Followers

Carian dalam Blog ini

31 July 2011

Pentingnya Penekanan Syariat Islam Dalam Aspek Pelestarian Alam


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

25/07/2011 | Artikel Bahasa Malaysia


Nikmat alam dan kepelbagaian ekosistem ciptaan Allah SWT untuk kelangsungan hidup manusia dan spesies lain yang terdapat di muka bumi ini sememangnya sangat bernilai. Oleh yang demikian, ia seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah dan bijaksana. Antara nikmat yang begitu besar ialah kepelbagaian ekosistem hutan menghijau yang membekalkan oksigen secara berterusan kepada penghuni bumi untuk meneruskan hayat. Tidak kurang juga aliran sungai-sungai yang membekalkan sumber air kepada kehidupan. Namun persoalannya sejauh manakah kita sebagai hamba-Nya mensyukuri nikmat yang telah kita nikmati?
Jika diamati, senario pada hari ini jelas mempamerkan bahawa alam semulajadi kurniaan Ilahi kian terancam dan hampir mencapai tahap kepupusan disebabkan oleh kelalaian manusia yang enggan bersyukur dengan segala curahan nikmat dan kewujudan khazanah alam yang begitu berharga. Amat malang sekali, dek kerana kealpaan manusia yang mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata didapati secara purata sebanyak 25 hektar pokok ditebang pada setiap hari.

Keadaan ini begitu menggusarkan kerana penebangan secara tidak terancang boleh mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap bumi serta keseluruhan ekosistem termasuklah masalah pencemaran, kepupusan habitat flora serta fauna dan juga pemanasan global. Natijahnya, ia seterusnya akan mengundang berlakunya pelbagai bencana alam termasuk tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya.

Sedangkan kita seharusnya sedar bahawa ekosistem hutan merupakan harta yang perlu dipelihara. Ini memandangkan pokok-pokok hutan banyak memberi manfaat kepada alam semulajadi dan seluruh hidupan di bumi.Misalnya, sebatang pokok boleh mengeluarkan 91 kilogram oksigen setiap tahun. Jadi, bayangkan berapa banyak oksigen yang dapat dihasilkan jika kita memelihara keseluruhan ekosistem hutan yang masih lagi bersisa pada hari ini. Malah, dengan memelihara ekosistem hutan, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau ekoran daripada pembebasan gas-gas yang mencemarkan secara terbuka oleh kenderaan bermotor dan industri.

Dengan pemeliharaan ekosistem hutan juga , ia dapat membantu menyejukkan suhu rumah dan persekitaran. Ini sekaligus dapat menjimatkan kos penyaman udara atau dengan perkataaan lain penggunaan tenaga dapat diminimumkan. Bayangkan jika sebatang pokok muda bersamaan dengan kos penyaman udara di 10 bilik yang beroperasi selama 20 jam, berapa banyak kos dan tenaga yang dapat kita jimatkan dengan memelihara ekosistem hutan.

Begitu juga sekiranya kita memelihara 40 batang pokok, didapati sebanyak 37 kilogram pencemaran udara berupaya disingkirkan. Daripada maklumat-maklumat tersebut, ia memberi gambaran yang jelas kepada kita betapa besarnya peranan setiap pokok yang kita pelihara. Jika kita menyedari dan memahami hakikat ini dengan sedalam-dalamnya pasti kita akan lebih menghargai ekosistem hutan dan alam semulajadi yang kita miliki pada hari ini.

Lebih-lebih lagi, ketetapan mengenai kepentingan aspek pelestarian alam sekitar dan segala sumber yang ada di dalamnya adalah termasuk dalam kerangka syariat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW telah memperlihatkan kepada kita bahawa aspek pelestarian alam sekitar merupakan tunjang penting dalam kehidupan manusia. Bahkan, memelihara dan menjaga alam sekitar serta komponen-komponen yang ada di dalamnya merupakan suatu kewajipan yang tergolong sebagai satu ibadah.

Malahan, di dalam Islam terdapatnya konsep kawasan haram yakni kawasan yang diperuntukkan untuk melindungi sumber semulajadi alam. Semasa zaman pemerintahan Rasulullah SAW, baginda telah menetapkan kawasan-kawasan yang tidak boleh dicerobohi dan dilanggar peraturan ekosistemnya seperti mengehadkan aliran-aliran air, memelihara beberapa kemudahan umum dan kota-kota tertentu. Di dalam kawasan haram, kemudahan umum seperti kawasan tadahan air harus dilindungi daripada sebarang bentuk kemusnahan. Begitu juga, sumber air perlu sentiasa dijaga agar tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran.

Tuntutan syariat Islam juga adalah bertujuan mewujudkan kesejahteraan umum yang menyeluruh terhadap semua makhluk Allah di muka bumi mencakupi kesejahteraan manusia di dunia dan juga di akhirat. Tujuan kesejahteraan umum yang menyeluruh adalah sesuatu yang khas daripada syariat Islam dan merupakan implikasi penting daripada konsep tauhid. Justeru, manusia perlu mengerjakan sesuatu perkara yang dituntut oleh Islam demi kesejahteraan seluruh makhluk. Daripada sini dapat difahami bahawa jika sesuatu peraturan tergolong dalam unsur syariat, maka Ia juga bererti mengandungi unsur ibadah. Oleh yang demikian, aspek penjagaan dan pelestarian alam sekitar adalah merupakan salah satu bentuk perlaksanaan ibadah.

Syariat Islam telah diakui oleh para penganutnya sebagai ‘rahmatan lil alamin'. Justeru, penekanan Islam terhadap penjagaan ekosistem dan alam semulajadi yang bersumberkan al-Quran dan hadis sesungguhnya merupakan rahmat bagi kehidupan manusia dan segala hidupan di alam ini. Kebiasaan dan perilaku yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam aspek pemeliharaan alam sekitar (termasuk flora dan fauna), yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat baginda mencerminkan suatu pola pemeliharaan ekosistem yang cukup baik.

Oleh yang demikian, ia sewajarnya diteladani dan diteruskan oleh para pengikutnya sehingga ke hari ini. Di samping melaksanakan aturan syariat sebagai suatu ibadah, umat Islam juga dapat memahami pengertian ibadah tersebut dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam konteks hubungan mereka dengan alam dan seluruh komponen yang ada di dalamnya. Ini memandangkan, perbahasan mengenai aspek keseimbangan ekosistem telah banyak dibahaskan dan ia merupakan isu penting yang sering mendapat perhatian baik pada peringkat nasional mahupun pada peringkat global.

Melihat kepada situasi alam sekitar yang kian meruncing pada hari ini, mungkin timbul persoalan bagaimana ahli-ahli fuqaha pada awal abad pertengahan telah mempunyai wawasan yang cukup luas dengan menetapkan syariat yang kemudiannya mempunyai implikasi yang cukup penting dan berkesan terhadap aspek pelestarian alam sekitar. Sedangkan dengan pelbagai usaha yang telah kita lakukan pada hari ini, kita masih lagi tidak mampu menangani segala kepincangan yang berlaku terhadap alam sekitar sehingga mencapai impak positif seperti yang diharapkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah kemusnahan alam sekitar seolah-olah kelihatan sebagai suatu proses yang tidak dapat dielakkan memandangkan manusia hidup berinteraksi dengan alam dan komponen-komponen yang ada di dalamnya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang kukuh untuk kita menggunakan segala sumber yang ada sehingga mengabaikan aspek pelestarian alam sekitar sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Apa yang penting ialah kesediaan kita untuk mengendalikan dampak daripada pengeksploitasian komponen-komponen alam tersebut dengan penuh bijaksana supaya ia memberi dampak sifar atau paling minimum terhadap alam sekitar.

Maka, di sinilah perlunya penekanan syariat Islam dalam segala aspek kehidupan seharian termasuklah dalam konteks pemeliharaan alam sekitar. Jika kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam, pastinya segala urusan kita sebagai hamba-Nya akan menjadi lebih teratur dan sempurna. Bahkan, alam sekitar yang kita diami juga akan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh memusnahkannya dan keseimbangannya akan terus terpelihara.

06 July 2011

Peranan Hutan Sebagai Paru-paru Bumi


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

06/07/2011 | Artikel Bahasa Malaysia

Pelancaran Tahun Hutan Antarabangsa 2011 Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada awal tahun 2011 yang lalu merupakan antara salah satu usaha untuk memberi dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pelestarian ekosistem hutan. Dengan pengisytiharan Tahun hutan dan seumpama ini, ia diharap tahap kepekaan masyarakat terhadap ekosistem hutan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Penglibatan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dalam setiap aktiviti yang dianjurkan diharap bukan sahaja menjadi perintis untuk mereka mengenali dengan lebih dekat lagi ekosistem hutan, tetapi juga memahami setiap kitaran semulajadi yang berlaku antara ekosistem hutan dengan komponen-komponen yang ada di dalamnya sehingga terhasilnya keseimbangan terhadap keseluruhan ekosistem. Bayangkan, begitu sempurnanya hakikat kejadian alam yang masing-masing mempunyai peranan tersendiri yang telah diprogramkan oleh Allah SWT dengan cukup teratur tanpa sebarang cacat cela.

Namun, sayangnya kesempurnaan itu hanya bersifat sementara apabila ia jatuh ke tangan manusia yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Maha Pencipta. Hari demi hari ekosistem hutan kian menyusut lantaran sikap buas manusia yang tiada penghujung. Kelangsungan ekosistem hutan tidak lagi menjadi keutamaaan untuk dipelihara. Sebaliknya nilai kebendaan yang dikejar serta menjadi kemegahan. Betapa angkuhnya makhluk yang bernama manusia. Keangkuhan tersebut semakin jelas terpamer di depan mata apabila saban hari kita masih lagi disogokkan dengan berita-berita mengenai pembalakan haram baik di media massa mahupun di media elektronik. Sedangkan perkara seumpama ini seharusnya dihentikan segera agar tidak mengundang sebarang implikasi yang tidak diingini.

Tiada gunanya kita merungut apabila sukar tidur malam kerana bahang panas yang kian terasa lewat kebelakangan ini. Usah juga kita keluh kesah apabila keadaan cuaca semakin tidak menentu sehingga kadangkala mengganggu kelancaran aktiviti seharian kita. Jangan pula kita memberontak dan marah apabila haiwan lliar menceroboh ke kawasan penempatan kita. Sebaliknya, tanya pada diri kita sendiri, mengapa semua itu berlaku? Apakah yang telah kita buat untuk mengelak daripada ianya berlaku? Apakah pula sumbangan kita untuk memulihkan segala kecelaruan dan kepincangan yang hadir? Jawapan kepada persoalan-persoalan berkenaan ada pada diri kita sendiri. Jadi, tepuk dada tanya selera.

Kesediaan kita untuk berubah merupakan kunci penyelesaian kepada segala permasalahan alam sekitar yang timbul. Justeru, langkah awal perlu digerakkan agar kita lebih cenderung mempraktikkan amalan hijau dalam kehidupan seharian kita. Anak-anak perlu dilatih sejak seawal usia agar mereka memahami konsep hijau dan bagaimana ia membantu dalam pelestarian alam sekitar. Salah satu amalan hijau yang boleh dilatih dan dipraktikkan di rumah ialah meminimumkan penggunaan sumber dengan mengitar semula bahan-bahan kegunaan seharian. Mungkin usaha ini nampak kecil sahaja, namun jika seluruh anggota masyarakat mempraktikkannya ia akan memberi impak yang cukup besar untuk kelangsungan alam sekitar.

Jika kita amati, saban tahun terdapat pelbagai program berkaitan alam sekitar dianjurkan. Daripada aktiviti-aktiviti dan program-program yang dianjurkan dengan mengetengahkan tema yang berbeza dari semasa ke semasa jelas memberi cerminan bahawa tampuk kepimpinan kita begitu serius menangani permasalahan alam sekitar. Namun demikian, jika kesungguhan hanya di peringkat atasan kepimpinan sahaja tanpa disokong padu oleh rakyat, ia hanya akan menjadi sia-sia.

