Followers

Carian dalam Blog ini

28 June 2015

‪#‎Bukaminda81‬

Selalu kita dengar isu ketiadaan bekalan air. Minggu lepas ada keluhan penduduk di Semenyih. Hari ni keluhan penduduk di Kelantan. Mungkin banyak lagi tempat yang bermasalah tetapi tak dihebahkan.

Negara kita yang mendapat curahan hujan sepanjang tahun sepatutnya tidak menghadapi masalah bekalan air. Betapa sukarnya urusan harian apabila tiada bekalan air yang mencukupi.

Masyarakat sering dididik agar merancang.
Bagaimana pula dengan kerajaan?

Jelas dalam isu air menunjukkan kepada kita kerajaan/pihak yang menguruskan bekalan air gagal merancang sebaik mungkin bagi menangi permasalahan air yang terus berlarutan.
Tadbir urus yang lemah.

CNM

‪#‎Bukaminda80‬


Di US telah diluluskan perkahwinan sama jenis oleh mahkamah. Maka bertepuk tanganlah golongan yang sesat ini.
Telah tiba masanya proses perlantikan hakim mahkamah dibuat dengan penuh ketelitian oleh YDPA. Silap lantik ada pula hakim di negara ini yang meluluskan permohonan perkahwinan sejenis.
Semoga negara kita dilindungi dari segala malapetaka.
CNM

#‎Bukaminda79‬


Apa itu fatwa?
Siapa yang keluarkan fatwa?
Mengapa dikeluarkan fatwa?
Rasa cikgu ramai di luar sana bijak pandai yang tinggi ilmu pengajiannya dan cukup arif untuk memahami tiga persoalan di atas.
Namun yang sedihnya kenapa umat Islam tidak akur dengar fatwa. Malah seakan memperlekehkan fatwa yang dikeluarkan.
Moga kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi.
CNM

‪#‎Bukaminda78‬


Khabarnya nilai ringgit jatuh lagi. Barangkali sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengubah gaya hidup.
Cikgu berpendapat bagus juga idea tutup premis yang berniaga hingga larut malam. Telah dijadikan malam itu untuk manusia berehat, bukan untuk mencari makan sampai awal pagi.
Lagi satu banyak premis yang dikendalikan oleh orang asing. Jadi begitu banyak wang negara mengalir ke luar.
Minum ajelah di rumah kerana minuman yang dibancuh dengan penuh kasih sayang oleh isteri jauh lebih sedap dari bancuhan mamak.
CNM

‪#‎Bukaminda77‬

Tahniah!
Kepada pasukan B13 Malaysia kendalian LTK.
Budak-budak dalam jiwa mereka sangat tinggi semangat bermain untuk menang. Sebab itu mereka boleh menang.
Bagi team senior berdasarkan pengalaman pernah bermain bolasepak terdapat unsur-unsur tidak sihat yang merencat semangat berpasukan bagi muncul juara. Dengan kata lain ada pemain yang tidak memberi persembahan 100 peratus, sekadar melengkapkan perlawanan sahaja. Malang, kerana situasi sebeginilah yang membunuh semangat juang berpasukan.
Coach kena berlapang dada mengenalpati pemain yang benar-benar ingin menaikkan nama negara, bukan sekadar mengejar glamor.
CNM

‪#‎Bukaminda76‬


Tadi ke Jakel Shah Alam, carikan baju Melayu Aaron Aziz buat Nik Zharif Aimran - OurSpecialHero. Mak ai! Ramainya umat membeli belah bagai tak terkesan pon dengan GST. Ingat ada la.. 4-5 orang je yang 'nyoping'.
Sebenarnya ramai umat Malaysia yang suka membuat kebajikan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dengan membayar kepada kerajaan.
"Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah"

27 June 2015

#‎Bukaminda75‬

Di sekolah makan minum ditetapkan di kantin sekolah.
Atas alasan apa pun (termasuk gurauan) mengarahkan/meminta pelajar minum di tandas adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam institusi pendidikan.
Murid-murid bukan Islam berhak untuk makan/minum di kantin sekolah. Jangan jadikan alasan bulan Ramadan untuk menafikan hak mereka.
Cuba kamu diminta minum di tandas!
CNM

