Followers

Carian dalam Blog ini

17 August 2014

Tangani masalah tujuh kelompok baharu di bandar


Sabtu, 16 Ogos 2014 @ 10:01 PM Oleh Shaharudin Idrus

Kedinamikan sosial kesan proses dan ledakan globalisasi serta 'googlelisasi' yang berlaku memungkinkan wujudnya kelompok baharu dikenali precariat atau kelompok yang mudah terancam, terutama dari segi ekonomi dan sosial untuk meneruskan hidup khususnya di kawasan bandar dengan tekanan dan bebanan kos hidup yang tinggi.

Ada sekurang-kurangnya tujuh kelompok precariat yang jika tidak difahami dan ditangani dengan sebaik-baiknya akan mengancam kestabilan ekonomi, sosial dan politik negara. Mereka ialah kelompok terpelajar lepasan universiti yang tidak mempunyai atau mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian. Jumlah mereka agak tinggi.

Kelompok ini akan mencari pekerjaan bersesuaian bidang dan kelayakan dimiliki. Ada majikan tidak mampu membayar gaji mengikut kelayakan akademik mereka. Ada juga amat memilih pekerjaan supaya hampir dengan bidang akademik dipelajari. Justeru, jumlah ini akan meningkat saban tahun dengan ribuan graduan baharu.

Ibu tunggal
Kelompok kedua ialah ibu tunggal yang hilang tempat bergantung sama ada bercerai hidup mahupun bercerai mati. Jika diperhatikan kadar perceraian di negara ini agak tinggi terutama dalam kalangan orang muda yang berkahwin berpunca daripada pelbagai faktor.

Jumlah wanita bercerai adalah lebih 90 ribu, manakala jumlah lelaki lebih daripada 30 ribu. Bagi wanita berumur 25-54 tahun adalah 65,025 iaitu kira-kira 71.7 peratus. Natijahnya, ibu tunggal ini terpaksa menampung kehidupan dan menyara anak yang masih kecil serta bersekolah dengan bekerja di sektor tertentu. Keadaan ini akan bertambah parah terutama bagi ibu tunggal berpendidikan rendah dan berpendapatan kecil. Jika ketika masih bersama suami pun hanya cukup makan dan keperluan seharian, apatah lagi selepas berpisah.

Kelompok selanjutnya ialah pendatang asing (bertaraf sah dan tidak sah) yang mencari rezeki di sini. Ada sesetengahnya selepas kontrak tidak disambung lagi, tetapi masih tidak mahu pulang dengan harapan mendapat kerja dengan majikan lain. Justeru, dalam tempoh mencari pekerjaan baharu itu, mereka tidak mampu menampung kehidupan.

Satu kelompok lagi ialah mangsa pemerdagangan manusia. Kumpulan ini akan bertindak balas akibat dari tekanan dihadapi ketika diri mereka diperdagangkan. Kelompok ini menjadi bahan dagangan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan keuntungan mudah yang berlipat kali ganda. Jumlah kelompok ini sukar ditentukan memandangkan kegiatan pemerdagangan ini berlaku secara sembunyi. Biasanya kelompok ini juga akan terbabit dengan kegiatan seperti pelacuran dan penagihan dadah.

Warga tua
Kelompok kelima ialah warga tua yang tidak mempunyai pendapatan atau pencen tetap. Malaysia akan mengalami jumlah penduduk tua yang semakin meningkat daripada jumlah penduduk negara menjelang tahun 2021 apabila penduduk tua mencapai 7.1 peratus dan pada tahun 2030 diunjurkan penduduk warga tua ini meningkat kepada 9.7 peratus daripada keseluruhan penduduk negara pada masa itu. Kelompok ini memerlukan kemudahan fizikal dan mental berbeza kerana faktor umur. Kemudahan tempat tinggal, kemudahan penjagaan kesihatan, keperluan pakaian pakai buang yang diperlukan untuk meneruskan sisa usia.

Kumpulan keenam ialah pelarian UNCHR yang tidak diketahui negara asal mereka disebabkan ketiadaan dokumen sah menyatakan negara asal. Mereka berada di lokasi tertentu untuk meminta derma dengan membawa sijil yang tiada kesahihan. Ada kumpulan tidak bertanggungjawab mengeksploitasi mereka untuk mengaut keuntungan mudah dan akhirnya terjebak dalam masalah sosial lain pula.

Kumpulan terakhir ialah gelandangan yang merempat di tepi jalan dan tinggal di bawah jambatan. Kelompok ini tiada tempat tinggal tetap, tidak mempunyai kerja dan pendapatan tetap atau disingkirkan keluarga sendiri. Kelompok ini dilihat mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya dari pihak kerajaan.
Kewajaran memahami tujuh kelompok ini amat diharapkan daripada pelbagai pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk bersama-sama bertindak menangani isu sosial dibawa mereka dengan pendekatan berbeza.

Penulis ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia)

09 August 2014