Justeru, dengan pengisytiharan tahun hutan antarabangsa ia diharap menjadi platform terbaik kepada seluruh anggota masyarakat untuk melibatkan diri secara langsung dalam program-program yang dianjurkan. Penglibatan secara langsung daripada anggota masyarakat diharap dapat memberi pendedahan yang lebih praktikal kepada mereka tentang kepentingan ekosistem hutan dan kesan terhadap kehidupan sejagat jika ekosistem ini dimusnahkan. Mudah-mudahan, dengan segala pendedahan dan pengalaman yang diperolehi daripada program-program yang dianjurkan dapat menitipkan kesedaran dalam kalangan mereka untuk lebih menghargai ekosistem hutan pada masa akan datang.

Salah satu perkara utama yang rata-rata kita perlu fahami dan sedari ialah hutan memainkan peranan penting sebagai paru-paru bumi. Dalam konteks ini, jika hutan dimusnahkan ia akan menyebabkan bekalan oksigen di bumi akan semakin berkurang. Lebih buruk lagi ia akan menyebabkan kadar pencemaran udara meningkat sehingga membawa kepada pemanasan global yang seterusnya mengundang berlakunya pelbagai bencana alam yang tidak diduga. Melihat kepada perumpamaan hutan sebagai paru-paru bumi, mungkin terdetik di benak segelintir kita bagaimanakah hutan dikatakan bertindak sebagai paru-paru bumi?

Bagi menjawab persoalan tersebut, contoh mudah yang boleh dilihat untuk kita fahami peranan hutan sebagai paru-paru bumi ialah fungsi di dalam tubuh badan kita sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, organ yang sangat penting di dalam badan kita ialah paru-paru. Ia berperanan mengawalatur pertukaran oksigen dan karbon dioksida di dalam badan. Dalam fungsi badan, oksigen diperlukan untuk tujuan pernafasan dan kelangsungan hidup sel-sel badan bagi memastikan manusia dapat menjalankan tugas dengan baik. Manakala, karbon dioksida pula ialah gas yang dibebaskan hasil daripada pernafasan dan ia perlu disingkirkan oleh badan kerana sifatnya yang boleh merosakkan fungsi badan.

Begitu juga dengan kitaran semulajadi bumi kita. Dalam kitaran bumi, ekosistem hutan bertindak sebagai penjana oksigen dan sekaligus mengurangkan kandungan karbon dioksida serta pencemaran udara di bumi. Dalam hal ini, ekosistem hutan berperanan menyerap karbon dioksida untuk tujuan penghasilan makanan yang dinamakan sebagai proses fotosintesis. Melalui proses fotosintesis, oksigen yang diperlukan oleh seluruh makhluk hidup di atas muka bumi dihasilkan. Oleh yang demikian, pemeliharaan ‘paru-paru bumi' ini sangat penting dalam memastikan bekalan oksigen dihasilkan secara berterusan bagi membolehkan manusia dan hidupan lain memperolehi bekalan oksigen yang cukup untuk melakukan aktiviti seharian dengan sempurna dan lancar.

Selain bertindak sebagai paru-paru bumi, terdapat pelbagai lagi manfaat yang akan kita perolehi jika kita memelihara dan melestarikan ekosistem hutan. Antaranya, ia dapat mengurangkan kesan rumah hijau, mengekalkan kepelbagaian serta kekayaan spesies flora dan fauna yang menghuninya, membekalkan udara yang bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan, mengelak daripada berlakunya limpahan air kerana mempunyai kawasan tadahan air yang mencukupi, sekaligus dapat mencegah berlakunya kejadian banjir dan hakisan tanah. Melihat kepada besarnnya peranan hutan kepada kita, sewajarnya ia dipelihara dan dijaga dengan sebaik baik mungkin agar tidak member implikasi yang buruk kepada kita dan alam sekitar di kemudian hari.