|
Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin Pegawai Penyelidik 25/07/2011 | Artikel Bahasa Malaysia |
Keadaan ini begitu menggusarkan kerana penebangan secara tidak terancang boleh mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap bumi serta keseluruhan ekosistem termasuklah masalah pencemaran, kepupusan habitat flora serta fauna dan juga pemanasan global. Natijahnya, ia seterusnya akan mengundang berlakunya pelbagai bencana alam termasuk tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya. Sedangkan kita seharusnya sedar bahawa ekosistem hutan merupakan harta yang perlu dipelihara. Ini memandangkan pokok-pokok hutan banyak memberi manfaat kepada alam semulajadi dan seluruh hidupan di bumi.Misalnya, sebatang pokok boleh mengeluarkan 91 kilogram oksigen setiap tahun. Jadi, bayangkan berapa banyak oksigen yang dapat dihasilkan jika kita memelihara keseluruhan ekosistem hutan yang masih lagi bersisa pada hari ini. Malah, dengan memelihara ekosistem hutan, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau ekoran daripada pembebasan gas-gas yang mencemarkan secara terbuka oleh kenderaan bermotor dan industri. Dengan pemeliharaan ekosistem hutan juga , ia dapat membantu menyejukkan suhu rumah dan persekitaran. Ini sekaligus dapat menjimatkan kos penyaman udara atau dengan perkataaan lain penggunaan tenaga dapat diminimumkan. Bayangkan jika sebatang pokok muda bersamaan dengan kos penyaman udara di 10 bilik yang beroperasi selama 20 jam, berapa banyak kos dan tenaga yang dapat kita jimatkan dengan memelihara ekosistem hutan. Begitu juga sekiranya kita memelihara 40 batang pokok, didapati sebanyak 37 kilogram pencemaran udara berupaya disingkirkan. Daripada maklumat-maklumat tersebut, ia memberi gambaran yang jelas kepada kita betapa besarnya peranan setiap pokok yang kita pelihara. Jika kita menyedari dan memahami hakikat ini dengan sedalam-dalamnya pasti kita akan lebih menghargai ekosistem hutan dan alam semulajadi yang kita miliki pada hari ini. Lebih-lebih lagi, ketetapan mengenai kepentingan aspek pelestarian alam sekitar dan segala sumber yang ada di dalamnya adalah termasuk dalam kerangka syariat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW telah memperlihatkan kepada kita bahawa aspek pelestarian alam sekitar merupakan tunjang penting dalam kehidupan manusia. Bahkan, memelihara dan menjaga alam sekitar serta komponen-komponen yang ada di dalamnya merupakan suatu kewajipan yang tergolong sebagai satu ibadah. Malahan, di dalam Islam terdapatnya konsep kawasan haram yakni kawasan yang diperuntukkan untuk melindungi sumber semulajadi alam. Semasa zaman pemerintahan Rasulullah SAW, baginda telah menetapkan kawasan-kawasan yang tidak boleh dicerobohi dan dilanggar peraturan ekosistemnya seperti mengehadkan aliran-aliran air, memelihara beberapa kemudahan umum dan kota-kota tertentu. Di dalam kawasan haram, kemudahan umum seperti kawasan tadahan air harus dilindungi daripada sebarang bentuk kemusnahan. Begitu juga, sumber air perlu sentiasa dijaga agar tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Tuntutan syariat Islam juga adalah bertujuan mewujudkan kesejahteraan umum yang menyeluruh terhadap semua makhluk Allah di muka bumi mencakupi kesejahteraan manusia di dunia dan juga di akhirat. Tujuan kesejahteraan umum yang menyeluruh adalah sesuatu yang khas daripada syariat Islam dan merupakan implikasi penting daripada konsep tauhid. Justeru, manusia perlu mengerjakan sesuatu perkara yang dituntut oleh Islam demi kesejahteraan seluruh makhluk. Daripada sini dapat difahami bahawa jika sesuatu peraturan tergolong dalam unsur syariat, maka Ia juga bererti mengandungi unsur ibadah. Oleh yang demikian, aspek penjagaan dan pelestarian alam sekitar adalah merupakan salah satu bentuk perlaksanaan ibadah. Syariat Islam telah diakui oleh para penganutnya sebagai ‘rahmatan lil alamin'. Justeru, penekanan Islam terhadap penjagaan ekosistem dan alam semulajadi yang bersumberkan al-Quran dan hadis sesungguhnya merupakan rahmat bagi kehidupan manusia dan segala hidupan di alam ini. Kebiasaan dan perilaku yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam aspek pemeliharaan alam sekitar (termasuk flora dan fauna), yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat baginda mencerminkan suatu pola pemeliharaan ekosistem yang cukup baik. Oleh yang demikian, ia sewajarnya diteladani dan diteruskan oleh para pengikutnya sehingga ke hari ini. Di samping melaksanakan aturan syariat sebagai suatu ibadah, umat Islam juga dapat memahami pengertian ibadah tersebut dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam konteks hubungan mereka dengan alam dan seluruh komponen yang ada di dalamnya. Ini memandangkan, perbahasan mengenai aspek keseimbangan ekosistem telah banyak dibahaskan dan ia merupakan isu penting yang sering mendapat perhatian baik pada peringkat nasional mahupun pada peringkat global. Melihat kepada situasi alam sekitar yang kian meruncing pada hari ini, mungkin timbul persoalan bagaimana ahli-ahli fuqaha pada awal abad pertengahan telah mempunyai wawasan yang cukup luas dengan menetapkan syariat yang kemudiannya mempunyai implikasi yang cukup penting dan berkesan terhadap aspek pelestarian alam sekitar. Sedangkan dengan pelbagai usaha yang telah kita lakukan pada hari ini, kita masih lagi tidak mampu menangani segala kepincangan yang berlaku terhadap alam sekitar sehingga mencapai impak positif seperti yang diharapkan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah kemusnahan alam sekitar seolah-olah kelihatan sebagai suatu proses yang tidak dapat dielakkan memandangkan manusia hidup berinteraksi dengan alam dan komponen-komponen yang ada di dalamnya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang kukuh untuk kita menggunakan segala sumber yang ada sehingga mengabaikan aspek pelestarian alam sekitar sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Apa yang penting ialah kesediaan kita untuk mengendalikan dampak daripada pengeksploitasian komponen-komponen alam tersebut dengan penuh bijaksana supaya ia memberi dampak sifar atau paling minimum terhadap alam sekitar. Maka, di sinilah perlunya penekanan syariat Islam dalam segala aspek kehidupan seharian termasuklah dalam konteks pemeliharaan alam sekitar. Jika kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam, pastinya segala urusan kita sebagai hamba-Nya akan menjadi lebih teratur dan sempurna. Bahkan, alam sekitar yang kita diami juga akan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh memusnahkannya dan keseimbangannya akan terus terpelihara. |
Followers
Carian dalam Blog ini
31 July 2011
Pentingnya Penekanan Syariat Islam Dalam Aspek Pelestarian Alam
Labels:
Artikel,
Isu Alam Sekitar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment