Oleh Sakini Mohd Said
Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai
insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan dalam menangani pelupusan
sisa pepejal negara.
PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Penduduk di Malaysia menjana sisa pepejal
sehingga 25,000 tan sehari dan ini bukanlah satu jumlah yang kecil!
Ditambah dengan jumlah penduduk kian meningkat, ada kemungkinan besar
tapak pelupusan sebanyak 165 merangkumi lapan berstatus sanitari, tidak
dapat menampung sampah yang semakin menimbun.
Untuk mencari tapak baru, mungkin ia bukanlah satu jalan penyelesaian
terbaik berikutan masalah kekangan tanah di samping kos pembinaan yang
sangat tinggi. Bagi mendirikan tapak pelupusan berstatus sanitari adalah
lebih tinggi berbanding kaedah tapak pelupusan konvensional.
Tambahan pula, kaedah tapak pelupusan hanya dapat bertahan dalam jangka
masa tertentu, yakni bergantung kepada kadar penjanaan sisa pepejal
setiap tahun. Kalau banyak penjanaannya, maka cepatlah tarikh hayatnya.
Melihat kebimbangan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah dengan menubuhkan Lab
Pengurusan Sisa Pepejal dalam mencari kaedah terbaik.
Setelah meneliti pelbagai kaedah yang dijalankan oleh pihak lain, makmal
berkenaan menjuruskan pemilihan kepada sistem loji insinerator
bercirikan teknoloji hijau.
TAPAK PELUPUSAN, KESAN RUMAH HIJAU
Namun begitu, pemilihan teknologi ini sebagai kaedah alternatif
pengurusan sisa pepejal turut tidak terkecuali daripada menerima
bantahan.
Hanya membabitkan komuniti kecil beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang berpaksikan kepada kepentingan alam sekitar, mereka
mempertikaikan keselamatan masyarakat apabila insinerator diaplikasikan.
Berdasarkan laporan Lab itu, mendapati tapak pelupusan merupakan
penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau serta penyebab kepada
perubahan iklim dan pemanasan global.
Malah, dianggarkan peratusan pembebasan gas rumah hijau akan meningkat
kepada 50 peratus menjelang tahun 2020 dan oleh itu kaedah tapak
pelupusan bukanlah satu pilihan.
Walaupun kaedah tapak pelupusan berstatus sanitari dianggap lebih mesra
alam, jumlahnya adalah terhad berikutan penglibatan kos yang tinggi
untuk mengada dan menguruskannya.
Dikenalpasti sebagai antara kaedah mesra alam, tapak pelupusan berstatus
sanitari dilengkapi loji rawatan air larut resap (leachate) yang akan
memastikan pelepasan leachate menepati standard Jabatan Alam Sekitar.
Ia juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang
dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan
sampah yang dilupuskan bagi menangani masalah pemanasan global dan
kejadian kebakaran.
"Tapak ini juga dilengkapi lapisan (liner) bagi menangani masalah bau
serta menghalang air hujan memasuki tapak pelupusan yang boleh menambah
kepada penghasilan leachate," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan
Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya kepada Bernama.
Namun, untuk menaiktarafnya kepada status sanitari, yakni tapak
pelupusan lestari alam sekitar tentunya ia melibatkan kos yang tinggi.
Jadi insinerator berasaskan kepada teknologi hijau mungkin jawapan
kepada pengurusan sisa pepejal pada masa akan datang.
CADANGAN PENEMPATAN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung
dipetik berkata tender bagi insinerator teknologi hijau itu akan dibuka
pada Mac 2013 selepas kertas kerja mengenainya siap.
Untuk tujuan ini, KPKT bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit
Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan
kertas kerja pembinaan tiga insinerator itu.
Menteri itu berkata, teknologi insinerator yang bercirikan teknologi
hijau dirancang pembinaannya di Taman Beringin (Kuala Lumpur), Bukit
Payung (Johor) manakala satu lagi sama ada di Selangor atau Melaka.
SUARA NEGATIF
Dipetik dalam satu laporan akhbar, kebimbangan beberapa kumpulan dan NGO
berkenaan adalah tertumpu kepada penularan bahan kimia seperti dioksin,
furan dan merkuri hasil daripada pembakaran sisa menggunakan teknologi
insinerator.
Dikatakan, penularan bahan kimia itu boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan bekalan makanan.
Ini disusuli pula dengan kajian impak kesihatan Greenpeace, menunjukkan
risiko kematian akibat kanser paru-paru meningkat dalam kalangan
penduduk di sekitar tapak pembakar sebuah perbandaran di Itali.
Bagaimanapun, kajian teliti yang dijalankan oleh Lab dan jabatan yang
berkenaan mendapati bahawa insinerator teknologi hijau adalah selamat
dan faedahnya adalah lebih banyak daripada yang sebaliknya.
ADAKAH PILIHAN LAIN?
Apapun, seseorang itu akan bertanya sama ada terdapat pilihan lain bagi
Malaysia termasuk dengan mengaktifkan program kitar semula.
Walhal, kajian sebelum ini menunjukkan tahap pengasingan sisa di punca
menerusi program kitar semula hanyalah sekadar lima peratus!
Satu peratusan sangat kecil berbanding kebergantungan kita terhadap tapak pelupusan, iaitu 95 peratus.
"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada konsep 3R, Reduce
(mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula) dalam
pengurusan sisa pepejal.
"Malah, tidak ada mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang
bergantung 100 peratus menerusi kaedah kitar semula," kata Nadzri kepada
Bernama.
Biarpun dilihat ada 'sinar harapan' pengaktifan program kitar semula
menerusi penguatkuasaan sistem pengasingan dipunca bermula 1 Sept lepas
ekoran pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
(Akta 672), namun ia tidak boleh disandarkan harapan sepenuhnya.
Hakikatnya, sistem pengasingan dipunca ataupun kitar semula, bukanlah
satu-satunya jalan penyelesaian ke arah pengurangan kadar penjanaan sisa
pepejal ke tapak pelupusan.
SUSAHNYA UBAH MINDA
Semuanya berbalik kepada minda masyarakat. Kata Nadzri, masih ada
segelintir masyarakat yang acapkali mengambil mudah akan perihal
berkaitan dengan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal.
"Bukan senang untuk mengubah minda masyarakat terutama yang berkaitan
dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan teknologi terkini.
"Ia (ubah minda) antara cabaran terbesar dan paling susah. Contohnya,
mereka kata kita tidak sediakan tong sampah kitar semula, walhal yang
sebenarnya kita sudah sedia. Tetapi masyarakat (bukan semua) masih lagi
mencampurkan sisa," katanya.
Begitu jugalah dalam hal mengaplikasi teknologi insinerator bagi
pengurusan sisa. Negara lain seperti Denmark turut menerima bantahan
pada peringkat awal.
Namun, selepas penerangan demi penerangan diberikan akhirnya insinerator
bukan sahaja diterima penduduk negara itu malah ada dibina kurang satu
kilometer dari kawasan perumahan.
Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan
adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya hidup,
3R dan teknologi pelupusan terkini seperti insinerator.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment