Followers

Carian dalam Blog ini

24 June 2011

Lupa Tuhan Mengundang Bencana


Abu Bakar Bin Yang
Fellow

17/06/2011 | Utusan Malaysia
Apabila kita berbicara mengenai pembangunan manusia kini, kita akan menjadi bingung buat seketika kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut semuanya ada dalam pembangunan masa kini. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu.

Mengapakah boleh terjadi yang sedemikian sedangkan Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Begitu juga, Islam adalah satu cara hidup yang kukuh lengkap dengan teori dan praktiknya sama ada di bidang kerohanian maupun di bidang fizikal dan pembangunan. Sebabnya banyak dan telah banyak diperkatakan oleh orang sejak kebelakangan ini. Cuma dalam kesempatan ini ingin diajukan satu perkara pokok yang menjadi faktor utama, iaitu manusia kini sudah melupakan Allah, yang merupakan Tuhan sekelian alam. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, lupa akan fungsi dan fitrah dirinya, maka akhirnya lupa akan amanah yang dipikulkan ke atasnya.

Dalam keadaan masyarakat kini, tahap melupakan Tuhan juga mempunyai beberapa peringkatnya yang tersendiri. Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak sedar menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Tidak kurang juga yang hanya meletakkan Allah hanya pada nama tetapi amalannya jauh terpesong dari landasan sebenar Islam.

Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Bertitik tolak dari sini, maka segala yang memiliki nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, akhlak dan nilai-nilai murni yang berpandukan agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan yang penting dalam dunia perdagangan, dunia seni, dunia hiburan, dunia politik, dunia pendidikan, dan segala bentuk keduniaan yang membentuk kehidupan manusia itu sendiri. Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup mereka sendiri. Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan. Sesungguhnya bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini.

Antara sebab lain yang turut membawa kepada keadaan melupakan Allah ini ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.

Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh Islam. Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia. Memang ada benarnya apa yang telah dinyatakan oleh Bertrand Russel, bahawa ilmu yang dibangun dan dikembangkan di dunia sekarang telah berjaya menghasilkan a lost man bukannya a better man.

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya. Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil kisah sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara seagamanya dengannya.

Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada Kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertaqwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan kepada ilmu. Perbincangan mengenai ilmu yang baik dianggap tasbih, mempelajarinya dianggap ibadah, mengajarnya dikira sebagai sedekah, mempelajari dan mendalaminya pula dianggap satu jihad.

Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang. Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ianya lebih meruntuhkan dan membahayakan manusia dan dunia. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikuathiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

No comments: