Rukun Negara
Rukun Negara adalah ideologi
kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan
Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan
perpaduan dan ketenteraman negara.
Perisytiharan
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita
hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh
masyarakatnya
Memelihara cara hidup demokratik
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran
negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi
kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan
sains dan teknologi moden
Ikrar
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh
tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas
prinsip-prinsip yang berikut:
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada
Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah
diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan
beragama yang betul akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa
dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam
ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain
boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas
alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara
menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan
manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga
sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan
anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah
dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja
dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan
Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di
setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan
lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa
setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas
kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula,
rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri
tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan
Agong.
Keluhuran
Perlembagaan
Prinsip ini menekankan perlunya
rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan
Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang
tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini
akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara
Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan
kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua
pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat
yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau
mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan
sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal
yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak
sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan
Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas
kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi
undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia.
Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya
perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan
bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula
oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan
undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan
makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat
dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua
anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan
dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara
sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Kesopanan dan
Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan
perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah
untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan
kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu
yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting
dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum
di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi
membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral
tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila
ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau
menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga
mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan
persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya
perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan
keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment