Followers

Carian dalam Blog ini

30 December 2015

Ubat MLM, Dr Google & Dr Facebook


Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.

Ada ijazah pun dah tak berguna.
Kerana zaman dah berubah.
Ramai yang mencari doktor di FB.
Ramai yang jadi Dr Google dan Dr FB.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.

Hanya diperlukan bila nak MC.
Nasihat tak pernah didengar.
Ubatan tak dimakan ikut peraturan.
Malah yang langsung tak makan ubat pun ada.
Takut nanti rosakkan buah pinggang.

Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.

Sekarang wujud ubat2 ajaib dan ubat2 super.
Satu ubat untuk semua jenis penyakit.
Telan satu pil.
Semua penyakit boleh sembuh.
Ada ubat yang boleh merawat sistem badan.
Membetulkan mana2 yang rosak.
Membetulkan hingga sampai ke saraf tunjang.
Sel2 badan boleh ditukar menjadi seperti baru.
Seperti bayi baru dilahirkan.
Semua penyakit boleh hilang dari badan.
Darah tinggi boleh normal.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.

Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.

Belajar ilmu perubatan 5 tahun dah tak berguna.
Sebab ilmu yang aku belajar,
sangat berbeza dengan ilmu perubatan sekarang.
Ilmu fisiologi dah tak betul.
Ilmu biokimia pun dah tak betul.
Ilmu farmakologi dah tak betul.
Ilmu patologi pun dah boleh buang ke longkang.
Ada garam bukit penawar semua penyakit.
Ada daun2 kering penawar semua penyakit.
Ada jus buah2an penawar semua penyakit.
Ada kopi penawar semua penyakit.
Ada juga mesin boleh buang toksin.
Ada juga air rendam kaki untuk buang racun.
Yang sakit jadi sihat.
Yang tua menjadi muda.
Dah tak payah pergi klinik.
Dah tak payah pergi hospital.
Dah tak payah jumpa doktor.
Minum aje ubat2 ajaib.
Telan aje pil2 kesihatan.
Duduk aje atas kerusi elektrik.
Rendam aje kaki dalam air.
Semua penyakit boleh hilang.
Itulah kehebatan ubat2 sekarang.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.

Pesakit2 sekarang lebih pandai daripada doktor.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan kawan2.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan ubat2 ajaib.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan rawatan alternatif.
Pesakit2 sekarang lebih takut dengan ubat2 moden.
Ubat2 moden merosakkan buah pinggang.
Ubat2 moden tak boleh merawat kanser.
Ubat2 moden tidak menyembuhkan.
Ubat2 moden sekadar mengawal.
Imunisasi itu ciptaan Israel.
Imunisasi penyebab Autism.
Lebih baik makan ubat2 ajaib.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Asthma boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.

Aku dah bosan memberi nasihat.
Aku dah bosan memberi penerangan.
Aku dah bosan menyuruh pesakit datang follow up.
Stok ubat sebulan boleh tahan sampai berbulan2.
Ubatan diberi sekadar jadi pameran.
Ramai pesakit2 aku yang degil2.
Paras gula naik sebab buatan orang.
Kena stroke sebab gangguan jin.
Berat badan susut sebab ada orang dengki.
Kena kanser pun sebab buatan orang?
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Kerana zaman dah semakin berubah.
Doktor dah semakin tak relevan.
Penyakit boleh digoogle di internet.
Kawan2 penasihat dah ramai di FB.
Ubat2 boleh dibeli difarmasi.
Ubat2 juga boleh dibeli online.
MC pun sekarang boleh dibeli online.

Aku tak faham.
Terutama dengan ubat2 MLM.
Terutama dengan agen2 MLM.
Kenapa mudah sangat percaya,
satu ubat yang boleh menyembuh segalanya.
Dengan modal testimoni beberapa orang,
habis dijajanya ubat2 mereka satu dunia.
Yang tua dipujuk untuk membelinya.
Yang muda diajak menjadi downlinenya.
Malah doktor juga cuba dikelentongnya.
Dulu pernah ada lampu ajaib berharga 5 ribu.
Yang boleh membersihkan udara.
Membunuh segala jenis kuman dan kekotoran.
Dulu pernah ada sebuku sabun berharga 150 ringgit .
Yang boleh menjadikan awet muda.
Dulu pernah ada tuala wanita.
Yang diperbuat daripada herba2.
Boleh menyerap racun dan mencegah kanser.
Juga boleh letak didahi jika demam.
Juga boleh diletak dilutut jika terkehel.

Dan ini yang terbaru.
Hablur garam dan gula.
Ada pesakit ajak aku join mereka.
Berminggu2 aku study dan google.
Ubat yang boleh bertindak hingga ke saraf tunjang?
Biar betul?
Kalaulah betul ubat ini wujud,
doktor dah tak payah kerja susah2.
Tutup sahaja semua klinik dan hospital.
Semua orang akan jadi sihat.
Tiada penyakit didunia ini.

Sebenarnya aku kasihan dengan mereka.
Sama ada yang menjual atau membelinya.
Mereka mudah sangat percaya.
Kepada benda2 karut.
Kesihatan diri diperjudikan.
Wang ringgit sanggup dihabiskan.
Tidakkah mereka tahu,
Ubat-ubat moden perlu 15-20 tahun untuk dipasarkan?
Perlu ada clinical trial.
Perlu ada kajian saintifik.
Bukan setakat testimoni beberapa pak sanggup.
Bukan setakat cakap2 sesedap mulut.
Bukan setakat menggunakan istilah saintifik tanpa logik.

Aku dah bosan menjadi doktor bertauliah.

Aku dah nak bersara.
Aku dah nak balik kampung.
Membuka ladang kangkung.
Selamat tinggal.


Puisi Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah
Professor ni Fellow of ASM, Pakar Bedah Otak (Neurosurgeon) di HUSM, K. Bharu ... 😏😏😏😏

28 June 2015

‪#‎Bukaminda81‬

Selalu kita dengar isu ketiadaan bekalan air. Minggu lepas ada keluhan penduduk di Semenyih. Hari ni keluhan penduduk di Kelantan. Mungkin banyak lagi tempat yang bermasalah tetapi tak dihebahkan.

Negara kita yang mendapat curahan hujan sepanjang tahun sepatutnya tidak menghadapi masalah bekalan air. Betapa sukarnya urusan harian apabila tiada bekalan air yang mencukupi.

Masyarakat sering dididik agar merancang.
Bagaimana pula dengan kerajaan?

Jelas dalam isu air menunjukkan kepada kita kerajaan/pihak yang menguruskan bekalan air gagal merancang sebaik mungkin bagi menangi permasalahan air yang terus berlarutan.
Tadbir urus yang lemah.

CNM

‪#‎Bukaminda80‬


Di US telah diluluskan perkahwinan sama jenis oleh mahkamah. Maka bertepuk tanganlah golongan yang sesat ini.
Telah tiba masanya proses perlantikan hakim mahkamah dibuat dengan penuh ketelitian oleh YDPA. Silap lantik ada pula hakim di negara ini yang meluluskan permohonan perkahwinan sejenis.
Semoga negara kita dilindungi dari segala malapetaka.
CNM

#‎Bukaminda79‬


Apa itu fatwa?
Siapa yang keluarkan fatwa?
Mengapa dikeluarkan fatwa?
Rasa cikgu ramai di luar sana bijak pandai yang tinggi ilmu pengajiannya dan cukup arif untuk memahami tiga persoalan di atas.
Namun yang sedihnya kenapa umat Islam tidak akur dengar fatwa. Malah seakan memperlekehkan fatwa yang dikeluarkan.
Moga kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi.
CNM

‪#‎Bukaminda78‬


Khabarnya nilai ringgit jatuh lagi. Barangkali sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengubah gaya hidup.
Cikgu berpendapat bagus juga idea tutup premis yang berniaga hingga larut malam. Telah dijadikan malam itu untuk manusia berehat, bukan untuk mencari makan sampai awal pagi.
Lagi satu banyak premis yang dikendalikan oleh orang asing. Jadi begitu banyak wang negara mengalir ke luar.
Minum ajelah di rumah kerana minuman yang dibancuh dengan penuh kasih sayang oleh isteri jauh lebih sedap dari bancuhan mamak.
CNM

‪#‎Bukaminda77‬

Tahniah!
Kepada pasukan B13 Malaysia kendalian LTK.
Budak-budak dalam jiwa mereka sangat tinggi semangat bermain untuk menang. Sebab itu mereka boleh menang.
Bagi team senior berdasarkan pengalaman pernah bermain bolasepak terdapat unsur-unsur tidak sihat yang merencat semangat berpasukan bagi muncul juara. Dengan kata lain ada pemain yang tidak memberi persembahan 100 peratus, sekadar melengkapkan perlawanan sahaja. Malang, kerana situasi sebeginilah yang membunuh semangat juang berpasukan.
Coach kena berlapang dada mengenalpati pemain yang benar-benar ingin menaikkan nama negara, bukan sekadar mengejar glamor.
CNM

‪#‎Bukaminda76‬


Tadi ke Jakel Shah Alam, carikan baju Melayu Aaron Aziz buat Nik Zharif Aimran - OurSpecialHero. Mak ai! Ramainya umat membeli belah bagai tak terkesan pon dengan GST. Ingat ada la.. 4-5 orang je yang 'nyoping'.
Sebenarnya ramai umat Malaysia yang suka membuat kebajikan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dengan membayar kepada kerajaan.
"Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah"

27 June 2015

#‎Bukaminda75‬

Di sekolah makan minum ditetapkan di kantin sekolah.
Atas alasan apa pun (termasuk gurauan) mengarahkan/meminta pelajar minum di tandas adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam institusi pendidikan.
Murid-murid bukan Islam berhak untuk makan/minum di kantin sekolah. Jangan jadikan alasan bulan Ramadan untuk menafikan hak mereka.
Cuba kamu diminta minum di tandas!
CNM

‪#‎Bukaminda74‬

Di Malaysia kehilangan dah menjadi perkara biasa. Padang-padang bola sepak yang hijau telah begitu banyak hilang, ditelan arus pembangunan.
Tak berapa lama dulu kapal terbang yang saiznya kalau nak mendarat tak mampu mendarat atas padang bola sepak pun hilang.
Terbaru kapal tangki yang saiznya lebih kurang padang bola sepak pun hilang. Agaknya apakah makhluk yang menelan?

#Bukaminda73

#Bukaminda73

Kata bang Tuah "... takkan Melayu hilang di dunia."

Ya bang tuah, Melayu mungkin tak hilang tapi kuasanya kian lebur bersama ketua yang keras keng.

CNM

‪#‎Bukaminda72‬

Wajarkah berasa takut dalam rumah sendiri?
Ada apa-apa barang salah tersembunyi?
CNM

‪#‎Bukaminda71‬


Di sekeliling pemimpin ramai yang setia untuk memihak.
Di bawah pemimpin ramai yang sengaja dipijak-pijak.
CNM

‪#‎Bukaminda70‬

Kata orang tua "buat baik berpada-pada".
Baik tok!
CNM

‪#‎Bukaminda69‬

Cikgu nak ucap tahniah kepada coach Fandi yang cukup berani dan yakin dengan pemain-pemain mudanya. Setengah coach tak yakin dengan pemain muda, balik-balik perasap kuda tua. Kudrat dah tak seberapa. Cikgu dah kata main tu rapat-rapat. Orang muda tak boleh bagi ruang. Tak sir dengar coach ni he he he.Set-set klate tu balik berlatih lagi la.
Semagat hanume
main lebih kure
mano nak mene
piala diambik ore
cuba lagi tahun depe.
CNM

‪#‎Bukaminda68‬

Main bola ni macam berperang. Perlukan strategi. Nak kena kaji apa kelemahan lawan, apa kekuatan team sendiri, apa peluang yang ada, apa halangan semasa baru boleh buat percaturan.
Nah! Kalau lihat rekod Fandi Ahmad dia ni memang banyak pengalaman bermain dan rekod menjaringnya tak kurang hebat. Itu zaman dulu-dulu. Nampaknya kehebatan itu cuba diteruskan dalam membimbing pemain muda. Berjayakah dia?
Azraai Khor tak kurang hebat mencatur. Melatih team tersohor.
Kita tunggu dan lihat siapa lagi hebat melakar taktikal. Yang tersilap atur akan menggelupur. Piala berkubur.

#‎Bukaminda67‬

Cikgu perhati tengok perkembangan M dan N nampaknya belum reda, masing-masing ada agenda. Kita tengoklah siapa yang lebih menyala.
Hari ni cikgu nak cakap pasal K dan L. Atas kertas tu nampak macam K banyak pengalaman. L ni budak baru nak naik. Apapun percaturan atas padang yang menentukan. Rekod lalu hanya asas kepada jangkaan, tak siapa tahu yang bakal tiba.
Kepada peminat K dan L berhemahlah. Adat bermain ada kalah menang.
Kalau kalah cuba lagi tahun depan.

‪#‎Bukaminda66‬

Cikgu nak sambung sikit pasal cerita M dan N ni. Semua tahu, semua maklum M dan N ni dalam satu keluarga abjad. Kira adik beradik. Kalau adik beradik tu orang tua cakap buat cara adik beradik. Jangan sampai orang luar terhidu, siapa yang malu. Keluarga abjad juga malu.
M jangan ingat O, P, Q, R, S duduk diam aje N tu abang long depa.

‪#‎Bukaminda65‬

Cikgu dah lama gantung kasut bola. Dulu ligat juga merembat. Alah! kalau Badri Radzi kapten Klate tu menjaring dari sudut, cikgu pon pernah menjaring dari tendangan sudut. Boleh kata ada "kelas" juga la.
Yang cikgu nak perkata ialah sikap penonton ni. Kalau pun pengadil silap, tak usahlah sampai bakar stadium. Kata stadium bina guna duit rakyat. Hah! Tak ke "mung" bakar duit sendiri.
Biarlah persatuan yang buat bantahan dan pihak yang berkenaan mengambil tindakan.
Ni final ni, bagi tiket free pun cikgu tak pi stadium. Demo kaji dan fikir sendirilah bakpo?

‪#‎Bukaminda64‬

GST - dikutip/diterima
BRIM - memberi/mengagih
Semua tahu memberi lebih baik daripada menerima.
Dalam isu GST rakyat lebih baik daripada kerajaan.

‪#‎BukaMinda63‬


Cuba kamu bilang ABC. M dengan N mana dulu?
Jadinya hormati M. Dia makan asam garam lebih dulu daripada kamu.
N belajar respek M.
Budak tadika pun pandai bilang!

‪#‎Bukaminda62‬

‪Aku ada seorang sahabat yang akan bersara 2 minggu lagi. Sahabat yang belum pun 60 tahun memilih untuk bersara. Hari ini, dia menyanyi-nyanyi harinya boleh dibilang dengan jari. Begitu ceria sekali hendak meninggalkan dunia pendidikan.
Anda fikir kenapa?
Khabarnya ramai guru mula memilih untuk bersara awal.
Sekali lagi, anda fikir kenapa?
Bidang ini tidak menyeronokan lagi kah?

‪#‎Bukaminda61‬

Sempena hari guru tahun ini yang bakal diraikan.
Aku juga punya harapan.
Ya harapan untuk mendengar bahawa tugas utama guru di bilik darjah dikembalikan.
Segala macam sistem online yang memeningkan guru perlu dikaji semula.
Apa guna ada sistem yang bertimbun jika tidak membantu ke arah meningkatkan pencapaian murid.
Berikan kami jaminan bahawa tugas cikgu hanya perlu fokus di bilik darjah bukan hal-hal lain yang mencuri masa guru.
Mampukan menteri pendidikan mengukir senyuman di bibir guru-guru?

‪#‎bukaminda60‬

Kata pemimpin GST untuk masa depan negara.
Dalam negara bukankah ada rakyat?
Apa pula perancangan mengurangkan bebanan rakyat?
Masa depan rakyat yang sejahtera terjaminkah dengan GST?
Conggak hitung kira tolak campur darab bahagi rakyat juga yang terbeban!
CNM

‪#‎bukaminda59‬

Bab naik gaji semua tersengih. Yang perit rakyat yang tak makan gaji. Khabarnya ahli parlimen telah sebulat suara menerima kenaikan gaji 96%.
Hais! Kalau bab naik gaji tak ada pula yang melatah tak setuju.
Jadinya kalau hal penuhkan poket sendiri dua kali lima saja.
Wakil rakyat ni berjuang untuk rakyat atau berjuang untuk sendiri punya hayat?
CNM

‪#‎bukaminda58‬

Telefon pintar!
Gajet terkini di tangan.
Bahana maklumat di hujung jari.
Ada yang jatuh longkang.
Ada yang anak terkorban.
Ada yang bergaduh sakan.
Ada yang memandu sambil menekan.
Macam-macam.
Kenapa letak diri dalam risiko kemalangan?
Teknologi tidak salah.
Gagal kawal diri itu salah.
Pokok pangkalnya guna teknologi secara berhemah.
"Lu fikir la sendiri".
CNM, 11/4/15.

#‎bukaminda57‬

Anak-anak sering diperdengarkan dengan kata-kata "bertelagah tidak menyelesaikan masalah. Menambah lagi kekusutan dan segala macam kekalutkan boleh berlaku".
Kepada pemimpin dan bekas pemimpin, lihat saja orang dulu-dulu. Selesaikan masalah dengan penjajah tanpa tumpah darah. Jadi apa salahnya selesaikan isu negara dengan cara adik-beradik.
Masalah tak selesai. Hati rakyat bercerai-berai.
Itu yang kamu mahu wariskan?
Atau capai wawasan dengan rakyat didahulukan?
Mentadbir bukan sekadar perlu bijak, ia perlu hadir dengan pakej tinggi sifat kemanusiaan.
CNM, 10/4/15

#‎bukaminda56‬

Kebolehpercayaan yang diraih jangan sesekali digadai dengan menyerah seluruh kepercayaan. Sesekali semak apa yang terjadi. Sesekali ambil peduli. Dengar keluhan dengan mata hati. Bijaksanalah membuat keputusan. Sekali kebolehpercayaan tergadai berzaman untuk menampung ketirisan. Jangan terlalu selesa dengan bisik-bisik yang enak kerana yang enak di telinga belum tentu molek di dada.
CNM

‪#‎bukaminda55‬

‪#‎bukaminda55‬
Integriti
adalah soal hati
keikhlasan dalam semua segi
dalam usaha mencari reda Ilahi
tanggungjawab kepada diri
tanggungjawab kepada organisasi
perlu melebihi kepentingan peribadi
sering utamakan tugas hakiki
mendahulukan tugas rasmi
melunas arahan diberi
tanpa sekelumit sunggutan di hati
amanah jujur ciri tertinggi
kepentingan umum didahului
kerana integriti cerminan maruah diri.
CNM

‪#‎Bukaminda54‬

Asas ilmu
bermula daripada ayah dan ibu
jadi contoh kepada anak-anak meniru
guru yang memperteguhkan penguasaan ilmu
ramai yang menyerah bulat-bulat kepada cikgu
sedang itu tanggungjawab ayah dan ibu
pemantauan anak-anak harus waktu ke waktu
pastikan betul tingkah laku
sebelum jadi haru biru
berikan cukup waktu
membentuk jati diri padu.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda53‬

GST!
Ulasan di TV banyak aduan penipuan berlaku. Jika telah jelas GST ini menyebabkan rakyat atas bawah kiri kanan akan jadi mangsa maka pelaksanaan GST tidak banyak membawa kelebihan kepada pengguna.
Yang jelas rakyat sering jadi mangsa.
Kenapa rakyat dijadikan mangsa?
Relevan lagikah slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?
CNM

‪#‎bukaminda52

Esok GST mari. Harga rokok mungkin naik lagi. Poster ni memberi amaran hilang nikmat kelelakian.
Apakata berhenti beli rokok. Beli ais krim potong pula.
Jaga pucuk nanti tak berbuah.
CNM

‪#‎bukaminda51‬

‪#‎bukaminda51‬
Kurus! Slim! He, he menjadi idaman Wanita Malaya terakhir. Macam-macam kaedah diet yang keterlaluan diamalkan untuk kelihatan cantik kononnya.
Sedarilah duhai wanita di luar sana, cantik itu subjektif. Pandangan mata manusia berbeza-beza. Tak semestinya kurus itu cantik bagi sesetengah orang.
Kenapa perlu menyeksa diri dengan menafikan pengambilan makanan tertentu?
Bagi saya adalah lebih baik mengambil makanan dengan KUANTITI YANG BETUL berbanding tidak mengambil langsung makan yang dianggap mengemukkan.
Jangan menafikan nikmat makan yang dikurniakan-Nya.
Syukurlah dengan apa yang kita miliki.
CNM

‪#‎bukaminda50‬

Islam mengajurkan pembelajaran sepanjang hayat,
menuntut ilmu wajib bagi muslimin muslimat,
jadinya perbetulkan niat,
cari ilmu bermanfaat,
dari timur ke barat,
tak siapa nak memperdebat;
dengan ilmu orang jadi hebat,
dengan ilmu kita dihormat,
dengan ilmu insan tinggi darjat,
dengan ilmu negara bermartabat,
moga selamat dunia dan akhirat.
CNM

#‎bukaminda49‬


Syurga itu milik Allah. Dia yang akan menentukan siapa yang dapat masuk ke dalam syurga-Nya.
Khatib jumaat tadi berpesan peliharalah adab kepada Allah. Bila di rumah Allah hentikan mengguna gadjet/berbual/tidur. Bersegeralah ke masjid apabila dilaungkan azan. Tinggalkan jual beli, makan minum dan hal-hal keduniaan.
Ketika berdoa, angkatlah tangan mohon dengan bersungguh-sungguh bukan sambil lewa.
Syurga itu tempat orang yang berakhlak penuh adab.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda48‬

...berlapang dada, buka minda, rasionalkan cara, utamakan yang utama, tinggalkan yang tak memberi makna, umpamanya, usah sibuk dengan hal-hal yang tidak membahagia, adalah lebih baik memikirkan hal yang dicita, rancang bagaimana menggapainya, atur strategi cakna, bertindak dengan bijaksana, tentu berjaya, ingatlah di sana belum tentu bahagia, tepuk dada tanya selera...
CNM

‪#‎bukaminda47‬

Pernahkah kamu rasa? Seperti tidak ingin jadi diri kamu, kenapa? Kecewa dengan jiwa? Dah tak sanggup nak kembara? Ahh! Lekas sangat putus asa.
Ambil maklum kejayaan setia menanti, tak pernah mengecewa dan akan ditunggunya hingga tua. Tinggal lagi kita tentukan jalan ketemu dia.
Sabar ya, tak ada apa-apa. Bolehnya!
CNM

‪#‎bukaminda46‬

semalam, hari ini dan esok
...sepahit mana, pun semanis mana yang semalam itu, jadikan guru yang mengajar, untuk jadi lebih matang dalam kehidupan, buat menempuh hari ini dengan tenang dan sabar, menempatkan diri ke landasan terbaik, demi kemenjadian mencapai kebahagiaan, dan kemampuan menduga yang bakal ditempuh esok lusa, adalah persediaan berasas pengalaman yang telah mendewasakan...
buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda45‬

Hiba ...adakalanya amat terasa di lubuk hati yang paling dalam, ...setelah keringat pasrah mengering, meninggalkan kulit reda berkedutan dimamah bahang mentari yang tersenyum sinis, ...hiba adakalanya menyuburkan rasa putus asa, ...hati jadi lemah, selemah-lemahnya.
Terasa seakan mahu menghulurkan nyawa, biar malaikat maut mengetusnya ke alam abadi, mahu mati saja, ... namun perjalanan hidup ini tidak sepertinya angin yang berlalu, ...bahawa kematian belum menamatkan kemelut, ...kematian adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang tiada akhirnya, bersediakah?
...hiba hanya datang menguji.
CNM

‪#‎bukaminda44‬

Adakala, kita rela dalam terpaksa. Tiada daya. Tiada upaya. Yang ada cuma menerima ketetapan, menahan sebak di dada, menyeka air mata, memujuk jiwa terima dengan hati terbuka.
Takdir. Ya itulah takdir namanya, pada ketika tiada lagi cara untuk berbuat apa-apa bagi mengubah perkara yang tiba.
Yang mampu reda, pasrah dan berdoa.
CNM

#‎bukaminda43‬

Merotan: Mendidik atau mendera?
Fuh! Tajuk panas ni. Kalau ikut akta pendidikan sedia ada merotan dibenarkan untuk tujuan mendidik. Ibu bapa kena faham merotan itu adalah pilihan terakhir setelah proses menasihat dan kaunseling gagal menyedarkan anak-anak tentang salah laku mereka.
Cikgu dulu pun kena rotan dek kerana tak siap kerja rumah ketika demam. Guru cikgu rotan kat kepala lagi. Agaknya berkat dirotanlah cikgu berjaya ke menara gading.
Terima kasih guruku.
Buka minda.
CNM.

#‎bukaminda42‬

Isu parking!
Isu jiran tetangga!
Adoi! Zaman moden ni dah biasa satu rumah ada lebih dari dua kereta. Jadi usahlah sesuka hati parking depan rumah jiran. Ambil kira kesusahan mereka keluar masuk. Ambil kira tetamu mereka yang datang.
Cikgu tak suka parking depan rumah jiran. Orang je suka-suki parking depan rumah cikgu. Kena ingat tak semua orang cekap bila mengundurkan kenderaan.
Ingat lagi seorang rakan setugas wanita hanya tahu bawa ke depan sahaja.
Adoi! Sebelum parking buat timbang tara. Jangan susahkan jiran tetangga.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda41‬

Setiap orang latar pendidikannya mungkin berbeza. Berbeza pandangan dan pendapat itu perkara biasa. Namun jangan jadikan tiket untuk bermusuhan sesama sendiri. Kita boleh saja berlapang dada selagi tak bercanggah dengan syariat-Nya.
Jangan hanya kerana rasa kita betul, kita tolak idea, pandangan, pendapat orang lain mentah-mentah. Itu dah kena diperbetul.
Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.
CNM.

‪#‎bukaminda40‬

Dari ceruk mana pun asal kita. Usah terlalu rendah diri. Kepakaran, kebolehan dan kepandaian itu boleh dicari, diasah dan disempurnakan.
Orang tak pandang dari mana kita datang, orang lihat apa yang kita mampu sumbangkan untuk bangsa, negara dan agama.
Buka minda.
CNM

#‎bukaminda39‬

Tolak hudud! Hina hukum Allah!
Tak perlu nak ancam bunuh bagai. Kita doakan saja moga terbuka pintu hati mereka. Akan datang utusan-Nya nanti jemput menghadap.
Nak orang jaga perkataan, kita pun kena jaga tutur kita.
Orang terima hudud dengan orang tak terima hudud sama saja kena jaga percakapan dan perbuatan.
CNM

‪#‎bukaminda38‬

Masyarakat kebanyakan sering menilai sesuatu berdasarkan pandangan luaran. Natijahnya berlaku salah anggapan dan ketidaktepatan maklumat diberikan. Selidik dahulu dan kenali sesuatu sebelum mengeluarkan kenyataan untuk mengelak kesilapan.
Jangan pandang buruk pada awan hitam kerana ia menitiskan air yang jernih.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda37‬

Mulut terkumat-kamit. Kalau ya kata ya, kalau tidak katakan tidak. Usah cakap belakang. Lebih baik terus terang. Senang nak buat keputusan.
Permudahkan urusan. Jangan biar orang tertanya-tanya menanti kepastian.
Bukan minda.
CNM.

#‎bukaminda36‬

Foto/gambar zaman dahulu sangat berharga pada zaman ICT ini. Ia membangkitkan nostalgia lama. Tapi sayang tak ramai yang memiliki foto zaman kanak-kanak/remaja era 60/70-an. Zaman teknologi belum lagi meluas.
Jom bongkar album lama, mana tahu terselit satu...smile emoticon
CNM

‪#‎bukaminda35‬

Miskin. Mungkin ramai yang lahir dalam kemiskinan. Hidup susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu tak bermakna halangan untuk berusaha memajukan diri sendiri. Mengubah status keluarga. Keluar dari lubuk kepayahan.
Adalah satu kesilapan andai hingga ke akhir hayat orang yang dilahirkan miskin meninggal dunia pun dalam keadaan sedemikian.
Buka minda.
CNM

#‎bukaminda34‬

Anak itu anugerah Allah. Apa pun rupa. Istimewa atau sempurna. Mereka amanah yang perlu dijaga. Cikgu pernah jumpa seorang ibu yang ditinggalkan suami kerana anaknya cacat anggota. Ya Allah, jauhkan kami dari keperibadian sedemikian.
Tiada seorang anak pun yang minta dilahirkan dengan kekurangan. Itu semua adalah pengujian kepada yang mahu menghayati makna kesabaran. Usah sesekali abai dan tinggalkan anak istimewa.
Buka minda.
CNM.

‪#‎bukaminda33‬

Kemewahan tidak menjanjikan kebahagiaan.Jika mewah itu petunjuk bahagia maka tak mungkin adanya retak menanti belah kepada yang hidup dalam emas permata.
Bahagia itu pada hati yang tenang.
Bahagia itu memiliki hati yang bersih.
Mampu mengucapkan syukur dengan apa yang dimiliki.
Buka minda.
CNM

20 March 2015

‪#‎bukaminda32‬

Naik harga gara-gara GST. Khabarnya tambang komuter juga tak terkecuali. 1 Mei tarikh mendekati. Tambah lagi. Apa sudah jadi. Dalam usaha menarik orang ramai naik kenderaan awam tambang ditambah lagi. Cikgu rasa makin ramai yang dihinggapi darah tinggi dek tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Hati-hati fenomena ini boleh mengubah undi.
Nanti kamu tak jadi menteri.
Buka minda.
CNM.

#‎bukaminda31‬

Hudud. Hukum yang Allah tetapkan. Aku sokong pelaksanaan hudud. Kepada yang tak bersetuju semoga terbuka pintu hati kalian menyokong apabila dibentang di parlimen nanti.
Kalau pun tak setuju tak usah nak menghalang, beri laluan kepada yang mendokong hukum tuhan. Takbir.
Janji-Nya pasti!
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda30‬


Berani atas tiket ahli parlimen je ke?
Cuba bercakap di luar dewan macam rakyat biasa.
Takut dengan bayang-bayang sendiri?
Kalau benar apa nak ditakutkan, hentam betul-betul.
CNM

#‎bukaminda29‬

Orang kampung. Ya, orang kampung mungkin tak tahu prosedur tuntutan dengan pihak sekolah/akaun kerajaan.
Jadi sebagai guru besar salahkah memaklumkan prosedur itu kepada yang tidak maklum. Dah order, makan dah kenyang, takkan tak nak bayar.
Di dunia ni boleh lepas tuan/puan, di akhirat letih nak jawab.
Kalau nak tolong orang kampung, buat kerja molek.
Buka minda.
CNM

#bukaminda28

Semua orang nak lulus peperiksaan. Cuma cikgu nak pesan tak ada jalan pintas. Kena usaha membaca, buat latihan, buat nota agar semua konsep yang perlu difahami dapat dikuasai.
Ramai yang tanya soalan ramalan. Tolong! Ya saya bukan ahli nujum "pak belalang". Pelajar yang bijak bukan bergantung kepada soalan ramalan tetapi telah mengkaji bentuk soalan, kekerapan dan skop yang pernah ditanya. Dari situ mereka mampu menjangka soalan-soalan yang bakal ditanya. Bukannya membuta tuli harapkan soalan ramalan.
Dapat soalan sebenar pun kalau tak faham konsep, tak akan dapat jawap juga.
Jadi bersedialah, rajin-rajin buka buku.
Buka Minda.
CNM

#‎bukaminda27‬


Di zaman moden ini cikgu pernah lihat. Seorang bapa menghantar anaknya ke sekolah dengan basikal tua. Ketika anaknya hendak berlalu, dilap/disapu peluh anaknya itu dengan tuala kecil (good morning towel).
Betapa kasihnya seorang bapa terhadap anaknya. Sesiapa yang masih punya bapa, hormatilah mereka. Tiada bapa yang mahukan anak gagal dalam hidup.
Kau ada?
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda26‬

Cikgu!
Ingat lagi cikgu yang mengajar tulis dan baca?
Ingat lagi sekolah tempat menimba ilmu jadikan kita dewasa?
Sekarang dah berjayakan?
Apa kata sesekali balik ke sekolah.
Sumbangkan kepakaran.
Bantu adik-adik.
Selamat menyumbang, tak dapat sikit sumbang banyak smile emoticon.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda25

Tembok!
Setahu aku kat Israel ada tembok.
Kat Jerman dan roboh.
Tapi kat Bandar Baru Bangi pun ada.
Katanya bandar ilmu?
Beginikah sikap orang yang kononnya bijak pandai?
Malang sungguh, dalam hidup bermasyarakat masih kedapatan segelintir pihak yang sengaja menyulitkan pihak lain.
Usahlah kita menyusahkan pihak lain kelak didatangkan kesulitan kepada kita.
CNM

#‎bukaminda24‬


Dari Bangi ke Joh. Cuaca baik. Perjalanan lancar. Tiada kemalangan yang dilihat. Alhamdulillah.
Namun cikgu agak terkilan, sikit geram dan tidah faham mentaliti segelintir pemandu yang membahayakan diri sendiri dan orang lain apabila gelojoh memotong di garisan berkembar dan kawasan berbukit yang pandangannya terhad.
Ingatlah di jalan raya bukan hanya kita seorang memandu. Keselamatan diri dan keselamatan pemandu lain juga perlu diutamakan.
Memandulah dengan berhemah, elak tragedi.
Buka minda.
CNM

#‎bukaminda23‬

Malaysia tercorot dalam ranking pendidikan antarabangsa. Pak menteri terperanjat! Jadi, dah tiba masanya mengkaji semula segala benda yang nak dibuat secara "online" itu relevan atau tidak.
Berilah lebih ruang dan masa untuk guru berfikir merancang aktiviti pdp bukannya disibukkan dengan perlu mengisi maklumat secara online dan ditambah buruk lagi dengan isu capaian internet yang sangat tidak membantu di sekolah.
Tolonglah permudahkan urusan guru.
CNM.

‪#‎bukaminda22‬

Esok/lusa dah mula cuti sekolah. Tentu ramai yang akan balik kampung atau bercuti ke mana-mana destinasi menarik. Maknanya akan bertambah jumlah kenderaan di jalan raya. Mudahan semua selamat sampai ke destinasi.Biar lambat asal selamat.
Cikgu nak pesan sikitlah, beralah di jalan raya memungkinkan tragedi dapat dielakkan. Kebolehan membuat jangkaan pergerakan kenderaan lain juga satu kelebihan. Memberi isyarat pada jarak dan tempat yang betul membolehkan pemandu lain mengagak pergerakan kita.
Hati-hati di jalan raya. Berhentilah jika mengantuk/penat/ atau lapar. "Mengopi" dulu selenggok.
Buka minda.
CNM.

‪#‎bukaminda21‬

Apabila membaca teks yang tak ada tanda baca terutama di dalam group media sosial, usah cepat melatah. Kawan-kawan mungkin hanya bergurau bukan bermaksud untuk marah dan sebagainya. Bersosial di dalam group perlu keterbukaan minda. Elakkan sebarang provokasi dan interpretasi yang tidak tepat.
"Kecek hok molek-molek deh"
Buka minda.
CNM

11 March 2015

‪#‎bukaminda20‬

Ulangkaji pelajaran biarlah membawa impak yang maksima. Berjaga sehingga larut malam atas alasan konon waktu itu otak berfungsi perlu dikaji semula.Apabila tidak cukup tidur maka di sekolah pada waktu pagi sudah tentu pelajar akan kurang fokus kerana mengantuk.
Adalah lebih baik tidur awal dan bangun awal pagi untuk mengulangkaji. Suasana sepi memungkinkan pembelajaran yang lebih bermakna.
Teknik dan masa belajar biar betul.
Buka minda

‪#‎bukaminda19‬

Media sosial seperti facebook, Whatsapp, Telegram dan lain-lain lagi banyak berfungsi menemukan kembali rakan-rakan atau saudara mara yang telah sekian lama terpisah. Justeru gunakan dengan berhemah. Usah jadikan ia saluran memainkan isu yang boleh merenggangkan hubungan yang baru bertaut kembali.
Jangan biar silaturahim terputus. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan.
Renung-renungkan, buka minda

‪#‎bukaminda18‬

Ramai orang sangat berkemampuan mengeluarkan pandangan, kritikan atau teguran. Malangnya tak ramai yang hadir bersama cadangan, kaedah atau cara alternatif yang lebih baik menyelesaikan sesuatu isu.
Kalau tak ada perkataan lebih baik dari diam, maka diamlah.
Buka minda.

‪#‎bukaminda17‬

Setiap manusia ada kelebihan masing-masing. Allah jadikan manusia sebaik-baik kejadian. Begitu juga dengan kanak-kanak atau orang kelainan upaya (OKU). Mereka juga sebahagian masyarakat yang perlu dihormati malah sebaiknya lebih didekati. Masih kedapatan segelintir masyarakat yang tidak peka, memandang hina dan mencemuh kepada golongan OKU ini.
Cuba bandingkan diri, sesetengah kita tak berupaya pun mencapai pencapaian orang OKU. Mereka ini bakal menghuni syurga. Kita yang normal ini belum tentu.
Renung-renungkan, buka minda.

10 March 2015

#‎bukaminda16‬

Budak-budak memang kena ingatkan dan ditegur selalu. Tapi tak usahlah kesalahan tahun lepas lima tahun ke depan disebut lagi. Cikgu-cikgu, mak ayah, pakcik makcik, adik kakak yang budiman cukup la tu sekali dua menyebutnya. Macam la kita tak pernah buat salah. Usah diungkit-ungkit kesalahan yang lalu.
Bebel secukup rasa dah la, buka minda.

‪#‎bukaminda15‬

Betul.
Sentiasa merasakan diri betul itu tidak betul. Orang begini yang perlu diperbetul.
Sebelum rasa yakin diri betul semak dulu betul-betul. Jangan hanya kerana atas dasar rasa betul kita menolak yang betul.
Perbetul biar betul-betul, betul.
Buka minda

‪#‎bukaminda14‬

Sentap!
Hi hi, ramai yang sentap bila ditegur, walhal teguran tak dituju secara langsung, umum sahaja pun. Betapa situasi ini menggambarkan di luar sana masih ramai yang menegakkan ego dari berlapang dada. Jika sahabat kita menegur, sebelum menyentap muhasabah dulu benar atau tidak. Jika kita mengakui yang menegur itu sahabat maka dengar dan pertimbangkanlah.
Seorang sahabat tak akan membiarkan sahabatnya terus hanyut.
Buka minda.

‪#‎bukaminda13‬

Pangkat!
Eh! Bunyinya menarik. Barang kali semua orang suka bila naik pangkat. Harus disedari, diingati dan difahami bahawa tidak semua orang berkhidmat kerana inginkan pangkat. Yang penting baginya adalah menyumbang sebaik mungkin di tempat yang kondusif baginya menjalankan tugas.
Renung-renungkan, pangkat tak semestinya menyeronokkan seseorang.
Buka Minda.

#‎bukaminda12‬

Berita kematian saban hari kita dengar, si polan telah dijemput pulang. Sihat walafiat status sebelumnya. Tiada tanda-tanda akan meninggal dunia. Itulah satu rahsia kematian tak cepat dan tak lewat sesaat. Tiba masa kita akan dijemput pulang tanpa mengira tua atau muda, sihat atau sakit, bersedia atau tidak. Justeru berapa lama lagi masa untuk kita sedar giliran kita makin dekat.
Demi masa manusia dalam kerugian. Buka minda.

#‎bukaminda11‬

Anak-anak selalunya depan mak ayah pijak semut pun tak mati. Ada yang baik bak malaikat. Di belakang mak ayah bagai langit dengan bumi perangainya.
Jadi sesekali adik kakak pakcik makcik cubalah semak isi memori telefon bimbit (foto/video), barang kali ada yang menarik atau mungkin ada yang menggugurkan jantung. Sesekali semak juga isi bag sekolah anak-anak, mudahan kandungannya selari dengan apa yang difikirkan.
Jika ok syukur alhamdulillah, jika sebaliknya juga syukur sebelum mereka jauh terlencong arah.
Selamat mencuba, buka minda.

#‎bukaminda10‬

Tuisyen. Tak dinafikan membantu murid mengukuhkan pemahaman pembelajaran di sekolah. Walau bagaimana pun terdapat murid yang cemerlang walau tidak pernah menghadiri kelas tuisyen yang memerlukan bayaran ratusan ringgit. Cukup jika di sekolah fokus kepada pengajaran guru dan siapkan segala latihan yang diberikan.
Apa guna menghadiri kelas tuisyen jika tubuh badan sahaja hadir sedang pemikiran menyelinap entah ke sudut dunia mana.
Renung-renungkan, buka minda.

#‎bukaminda9‬

Sering kali dalam media sosial, akhbar arus perdana dan pelbagai saluran berita dijadikan pentas untuk saling menegakkan pandangan yang kononnya mereka sajalah yang lebih betul, lebih tepat dan lebih baik daripada orang lain. Sedang seluruh masyarakat menyaksikan betapa buruknya pendekatan sedemikian dalam menagani isu yang berbangkit.

Dalam seruan mereka kepada masyarakat gunakan meja bulat, berunding, musyawarah dan lain-lain pendekatan yang lebih harmoni. Apabila kena batang hidung sendiri lain pula jadinya.
Bikinlah seperti apa yang dicakap, buka minda.

‪#‎bukaminda8‬

Sejarah. Ya, kita tak mampu ubah sejarah. Sejarah asal usul kita yang mungkin hidup susah. Menempuh pelbagai cabaran pada masa lalu. Mak ayah mungkin hanya penoreh getah, mungkin juga nelayan atau barang kali mungkin hanya petani. Cerita itu akan kekal dalam lipatan memori.
Semuanya memang benar walau pahit. Ini tak bermakna kita tidak berupaya mencipta sejarah. Ya, mencipta sejarah tentang kejayaan kita. Dengan ilmu yang kita tuntut barang kali mampu kita ubah cerita di bahagian akhir hidup kita.
Terus berusaha, buka minda.

‪#‎bukaminda7‬

Apabila bercakap soal rezeki ramai yang terfikir tentang wang yang melimpah ruah. Orang yang susah dikata tidak murah rezeki. Sedarkah kita, punya kesihatan yang baik, tidur yang lena, anak-anak yang ramai dan berjaya juga rezeki yang Allah kurniakan.

Usah bersedih andai kita tidak mewah dengan wang ringgit. Bersyukurlah andai kita dapat beribadat kepada-Nya dengan tenang.
Syukur jika hati tenang, buka minda.

#‎bukaminda6‬

Apabila kita kurang cemerlang dalam apa-apa bidang. Usah cepat menuding. Itu ini begitu begini. Sebaliknya, sudahkan kita muhasabah diri? Sudah cukupkah usaha? Sudah betulkah cara?
Kalau kita nakkan padi berpuluh guni takkan dapat kalau setakat tanamnya sebatas.
Renung-renungkan, buka minda.

‪#‎bukaminda5‬


Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa sering kali terlepas pandang akan keperluan anak-anak khasnya buku-buku untuk rujukan dan buku latihan. Guru-guru menghadapi masalah dengan anak-anak yang gagal menyediakan buku untuk tujuan pembelajaran di sekolah.

Peruntukkan sedikit masa untuk menyemak keperluan anak-anak di sekolah sama ada sudah dipenuhi atau sebaliknya. Anak-anak perlu dipantau bukan dibiarkan tanpa kawalan/pengawasan.
Selamat menyemak, buka minda.

‪#‎bukaminda4‬

Zaman ICT. Maklumat di hujung jari. Dunia tanpa sempadan. Gadjet ada bermacam-macam. Ada banyak kelebihan tak kurang akan keburukan.

Perkara ini, ibu bapa perlu buat pertimbangan sewajarnya apabila ingin membekalkan anak-anak dengan gadjet yang boleh mengakses kepada dunia maya. Kelihatannya anak-anak gagal mengawal diri sekaligus mengalih fokus mereka terhadap pembelajaran di sekolah.

Kawal diri. Jangan biar teknologi menguasai diri.
Muhasabah diri, buka minda.

‪#‎bukaminda3‬

Alangkah bertuahnya anak-anak zaman ini. Celik dalam lampu. Hidup dengan teknologi. Betapa banyak kemudahan yang membantu ke arah kejayaan.

Berbezanya dengan zaman kami yang serba kekurangan. Pergi ke sekolah hanya berjalan kaki atau kayuh basikal. Bahan rujukan sangat terhad sekadar mengharap buku teks. Bekalan letrik dan air tiada, apatah lagi teknologi maya. Atas usaha kami, kejayaan kami gapai jua.

Anak-anak ambillah segala kelebihan yang anda miliki untuk berjaya bukan membawa duka kepada keluarga.

Selamat berusaha, buka minda.

‪#‎bukaminda2‬

Andai sesiapa saja perlu memasak untuk keluarga lakukan dengan penuh kasih sayang bukan dengan rasa keterpaksaan.

Perbuatan penuh kasih sayang menambah perisa kelazatan dan mengharumkan kemesraan.
Selamat mencuba, buka minda

#bukaminda1


Ibu bapa perlu mengenal pasti keupayaan anak-anak sama ada mampu meneruskan pengajian berbentuk akademik atau perlu disalurkan ke pusat kemahiran.
Kebolehanan menempatkan anak-anak ke saluran pendidikan yang sesuai dengan keupayaan anak-anak adalah langkah terbaik memastikan anak-anak mendapat kejayaan dalam hidupnya.
Selamat mencuba, buka minda.