Oleh Zulkiple Ibrahim
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Inilah musimnya - antara akhir Mei hingga awal Jun - setiap tahun, pelajar mula mendaftar diri di pelbagai kursus peringkat diploma di sebuah universiti awam yang mempunyai kampus cawangan di setiap negeri di seluruh negara.
Mulai 2 Jun tahun ini, pelajar yang kebanyakannya datang dari kampung serta kawasan luar bandar akan meninggalkan keselesaan yang mereka nikmati di rumah.
Mereka juga meninggalkan suasana kehidupan bersama ibu bapa serta keluarga untuk kali pertama di mana mereka akan menghadapi pelbagai rasa sebak termasuk rasa rindu pada kampung halaman.
Tetapi inilah pentas dunia yang harus ditempuhi setiap pelajar dalam usaha mereka mengejar cita-cita di menara gading dan masa inilah mereka sebenarnya mengorak langkah untuk berdikari dan mencapai kematangan, menurut pensyarah Sains Kemanusiaan Amin Iskandar.
"Tahun pertama di universiti adalah masa transisi atau peredaran bila seorang anak berpisah dari ibu dan bapanya tetapi ini bukannya satu situasi di mana perhubungan antara si anak dan ibu bapa putus tiba-tiba," katanya kepada penulis.
"Tidak salah jika terasa begitu rapat dengan ibu dan bapa bahkan ia perkara biasa jika bila berada di kolej penginapan di kampus dan teringatkan kampung halaman," kata beliau.
Menurut beliau, ia juga merupakan satu perkara biasa bagi pelajar yang baru saja menjejakkan kaki di menara gading menghubungi ibu bapa bila mereka rasa stres atau dibeban tekanan mental yang agak berat.
Amin menerangkan sedemikian tentang isu di mana pelajar baru universiti mengalami masalah rindu pada keluarga ketika baru menjejakkan kaki ke kampus. Baru-baru ini, pelajar baharu mula mendaftar ke universiti untuk sesi akademik tahun 2012/2013.
IKATAN KElUARGA
"Di tahun-tahun permulaan di universiti, kecenderungan untuk bergantung kepada ibu bapa dan adik-beradik adalah suatu yang sihat secara psikologi dan membantu remaja menjadi lebih matang, penyayang dan berkeyakinan.
"Ikatan keluarga yang kuat membantu remaja menjadi individu yang berdikari. Biasanya pelajar akan rasa lebih dekat dengan keluarga bila berjauhan dari rumah dan perhubungan sebeginilah yang akan menggamit rasa yakin dan bertanggungjawab," jelas pensyarah itu.
Menurut Amin, pelajar yang mempunyai asas kekeluargaan yang kukuh di rumah biasanya akan lebih mudah mendapat teman baharu selain mencapai keputusan akademik yang baik semasa berada di kampus dan mencapai satu kepuasan dengan kehidupannya.
Terang Amin lagi, pelajar yang ada rasa rindu kepada kampung halaman akan membuat panggilan telefon atau pulang ke rumah semasa cuti.
"Mereka akan lebih menyatakan rasa sayang terhadap keluarga serta berkomunikasi secara terbuka dan jujur tentang kehidupan di universiti".
Katanya bila remaja ini rasa stres atau menghadapi cabaran serta memerlukan satu keputusan dibuat, mereka akan berpaling kepada ibu bapa untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan.
"Ini tidak menggugat autonomi dan kebebasan hidup mereka," kata Amin.
HUBUNGAN HARMONI
Bagi Amin, hubungan harmoni antara anak dan ibu bapa akan menerbitkan perasaan kesejahteraan dalam aspek psikologi para mahasiswa.
"Bagi pelajar, mereka sedar dan percaya bahawa ibu bapa mahukan mereka jadi berdikari dan pada masa yang sama mereka rasa ibu bapa akan membantu bila sesuatu pertolongan diperlukan.
"Sebaliknya, pelajar yang rasa sepi dan tidak menerima sokongan dari keluarga akan kurang mempunyai keyakinan diri dan kurang keterampilan bila bersama dengan pelajar lain.
"Pelajar ini punya masalah berjauhan dari ibu bapa dan mereka sukar mencari teman baharu ketika berada di kampus," kata beliau.
Beliau berkata kebanyakan remaja tidak punya masalah bila meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran di universiti.
"Hanya sebanyak 20 peratus daripada remaja ini akan mengalami masalah dalam mencapai kematangan serta menjadi berdikari," katanya.
MENINGGALKAN RUMAH UNTUK KE UNIVERSITI
"Abang saya meninggalkan rumah pada Mei tahun 2010 bagi melanjutkan pelajaran dalam kursus ijazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sri Iskandar di Perak.
"Dia mengembara ke sebuah bandar baru, sebuah universiti yang dia tidak pernah sampai dan tinggal di asrama di mana dia terpaksa membuat kerja sendiri tanpa dibantu ibu dan ayah seperti mengemas bilik, membasuh baju dan mencari makanan sendiri.
"Tetapi dia telah mengajar saya, bahawa tahun pertama kehidupan di universiti bukan sahaja bermakna untuk melanjutkan pelajaran tetapi juga memulakan kehidupan terasing dari kepompong (rumah)," cerita Zaidatul Azreen yang baru menamatkan tahun pertama kursus diplomanya di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri iskandar.
Menurut Amin, meninggalkan rumah untuk ke universiti adalah antara langkah terakhir menghilangkan kebergantungan pada keluarga dan memulakan hidup berdikari.
"Ramai antara remaja rasa tertekan bila berjauhan dari keluarga tetapi bagi saya, ibu bapa serta anak-anak mereka tidak perlu bimbang terhadap perhubungan rapat ini," tambah beliau.
IBU BAPA
"Kalau anda seorang bapa atau ibu, beradalah di samping anak anda bila mereka memerlukan sokongan," nasihat Amin.
Beliau juga menyeru ibu bapa supaya memberi ruang dan masa untuk anak remaja mereka menyesuaikan diri kepada keperluan serta kehidupan baharu di kampus.
Menurut Amin, antara perkara yang dapat ibu bapa berikan kepada anak sewaktu mengucapkan selamat tinggal selepas menghantar anak itu di kampus adalah:
"Jaga diri kamu baik-baik, malah lebih baik daripada yang kami pernah buat untuk kamu."
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment