07 Oktober, 2011 18:56 PM
Belanjawan 2012: Najib Umum Dasar Transformasi Nasional Pacu Negara Hingga 2020
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 berjumlah RM232.8 bilion dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020.
Perdana Menteri berkata dasar itu, yang menjadi kemuncak kepada semua program dan inisiatif untuk menjadi negara maju, bermula tahun ini sehinggalah tahun 2020.
Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebelum menyusuli dengan Program Transformasi Nasional (GTP), Program Transformasi Ekonomi dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik untuk menjadikan Malaysia negara moden, progresif dengan demokrasi yang berfungsi.
Ketika membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara" di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.
Belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur.
Malah, Anggota-anggota Parlimen juga bakal menikmati elaun baru serta kemudahan lain.
Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Perdana Menteri yang yakin dengan keutuhan asas ekonomi negara beserta langkah-langkah rangsangan, berkata ekonomi negara dijangka tumbuh antara 5 peratus dan 6 peratus tahun depan.
Katanya pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat, disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Najib berkata defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.4 peratus pada 2011.
Kutipan hasil kerajaan Pusat bagi tahun 2012 diangggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011.
Bagi tahun 2012, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion.
Belanjawan 2012 memberi penekanan kepada lima fokus, iaitu Meligatkan Pelaburan; Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti Dan Mencetus Inovasi; Program Transformasi Luar Bandar; Memperkejap Perkhidmatan Awam; dan Meredakan Inflasi Dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.
Bagi meligatkan pelaburan, kerajaan akan melaksanakan Rolling Plan Kedua dengan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dengan peruntukan RM98.4 bilion bagi tahun 2012 dan 2013.
Projek tersebut antaranya ialah landasan kereta api berkembar Gemas-Johor; projek lebuh raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu, Banting-Taiping, Segamat-Tangkak dan jalan Kota Marudu-Ranau; serta pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi.
Najib juga mengumumkan cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings sebagai sebuah lagi syarikat "blue chip" (saham mewah) perladangan sebelum pertengahan tahun depan.
Katanya setiap peneroka akan menerima "durian runtuh" yang jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.
Bagi mengungguli modal insan, Najib mengumumkan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional bagi menggalakkan cetusan idea bernilai komersil.
Beliau juga mengumumkan pemansuhan bayaran bagi sekolah mulai tahun depan, menjadikan pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.
Bagi luar bandar, Najib menggariskan Program Transformasi Luar Bandar, bertujuan menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat.
Bagi sektor perkhidmatan awam, Najib mengumumkan pelanjutan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun selain kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus.
akitangan awam juga akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 manakala pesara menerima kenaikan pencen dua peratus.
Najib juga mengotakan janjinya untuk mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang, terutama makanan.
Katanya kerajaan akan mengambil langkah bersepadu menangani fenomena itu seperti meningkatkan pengeluaran beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sambil memberi jaminan pemberian subsidi akan diteruskan, Najib sempat melemparkan sindiran kepada parti pembangkang, yang menurutnya cuba menguar-guarkan konsep negara kebajikan, sedangkan kerajaan Barisan Nasional telah pun mengamalkan konsep itu selama ini.
"Kita minta mereka ada sedikit rasa keihkhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang yang pertama yang menemui formula ini," katanya.
Najib berkata Belanjawan yang beliau bentangkan itu merangkumi segenap taraf sosioekonomi rakyat.
Najib berkata usaha pentadbirannya tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam, proses penstrukturan ekonomi, malah menjangkau Program Transformasi Politik "yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia".
"Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan negara," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment