Followers

Carian dalam Blog ini

19 October 2012

Insinerator Selamat Digunakan

Insinerator Selamat Digunakan
Ini adalah bahagian akhir daripada dua siri mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan bagi menangani pelupusan sisa pepejal negara.

Oleh Sakini Mohd Said

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Teknologi insinerator sisa pepejal telah lama diketahui kewujudannya dan cadangan pemilihan kaedah itu perlu dipertimbang sekali lagi sebelum menganggap ia membawa kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Insinerator bertindak membakar sisa di samping meminimumkan jumlah pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah. Insinerator bukanlah bermaksud untuk menggantikan tapak pelupusan sampah dengan sepenuhnya tetapi sebaliknya adalah sebagai pelengkap kepada pelupusan sisa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya ketika ditemubual Bernama berkata, "Tanggapan salah mengenai insinerator mungkin berdasarkan kepada insinerator yang terdapat pada masa dahulu.

"Kita perlu maju ke hadapan. Teknologi sudah berubah dan bertambah maju sehingga boleh menghalang pembentukan dioxin, bahan kimia (hasil daripada pembakaran sisa menerusi insinerator) yang dikatakan boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan alam sekitar dan ditentang oleh mereka yang tidak bersetuju dengan penggunaan insinerator", katanya.

Dioxin ialah racun kelas pertama, yang mendedahkan masyarakat kepada kanser.

KEBAIKAN INSINERATOR

Memandangkan isu insinerator ini boleh diperbesarkan seperti mana yang berlaku untuk projek Lynas, di Kuantan, Nadzri percaya orang ramai perlu mendapatkan penjelasan sebenar teknologi insinerator untuk menangani kebimbangan itu.

Untuk menyalahkan komuniti ini pun, adalah satu tindakan tidak wajar kerana ia berlaku ekoran ketidakfahaman mahupun kurangnya pengetahuan mereka berhubung teknologi itu.

Akan tetapi, kelantangan mereka seharusnya merujuk kepada fakta, bukti sambil melihat keberkesanan dan kejayaan beberapa buah negara maju menggunakan insinerator untuk pelupusan sisa pepejal mereka.

"Tokyo ada 21 insinerator, Singapura sebuah negara kecil pun ada lima insinerator, adakah kita dengar ramai rakyat mereka mati akibat kanser?

"Sekiranya benar teknologi ini memudaratkan, sudah pasti ramai, beratus penduduknya kena kanser, tetapi tiada pula," jelas beliau.

Sebaliknya, negara berkenaan masih mempunyai nilai pelancongan apabila tetap menjadi antara destinasi pilihan ramai. Ini membuktikan, pembinaan insinerator bukan sahaja tidak menjejaskan kesihatan malah ekonomi.

"Dengan teknologi terkini, pembentukan dioxin boleh dikawal menerusi pengawalan suhu, yakni mesti melebihi 850 darjah selsius", kata Nadzri.

DIKAWAL KETAT

Teknologi hijau itu juga akan dilengkapi dengan peralatan yang akan menyerap serta peka kepada sebarang pelepasan gas yang memudaratkan kesihatan termasuklah penghasilan dioxin.

Dikawalselia setiap masa oleh Jabatan Alam Sekitar, proses pembakaran mahupun operasi loji insinerator ini perlu mengikut garis panduan ditetapkan bagi memastikan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar terjamin dari mengenalpasti tapak sehinggalah insinerator itu siap dan diserahkan.

Insinerator berkenaan perlu memenuhi banyak syarat khas termasuk suhu pelepasan gas antara 850 hingga 1000 Celsius dan sekiranya ia melebihi tahap dibenarkan akan menyebabkan insinerator diberhentikan operasi dan langkah-langkah pembaikan akan dijalankan.

"Disebabkan itulah, hanya bahan buangan tertentu sahaja kita ambil untuk dibawa ke loji insinerator seperti sisa makanan dan komersial. Bagi sisa industri, ia masih diambil tetapi bukan daripada jenis berbahaya atau sisa terjadual yang disenaraikan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling," katanya.

"Ramai juga salah faham dan menyangkakan kalau ada insinerator tidak perlu tapak pelupusan. Sebenarnya, masih perlu kerana abu yang terhasil daripada proses pembakaran perlu dibuang ke tapak pelupusan.

"Tidak timbul kesan berganda kerana penggunaan insinerator dapat mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, sekali gus memanjangkan tempoh hayatnya," katanya.

Abu-abu atau 'bottom ash' yang terhasil hanyalah antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dibakar.



LEBIH BANYAK BAIK DARIPADA BURUK

Kebaikan di sebalik pemilihan teknologi insinerator adalah lebih banyak berbanding keburukannya.

Selain menjimatkan ruang kerana berkapasiti kecil berbanding tapak pelupusan, kawasan loji insinerator masih boleh digunakan bagi tujuan lain seperti perumahan, pertanian.

"Selepas usia tapak pelupusan habis tempoh hayatnya, ia perlu ditutup dan dicari tapak baru. Tapak ini sudah tidak boleh digunakan untuk pembangunan dan hanya boleh dijadikan sebagai taman rekreasi mahupun taman permainan.

"Berlainan dengan insinerator. Sekiranya lokasi loji itu ingin diubah, tapak asal masih boleh digunakan balik," katanya.

Istimewanya, sisa pepejal yang dibakar di insinerator juga berupaya menjana tenaga elektrik dan haba yang boleh digunakan untuk operasi loji, sekali gus mengurangkan kos pengurusannya.

Menurut laporan Lab Pengurusan Sisa Pepejal, loji insinerator di Copenhagen, Denmark, berupaya menghasilkan elektik dan haba, bersamaan dengan penggunaan 70,000 isi rumah untuk tahun 2004.

Justeru, ada munasabahnya untuk mengkategorikan insinerator sebagai antara satu teknologi hijau kerana selain menghasilkan tenaga ia juga membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar.

ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA

Merujuk kepada empat loji mini insinerator di Langkawi (Kedah), Tioman (Pahang), Pangkor (Perak) dan Cameron Highlands (Perak) yang dibina bagi mengatasi isu setempat, kata Nadzri ini menunjukkan bahawa negara sudah bersedia.

"Kita sudah bersedia. Kalau tidak, takkanlah kita bina. Cuma, yang berskala besar itu memerlukan kita mempunyai kepakaran, jadi adalah lebih baik sekiranya ia dilakukan menerusi kerjasama dengan pengusaha atau pembekal teknologi berkenaan," katanya.

Biarpun begitu, semua ini tidak akan berhasil tanpa adanya jaringan kerjasama masyarakat.

Harus diingat, kebergantungan sepenuhnya kepada tapak pelupusan tidak lagi sesuai pada masa ini, kata Nadzri mengakhiri temubual dengan Bernama.

-- BERNAMA

Insinerator Bantu Pelupusan Sisa Pepejal

Oleh Sakini Mohd Said

Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan dalam menangani pelupusan sisa pepejal negara.

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Penduduk di Malaysia menjana sisa pepejal sehingga 25,000 tan sehari dan ini bukanlah satu jumlah yang kecil!

Ditambah dengan jumlah penduduk kian meningkat, ada kemungkinan besar tapak pelupusan sebanyak 165 merangkumi lapan berstatus sanitari, tidak dapat menampung sampah yang semakin menimbun.

Untuk mencari tapak baru, mungkin ia bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik berikutan masalah kekangan tanah di samping kos pembinaan yang sangat tinggi. Bagi mendirikan tapak pelupusan berstatus sanitari adalah lebih tinggi berbanding kaedah tapak pelupusan konvensional.

Tambahan pula, kaedah tapak pelupusan hanya dapat bertahan dalam jangka masa tertentu, yakni bergantung kepada kadar penjanaan sisa pepejal setiap tahun. Kalau banyak penjanaannya, maka cepatlah tarikh hayatnya.

Melihat kebimbangan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah dengan menubuhkan Lab Pengurusan Sisa Pepejal dalam mencari kaedah terbaik.

Setelah meneliti pelbagai kaedah yang dijalankan oleh pihak lain, makmal berkenaan menjuruskan pemilihan kepada sistem loji insinerator bercirikan teknoloji hijau.

TAPAK PELUPUSAN, KESAN RUMAH HIJAU

Namun begitu, pemilihan teknologi ini sebagai kaedah alternatif pengurusan sisa pepejal turut tidak terkecuali daripada menerima bantahan.

Hanya membabitkan komuniti kecil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan kepada kepentingan alam sekitar, mereka mempertikaikan keselamatan masyarakat apabila insinerator diaplikasikan.

Berdasarkan laporan Lab itu, mendapati tapak pelupusan merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau serta penyebab kepada perubahan iklim dan pemanasan global.

Malah, dianggarkan peratusan pembebasan gas rumah hijau akan meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun 2020 dan oleh itu kaedah tapak pelupusan bukanlah satu pilihan.

Walaupun kaedah tapak pelupusan berstatus sanitari dianggap lebih mesra alam, jumlahnya adalah terhad berikutan penglibatan kos yang tinggi untuk mengada dan menguruskannya.

Dikenalpasti sebagai antara kaedah mesra alam, tapak pelupusan berstatus sanitari dilengkapi loji rawatan air larut resap (leachate) yang akan memastikan pelepasan leachate menepati standard Jabatan Alam Sekitar.

Ia juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan sampah yang dilupuskan bagi menangani masalah pemanasan global dan kejadian kebakaran.

"Tapak ini juga dilengkapi lapisan (liner) bagi menangani masalah bau serta menghalang air hujan memasuki tapak pelupusan yang boleh menambah kepada penghasilan leachate," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya kepada Bernama.

Namun, untuk menaiktarafnya kepada status sanitari, yakni tapak pelupusan lestari alam sekitar tentunya ia melibatkan kos yang tinggi. Jadi insinerator berasaskan kepada teknologi hijau mungkin jawapan kepada pengurusan sisa pepejal pada masa akan datang.

CADANGAN PENEMPATAN

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dipetik berkata tender bagi insinerator teknologi hijau itu akan dibuka pada Mac 2013 selepas kertas kerja mengenainya siap.

Untuk tujuan ini, KPKT bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan kertas kerja pembinaan tiga insinerator itu.

Menteri itu berkata, teknologi insinerator yang bercirikan teknologi hijau dirancang pembinaannya di Taman Beringin (Kuala Lumpur), Bukit Payung (Johor) manakala satu lagi sama ada di Selangor atau Melaka.

SUARA NEGATIF

Dipetik dalam satu laporan akhbar, kebimbangan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan adalah tertumpu kepada penularan bahan kimia seperti dioksin, furan dan merkuri hasil daripada pembakaran sisa menggunakan teknologi insinerator.

Dikatakan, penularan bahan kimia itu boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan bekalan makanan.

Ini disusuli pula dengan kajian impak kesihatan Greenpeace, menunjukkan risiko kematian akibat kanser paru-paru meningkat dalam kalangan penduduk di sekitar tapak pembakar sebuah perbandaran di Itali.

Bagaimanapun, kajian teliti yang dijalankan oleh Lab dan jabatan yang berkenaan mendapati bahawa insinerator teknologi hijau adalah selamat dan faedahnya adalah lebih banyak daripada yang sebaliknya.

ADAKAH PILIHAN LAIN?

Apapun, seseorang itu akan bertanya sama ada terdapat pilihan lain bagi Malaysia termasuk dengan mengaktifkan program kitar semula.

Walhal, kajian sebelum ini menunjukkan tahap pengasingan sisa di punca menerusi program kitar semula hanyalah sekadar lima peratus!

Satu peratusan sangat kecil berbanding kebergantungan kita terhadap tapak pelupusan, iaitu 95 peratus.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada konsep 3R, Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula) dalam pengurusan sisa pepejal.

"Malah, tidak ada mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang bergantung 100 peratus menerusi kaedah kitar semula," kata Nadzri kepada Bernama.

Biarpun dilihat ada 'sinar harapan' pengaktifan program kitar semula menerusi penguatkuasaan sistem pengasingan dipunca bermula 1 Sept lepas ekoran pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), namun ia tidak boleh disandarkan harapan sepenuhnya.

Hakikatnya, sistem pengasingan dipunca ataupun kitar semula, bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian ke arah pengurangan kadar penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

SUSAHNYA UBAH MINDA

Semuanya berbalik kepada minda masyarakat. Kata Nadzri, masih ada segelintir masyarakat yang acapkali mengambil mudah akan perihal berkaitan dengan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Bukan senang untuk mengubah minda masyarakat terutama yang berkaitan dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan teknologi terkini.

"Ia (ubah minda) antara cabaran terbesar dan paling susah. Contohnya, mereka kata kita tidak sediakan tong sampah kitar semula, walhal yang sebenarnya kita sudah sedia. Tetapi masyarakat (bukan semua) masih lagi mencampurkan sisa," katanya.

Begitu jugalah dalam hal mengaplikasi teknologi insinerator bagi pengurusan sisa. Negara lain seperti Denmark turut menerima bantahan pada peringkat awal.

Namun, selepas penerangan demi penerangan diberikan akhirnya insinerator bukan sahaja diterima penduduk negara itu malah ada dibina kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.

Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya hidup, 3R dan teknologi pelupusan terkini seperti insinerator.

-- BERNAMA

11 October 2012

Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan

Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- "Anak saya degil". "Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan." "Anak saya hanya sibuk dengan facebook dan internet". "Anak saya kalau saya marah sikit, mulalah tarik muka, hempas pintu dan berkurung dalam bilik."

Luahan rasa ini mungkin dikongsi kebanyakan ibu bapa masa kini terhadap anak mereka khususnya yang berusia remaja.

Ibu bapa yang berdepan dengan situasi ini mungkin marah, sakit hati atau berasa putus asa kerana memikirkan mereka telah gagal memainkan peranan sebagai ibu bapa.

Ada juga ibu yang mungkin berasa begitu sedih kerana anak yang dikandung dan dilahir dengan susah payah, dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang tetapi akhirnya tidak mendengar kata.

Sesetengah ibu bapa mungkin mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja anak remaja berterusan berkelakuan mengikut sesedap hati mereka kerana tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.

CARI FORMULA

Mungkin juga ada ibu bapa yang mencari jalan untuk berkomunikasi dengan anak melalui pembacaan tetapi apa yang dibaca mungkin tidak sesuai untuk diterapkan.

Kebanyakan buku mengenai keibubapaan adalah dari Barat, justeru cara mereka melihat isu ini mungkin berbeza daripada cara masyarakat tempatan khususnya orang Islam.

Menyedari keperluan ini, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia atau ringkasnya PPLI akan mengadakan bengkel sehari mengenai keibubapaan pada 13 Okt ini.

Bengkel tersebut sesuai dihadiri ibu bapa yang mempunyai anak remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun.

"Kita mengandaikan ibu bapa yang ada anak remaja sedang mencari-cari apa formula sebenarnya untuk mendidik anak remaja supaya masalah yang timbul antara mereka sekurang-kurangnya dapat diminimumkan," Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman memberitahu Bernama mengenai matlamat bengkel keibubapaan itu.

UBAH KEADAAN

Ibu bapa sepatutnya mendapat tempat di hati anak dan menjadi model contoh atau idola.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan keadaan, ia hanya berlaku ketika anak itu masih kecil.

"Bila mula pandai bercakap, emak bapa dialah segalanya. Emak dialah yang paling cantik. Emak dialah yang paling pandai.

"Apabila anak mula bersekolah, idolanya bertukar kepada guru. Kalau kita cakap tentang sesuatu, dia akan merujuk kepada gurunya. Bagi anak ini, guru dia lebih menyakinkan.

"Masuk usia remaja, anak ini berubah arah. Idolanya ialah rakan sebayanya. Kalau ibu bapa tidak mengambil langkah selanjutnya, anak itu akan kekal begitu. Cakap ibu bapa tak dengar. Cakap guru pun tak diendahkan," Siti Fatimah yang mempunyai banyak pengalaman dalam isu wanita dan kekeluargaan sebelum menyertai PPLI memberi pandangannya.

Beliau menegaskan, keadaan tersebut perlu diubah di mana ibu bapa patut kekal menjadi idola anak serta menjadi rujukan mereka.

KURANG MINAT

Program keibubapaan kurang menarik penyertaan! Siti Fatimah melihat isu ini lebih kepada faktor kewangan.

"Nak keluarkan mungkin RM200 untuk menghadiri seminar atau bengkel sehari mengenai keibubapaan? Ada yang berfikir RM200 ini lebih elok untuk membeli keperluan makanan rumah," katanya.

Bagi pihak majikan pula Siti Fatimah memberitahu bahawa ada yang mungkin beranggapan soal keibubapaan adalah soal peribadi.

"Pihak majikan perlu ingat bahawa pekerja yang mempunyai masalah keluarga, akan terjejas tumpuannya kepada tugas dan ini akan menjejaskan produktiviti mereka.

"Katakanlah, seorang ibu yang baru mendapat tahu bahawa anak gadisnya mengandung luar nikah, sudah tentu fikirannya terganggu dan dia tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada tugasan.

"Kalau kita selaku majikan dapat memberikan kemahiran keibubapaan kepada mereka supaya perkara tersebut dapat dielakkan, maka tak perlulah dia dan keluarganya berdepan dengan kesulitan ini," jelasnya.

Menurut Siti Fatimah, kestabilan rumah tangga termasuk memiliki kemahiran keibubapaan adalah penting ke arah melahirkan pekerja yang tenang dan bahagia yang seterusnya boleh menyumbang kepada produktiviti organisasi.

Beliau memberi contoh di Australia, syarikat-syarikat di negara itu menjadi semakin mesra keluarga.

Pelbagai kemudahan disediakan bagi memudahkan keluarga para pekerja. Kalau di Malaysia, isu taska pun masih belum betul-betul selesai, di Australia, majikan telah menyediakan "Children's room" bagi menempatkan anak pada usia persekolahan selepas tamat waktu sekolah.

"Dalam masyarakat kita, lepas anak balik sekolah, mereka mungkin ke sekolah agama. Antara dua waktu persekolahan ini, penjagaan anak perlu diuruskan juga.

"Bagi yang tidak ke sekolah agama? Mereka mungkin tinggal di rumah bersendirian atau dengan adik-beradik lain tanpa pengawasan orang dewasa.

"Nak ambil pembantu rumah, bukan sahaja semakin susah dan mahal, kadangkala tidak berbaloi kerana anak sudah besar," katanya sambil menambah beliau menyasarkan sekitar 80 peserta yang akan hadir pada bengkel keibubapaan itu.

MAKLUMAT BENGKEL

Bengkel keibubapaan, yang akan diadakan di Dewan Besar IKIM, No 2 Langgak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur itu membawa tajuk "Keibubapaan Anak Remaja: Anakku, Kawanku".

Ia akan membincangkan tiga modul.

Modul pertama "Keibubapaan Anak Remaja Dari Perspektif Islam" akan disampaikan oleh pakar motivasi yang tidak asing lagi, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga tetamu Segmen D'Zahrah IKIMfm.

"Kita memanggil seorang ustaz untuk modul ini kerana kita hendak bercakap mengenai keibubapaan anak remaja menurut Islam.

"Dalam hal keibubapaan, Saidina Ali bin Abi Talib iaitu khalifah Islam keempat, pernah berpesan, 'Bermainlah dengan mereka untuk tujuh tahun pertama, disiplinkan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya, berkawanlah dengan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya dan selepas itu anggaplah mereka sebagai orang dewasa.

"Saya berpendapat, kita hanya boleh berkawan dengan anak sekiranya kita telah melakukan dua tugas keibubapaan yang lebih awal iaitu bermain dan mendisiplinkan mereka pada tujuh tahun pertama dan kedua.

"Kita bermain dengan mereka semasa mereka kecil dan kita disiplinkan mereka semasa usia persekolahan. Lepas itu, baru kita boleh menjadi kawan mereka ketika mereka remaja," kata Siti Fatimah.

Kadangkala apa yang berlaku ialah ada ibu bapa yang merujuk kepada psikologi Barat dan gaya keibubapaan Barat dan melayan anak seperti kawan dari kecil sehingga remaja.

"Disebabkan itu, anak tidak sempat didisiplinkan dan berlakulah kepincangan yang akhirnya menimbulkan masalah dalam diri anak dan hubungan anak beranak itu sendiri. Sebagai orang Islam, mari kita lihat kembali apa Islam kata mengenai hal ini dan amalkannya," tambah beliau.

TIPS UNTUK IBU BAPA

Modul kedua, "Ibu Kool, Bapa Hebat" pula akan dikendalikan oleh Jamilah Samian yang juga penerbit tiga buah buku termasuk "Ibu Kool, Bapa Hebat" dan "Groovy Tips untuk membesarkan generasi Y dan generasi Z".

"Jamilah akan memberi tips bagaimana untuk membesarkan anak generasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang kita hadapi sekarang ini.

"Ibu bapa yang kool bukanlah ibu bapa yang mengikut sahaja kehendak anak tetapi ibu bapa yang membimbing anak dengan baik.

"Mereka tahu macam mana hendak menegur anak tanpa melukakan hati mereka. Mereka tahu bagaimana hendak menyuruh anak berbuat baik tanpa kelihatan seperti memberi arahan," katanya.

Sementara Siti Fatimah sendiri akan mengendalikan modul ketiga bertajuk "Keibubapaan Remaja: Cabaran Semasa".

Untuk modul itu, beliau akan mengambil beberapa isu yang boleh dianggap sebagai cabaran besar kepada ibu bapa seperti pergaulan bebas, pendidikan seks dan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) dan bagaimana ibu bapa boleh memperkasa diri untuk menjelas dan berbincang dengan anak mengenai hal ini.

"Isu LGBT umpamanya, mungkin tidak ramai ibu bapa yang mampu membincangkan perkara ini dengan anak mereka. Kita akan buat perbincangan berkumpulan dan dari situ kita akan bincangkan bagaimana ibu bapa boleh menangani isu tersebut," kata Siti Fatimah sambil menyarankan agar lebih ramai golongan bapa menyertai bengkel ini.

Bengkel itu juga terbuka kepada semua termasuk orang bukan Islam dan ahli akademik yang berminat untuk mengetahui pandangan Islam mengenai keibubapaan.

Maklumat lanjut boleh hubungi PPLI nombor 03-6204 6200 atau e-mel jie@ikim.gov.my atau http://www.ikim.gov.my.

-- BERNAMA