membuktikan dakwaan-dakwaan itu.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemantauan kualiti bekalan air secara berkala. Bagaimanapun, laporan pematuhan berdasarkan pencapaian setiap negeri tidak dilaporkan untuk makluman umum," katanya.

Beliau lalu mencadangkan supaya KKM menambah persampelan rawak berbanding membuat persampelan di lokasi yang tetap yang dilaksanakan sekarang.

Tambahnya saiz persampelan juga patut memberi gambaran jumlah penduduk yang semakin meningkat.

"Ini untuk memastikan hasil yang lebih tepat berdasarkan kualiti air minuman yang diambil dari lokasi air bermeter.

"Laporan mengenai pematuhan kualiti air juga patut dihebahkan untuk makluman umum. Orang ramai boleh membuat penilaian sendiri mengenai kualiti perkhidmatan serta kemampuan operator air," katanya.

STANDARD WHO Menurut Piarapakaran, air minuman di Malaysia mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu air terawat tidak akan dibekalkan kepada pengguna sekiranya tidak sesuai untuk tujuan diminum.

Beliau turut menjelaskan bahawa operator air hanya bertanggungjawab ke atas kualiti bekalan air sehingga ke meter air untuk perumahan biasa serta meter pukal bagi bangunan bertingkat.

"Selepas lokasi-lokasi ini, kita sendiri memikul tanggungjawab sebagai pengguna," katanya.

Dalam sistem bekalan air, perpaipan yang lama serta kebocoran sememangnya menyumbang kepada kemerosotan kualiti air dan operator air bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama Piarapakaran turut memperingatkan bahawa sistem perpaipan dalaman dan tangki simpanan di rumah kediaman perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala.

"Kebanyakan kita tidak melakukannya. Untuk itu, pengguna dinasihatkan memeriksa keadaan perpaipan dalaman dan tangki simpanan di kediaman mereka sebelum memasang penapis air atau membuat aduan kepada operator air mengenai kualiti air yang rendah," katanya.

IMPAK PAIP USANG

Menurut Laporan Malaysian Water Industry Guide 2010, sejumlah 127,275 kilometer paip telah dipasang dan berfungsi di Malaysia pada 2009. Laporan yang sama merekod hanya terdapat 32,693 kilometer paip di Malaysia pada 1983.

Paip-paip itu juga perlu diganti secara berkala berdasarkan tempoh hayatnya.

"Bandar-bandar lama masih mempunyai sistem perpaipan yang sudah usang. Keadaan semakin mencabar untuk operator air menyelenggara paip-paip ini kerana faktor lokasi dan ruang yang terhad atau untuk memindahkan paip akibat pembangunan.

"Pelaburan besar diperlukan untuk melaksanakan program penggantian paip lama dan biasanya ini dibuat secara berperingkat. Paip rosak disebabkan karat, retakan dan kemalangan. Ini juga memberi impak langsung ke atas kualiti air minuman," katanya.

Kerosakan pada paip turut meningkatkan paras Air Tidak Terhasil (NRW). Menurut Malaysian Industry Guide 2010, purata NRW direkod pada 2009 ialah 36.63 peratus berbanding 36.93 peratus pada 2008.

KEHILANGAN AIR

Jumlah kehilangan air terawat akibat NRW ialah kira-kira 1.8 bilion meter padu pada 2009. Menurut Piarapakaran, berdasarkan kajian AWER, jumlah kerugian kewangan akibat NRW di Malaysia dianggarkan RM1.62 bilion pada 2008 dan RM1.64 bilion pada 2009.

Katanya, jumlah pendapatan bagi sektor perkhidmatan air pada 2009 ialah RM3.93 bilion. Ini bermakna kerugian kewangan disebabkan NRW adalah kira-kira 41.7 peratus dari jumlah pendapatan berdasarkan kajian AWER.

"Jika NRW boleh dikurangkan lagi, ini akan meningkatkan pendapatan bagi sektor perkhidmatan air dan seterusnya meningkatkan kedudukan kewangan operator air supaya operasi sektor ini lebih lestari.

"AWER juga berharap semua operator air dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan program NRW tidak menjadi terlalu mahal.

"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memainkan peranan utama dalam memastikan program NRW tidak memberi impak besar ke atas tarif. Ini hanya boleh berlaku jika operator air dikawal selia sepenuhnya.

"Pengurangan NRW serta program penggantian paip sudah tentu akan meningkatkan kualiti air dan membantu menstabilkan kadar tarif. Ini antara lain kerana pengurangan kos perawatan, peningkatan pendapatan serta pengurangan dalam kos operasi," kata Piarapakaran.

16 April 2011

Hari Bumi, di manakah kita?

Pada 22 April ini, seluruh dunia akan menyambut Hari Bumi. Tema sambutan tahun ini adalah 'Berbilion Tindakan Hijau'.

Meneliti tema itu, apa yang dimahukan sambutan kali ini ialah kempen-kempen memulihara alam sekitar dijana oleh orang ramai yang boleh dilakukan dalam berbilion cara.

Di Malaysia, ada tiga program pemuliharaan alam sekitar untuk Hari Bumi 2011 iaitu Selamatkan Air Terjun, sementara Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MeNGO) turut mengadakan Mengo Green Hunt 2011.

Selain itu, Four Starwood Hotels & Resorts di Langkawi akan mengadakan program menanam 1,000 pokok di Sungai Bukit Hantu.

Bagi saya, kebanyakan program yang diadakan itu hanyalah promosi perhubungan awam untuk selari dengan program yang dijayakan di seluruh dunia. Ia hanya program berkala dan tiada kelestarian dalam pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.

Apabila program selesai dijalankan, tidak banyak pihak mahu berusaha untuk meneruskannya supaya dapat berkekalan dan betul-betul 'menjadi'.

Apa pun, saya tidak mahu komen banyak mengenai program yang dilakukan oleh pihak korporat kerana pada saya walaupun tidak berterusan tetapi mereka tetap melakukan sesuatu yang baik dan boleh dicontohi.

Apa yang ingin saya katakan ialah usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh individu yang tidak pernah diberikan promosi oleh media.

Mereka secara senyap melakukan pemuliharaan alam sekitar dengan usaha sendiri termasuk mengeluarkan kos sendiri.

Bagi saya, mereka ini yang sepatutnya dibantu kerana tidak ramai mahu melakukan usaha murni ini dengan perbelanjaan sendiri.

Usaha yang dilakukan tanpa mahu mempopularkan diri ini perlu diberi perhatian khusus supaya ia dapat diteruskan.

Yang peliknya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, usaha murni ini dilakukan secara berterusan sehingga ada yang berjaya sampai kepada matlamatnya.

Jika mereka boleh berjaya, kenapa mereka yang mempunyai bajet tinggi dan pelbagai tajaan daripada pihak korporat tidak boleh berjaya.

Kenapa perlu dilakukan dalam masa singkat sahaja. Adakah hanya disebabkan mahu popular dalam masa singkat atau hanya mahu mendapatkan pelepasan cukai?

Jadi, sempena Hari Bumi 2011 ini, saya amat berharap bukan hanya korporat, individu juga boleh memulakan kempen pemuliharaan secara berterusan.

Lebih mudah, ia boleh dimulakan di rumah dengan menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengasingkan bahan buangan secara teratur.Mampukah kita?

14 April 2011

Bunuh Diri dan Gangguan Mental


Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

23/02/2011 | Utusan Malaysia

Gejala bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini didapati semakin berleluasa pada masa kini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara luar, di mana masyarakatnya sudah biasa, lali atau masak dengan kejadian seperti itu. Umpamanya, di negara China, ia merupakan sebuah negara di mana rakyatnya paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih dari 300,000 penduduk China akan membunuh diri, lebih sepuluh kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi termasuklah Jepun dan Venezuela.

Gejala yang sama turut menunjukkan tren yang mengejutkan di negara ini. Data dari Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya 2 orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan, satu tren yang didapati menyamai tren bunuh diri di negara Amerika. WHO atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati pada setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3000 kejadian setiap hari.

Peningkatan gejala bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan tren yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti ini. Gejala yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat di negara ini untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Memang gejala ini berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah gejala bunuh diri lebih mudah berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan mentalnya, berbanding dari individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran yang waras.

Apakah bunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan untuk memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupannya sendiri sehingga menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat dari ketidakmampuan seseorang individu itu untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan yang dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan. Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan. Gejala bunuh diri juga sering berlaku di kalangan pesakit mental kronik, seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan di kalangan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Malah, di kalangan individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri mereka sendiri akibat tidak mahu berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari.

Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun tren seperti ini mula dipertikaikan. Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati bahawa kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia boleh juga berlaku akibat dari faktor ketagihan dadah dan gangguan mental lain. Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berlaku adalah berpunca sebagai kesan dari penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian.

Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah dari kadar yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan ada peranan terhadap kejadian bunuh diri yang tinggi di China. Ada kemungkinan ia terjadi akibat dari kesan kadar pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah atau tekanan budaya dari luar. Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal dalam menyumbang kepada kes bunuh diri.

Berdasarkan kepada penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan dari tekanan atau stres dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran. Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok dalam menjalani kehidupan mereka sanggup untuk membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud atau lemah dari segi fungsinya. Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, lantas membunuh diri dilihat sebagai satu-satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada. Secara tidak langsung, ia berkaitan dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri.

Selain gejala bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperolehi, atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan yang seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apa pun keadaan dan alasan, bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu dosa yang amat besar.