|
Mohamad A'sim bin Ismail
Pegawai Penyelidik 12/08/2011 | Utusan Malaysia |
Fitnah boleh membawa pelbagai erti. Mengikut kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah bermaksud tuduhan, khabar, kisah yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.
Dalam maksud ayat 191 surah al-Baqarah ada disebut "Fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan". Kebanyakan ulama tafsir memberi erti fitnah di dalam ayat Al-Quran ini membawa maksud perlakuan kufur dan syirik. Imam Fakhrulrazi dalam tafsir Kabir memetik Ibn Abbas sebagai berkata ini kerana pelaku syirik melakukan dosa besar yang melayakkan mereka kekal dalam neraka berbeza dengan kesalahan membunuh. Syirik dan kufur menjadikan pelakunya terkeluar daripada agama. Ada sebahagian ulama pula memberi erti fitnah sebagai perkara yang mengancam hidup beragama orang Islam samada dengan meracuni akidah orang Islam dengan pelbagai perkara yang meragukan atau pun dengan siksaan seperti yang berlaku ke atas sahabat nabi Muhammad SAW seperti Bilal, Sohaib dan Ammar bin Yasir. Apapun, semua takrifan fitnah ini membawa maksud negatif yang boleh membawa kucar-kacir dalam masyarakat. Dari konteks maksud fitnah oleh kamus Dewan, kita dapat melihat di dalam kehidupan bermasyarakat, timbul pelbagai dakwaan terhadap pihak kedua. Dakwaan yang timbul datang daripada pelbagai latar belakang individu dan kelompok dalam masyarakat. Ada dakwaan yang bersifat jelas dengan bukti sokongan ke atas dakwaan tetapi sebaliknya ada juga yang dibuat tanpa bukti dan tanpa mengetahui latar belakang selok belok perkara yang didakwa. Ini termasuk pihak ketiga yang membuat dakwaan terhadap suatu isu melibatkan dua pihak lain tanpa terlebih dahulu mengetahui dan menyelidik duduk sebenar perkara, khasnya daripada kedua-dua belah pihak itu sendiri. Dalam zaman serba canggih dengan teknologi internet di hujung jari, penyebaran segala dakwaan yang dibuat tidak terbatas kepada sesuatu kampung, daerah, negeri atau negara bahkan ke seluruh dunia. Dakwaan yang dibuat apatah lagi jika tidak benar sudah tentu memberi kesan besar kepada orang yang didakwa seperti menjejaskan maruah dan menimbulkan pandangan negatif masyarakat serta boleh mempengaruhi persepsi masyarakat awam dalam sesuatu isu. Pada masa yang sama golongan yang berkepentingan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat dakwaan tanpa usul periksa, mengadakan-adakan dakwaan untuk menjatuhkan pihak kedua demi memenuhi pelbagai motif seperti mengembangkan fahaman mereka, menguasai minda masyarakat dengan acuan dan agenda mereka atau untuk menjaga kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu. Mereka dengan mudah pula mencanangkan dakyah mereka itu ke seluruh lapisan masyarakat. Sebagai orang Islam, kita tidak harus terikut-ikut menyokong dan menerima sebarang dakwaan apatah lagi yang datang daripada golongan berkepentingan dengan menambah tokok lagi dakwaan mereka sehingga menjadikan dakwaan golongan berkepentingan tersebut seolah-olah benar walaupun dakwaan yang dibuat itu sebenarnya belum lagi jelas atau matang. Orang Islam mempunyai asas panduan yang telah pun digariskan oleh agama Islam apabila ingin mengatakan pandangan dalam sesuatu isu yang timbul atau menerima berita yang berlaku dalam masyarakat. Asas ini termaktub dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6). Ayat ini memberi kesimpulan bahawa berita yang diterima dan sebarang ulasan atau dakwaan yang ingin kita lakukan hendaklah berdasarkan kepada kesahihan kebenaran berita berkenaan. Jika kita memberi komen tanpa maklumat yang matang dan tepat tentang berita berkenaan maka sudah tentu ia boleh menjadi suatu dosa yang disesali kemudian. Apatah lagi berita yang diterima daripada orang fasik. Jika kita melihat lebih lanjut, maksud fasik dari segi bahasa ialah menyimpang daripada sesuatu atau daripada matlamat tertentu iaitu tidak taat. Dari segi istilah, imam al-Qurtubi mentakrifkan fasik iaitu mereka yang tidak mentaati Allah SWT daripada kalangan orang Islam yang ahli maksiat dan orang kafir. Al-Alusi pula mentakrifkan fasik itu termasuk orang berakal daripada kalangan orang kafir dan juga orang Islam tetapi ahli maksiat yang selalu melakukan dosa kecil dan besar. Ayat di bawah menerangkan lebih lanjut maksud fasik. Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran) dan tidak ada yang akan mengkufurkannya (mengingkarinya) melainkan orang-orang yang fasik. (Al-Baqarah:99) Di samping itu agama Islam juga menggalakkan umatnya agar menyatakan perkara kebaikan atau diam tidak memberi ulasan dalam sebarang perkara atau dakwaan yang tidak ada kaitan dengan mereka. Jika sesuatu perkara tidak diketahui latar belakangnya maka sudah tentu itu merupakan perkara yang kita sebagai umat Islam tidak diberi mandat untuk memberi komen apatah lagi menyokong dakwaan berkenaan. Kesan sebarang kenyataan menyokong oleh orang Islam khasnya pemimpin masyarakat tanpa usul periksa dan maklumat tepat dalam dakwaan dan isu yang timbul sudah tentu memberi gambaran yang mengelirukan kepada masyarakat awam Islam. Pada masa yang sama, tindakan ini sebaliknya lebih memberi keuntungan kepada pihak tertentu yang ingin melihat kelemahan umat Islam. Oleh itu dalam isu-isu masyarakat apatah lagi yang berkaitan dengan hidup beragama orang Islam, kita perlu menyelidik berita atau isu yang ditimbulkan dengan teliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang pendirian dan tindakan agar tidak terjebak ke dalam perlakuan fitnah. |
Followers
Carian dalam Blog ini
12 August 2011
Mengurus Risiko Daripada Terjebak Dengan Perlakuan Fitnah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment