Followers

Carian dalam Blog ini

14 January 2012

Klinik Berhenti Merokok Institut Jantung Negara (IJN)

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk!

Pun bagi mereka yang mungkin sudah tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil.

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian terakhir daripada tiga siri.

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- "Kalau rasa nak sangat merokok, ambil replika kotak rokok ni dan picit dengan sekuat hati.

"Kalau rasa nak tumbuk orang, picit juga replika kotak ini. Jangan lepaskan geram kepada isteri."

Ada yang senyum meleret, ada yang ketawa berderai-derai mendengar pembuka kata Khoo Soon Gaik, kaunselor pesakit bersama dua lagi jururawat, mengendalikan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN).

Mesra dipanggil Sister Khoo, beliau ketika itu bercakap di hadapan tujuh pelanggan QSC pada sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN baru-baru ini.

Dua daripada pelanggan klinik berkenaan berjaya berhenti merokok sejak lebih dua tahun lepas sementara tiga lagi baru memberhentikan tabiat merokok mereka antara dua dan lima bulan.

Seorang peserta sedang berusaha mengurangkan jumlah rokok yang dihisap sementara seorang lagi masih merokok.

PROGRAM PEMULIHAN

Dalam wawancara berikutnya dengan Bernama, Khoo menjelaskan bahawa QSC adalah sebahagian daripada program pemulihan IJN untuk membantu pesakit berhenti merokok iaitu faktor besar risiko penyakit kardiovaskular.

"Klinik ini sebenarnya adalah inisiatif Datuk Aizai Azan, perunding pakar jantung di sini. Beliau juga bertanggungjawab untuk Program Pemulihan Jantung," katanya.

Khoo telah berkecimpung dalam bidang perubatan sejak 1975. Beliau lama berkhidmat dengan beberapa hospital kerajaan sebelum menyertai IJN apabila institut itu memulakan operasi pada 1992.

Di IJN beliau bertugas di Unit Rawatan Koronari (CCU) dan Penjagaan Harian.

"Apabila Datuk Aizai mahu menubuhkan Klinik Berhenti Merokok, beliau meminta saya menguruskan klinik ini dan saya kata OK," jelasnya.

Khoo kemudian berjaya mendapatkan dua jururawat berpengalaman, Sister Lim Siew Suan dan Sister Hafishah Saad untuk membantu menubuh dan mengendalikan klinik berkenaan.

PALING SUKAR

Pada awal pengendalian klinik yang dibuka pada Februari 2008, perjumpaan dengan pelanggan dibuat hanya sekali seminggu iaitu pada tengahari Jumaat.

Memandangkan kebanjiran pelanggan serta masa panjang yang diperlukan terutama dengan pelanggan yang pertama kali datang ke klinik berkenaan, masa perjumpaan di tambah kepada tiga hari seminggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.

Menurut Khoo, sesi kaunseling dengan pelanggan boleh memakan masa sejam hingga hampir dua jam terutamanya dengan pelanggan baru dan yang belum bersedia untuk berhenti merokok.

Sesi pertama lazimnya paling mencabar bagi kaunselor-kaunselor di klinik ini kerana mereka perlu benar-benar menyakinkan pelanggan akan kepentingan membuang tabiat merokok.

Segala-galanya juga bergantung kepada sejauh mana mereka bersedia untuk berhenti merokok.

Menurut Khoo adalah lebih mudah mengendalikan mereka yang datang secara sukarela dan memberitahu mereka sebenarnya sudah lama mahu berhenti tetapi tidak tahu caranya.

"Jika mereka dihantar oleh doktor atau keluarga, ini bermakna mereka belum bersedia. Mereka juga akan beri banyak alasan tak mahu berhenti.

"Pelanggan yang begini tak ramai, cuma seorang dua. Contoh, ada seorang pelanggan yang mempunyai empat saluran tersumbat dan memerlukan pembedahan pintasan, dia kata dia lebih rela mati diserang sakit jantung yang teruk daripada berhenti merokok.

"Bagaimanapun untuk pelanggan yang rumit, mereka ini akhirnya menyertai juga program berhenti merokok setelah kita dapat menyakinkan mereka," jelasnya.

PENILAIAN PERIBADI

Setiap pelanggan yang datang ke klinik akan terlebih dahulu dinilai sebelum dicadangkan rawatan.

Pelanggan dikehendaki memberi maklumat sejarah merokok serta bentuk pekerjaan mereka.

Kebanyakan pelanggan klinik ini adalah lelaki dan sebahagian besarnya adalah kakitangan kerajaan.

Kebanyakan mereka mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan jantung dan Khoo berkata merokok adalah faktor risiko utama untuk penyakit seperti itu.

"Apabila mereka datang ke klinik, lazimnya mereka sudah ada masalah kesihatan dan mudahlah untuk kami menyakinkan mereka berhenti merokok.

"Kita akan beritahu pelanggan keadaan kesihatannya tidak akan berubah sekiranya dia terus merokok, malah akan menjadi bertambah teruk.

"Mereka juga akan diberitahu tidak terlambat untuk berhenti walaupun mempunyai masalah saluran arteri koronari tersumbat," katanya.

Apabila ditanya mengenai perokok wanita, Khoo berkata, mereka itu lazimnya enggan untuk tampil ke depan terutama yang berusia pertengahan tahun di mana merokok itu menjadi satu stigma.

"Bila kita adakan penerangan, mereka ini akan datang kepada kita secara senyap-senyap tanya risiko merokok dan bentuk rawatan yang kita ada," kata Khoo. Khoo.

Menurut beliau kebanyakan perokok yang hadir pada sesi pemeriksaan kesihatan yang diadakan di pelbagai organisasi adalah lelaki berusia lewat 20an dan awal 30an.

GUNA PSIKOLOGI

Mempunyai pengetahuan kaunseling serta pengalaman luas sebagai jururawat ternyata kelebihan untuk Khoo dalam mengendalikan pelanggan klinik berkenaan.

"Kita betul-betul perlu memastikan mereka faham dan sedar risiko kesihatan merokok. Memanglah di kotak rokok ada macam-macam gambar menunjukkan kesan teruk merokok.

"Ada pelanggan saya yang memberitahu mereka akan menutup gambar-gambar itu dan tanya pada saya apa risiko? Lagi pun mereka sudah biasa dengan gambar-gambar tersebut.

"Bagaimanapun jika kita luangkan masa duduk dengan mereka dan cuba sentuh aspek emosi, aspek peribadi, umpamanya sama ada mereka ada anak atau cucu, mereka akan dengar kita. Kita perlu guna psikologi," katanya.

Pada kebanyakan masa, kata Khoo, perokok akan mula berfikir apabila timbul perkara tentang cucu.

"Mereka akan lebih risau tentang cucu daripada anak mereka, mungkin kerana anak sudah besar.

"Selepas beberapa sesi kami menjadi rapat dan mereka semakin seronok datang ke klinik dan berkongsi dengan kami masalah mereka.

"Seperti yang saya katakan, psikologi memainkan peranan besar. Jika kita suruh mereka berhenti kerana sebab itu dan ini, ia tak akan berhasil. Kita perlu sentuh emosi mereka.

"Tak guna juga menakut-nakutkan mereka, mereka sudah dewasa dan kebanyakan mereka sudah merokok 30 hingga 40 tahun," tambah Khoo.

RAWATAN DI KLINIK

Terdapat dua bentuk rawatan untuk berhenti merokok, iaitu terapi penggantian nikotin dan terapi penggantian bukan-nikotin.

Kebanyakan pelanggan, kata Khoo memilih terapi penggantian bukan nikotin kerana mereka mahu berhenti merokok.

"Sekiranya mereka tak tahan gian, kami akan memberi gula-gula getah atau penampal yang mengandungi nikotin dan penggunaannya adalah dengan bimbingan profesional," katanya.

Khoo turut menunjukkan kepada penulis gambar produk yang mengandungi nikotin yang dapat memuaskan gian perokok termasuk 'lozenges', alat sedut dan gel tangan.

"Gel tangan ini tidak ada di negara kita. Seorang pelanggan yang juga ahli perniagaan menunjukkan saya produk ini yang dibelinya di AS. Memandangkan dia sering pergi ke AS dan UK, dia tidak dapat menahan gian dalam penerbangan yang memakan masa yang panjang.

"Jadi dia gunakan gel tangan yang mengandungi nikotin ini. Ia dapat memberikannya bekalan nikotin tanpa perlu merokok.

"Nikotin diserap di tangan, tidak ada bau. Sama seperti orang yang mengalami sakit dada, mereka mengambil pil dan meletakkannya di bawah lidah. Sama prinsipnya," kata Khoo.

KOS RAWATAN

Rawatan berhenti merokok di klinik ini adalah untuk tempoh tiga bulan dan purata membabitkan kos sekitar RM700.

Perokok yang merokok 20 batang rokok sehari untuk tiga bulan berkemungkinan telah membakar kira-kira RM900.

"Rawatan berhenti merokok akan tamat selepas tempoh tiga bulan tetapi tabiat merokok akan berterusan selama-lamanya," kata Khoo dalam memberi justifikasi kepada kos rawatan berhenti merokok.

Menurut beliau, ada pelanggan klinik berkenaan mampu berhenti merokok dalam tempoh dua bulan tetapi beliau akan menyesyorkan mereka untuk menghabiskan keseluruhan tempoh tiga bulan.

Dalam tempoh tiga bulan, pelanggan diminta datang ke klinik sekali dalam masa dua minggu di mana ubat diberi untuk tempoh dua minggu.

Pelanggan yang terbukti mempunyai disiplin yang baik hanya diperlukan datang ke klinik sekali sebulan.

KALAU GIAN

Menurut Khoo, sesetengah pelanggan yang telah berhenti mengambil ubat lazimnya akan merasa gian untuk merokok selepas bulan kelima.

"Bulan ke-lima adalah tempoh yang kritikal. Mereka ini boleh menelefon kami untuk mendapatkan nasihat. Kalau perlu kaunseling, mereka boleh datang berjumpa kami. Pihak kami akan membantu.

"Ramai yang menjadi gian kerana mereka kembali kepada kehidupan sosial mereka atau kerana tekanan kerja.

"Segala-galanya bergantung kepada mereka untuk terus tabah dan mengekalkan disiplin," jelas Khoo.

Katanya, pelanggan boleh dianggap "lulus" hanya selepas mereka bebas daripada rokok selama enam bulan.

Khoo berkata sekiranya ada pelanggan yang menelefon klinik dan memberitahu dia menghisap walaupun sebatang rokok, pihaknya akan meminta dia datang semula ke klinik.

"Bagi mereka yang gagal dan bilangannya tak ramai, mereka ini sebenarnya belum bersedia untuk berhenti merokok," kata Khoo, sambil menambah klinik itu tidak mengambil kes yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pihak klinik juga tidak menetapkan sasaran kejayaan kerana ini akan hanya memberi tekanan kepada pihaknya.

"Lagi pun ini tidak baik. Kami mahu pencapaian jangka panjang dan sekiranya kami memaksa pelanggan, kami hanya untuk memenuhi sasaran kami, hasilnya akan bertahan untuk jangka pendek.

"Pelanggan kami mungkin menerima apa yang kami beritahu dengan hati yang berat dan hasilnya tak akan lama.

"Jika kami dapat menyakinkan mereka dan mereka ikut kata kami, hasilnya akan lama," katanya.

CEGAH AWAL

Menghisap rokok telah didokumenkan sebagai faktor risiko utama bukan sahaja untuk penyakit jantung atau paru-paru serta pelbagai penyakit lain dan menurut Khoo, kanak-kanak sekolah terutamanya perlu didedahkan dengan maklumat berkenaan.

Tambahnya, yang perlu disasarkan ialah pelajar Tingkatan Satu kerana usaha mendekati mereka kemudian akan menjadi sia-sia kerana merokok sudah menjadi satu tabiat mereka.

"Sekiranya kita dapat mencegah mereka daripada merokok pada usia yang muda, pasti kempen Jangan Merokok akan berjaya.

"Tidak lama dahulu saya berada di luar kawasan sebuah sekolah menengah yang agak terkemuka di Kuala Lumpur. Saya melihat sekumpulan pelajar, semuanya lelaki, murid Tingkatan Tiga. Semuanya berkongsi sekotak rokok.

"Kita mungkin kurang berjaya dalam kempen Jangan Merokok dan Berhenti Merokok sekiranya kita tidak pergi ke sekolah-sekolah dan mendidik mereka," tegasnya.

-- BERNAMA

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian pertama daripada tiga siri

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Lazimnya tabiat ini bermula secara suka-suka. Lihat kawan buat, dia pun mahu mencuba. Kawan merokok, dia pun teringin merokok.

Kalau pun ada yang tidak mahu, pengaruh kuat rakan sebaya akhirnya menjeratnya kepada perangkap rokok.

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai DJ hanya mula merokok ketika dia melangkahkan kaki belajar di menara gading.

"Cuma dua hari sahaja saya merokok kerana saya terlalu teringatkan kata-kata ayah saya supaya jangan sekali-kali merokok," dia memberitahu Bernama.

Ayah DJ, seorang perokok tegar sehinggakan kahaknya bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.



Merokok sehingga 40 batang sehari, ayah DJ pada penghujung usia 60-an menderita serangan sakit ahmar dan paru-parunya turut rosak.



MEROKOK PADA USIA MUDA

Ada juga yang merokok pada awal usia belasan tahun. Kaki baru melangkah ke sekolah menengah rendah, sudah mula suka bau wangi asap rokok.

Lazimnya mereka yang mencuba sekali, meskipun ada yang terbatuk-batuk menyedut asap rokok, tidak akan berhenti dengan hembusan asap rokok yang pertama.

Merokok boleh menyebabkan ketagihan! Menurut laman sesawang "Info Sihat" Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini kerana tembakau dilaporkan mengandungi sejenis bahan penyebab ketagihan dipanggil nikotin.

Nikotin dilaporkan menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh dadah kokain dan heroin!

Terperangkap dengan ketagihan, akhirnya bukan sahaja duit belanja sekolah habis digunakan untuk membeli rokok malah ada juga yang berani ponteng sekolah untuk melepas gian kerana tidak boleh merokok di sekolah.

Tidak cukup dengan wang saku sekolah, ada juga yang mula menjadi pandai mengebas duit ibu bapa sendiri.

Kalau pun tidak bergelumang dengan tabiat buruk mencuri, sesetengahnya mula menipu orang tua meminta wang dengan mencipta pelbagai alasan, asalkan dapat menampung belanja membeli rokok.



TIDAK KISAH

Melepak di kafe siber, warung, perhentian bas atau pusat membeli-belah, anak-anak ini tidak segan silu menghembus asap rokok, sebatang lepas sebatang dalam masih berpakaian seragam sekolah!

Malah tidak kurang juga perokok-perokok ini yang kemudian dilaporkan terlibat dengan jenayah juvana dan penyalahgunaan dadah!

Bekas pesalah juvana, Paul (bukan nama sebenar) mengakui dia menjadi liar dan kerap ponteng sekolah kerana ketagih merokok.

Masalah hidup Paul bermula ketika dia masuk ke sekolah menengah rendah apabila dia terpengaruh dengan ajakan kawan untuk mencuba merokok.

Bermula dengan suka-suka akhirnya ketagih. Itu yang berlaku kepada Paul. Dia mula menjadi malas ke sekolah, melepak dan menipu orang tua sehingga akhirnya terpaksa menghabiskan usia mudanya di penjara atas kesalahan mengedar dadah.

Merengkok di penjara selama lima tahun menjadikan anak muda ini menanam azam untuk memilih jalan hidup yang lurus setelah dibebaskan.



FAKTA PEROKOK

Menurut laman sesawang 'infosihat' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan sekitar 1.15 bilion.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Lebih kurang 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit.

Info Sihat menyebut dalam kalangan remaja di seluruh dunia yang berumur antara 13 dan 15 tahun, dianggarkan seorang daripada lima adalah perokok.

Secara kasar, 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari dan separuh daripada jumlah itu di negara-negara Asia.

Info Sihat turut memetik kajian yang dijalan di Amerika Syarikat mendapati kecenderungan kanak-kanak yang merokok untuk menjadi penagih dadah adalah 13 kali ganda berbanding kanak-kanak yang tidak kerap merokok!



PEROKOK MALAYSIA

Fakta sepintas lalu Info Sihat mengenai senario dan tabiat merokok di Malaysia pula antaranya menunjukkan hampir separuh daripada lelaki Malaysia merokok!

Golongan remaja nampaknya tidak terlepas daripada perangkap merokok di mana setiap hari dilaporkan sekitar 45 hingga 50 remaja bawah umur 18 tahun mula merokok.

Statistik bilangan remaja perempuan yang merokok juga dilaporkan semakin meningkat.

Dua kajian ke atas remaja yang dijalankan, masing-masing pada 2000 dan 2004 menunjukkan bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat dari 4 peratus hingga 8 peratus.

Kajian 2004 menunjukkan secara keseluruhannya hampir seorang daripada lima remaja adalah perokok.

Kes kanser paru-paru dalam negara juga dilapor bertambah dengan kadar 17 peratus setahun dan tabiat merokok juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).

Infosihat menyebut bahawa berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ke-2 yang dijalankan KKM pada 1996, tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang setahun!

Sementara itu, lebih lima juta perokok tegar negara ini dilapor membelanjakan sekitar RM15 juta sehari untuk membeli rokok.

Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkifli Ahmad baru-baru ini dipetik sebagai berkata jumlah itu termasuk mereka yang merokok dari bangku sekolah lagi.

Beliau memberikan fakta itu ketika menyampaikan syarahan umum sempena pelantikannya sebagai profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986.



BANYAK PENYAKIT

Asap rokok yang mungkin tampak seakan-akan berwarna putih sebenarnya tidaklah sebersih sebagaimana yang lazimnya dikaitkan dengan warna putih.

Hakikatnya asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membunuh!

Infosihat memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata tembakau adalah penyebab paling utama kematian di seluruh dunia di mana tabiat merokok dilaporkan boleh membunuh satu bilion orang dalam abad ini.

Menurut infosihat KKM, terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau di mana 2,000 daripadanya adalah toksik dan 63 karsinogenik.

Separuh daripada perokok jangka masa panjang diuar-uarkan akan mati akibat penggunaan tembakau yang antaranya menyebabkan kanser paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik serta penyakit jantung.

Secara puratanya juga, hayat seseorang itu akan menjadi pendek lima minit bagi setiap batang rokok yang dihisap!



Fakta Infosihat turut memaparkan bahawa 30 peratus daripada semua kematian berkaitan kanser berpunca daripada tabiat merokok.

Di samping itu, 90 peratus daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah juga kerana tabiat merokok!



KEMPEN DEMI KEMPEN

Kalau hendak diikutkan bahaya merokok ini sudah lama dibincangkan sehingga mungkin ada yang sudah lali mendengar atau membaca sehingga menjadi anggota masyarakat yang langsung tidak kisah dan tidak peduli!

Kerajaan pula bukan tidak peka dengan gejala serta budaya merokok yang semakin menular dalam kalangan masyakarat negara ini.

Malah bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk menanam sikap benci kepada rokok, umpamanya menerusi Kempen 'Tak Nak Merokok'.

Pelbagai jenis media digunakan. Bermacam jenis strategi juga disusun termasuk memaparkan gambar-gambar yang 'mengerikan' di kotak-kotak rokok yang menunjukkan kesan buruk rokok kepada perokok!

Usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat negara ini supaya memberhentikan tabiat buruk merokok dilapor melibatkan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit!

"Walaupun kerajaan menjalankan kempen antimerokok, namun ia masih gagal membendung tabiat merokok ini.



"Bagaimanapun, saya berharap Kementerian Kesihatan akan meneruskan kempen ini meskipun kesannya yang tidak memberangsangkan," Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu Bernama.



Usaha itu, katanya, perlu diteruskan memandangkan syarikat-syarikat rokok secara agresif menjalankan kempen merokok terutama dalam kalangan golongan remaja.



"Ini dapat dilihat dengan penglibatan syarikat rokok dalam pelbagai pesta yang melibatkan golongan remaja," tambahnya yang juga berharap agar Kementerian Kesihatan terus menguatkuasakan larangan merokok di zon-zon yang ditetapkan.

Sehingga kini sebanyak 21 premis telah dikenal pasti sebagai zon larangan merokok.

Antaranya ialah hospital/klinik, lapangan terbang, lif serta tandas awam, restoran berhawa dingin, pengangkutan awam, premis kerajaan, institut pendidikan, stesen petrol, kafe internet, pusat membeli-belah di samping ruangan pejabat swasta dengan sistem pendingin hawa yang berpusat.



TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Beban menyedarkan rakyat tentang bahaya merokok sewajarnya bukan sahaja digalas kerajaan.

Mohd Yusof berpandangan pelbagai pihak perlu 'turun padang' dengan melaksanakan kempen kesedaran anti merokok.

Fomca sendiri, katanya, pernah mengadakan kempen anti merokok pada tahun 1990-an.

"Meskipun pihak kami tidak lagi mengadakan kempen itu, namun Fomca masih memperkatakan amalan gaya hidup sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan terutama amalan merokok yang memudaratkan kesihatan," jelasnya.



Menurut beliau, pihak sekolah turut berperanan penting dalam membanteras budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah.

"Walaupun pelajar menghisap rokok di luar kawasan sekolah, tindakan disiplin juga perlu dikenakan kepada mereka terutama melalui peranan penguatkuasaan agensi seperti polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Kerajaan juga perlu menghadkan umur mereka yang dibenar merokok agar mereka yang di bawah umur yang ditetapkan itu boleh dikenakan tindakan jika melanggar peraturan," katanya.

Mohd Yusof lalu menasihatkan golongan remaja, terutama yang ingin mencuba, agar tidak meneruskan hasrat itu.

"Selain daripada perbuatan itu membazir, ia boleh menyebabkan masalah ketagihan yang sukar diatasi.

"Hanya mereka yang menghidap penyakit atau mempunyai keazaman yang tinggi sahaja mampu menghilangkan ketagihan," katanya.

-- BERNAMA

Berhenti Merokok - Sukar Tapi Boleh Dilakukan

Adalah mudah untuk menyalakan rokok. Namun adalah sukar untuk menghentikan tabiat buruk itu. Foto oleh BernamaFotoOleh Melati Mohd Ariff

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk!

Pun bagi mereka yang mungkin tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil!

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian dua daripada tiga siri.



KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- "Mana boleh." "Susahlah nak berhenti." "Nanti berat badan naik." Ini antara alasan yang lazim digunakan perokok apabila dinasihatkan berhenti merokok.

Bak pepatah Melayu "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"!

Hakikatnya memang payah berhenti merokok tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pengalaman ini dikongsi beberapa pelanggan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN, Jalan Tun Razak baru-baru ini.

HABIS WANG

Lebih dua tahun berhenti merokok! Ini kejayaan perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Kali yang merokok lebih 45 tahun.

Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an mula merokok ketika berusia 25 tahun.

Pujukan rakan serumahnya untuk mencuba sebatang rokok ketika mereka bercuti ke Port Dickson akhirnya menjadikan dia seorang perokok.

Daripada beberapa batang sehari sehinggalah Kali merokok antara 50 hingga 60 batang rokok sehari sebelum dia mengambil keputusan untuk menghentikan tabiat buruknya itu.

"Mula-mula merokok, harga murah. Harga satu paket rokok 10 batang pada tahun 60an sekitar 30 hingga 40 sen sahaja. Sekarang harga satu paket 20 batang sudah naik jadi RM10," kata Kali yang kematian isteri akibat barah payu dara kira-kira 12 tahun lepas, kepada Bernama.

FAKTOR SUNYI

Kesunyian menjadikan Kali, pesara kerajaan terus merokok sehinggalah dia terasa kesempitan wang. Walaupun dia tinggal dengan anak lelaki dan menantunya, dia tidak mahu meminta wang daripada mereka.

Wang pencennya habis digunakan untuk membeli rokok. Sebulan dia membelanjakan antara RM500 dan RM600 untuk rokok sahaja.

Kesedaran untuk berhenti merokok timbul apabila Kali menyertai program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN dan kemudian menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.

Walaupun tidak menghidap penyakit kronik kecuali batuk yang teruk, Kali sudah bertekad mahu berhenti merokok.

Kali mengaku tempoh awal berhenti merokok bukanlah mudah. Dia menjadi mudah marah dan untuk menghilangkan keinginan merokok, dia makan dan makan sehingga berat badannya naik berlipat kali ganda.

"Kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN banyak tolong saya. Sudah dua tahun lebih tak hisap rokok. Saya sudah boleh kawal diri saya," katanya.

SUSAH TAPI BOLEH

Perokok tegar, Mohamad Lofti, 62, yang mula merokok pada usia 12 tahun memberitahu bahawa ketagihan merokok membuatkan dia tidak lagi puas dengan rokok-rokok biasa.

Dia beralih kepada menghisap paip atau setidak-tidaknya rokok Gudang Garam.

Lofti berkata dia pernah cuba berhenti merokok dua tahun lepas dan mengambil sejenis ubat untuk merawat ketagihan merokoknya.

Dia juga paling bersyukur sebagai orang Islam dia pasti dapat mengawal nafsu merokok.

Bagaimanapun dia yang berjaya mengawal ketagihannya sepanjang bulan puasa terpaksa akur kepada keinginan merokok apabila dia pergi menghadiri jamuan Hari Raya, dua minggu selepas berakhir bulan Ramadan.

"Anak buah semua hulur rokok. Mereka kata saya sudah hisap rokok 40 tahun, nanti saya yang susah," cerita Lofti.

Bulan Ramadan 2011, dia mencuba sekali lagi untuk berhenti merokok dan sehingga pada hari perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok, dia berjaya menahan keinginan merokoknya.

"Bukan senang untuk perokok tegar berhenti merokok. Apatah lagi saya penghisap paip. Semua bapak nikotin ada," katanya sambil diikuti deraian ketawa peserta Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

Menurut Lofti, bulan pertama adalah paling teruk bagi dirinya terutama apabila melihat orang merokok.

"Masa memandu kereta, nampak penunggang motosikal merokok, bawa kereta dekat-dekat nak ambil bau asap rokok. Sampai begitu sekali giannya.

"Ramai orang kata kalau berhenti merokok nanti berat badan naik. Memang berselera makan tapi saya kawal makan.

"Sekarang sudah lima bulan saya berhenti. Bukan mudah, kecuali anda perokok biasa," katanya sambil memberitahu langkah pertama yang diambil ialah menyorokkan paipnya.

PERLU SIFU

"Nak hisap rokok tak perlu sifu tapi kalau nak berhenti kena cari sifu," demikian kata perokok tegar Zulkiflee Mohd Ramlan, 47, yang baru dua bulan berhenti merokok.

Sifu bagi beliau ialah kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN.

Beliau yang mula merokok ketika berusia sekitar 14 tahun, menghisap rokok sehingga 40 batang sehari sebelum ini dan telah beberapa kali mencuba untuk berhenti merokok.

"Tiga tahun saya belajar untuk berhenti merokok. Setiap kali bulan puasa, saya juga cuba berhenti merokok tetapi tidak berjaya.

"Kira-kira dua bulan lepas saya berhenti, itu pun bila saya kena serangan sakit jantung dan kena buat pembedahan pintasan jantung. Doktor berani bedah kerana paru-paru saya ok.

"Cuma doktor kata, saya pesakit paling degil yang pernah dirawatnya. Kenapa? Semasa nak kena bedah, saya dibenar pulang seminggu, doktor kata jangan merokok tapi bila balik ke rumah, saya merokok balik," cerita Zulkiflee kepada Bernama.

Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 27 Sept 2011 di IJN setelah didapati tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

KERANA ANAKM

Tahu keburukan merokok, beliau mempunyai kawasan larangan merokoknya sendiri terutama untuk menjaga kesihatan keluarganya.

Beliau tidak merokok di depan anak atau dalam kereta kerana dia tidak mahu kereta berbau asap rokok.

Zulkiflee nekad berhenti merokok kerana beliau diberitahu peluang untuk berjaya tipis sekiranya beliau perlu lagi membuat pembedahan pintasan jantung.

"Saya ingat anak yang masih kecil, hendak tak nak saya mesti berhenti merokok," katanya

Zulkiflee turut berpendapat pendidikan mencegah anak daripada merokok perlu bermula dari rumah.

"Emak ayah kena main peranan. Dari rumah kena didik tapi kalau dia sudah hisap rokok, sudah lepak dengan kawan-kawan, jadi susah.

"Duit yang kita habiskan untuk beli rokok juga sepatutnya digunakan untuk membeli insurans kesihatan, itu yang terbaik," kata beliau.

TIGA KALI CUBA

Perokok tegar, M.Arumugam yang telah merokok selama 47 tahun, memberitahu Sesi Sokongan Berhenti Merokok IJN bahawa beliau baharu berhenti merokok tiga hari.

Beliau berhenti merokok apabila diserang sakit jantung pada 1994 tetapi kemudian merokok semula kerana tekanan kerja.

Pada 2000, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN kerana tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

"Enam hari saya di Unit Rawatan Intensif (ICU). Doktor kata urat darah saya macam paip berkarat, nak sambung pun susah. Pembedahan pintasan jantung mengambil masa empat jam," kata Arumugam.

Selepas pembedahan itu, beliau sekali lagi berhenti merokok tetapi hanya bertahan selama tiga bulan.

Ternyata cubaan berhenti merokok tanpa sebarang rawatan dan kaunseling adalah tidak berhasil bagi Arumugam.

Sekarang, beliau cuba sekali lagi berhenti kerana masaalah gastrik dan doktor memberitahunya penyakit itu boleh baik jika beliau berhenti merokok.

"Doktor saya juga memberitahu saya supaya mendapatkan khidmat kaunseling di Klinik Berhenti Merokok IJN," katanya.

Beliau mula dengan mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara berperingkat.

Daripada 20 batang, ia berkurangan sehingga paling rendah, enam batang rokok sehari.

Menurut Arumugam, beliau kemudian membuat keputusan untuk berhenti langsung merokok selepas pulang daripada menghadiri sebuah parti dengan kawan-kawan.

"Saya tak tahu apa yang membuatkan saya memberhentikan kereta dan buang kotak yang mengandungi rokok serta pemetik api ke dalam longkang," katanya.

JAUHI PEROKOK

Hari pertama berhenti merokok, Arumugam sudah merasa keperitannya. Bila bangun pagi, beliau teringin sangat hendak merokok.

Apa yang dilakukannya?

"Saya buat-buat sibuk. Saya bawa anjing saya berjalan-jalan dan saya juga banyak berjalan.

"Sebab saya baru berhenti merokok, saya juga tidak menghampiri mereka yang merokok sehingga saya boleh menahan diri daripada ingin merokok bila melihat orang merokok," kata Arumugam.

Keputusan beliau berhenti merokok turut mendapat sokongan jirannya, seorang anak muda yang juga perokok tegar.

"Saya beritahu dia jika dia hendak merokok jangan merokok di luar rumah di mana saya boleh nampak dia merokok.

"Anak muda itu beritahu saya dia akan menolong saya dan tidak akan merokok di luar rumah," katanya.

KURANGKAN ROKOK

Bagi Low Sam Guan, 62, beliau masih dalam proses untuk berhenti merokok.

Setakat ini beliau hanya mengurangkan bilangan rokok yang dihisap, secara perlahan-lahan sehinggalah sekarang beliau mengambil sekitar enam batang sahaja.

Mula menghisap rokok semasa berusia 17 tahun, Low sebelum ini menghisap rokok antara 40 dan 60 batang sehari.

Jika dulu beliau membeli berpaket rokok dan menghabiskan sehingga RM600 sebulan, sekarang beliau hanya membeli sebatang-sebatang sahaja.

Beliau perlu menjalani pembedahan kerana tiga saluran besar darah ke jantungnya tersumbat dan beliau berdepan dengan risiko serangan jantung yang teruk.

"Doktor tak nak bedah sebab paru-paru saya lemah," kata Low yang ditemani anak lelakinya hadir pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

"Anak lelaki saya tidak merokok dan dia banyak beri sokongan kepada saya untuk berhenti merokok," tambahnya, sesekali beliau terbatuk. Suaranya juga menjadi garau kerana batuk yang kuat.

Low memberitahu bahawa beliau akan terus cuba mengurangkan bilangan rokok yang diambil supaya paru-parunya menjadi kuat.

Lagi pun sekarang, katanya setelah mengambil ubat untuk merawat ketagihannya, bau rokok sudah menjadi 'tidak sedap'.

Low mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk betul-betul bebas rokok tetapi sekurang-kurangnya beliau sudah mengambil langkah pertama dengan mengurangkan bilangan rokok yang dihisapnya.

Kesungguhan itu juga terbukti dengan mengikuti program Klinik Berhenti Merokok IJN dan hadir di Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan setiap dua bulan sekali.

Bagaimana pula dengan anda di luar sana yang masih tegar merokok?

Apakah anda mampu melakukan seperti yang dilakukan Kali, Lofti, Zulkiflee dan Arumugam?

Atau setidak-tidaknya seperti Low.

Anda mungkin beranggapan anda tidak mampu melakukannya tetapi orang tua-tua ada berpesan "Di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan!"

-- BERNAMA