Followers

Carian dalam Blog ini

06 October 2014

Usaha Malaysia Banteras Rasuah


Ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pelbagai langkah susulan dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun 2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha terus dirintis untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan capability agensi penguat kuasa.
Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat.
Kategori pelaku rasuah
Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.
Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Tahap keupayaan pelaburan dalam kalangan majoriti Bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.
Permintaan Presiden CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak not RM10 dalam mesin ATM, memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.
Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara mahu mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan perkapita RM48,000 pada tahun 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption.
Apakah opsyen yang ada dalam kalangan pegawai awam mahupun swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup harian? Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, menjual kuih, mengambil upah menjahit serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan produktiviti.
Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat.
Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.
Pelaku rasuah kategori kedua terdiri daripada kalangan yang bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.
Usaha perangi rasuah fokus dua aspek
Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.
Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada era kepemimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S P Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Abdul Rahman Talib mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.
Sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot pada Pilihan Raya Umum 1969. Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang Parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.
Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (RM1,138,403); tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (RM329,979) disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad Said meletakkan jawatan pada Februari 1970.
Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Pada peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Jemaah Menteri pada September 1970.
Pada era kehebatan Rom, pemerintahan diktator diizinkan undang-undang untuk dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara menghadapi krisis; selepas itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada rakyat.
Cincinnatus, Jeneral Bersara, yang diserahkan kuasa memerintah secara diktator adalah contoh pemimpin Rom yang tidak gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus dilantik memimpin ketika Rom menghadapi krisis; selepas Rom kembali tenteram, walaupun rakyat Rom memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya, dan mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Machiavelli merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat seorang pemimpin yang memiliki kekebalan serta daya tahan daripada melakukan rasuah kerana tidak haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma pada Tun Abdul Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak mempertahankan kuasa.
Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13 Mei, Tun Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman, meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem demokrasi berparlimen dihidupkan semula.
Pada era pimpinan Datuk Hussein Onn, Datuk Harun Idris pada tahun 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Datuk Harun dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik, tetapi seorang individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
"It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task. To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.
It has given horrible illustrations of Lord Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.
..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant".
Utama kedaulatan undang-undang
Penghakiman itu mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada kenalan.
Bertindak secara tegas lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian. Allah SWT telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi Adam adalah ciptaan Ilahi, dimuliakan, dikurniakan status tinggi hingga malaikat diperintahkan sujud kepadanya. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan oleh Ilahi secara tegas lagi segera; Nabi Adam Alaihissalam diperintah keluar dari syurga.
Demikian tegasnya prinsip melaksanakan keadilan dalam Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat itu diperkukuhkan lagi dengan u hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu ia itu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaan Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku kudungkan tangannya."
Tingkat integriti
Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak adalah faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah Nabi Hud Alaihissalam, pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa.
Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Memperkukuhkan iman adalah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan daripada tergelincir dengan tarikan kebendaan - tarikan kemewahan serta tarikan kepada pangkat dan tarikan kepada kuasa. Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah SWT yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
David Owen, dalam karyanya, 'The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the Intoxication of Power', melakukan analisis perlakuan rasuah daripada lensa seorang doktor perubatan; Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit mental.
Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta; lalu keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan peribadi mengatasi kepentingan awam; sebarang pendapat bercanggah, meskipun datang daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa jua tentangan.
Kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggung jawab juga ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah tuntutan. Setiap janji diungkapkan, setiap perkara dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan; ketika itu tidak ada peguam bela untuk membela dosa yang dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan. Memerangi rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari insan.
Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah.

No comments: