Followers

Carian dalam Blog ini

29 June 2012

Peralatan Penyejuk Kurang Mesra Alam

CYBERJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Setiap kali sesiapa menggunakan pendingin hawa, menghidupkan lampu, menyaksikan televisyen, membiarkan pintu peti sejuk terbuka atau mengecas telefon bimbit, lebih banyak gas rumah hijau (GHG) dibebaskan ke atmosfera.

Peralatan-peralatan moden ini, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita pada hari ini, memerlukan tenaga elektrik tetapi menjana tenaga elektrik ada kepincangannya memandangkan ia menyumbang kepada GHG yang dikatakan menjadi punca fenomena pemanasan global.

Statistik daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (EC) menyenaraikan empat sumber tenaga negara - gas semulajadi, minyak mentah, arang batu dan kok, dan kuasa hidro.

Penggunaan tenaga elektrik secara keseluruhan telah meningkat dengan ketara dalam negara dari 1990 hingga 2009 iaitu sebanyak 383 peratus.

PERALATAN YANG BANYAK GUNAKAN TENAGA

Peralatan penyejuk seperti pendingin hawa, peti sejuk dan pendingin banyak menggunakan tenaga berbanding peralatan elektik yang lain.

Satu penyelidikan oleh Pusat Bagi Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya mendapati 67 peratus daripada purata penggunaan elektrik isi rumah adalah bagi peralatan penyejuk.

Ini kemudian diikuti oleh peralatan yang digunakan bagi pemanasan (11 peratus), pencahayaan (tujuh peratus), masak (lima peratus), hiburan (empat peratus), mesin basuh (dua peratus) dan lain (empat peratus).

Sementara bagi bangunan, audit Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia mendapati pendingin hawa menggunakan 62 peratus daripada jumlah tenaga, diikuti oleh perkakas berasaskan palam kuasa (20 peratus) dan pencahayaan (18 peratus).

PENGGUNAAN MENGIKUT SEKTOR

Semasa bercakap pada Forum iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) ke 14 baru-baru ini, Eksekutif Kanan EC bagi Pengurusan Bahagian Permintaan Ir.Zul Azri Hamidon menunjukkan bahawa pertumbuhan besar dalam penggunaan elektrik berpunca kerana pembangunan pesat negara.

Penggunaan elektrik oleh kemudahan kediaman dan komersial sahaja meningkat 413 peratus dari 1990 hingga 2009.

Pada 2009, penggunaan kuasa oleh sektor komersial dan kediaman mewakili nilai yang disatukan sebanyak 54.7 peratus berbanding sektor lain, khasnya industri (44.9 peratus), pertanian (0.3 peratus) dan pengangkutan (0.2 peratus).

"Adalah penting bagi para pengguna daripada kumpulan ini (komersial dan kediaman) untuk memahami aliran penggunaan elektrik masing-masing dan belajar akan langkah-langkah berkesan untuk mengurangkan penggunaan.

"Adalah baik bagi mereka dan alam sekitar. Dengan memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan penggunaan tenaga, ia mengurangkan wasap CHG dan membantu menjimatkan sumber semulajadi kita yang semakin kehabisan," tambah beliau.

BERAPAKAH SUMBANGAN WASAP ANDA

Kesedaran terhadap penggunaan tenaga secara berhemah masih rendah di negara ini. Ramai warga Malaysia masih tidak sedar yang sikap tidak ambil peduli mereka terhadap penggunaan tenaga secara berhemah boleh memudaratkan alam sekitar.

"Setiap satu kilowatt jam (kWh) yang digunakan membebaskan 0.684 (kilogram) kg karbon dioksida (CO2), gas yang menyumbang kepada kesan rumah hijau," kata Zul Azri.

Anda boleh mengukur sendiri pencemaran CO2 yang anda lakukan dengan mendarabkan penggunaan elektrik anda seperti yang tercacat dalam bil dengan 0.684. Keputusannya mewakili jumlah wasap CO2 yang dibebaskan ke udara.

Secara purata, penggunaan elektrik setiap isi rumah Malaysia adalah 251 kWh sebulan. Ini bermakna, sebuah isi rumah membebaskan 171.68 kg CO2 setiap bulan.

Mendarabkan nilai ini dengan 13,777,039 kuarters kediaman dan isi rumah yang dikenalpasti semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010, rakyat Malaysia mencemarkan udara dengan 2.4 bilion kg CO2 setiap bulan, bersamaan dengan 28.8 bilion kg setahun!

"Jika setiap orang memainkan peranan masing-masing dengan mengambil langkah-langkah memastikan mereka mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak mana yang boleh, ia pasti membawa perubahan besar," tambah Zul Azri.

MENGURUSKAN PENDINGIN HAWA

Pelbagai pendekatan boleh diambil untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Menggunakan peranti-peranti penyejuk seperti pendingin hawa memerlukan disiplin, penyenggaraan berterusan dan sedikit penyesuaian dalam rutin harian.

"Padamkannya apabila anda tinggalkan bilik, laraskan termostat ke paras suhu selesa di sebalik paras sejuk dan bersihkan penapis udara secara berjadual," kata Zul Azri.

Beliau juga berkata semua pintu dan tingkap harus ditutup rapat kerana kebocoran menambah bebanan kepada pendingin udara.

Memakai pakaian yang sesuai juga dapat membantu memperluaskan zon selesa sementara mengurangkan tenaga yang digunakan oleh pendingin hawa. Mereka yang memakai pakaian tebal akan memerlukan suhu yang lebih sejuk untuk berasa selesa berbanding mereka yang memakai pakaian yang nipis.

"Percaya atau tidak, dengan hanya meningkatkan suhu sebanyak satu darjah, anda boleh menjimatkan tenaga sehingga 6 peratus," jelas Zul Azri.

Selain itu, penggunaan tingkap ketelusan rendah atau dengan memasang lapisan penapis di tingkap dan penebat di bumbung dapat mengurangkan penyerapan panas matahari, oleh itu membenarkan proses penyejukan berlaku dengan lebih cepat.

PENGGUNAAN PETI SEJUK

Bagi peti sejuk pula, peralatan ini memerlukan pengudaraan yang baik. Memberikan ruang yang wajar antara peti sejuk dan diding di sekelilingnya atau kabinet membolehkan aliran udara yang baik.

"Hari ini, ramai yang menempatkan peti sejuk mereka di ruang yang sempit di antara kabinet dapur. Ini mungkin nampak hebat tetapi ia tidak sesuai bagi alam sekitar memandangkan ia meningkatkan pembaziran tenaga," kata Zul Azri.

Pengudaraan yang kurang baik bermakna peti sejuk perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk penyejukan.

"Juga jangan biarkan pintu peti sejuk terbuka untuk tempoh yang lama dan pastikan pengedap pintu berada dalam keadaan yang baik," kata Zul Azri.

PROGRAM PENJIMATAN

Berita baik bagi para pelanggan. Kerajaan kini menawarkan baucar sehingga RM200 kepada semua warganegara bagi setiap pembelian peti sejuk dan pendingin hawa yang disahkan cekap dari segi penggunaan tenaga di bawah program Kelestarian Tercapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE).

Satu ganjaran lebih kurang sama juga ditawarkan kepada syarikat-syarikat swasta untuk menggantikan penyejuk yang berusia 10 tahun atau lebih yang digunakan untuk mendingin hawa di bangunan-bangunan komersial.

Dilancarkan pada Julai 2011, program ini menawarkan 165,000 baucar rebat daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).

Sehingga hari ini, hampir 125,000 pembeli telah menikmati rebat sebanyak RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi pendingin hawa bersama penarafan lima bintang bagi kecekapan tenaga seperti yang disahkan oleh EC.

Penolong Pengarah Kecekapan Tenaga bagi Seda Muhammad Hafiz Azizan menekankan bahawa objektif program ini adalah untuk mempercepat transformasi pasaran peralatan elektrik pengguna dan meningkatkan penguasaan model-model cekap tenaga di pasaran.

"Para pembeli boleh log ke laman web kami di http://www.saveenergy.gov.my, dan cetak baucar sebelum membuat pembelian dan terus nikmati rebat," katanya.

Para pembeli boleh mencari peralatan-peralatan cekap tenaga dalam senarai yang disediakan di laman web ini. Atau secara alternatif mereka boleh cari peralatan dengan pelekat merah 'energy efficient' (cekap tenaga) di peranti-peranti yang dijual oleh kedai-kedai elektrik.

Muhammad berharap supaya orang ramai akan menghulurkan sokongan kepada program ini dengan mendapatkan baucar yang masih terdapat.

Menurut laman web itu, Program SAVE akan berakhir apabila kesemua baucar itu telah digunakan ataupun notis dikeluarkan akan penamatan tawaran rebat itu, yang mana dahulu.

-- BERNAMA

27 June 2012

Menjejak Kaki Di Menara Gading Proses Bantu Kematangan

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Inilah musimnya - antara akhir Mei hingga awal Jun - setiap tahun, pelajar mula mendaftar diri di pelbagai kursus peringkat diploma di sebuah universiti awam yang mempunyai kampus cawangan di setiap negeri di seluruh negara.

Mulai 2 Jun tahun ini, pelajar yang kebanyakannya datang dari kampung serta kawasan luar bandar akan meninggalkan keselesaan yang mereka nikmati di rumah.

Mereka juga meninggalkan suasana kehidupan bersama ibu bapa serta keluarga untuk kali pertama di mana mereka akan menghadapi pelbagai rasa sebak termasuk rasa rindu pada kampung halaman.

Tetapi inilah pentas dunia yang harus ditempuhi setiap pelajar dalam usaha mereka mengejar cita-cita di menara gading dan masa inilah mereka sebenarnya mengorak langkah untuk berdikari dan mencapai kematangan, menurut pensyarah Sains Kemanusiaan Amin Iskandar.

"Tahun pertama di universiti adalah masa transisi atau peredaran bila seorang anak berpisah dari ibu dan bapanya tetapi ini bukannya satu situasi di mana perhubungan antara si anak dan ibu bapa putus tiba-tiba," katanya kepada penulis.

"Tidak salah jika terasa begitu rapat dengan ibu dan bapa bahkan ia perkara biasa jika bila berada di kolej penginapan di kampus dan teringatkan kampung halaman," kata beliau.

Menurut beliau, ia juga merupakan satu perkara biasa bagi pelajar yang baru saja menjejakkan kaki di menara gading menghubungi ibu bapa bila mereka rasa stres atau dibeban tekanan mental yang agak berat.

Amin menerangkan sedemikian tentang isu di mana pelajar baru universiti mengalami masalah rindu pada keluarga ketika baru menjejakkan kaki ke kampus. Baru-baru ini, pelajar baharu mula mendaftar ke universiti untuk sesi akademik tahun 2012/2013.

IKATAN KElUARGA

"Di tahun-tahun permulaan di universiti, kecenderungan untuk bergantung kepada ibu bapa dan adik-beradik adalah suatu yang sihat secara psikologi dan membantu remaja menjadi lebih matang, penyayang dan berkeyakinan.

"Ikatan keluarga yang kuat membantu remaja menjadi individu yang berdikari. Biasanya pelajar akan rasa lebih dekat dengan keluarga bila berjauhan dari rumah dan perhubungan sebeginilah yang akan menggamit rasa yakin dan bertanggungjawab," jelas pensyarah itu.

Menurut Amin, pelajar yang mempunyai asas kekeluargaan yang kukuh di rumah biasanya akan lebih mudah mendapat teman baharu selain mencapai keputusan akademik yang baik semasa berada di kampus dan mencapai satu kepuasan dengan kehidupannya.

Terang Amin lagi, pelajar yang ada rasa rindu kepada kampung halaman akan membuat panggilan telefon atau pulang ke rumah semasa cuti.

"Mereka akan lebih menyatakan rasa sayang terhadap keluarga serta berkomunikasi secara terbuka dan jujur tentang kehidupan di universiti".

Katanya bila remaja ini rasa stres atau menghadapi cabaran serta memerlukan satu keputusan dibuat, mereka akan berpaling kepada ibu bapa untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan.

"Ini tidak menggugat autonomi dan kebebasan hidup mereka," kata Amin.

HUBUNGAN HARMONI

Bagi Amin, hubungan harmoni antara anak dan ibu bapa akan menerbitkan perasaan kesejahteraan dalam aspek psikologi para mahasiswa.

"Bagi pelajar, mereka sedar dan percaya bahawa ibu bapa mahukan mereka jadi berdikari dan pada masa yang sama mereka rasa ibu bapa akan membantu bila sesuatu pertolongan diperlukan.

"Sebaliknya, pelajar yang rasa sepi dan tidak menerima sokongan dari keluarga akan kurang mempunyai keyakinan diri dan kurang keterampilan bila bersama dengan pelajar lain.

"Pelajar ini punya masalah berjauhan dari ibu bapa dan mereka sukar mencari teman baharu ketika berada di kampus," kata beliau.

Beliau berkata kebanyakan remaja tidak punya masalah bila meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

"Hanya sebanyak 20 peratus daripada remaja ini akan mengalami masalah dalam mencapai kematangan serta menjadi berdikari," katanya.

MENINGGALKAN RUMAH UNTUK KE UNIVERSITI

"Abang saya meninggalkan rumah pada Mei tahun 2010 bagi melanjutkan pelajaran dalam kursus ijazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sri Iskandar di Perak.

"Dia mengembara ke sebuah bandar baru, sebuah universiti yang dia tidak pernah sampai dan tinggal di asrama di mana dia terpaksa membuat kerja sendiri tanpa dibantu ibu dan ayah seperti mengemas bilik, membasuh baju dan mencari makanan sendiri.

"Tetapi dia telah mengajar saya, bahawa tahun pertama kehidupan di universiti bukan sahaja bermakna untuk melanjutkan pelajaran tetapi juga memulakan kehidupan terasing dari kepompong (rumah)," cerita Zaidatul Azreen yang baru menamatkan tahun pertama kursus diplomanya di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri iskandar.

Menurut Amin, meninggalkan rumah untuk ke universiti adalah antara langkah terakhir menghilangkan kebergantungan pada keluarga dan memulakan hidup berdikari.

"Ramai antara remaja rasa tertekan bila berjauhan dari keluarga tetapi bagi saya, ibu bapa serta anak-anak mereka tidak perlu bimbang terhadap perhubungan rapat ini," tambah beliau.

IBU BAPA

"Kalau anda seorang bapa atau ibu, beradalah di samping anak anda bila mereka memerlukan sokongan," nasihat Amin.

Beliau juga menyeru ibu bapa supaya memberi ruang dan masa untuk anak remaja mereka menyesuaikan diri kepada keperluan serta kehidupan baharu di kampus.

Menurut Amin, antara perkara yang dapat ibu bapa berikan kepada anak sewaktu mengucapkan selamat tinggal selepas menghantar anak itu di kampus adalah:

"Jaga diri kamu baik-baik, malah lebih baik daripada yang kami pernah buat untuk kamu."

-- BERNAMA

Sampah, Boleh Ke Tong Sampah Pukal?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian dua daripada rencana tiga siri megenai tentang sampah dan masyarakat Malaysia.

PETALING JAYA, 19 Jun (Bernama) -- Masalah kutipan sampah di kawasan perumahan di Selangor tidak lama dahulu menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kutipan dan pelupusan sampah domestik.

Dalam meningkatkan perkhidmatan, pihak-pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tambahan untuk memastikan kemelut itu tidak berulang.

Sebagai contoh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menempatkan tong-tong sampah pukal, bagi manfaat penduduk Subang Jaya.

Inisiatif ini bermula pada Januari 2012 dengan empat tong pukal diletakkan di kawasan USJ11 bersama poster-poster menunjukkan lokasi tong-tong ini terpampang di kejiranan itu.

Begitu juga di USJ2 dan beberapa kawasan berdekatan lain termasuk SS14, SS15 dan SS19. Sisa buangan dalam tong-tong pukal ini dikutip pada setiap Sabtu.

Bagaimanapun usaha pihak berkuasa ini mendapat sambutan dingin penduduk tempatan dan ini dapat dilihat daripada jumlah sampah yang kecil dikutip daripada tong-tong pukal ini.

MASALAH TONG SAMPAH DAN KUTIPAN SAMPAH

Kemampuan serta sumber-sumber pihak berkuasa yang terhad dalam menguruskan kutipan sampah, dan keengganan masyarakat untuk menghulurkan kerjasama, menjadi punca sampah bertimbun dan persekitaran dicemari bau busuk.

Sumber-sumber terhad turut menjadi punca, termasuk bilangan dan saiz tong sampah yang tidak memadai dan kedudukannya yang mengganggu keselesaan masyarakat.

Sampah yang terbiar dibimbangi akan memudaratkan kesihatan masyarakat setempat. Untuk menangani masalah ini, apa jua cara sekalipun perlu digunakan.

Penduduk di bangunan pangsapuri sekitar Ulu Kelang dan Puchong juga membuang sampah mereka yang diikat ke dalam beg-beg plastik ke dalam tong sampah pukal yang disediakan pihak pengurusan kawasan perumahan itu.

Di Ulu Kelang, satu tong sampah pukal disediakan untuk dua blok pangsapuri, manakala di Puchong pula satu tong sampah untuk tiga buah blok pangsapuri.

Seorang penduduk pangsapuri di Puchong mengeluh tong-tong kutipan pukal itu diletakkan di petak tempat letaka di dalam kawasan pangsapuri, bersebelahan dengan petak-petak letak kereta berpemilik, di kiri dan kanannya.

Sampah yang melimpah keluar serta bau busuk mengganggu keselesaan pemilik petak letak kereta itu.

Ada tong tetap mengundang masalah, tak ada tong pun ada masalah.

Sakini Mohd Said, penghuni sebuah unit pangsapuri di Ulu Kelang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jadual kutipan sampah di kawasannya.

"Ada kalanya sampah tidak dikutip sehingga seminggu lamanya. Itu yang membuatkan kami serumah tidak senang duduk bila melihat sampah yang bertimbun di dalam tong sampah pukal, dan baunya juga," jelas Sakini.

Adakalanya, sekumpulan babi hutan dilihat datang mencari makanan di sekitar kawasan tong sampah pukal itu, pada waktu malam dan awal pagi.

LANGKAH PROAKTIF

Akibat masalah kutipan sampah di negeri Selangor, pihak MPSJ telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah sampah dan kutipannya daripada berterusan.

Di kawasan perumahan termasuk di Subang Jaya biasanya, kutipan sampah dibuat secara berkala, tiga kali seminggu, sama ada pada Isnin, Rabu dan Jumaat atau Selasa, Khamis dan Sabtu.

Kutipan dijalankan secara konsisten tetapi adakalanya jika cuti umum jatuh pada hari kutipan itu, atau cuaca buruk melanda pada hari itu, kutipan akan ditunda.

Sehingga awal Jun 2012, lebih 600 kes sampah longgok (iaitu sampah selain sisa makanan atau sampah domestik yang turut diletakkan di luar rumah atau di bawah pokok dan di bahu jalan) yang diadukan kepada MPSJ, telah dapat diselesaikan.

Dan untuk mengelakkan masalah longgokan sampah dan sampah kebun tidak dikutip sehingga masalah timbunan pula berlaku, kekerapan mengutipnya telah ditambah.

Aduan bagi sampah domestik yang diterima tahun ini pula, hampir 1,400 manakala 230 aduan diterima untuk sampah kebun.

Sampah kebun merangkumi sampah daripada pemotongan dahan-dahan pokok yang lebih besar dan tidak dimasukkan ke dalam beg plastik.

Peratusan kes aduan yang dapat diselesaikan oleh MPSJ mencapai hampir 99 peratus, secara purata dan ini jelas memuaskan.

Setiap bulan, pihak MPSJ mengutip 1.5 juta tan sampah domestik manakala jumlah kutipan sampah longgok dan kebun ialah hampir 90 tan sebulan.

Saiz kawasan yang terletak di bawah penjagaan dan penyeliaan MPSJ hampir 162 km persegi.

Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi turut menyarankan masyarakat terus menggunakan saluran yang telah disediakan untuk mengadu tentang masalah sampah serta memberi apa-apa timbal balas mengenainya.

Talian-talian 03-8026-7431, 03-5637-6545 dan alamat emel di mpsj@mpsj.gov.my disediakan untuk orang awam menyampaikan aduan tentang sampah kepada pihak MPSJ.

-- BERNAMA

Milik Siapakah Longgokan Sampah Itu?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian pertama daripada rencana tiga siri mengenai pengurusan sisi pepejal dan sikap masyarakat Malaysia terhadap amalan pembuangan sampah yang betul.

PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Bau busuk sering kali menusuk deria bau orang ramai ketika melalui kawasan perumahan yang ramai penghuninya dan tapak perniagaan yang ramai pengunjung.

Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.

Masalah di taman perumahan ini sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik.

PERLU BERTANGGUNGJAWAB

Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan mengurangkan sisa buangan atau melupuskannya mengikut cara yang betul, dan apabila sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Sampah yang dibuang penghuni rumah kediaman dan peniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

"Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip. Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga," jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Penghuni turut boleh terus mengasingkan sampah mengikut warna beg kerana kemudahan mengitar semula dibolehkan serentak.

Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

"Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri dan penghuni mengambilnyaa semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan," jelas Aminah lagi.

TONG SAMPAH

Semasa penulis berusia 10 tahun dan baru berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1970an, pengalaman membuang sampah ke dalam tong sampah yang diletakkan di tempat awam di kawasan seksyen 14, Petaling Jaya menunjukkan ketiadaan tong sampah yang sempurna turut menyumbang kepada masalah itu.

Penulis teringat bila cuba membuang cawan kertas minuman ke dalam tong sampah kecil yang digantung di tepi jalan berhadapan beberapa buah kedai, ia terus jatuh ke lantai.

Rupa-rupanya tong sampah yang diletakkan pihak majlis bandaran ketika itu, berlubang di bahagian dasarnya kerana telah berkarat.