‪#‎Bukaminda74‬

Di Malaysia kehilangan dah menjadi perkara biasa. Padang-padang bola sepak yang hijau telah begitu banyak hilang, ditelan arus pembangunan.
Tak berapa lama dulu kapal terbang yang saiznya kalau nak mendarat tak mampu mendarat atas padang bola sepak pun hilang.
Terbaru kapal tangki yang saiznya lebih kurang padang bola sepak pun hilang. Agaknya apakah makhluk yang menelan?

#Bukaminda73

#Bukaminda73

Kata bang Tuah "... takkan Melayu hilang di dunia."

Ya bang tuah, Melayu mungkin tak hilang tapi kuasanya kian lebur bersama ketua yang keras keng.

CNM

‪#‎Bukaminda72‬

Wajarkah berasa takut dalam rumah sendiri?
Ada apa-apa barang salah tersembunyi?
CNM

‪#‎Bukaminda71‬


Di sekeliling pemimpin ramai yang setia untuk memihak.
Di bawah pemimpin ramai yang sengaja dipijak-pijak.
CNM

‪#‎Bukaminda70‬

Kata orang tua "buat baik berpada-pada".
Baik tok!
CNM

‪#‎Bukaminda69‬

Cikgu nak ucap tahniah kepada coach Fandi yang cukup berani dan yakin dengan pemain-pemain mudanya. Setengah coach tak yakin dengan pemain muda, balik-balik perasap kuda tua. Kudrat dah tak seberapa. Cikgu dah kata main tu rapat-rapat. Orang muda tak boleh bagi ruang. Tak sir dengar coach ni he he he.Set-set klate tu balik berlatih lagi la.
Semagat hanume
main lebih kure
mano nak mene
piala diambik ore
cuba lagi tahun depe.
CNM

‪#‎Bukaminda68‬

Main bola ni macam berperang. Perlukan strategi. Nak kena kaji apa kelemahan lawan, apa kekuatan team sendiri, apa peluang yang ada, apa halangan semasa baru boleh buat percaturan.
Nah! Kalau lihat rekod Fandi Ahmad dia ni memang banyak pengalaman bermain dan rekod menjaringnya tak kurang hebat. Itu zaman dulu-dulu. Nampaknya kehebatan itu cuba diteruskan dalam membimbing pemain muda. Berjayakah dia?
Azraai Khor tak kurang hebat mencatur. Melatih team tersohor.
Kita tunggu dan lihat siapa lagi hebat melakar taktikal. Yang tersilap atur akan menggelupur. Piala berkubur.

#‎Bukaminda67‬

Cikgu perhati tengok perkembangan M dan N nampaknya belum reda, masing-masing ada agenda. Kita tengoklah siapa yang lebih menyala.
Hari ni cikgu nak cakap pasal K dan L. Atas kertas tu nampak macam K banyak pengalaman. L ni budak baru nak naik. Apapun percaturan atas padang yang menentukan. Rekod lalu hanya asas kepada jangkaan, tak siapa tahu yang bakal tiba.
Kepada peminat K dan L berhemahlah. Adat bermain ada kalah menang.
Kalau kalah cuba lagi tahun depan.

‪#‎Bukaminda66‬

Cikgu nak sambung sikit pasal cerita M dan N ni. Semua tahu, semua maklum M dan N ni dalam satu keluarga abjad. Kira adik beradik. Kalau adik beradik tu orang tua cakap buat cara adik beradik. Jangan sampai orang luar terhidu, siapa yang malu. Keluarga abjad juga malu.
M jangan ingat O, P, Q, R, S duduk diam aje N tu abang long depa.

‪#‎Bukaminda65‬

Cikgu dah lama gantung kasut bola. Dulu ligat juga merembat. Alah! kalau Badri Radzi kapten Klate tu menjaring dari sudut, cikgu pon pernah menjaring dari tendangan sudut. Boleh kata ada "kelas" juga la.
Yang cikgu nak perkata ialah sikap penonton ni. Kalau pun pengadil silap, tak usahlah sampai bakar stadium. Kata stadium bina guna duit rakyat. Hah! Tak ke "mung" bakar duit sendiri.
Biarlah persatuan yang buat bantahan dan pihak yang berkenaan mengambil tindakan.
Ni final ni, bagi tiket free pun cikgu tak pi stadium. Demo kaji dan fikir sendirilah bakpo?

‪#‎Bukaminda64‬

GST - dikutip/diterima
BRIM - memberi/mengagih
Semua tahu memberi lebih baik daripada menerima.
Dalam isu GST rakyat lebih baik daripada kerajaan.

‪#‎BukaMinda63‬


Cuba kamu bilang ABC. M dengan N mana dulu?
Jadinya hormati M. Dia makan asam garam lebih dulu daripada kamu.
N belajar respek M.
Budak tadika pun pandai bilang!

‪#‎Bukaminda62‬

‪Aku ada seorang sahabat yang akan bersara 2 minggu lagi. Sahabat yang belum pun 60 tahun memilih untuk bersara. Hari ini, dia menyanyi-nyanyi harinya boleh dibilang dengan jari. Begitu ceria sekali hendak meninggalkan dunia pendidikan.
Anda fikir kenapa?
Khabarnya ramai guru mula memilih untuk bersara awal.
Sekali lagi, anda fikir kenapa?
Bidang ini tidak menyeronokan lagi kah?

‪#‎Bukaminda61‬

Sempena hari guru tahun ini yang bakal diraikan.
Aku juga punya harapan.
Ya harapan untuk mendengar bahawa tugas utama guru di bilik darjah dikembalikan.
Segala macam sistem online yang memeningkan guru perlu dikaji semula.
Apa guna ada sistem yang bertimbun jika tidak membantu ke arah meningkatkan pencapaian murid.
Berikan kami jaminan bahawa tugas cikgu hanya perlu fokus di bilik darjah bukan hal-hal lain yang mencuri masa guru.
Mampukan menteri pendidikan mengukir senyuman di bibir guru-guru?

‪#‎bukaminda60‬

Kata pemimpin GST untuk masa depan negara.
Dalam negara bukankah ada rakyat?
Apa pula perancangan mengurangkan bebanan rakyat?
Masa depan rakyat yang sejahtera terjaminkah dengan GST?
Conggak hitung kira tolak campur darab bahagi rakyat juga yang terbeban!
CNM

‪#‎bukaminda59‬

Bab naik gaji semua tersengih. Yang perit rakyat yang tak makan gaji. Khabarnya ahli parlimen telah sebulat suara menerima kenaikan gaji 96%.
Hais! Kalau bab naik gaji tak ada pula yang melatah tak setuju.
Jadinya kalau hal penuhkan poket sendiri dua kali lima saja.
Wakil rakyat ni berjuang untuk rakyat atau berjuang untuk sendiri punya hayat?
CNM

‪#‎bukaminda58‬

Telefon pintar!
Gajet terkini di tangan.
Bahana maklumat di hujung jari.
Ada yang jatuh longkang.
Ada yang anak terkorban.
Ada yang bergaduh sakan.
Ada yang memandu sambil menekan.
Macam-macam.
Kenapa letak diri dalam risiko kemalangan?
Teknologi tidak salah.
Gagal kawal diri itu salah.
Pokok pangkalnya guna teknologi secara berhemah.
"Lu fikir la sendiri".
CNM, 11/4/15.

#‎bukaminda57‬

Anak-anak sering diperdengarkan dengan kata-kata "bertelagah tidak menyelesaikan masalah. Menambah lagi kekusutan dan segala macam kekalutkan boleh berlaku".
Kepada pemimpin dan bekas pemimpin, lihat saja orang dulu-dulu. Selesaikan masalah dengan penjajah tanpa tumpah darah. Jadi apa salahnya selesaikan isu negara dengan cara adik-beradik.
Masalah tak selesai. Hati rakyat bercerai-berai.
Itu yang kamu mahu wariskan?
Atau capai wawasan dengan rakyat didahulukan?
Mentadbir bukan sekadar perlu bijak, ia perlu hadir dengan pakej tinggi sifat kemanusiaan.
CNM, 10/4/15

#‎bukaminda56‬

Kebolehpercayaan yang diraih jangan sesekali digadai dengan menyerah seluruh kepercayaan. Sesekali semak apa yang terjadi. Sesekali ambil peduli. Dengar keluhan dengan mata hati. Bijaksanalah membuat keputusan. Sekali kebolehpercayaan tergadai berzaman untuk menampung ketirisan. Jangan terlalu selesa dengan bisik-bisik yang enak kerana yang enak di telinga belum tentu molek di dada.
CNM

‪#‎bukaminda55‬

‪#‎bukaminda55‬
Integriti
adalah soal hati
keikhlasan dalam semua segi
dalam usaha mencari reda Ilahi
tanggungjawab kepada diri
tanggungjawab kepada organisasi
perlu melebihi kepentingan peribadi
sering utamakan tugas hakiki
mendahulukan tugas rasmi
melunas arahan diberi
tanpa sekelumit sunggutan di hati
amanah jujur ciri tertinggi
kepentingan umum didahului
kerana integriti cerminan maruah diri.
CNM

‪#‎Bukaminda54‬

Asas ilmu
bermula daripada ayah dan ibu
jadi contoh kepada anak-anak meniru
guru yang memperteguhkan penguasaan ilmu
ramai yang menyerah bulat-bulat kepada cikgu
sedang itu tanggungjawab ayah dan ibu
pemantauan anak-anak harus waktu ke waktu
pastikan betul tingkah laku
sebelum jadi haru biru
berikan cukup waktu
membentuk jati diri padu.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda53‬

GST!
Ulasan di TV banyak aduan penipuan berlaku. Jika telah jelas GST ini menyebabkan rakyat atas bawah kiri kanan akan jadi mangsa maka pelaksanaan GST tidak banyak membawa kelebihan kepada pengguna.
Yang jelas rakyat sering jadi mangsa.
Kenapa rakyat dijadikan mangsa?
Relevan lagikah slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?
CNM

‪#‎bukaminda52

Esok GST mari. Harga rokok mungkin naik lagi. Poster ni memberi amaran hilang nikmat kelelakian.
Apakata berhenti beli rokok. Beli ais krim potong pula.
Jaga pucuk nanti tak berbuah.
CNM

‪#‎bukaminda51‬

‪#‎bukaminda51‬
Kurus! Slim! He, he menjadi idaman Wanita Malaya terakhir. Macam-macam kaedah diet yang keterlaluan diamalkan untuk kelihatan cantik kononnya.
Sedarilah duhai wanita di luar sana, cantik itu subjektif. Pandangan mata manusia berbeza-beza. Tak semestinya kurus itu cantik bagi sesetengah orang.
Kenapa perlu menyeksa diri dengan menafikan pengambilan makanan tertentu?
Bagi saya adalah lebih baik mengambil makanan dengan KUANTITI YANG BETUL berbanding tidak mengambil langsung makan yang dianggap mengemukkan.
Jangan menafikan nikmat makan yang dikurniakan-Nya.
Syukurlah dengan apa yang kita miliki.
CNM

‪#‎bukaminda50‬

Islam mengajurkan pembelajaran sepanjang hayat,
menuntut ilmu wajib bagi muslimin muslimat,
jadinya perbetulkan niat,
cari ilmu bermanfaat,
dari timur ke barat,
tak siapa nak memperdebat;
dengan ilmu orang jadi hebat,
dengan ilmu kita dihormat,
dengan ilmu insan tinggi darjat,
dengan ilmu negara bermartabat,
moga selamat dunia dan akhirat.
CNM

#‎bukaminda49‬


Syurga itu milik Allah. Dia yang akan menentukan siapa yang dapat masuk ke dalam syurga-Nya.
Khatib jumaat tadi berpesan peliharalah adab kepada Allah. Bila di rumah Allah hentikan mengguna gadjet/berbual/tidur. Bersegeralah ke masjid apabila dilaungkan azan. Tinggalkan jual beli, makan minum dan hal-hal keduniaan.
Ketika berdoa, angkatlah tangan mohon dengan bersungguh-sungguh bukan sambil lewa.
Syurga itu tempat orang yang berakhlak penuh adab.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda48‬

...berlapang dada, buka minda, rasionalkan cara, utamakan yang utama, tinggalkan yang tak memberi makna, umpamanya, usah sibuk dengan hal-hal yang tidak membahagia, adalah lebih baik memikirkan hal yang dicita, rancang bagaimana menggapainya, atur strategi cakna, bertindak dengan bijaksana, tentu berjaya, ingatlah di sana belum tentu bahagia, tepuk dada tanya selera...
CNM

‪#‎bukaminda47‬

Pernahkah kamu rasa? Seperti tidak ingin jadi diri kamu, kenapa? Kecewa dengan jiwa? Dah tak sanggup nak kembara? Ahh! Lekas sangat putus asa.
Ambil maklum kejayaan setia menanti, tak pernah mengecewa dan akan ditunggunya hingga tua. Tinggal lagi kita tentukan jalan ketemu dia.
Sabar ya, tak ada apa-apa. Bolehnya!
CNM

‪#‎bukaminda46‬

semalam, hari ini dan esok
...sepahit mana, pun semanis mana yang semalam itu, jadikan guru yang mengajar, untuk jadi lebih matang dalam kehidupan, buat menempuh hari ini dengan tenang dan sabar, menempatkan diri ke landasan terbaik, demi kemenjadian mencapai kebahagiaan, dan kemampuan menduga yang bakal ditempuh esok lusa, adalah persediaan berasas pengalaman yang telah mendewasakan...
buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda45‬

Hiba ...adakalanya amat terasa di lubuk hati yang paling dalam, ...setelah keringat pasrah mengering, meninggalkan kulit reda berkedutan dimamah bahang mentari yang tersenyum sinis, ...hiba adakalanya menyuburkan rasa putus asa, ...hati jadi lemah, selemah-lemahnya.
Terasa seakan mahu menghulurkan nyawa, biar malaikat maut mengetusnya ke alam abadi, mahu mati saja, ... namun perjalanan hidup ini tidak sepertinya angin yang berlalu, ...bahawa kematian belum menamatkan kemelut, ...kematian adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang tiada akhirnya, bersediakah?
...hiba hanya datang menguji.
CNM

‪#‎bukaminda44‬

Adakala, kita rela dalam terpaksa. Tiada daya. Tiada upaya. Yang ada cuma menerima ketetapan, menahan sebak di dada, menyeka air mata, memujuk jiwa terima dengan hati terbuka.
Takdir. Ya itulah takdir namanya, pada ketika tiada lagi cara untuk berbuat apa-apa bagi mengubah perkara yang tiba.
Yang mampu reda, pasrah dan berdoa.
CNM

#‎bukaminda43‬

Merotan: Mendidik atau mendera?
Fuh! Tajuk panas ni. Kalau ikut akta pendidikan sedia ada merotan dibenarkan untuk tujuan mendidik. Ibu bapa kena faham merotan itu adalah pilihan terakhir setelah proses menasihat dan kaunseling gagal menyedarkan anak-anak tentang salah laku mereka.
Cikgu dulu pun kena rotan dek kerana tak siap kerja rumah ketika demam. Guru cikgu rotan kat kepala lagi. Agaknya berkat dirotanlah cikgu berjaya ke menara gading.
Terima kasih guruku.
Buka minda.
CNM.

#‎bukaminda42‬

Isu parking!
Isu jiran tetangga!
Adoi! Zaman moden ni dah biasa satu rumah ada lebih dari dua kereta. Jadi usahlah sesuka hati parking depan rumah jiran. Ambil kira kesusahan mereka keluar masuk. Ambil kira tetamu mereka yang datang.
Cikgu tak suka parking depan rumah jiran. Orang je suka-suki parking depan rumah cikgu. Kena ingat tak semua orang cekap bila mengundurkan kenderaan.
Ingat lagi seorang rakan setugas wanita hanya tahu bawa ke depan sahaja.
Adoi! Sebelum parking buat timbang tara. Jangan susahkan jiran tetangga.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda41‬

Setiap orang latar pendidikannya mungkin berbeza. Berbeza pandangan dan pendapat itu perkara biasa. Namun jangan jadikan tiket untuk bermusuhan sesama sendiri. Kita boleh saja berlapang dada selagi tak bercanggah dengan syariat-Nya.
Jangan hanya kerana rasa kita betul, kita tolak idea, pandangan, pendapat orang lain mentah-mentah. Itu dah kena diperbetul.
Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.
CNM.

‪#‎bukaminda40‬

Dari ceruk mana pun asal kita. Usah terlalu rendah diri. Kepakaran, kebolehan dan kepandaian itu boleh dicari, diasah dan disempurnakan.
Orang tak pandang dari mana kita datang, orang lihat apa yang kita mampu sumbangkan untuk bangsa, negara dan agama.
Buka minda.
CNM

#‎bukaminda39‬

Tolak hudud! Hina hukum Allah!
Tak perlu nak ancam bunuh bagai. Kita doakan saja moga terbuka pintu hati mereka. Akan datang utusan-Nya nanti jemput menghadap.
Nak orang jaga perkataan, kita pun kena jaga tutur kita.
Orang terima hudud dengan orang tak terima hudud sama saja kena jaga percakapan dan perbuatan.
CNM

‪#‎bukaminda38‬

Masyarakat kebanyakan sering menilai sesuatu berdasarkan pandangan luaran. Natijahnya berlaku salah anggapan dan ketidaktepatan maklumat diberikan. Selidik dahulu dan kenali sesuatu sebelum mengeluarkan kenyataan untuk mengelak kesilapan.
Jangan pandang buruk pada awan hitam kerana ia menitiskan air yang jernih.
Buka minda.
CNM

‪#‎bukaminda37‬

Mulut terkumat-kamit. Kalau ya kata ya, kalau tidak katakan tidak. Usah cakap belakang. Lebih baik terus terang. Senang nak buat keputusan.
Permudahkan urusan. Jangan biar orang tertanya-tanya menanti kepastian.
Bukan minda.
CNM.

#‎bukaminda36‬

Foto/gambar zaman dahulu sangat berharga pada zaman ICT ini. Ia membangkitkan nostalgia lama. Tapi sayang tak ramai yang memiliki foto zaman kanak-kanak/remaja era 60/70-an. Zaman teknologi belum lagi meluas.
Jom bongkar album lama, mana tahu terselit satu...smile emoticon
CNM

‪#‎bukaminda35‬

Miskin. Mungkin ramai yang lahir dalam kemiskinan. Hidup susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu tak bermakna halangan untuk berusaha memajukan diri sendiri. Mengubah status keluarga. Keluar dari lubuk kepayahan.
Adalah satu kesilapan andai hingga ke akhir hayat orang yang dilahirkan miskin meninggal dunia pun dalam keadaan sedemikian.
Buka minda.
CNM

#‎bukaminda34‬

Anak itu anugerah Allah. Apa pun rupa. Istimewa atau sempurna. Mereka amanah yang perlu dijaga. Cikgu pernah jumpa seorang ibu yang ditinggalkan suami kerana anaknya cacat anggota. Ya Allah, jauhkan kami dari keperibadian sedemikian.
Tiada seorang anak pun yang minta dilahirkan dengan kekurangan. Itu semua adalah pengujian kepada yang mahu menghayati makna kesabaran. Usah sesekali abai dan tinggalkan anak istimewa.
Buka minda.
CNM.

‪#‎bukaminda33‬

Kemewahan tidak menjanjikan kebahagiaan.Jika mewah itu petunjuk bahagia maka tak mungkin adanya retak menanti belah kepada yang hidup dalam emas permata.
Bahagia itu pada hati yang tenang.
Bahagia itu memiliki hati yang bersih.
Mampu mengucapkan syukur dengan apa yang dimiliki.
Buka minda.
CNM