Seorang penghuni di Kelana Jaya mengeluh bahawa penutup tong sampahnya yang menampung sisa buangan lima sekeluarga telah dilenyek lori yang mengutip sampah.

"Sekarang tong sampah kami tidak boleh ditutup rapat. Tudung tong penyek dan pada sebelah malam kucing memasuki tong sampah untuk mencari makanan di dalam sampah yang dibuang itu. Saya tertekan melihat keadaan pada keesokan paginya," jelas Tengku Elisa Tengku Bustaman, bila ditanya tentang pengalamannya.

Sewaktu tinggal di Dammam, Arab Saudi dulu, menurutnya, tong sampah pukal diletakkan secara fizikal di hadapan beberapa buah rumah di kawasan kediamannya dan ia dikutip setiap dua hari sekali.

"Sistem kutipan di tempat tinggal saya itu memang cekap tapi di luar kawasan kediaman kami di Dammam itu, entahlah saya tak tahu sistemnya," jelas Tengku Elisa.

Walaupun sistem kutipan sampah diatur dengan baik, penghuni masih perlu membuang sampah mereka dengan teratur dan bersesuaian dengan kandungan sampah itu, baik yang pejal mahupun cecair.

PENCEROBOHAN HAIWAN

Sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah.

Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya.

Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

"Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar yang tidak bertuan pada waktu malam," luah S.Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Kereta-kereta yang melalui jalan itu akan melenyek sampah sarap yang bertaburan di atas jalan itu. Penulis pernah melihat jiran yang tidak sanggup melihat keadaan yang mencacatkan pemandangan itu, lalu membersihkan sendiri jalan raya di hadapan rumahnya.

Salahkah haiwan yang menceroboh sampah-sampah yang dibuang di luar tong sampah seperti ini?

Sebenarnya, mereka yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sebegini yang patut disalahkan .

Perbuatan meletakkan sampah di luar, menarik kedatangan haiwan dan angkara haiwan ini boleh dihindari jika sampah diikat rapi dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

Selain itu, apabila sampah itu tidak dikutip selama beberapa hari ia mula bertimbun.

DAPATKAN SATU

Setiap rumah teres atau berkembar dan banglo di kebanyakan kawasan perumahan dibina lengkap dengan sebuah ruang letak tong sampah di tembok pagar depan.

Ruang itu lengkap berpintu dan mudah untuk digunakan.

Penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah, dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84, bergantung kepada saiz, bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.

Tong sampah plastik dan bertutup yang boleh memuatkan sampah hampir 38 liter didapati berharga RM24.90 manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula, tidak melebih RM60 setiap satu.

"Tong sampah beroda yang besar untuk sampah seberat 120 liter dan berkualiti tinggi, harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan," jelas penjual sebuah kedai perkakasan, HaDIY di Taipan Business Center, USJ10.

Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk sampah atau tong sampah di dalam mahupun di luar kawasan rumah.

Hampir 30 buah rumah di dalam kategori ini meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar di jalanan.

Banyak juga pokok-pokok yang menjadi mangsa longgokan sampah kerana beg plastik berisi sampah digantungkan pada dahannya.

MENYUSAHKAN

"Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang saya tidak tahu siapa. Walaupun ia di luar pagar rumah saya, tapi tetap menyusahkan kerana saya selalu menyapu di luar untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Setiap kali saya memandu balik ke rumah, mata saya pasti melihat bahu jalan di tepi rumah. Ada longgokan buangan barukah?" cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya.

Sampah yang terlonggok termasuk timbunan ranting pokok, beg berisi rumput yang telah dipotong dan juga bungkusan yang berisi sampah isi rumah.

Kenapa agaknya penghuni kawasan perumahan hari ini lebih suka membuang di ruang terbuka yang terletak di depan atau tepi rumah orang lain?

"Agaknya, mereka tidak mahu mengotorkan kawasan rumah sendiri. Jadi kotorkan tempat orang lain. Ia menjadi beban bagi kita yang duduk berdekatan dengan sampah itu, perlu diadukan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini yang membuatkan saya rasa marah dan tertekan," jelas Siti yang baru bersara, dan amat mengutamakan kecantikan sekitar rumahnya selain kebersihan kawasan sekeliling.

Penghuni perlu lebih bertanggungjawab dalam melupuskan sampah masing-masing supaya ia tidak menyusahkan orang lain, baik baunya mahupun kewujudan fizikalnya.

Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain.

-- BERNAMA