Followers

Carian dalam Blog ini

16 October 2016

Ancaman keselamatan siber

Oleh Zahri Yunos, Rabiah Ahmad, Shahrin Sahib dan Mokhtar Mohd. Yusof

CyberSecurity Malaysia berperanan memberi pendidikan mengenai pentingnya mengetahui bahaya ancaman siber.
Pergantungan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang amat tinggi pada abad ini telah mengakibatkan Malaysia terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman siber.

Berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia, serangan siber meningkat sejak tahun 2007 sehingga kini, dunia turut dikejutkan dengan ancaman siber yang juga berpaksikan keganasan fizikal sebenar.

Namun, hingga kini tiada definisi yang jelas mengenai maksud keganasan siber.

Kepesatan aplikasi ICT dalam kehidupan seharian dalam pelbagai aspek telah mengakibatkan struktur maklumat terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada berbentuk digital mahupun fikizal.

Oleh kerana jenayah siber adalah serangan ke atas sistem komputer yang mengakibatkan kecurian dan kemusnahan sistem maklumat, dan ia dilakukan oleh si pelaku yang tidak mendapat kebenaran capaian sistem, maka tafsiran ini dilihat terlalu kecil untuk diertikan sebagai keganasan siber.

Keganasan siber harus dikategorikan dalam skop jenayah yang lebih berat kerana tafsiran keganasan tersebut bermaksud ancaman ganas dengan niat yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada infrastruktur kritikal seperti teknologi komunikasi, tenaga dan pengangkutan.

Kebanyakan penyelidik barat mengaitkan aktiviti keganasan termasuk keganasan siber dengan kumpulan militan Islam.

Sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat dan merdeka, definisi ini tidak harus diguna pakai. Namun, tafsiran keganasan siber dalam konteks Malaysia perlu ada bagi membendung masalah keganasan terutama yang melibatkan ICT.

Satu kajian yang disokong oleh dana tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberi input baharu kepada kaedah melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) daripada ancaman keganasan yang boleh dicetuskan melalui teknologi digital.

Secara keseluruhan, artikel ini menghuraikan komponen asas yang menggariskan elemen keganasan siber serta impak kepada kemusnahan infrastruktur fizikal.

Artikel tersebut juga menjelaskan bahawa keganasan siber bukan rekaan atau dongeng, tetapi ia adalah satu realiti.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia harus bersedia dalam menghadapi serta menangani masalah ini.

Hasil kajian awal berjaya menampilkan beberapa kes sebenar keganasan siber yang berlaku di sekitar negara Amerika Syarikat dan benua Eropah. Walaupun masih tiada kaedah pembuktian yang mengkaitkan kes tersebut dengan keganasan siber, ramai pakar keselamatan maklumat dan anti keganasan mengklasifikasikan insiden ini dengan keganasan.

Penyelidikan keganasan siber telah bermula pada tahun 2011 melalui kajian literasi dengan melihat kepada beberapa laporan kes serangan siber. Selain itu, sesi temu bual dengan beberapa pakar keselamatan siber dari agensi-agensi kerajaan, organisasi CNII, ahli akademik serta pakar syarikat swasta telah diadakan bagi mendapat gambaran awal tentang kefahaman keganasan siber dalam kalangan pakar tempatan.

Setelah itu, proses ekstraksi maklumat berkaitan keganasan siber pula dilaksanakan, membolehkan penyelidik mengenal pasti persepsi penyelidikan terdahulu dalam membuat tafsiran mengenai keganasan siber. Melalui maklumat yang diperoleh, penyelidik telah membangunkan soalan bagi sesi temu bual bersama kumpulan pakar dalam bidang keselamatan siber seperti yang dijelaskan.

Teknik kajian teori asas atau Grounded Theory telah digunakan bagi membangunkan tafsiran setiap komponen yang terlibat secara langsung dengan penggunaan siber untuk mencetuskan keganasan.

Olahan kumpulan pakar telah mencapai satu tahap yang dikatakan sebagai tepu atau saturated diklasifikasikan sebagai penerimaan mutlak terhadap tafsiran terma. Setiap tafsiran dianalisis menggunakan perisian envivo iaitu satu perisian bagi data bersifat kualitatif.

Objektif analisis ini adalah untuk menghubungkan tafsiran yang diberi oleh responden terhadap sesuatu terma berkaitan keganasan siber.

Proses verifikasi setiap komponen berkaitan dengan keganasan siber ini dilakukan melalui perbandingan olahan tafsiran keganasan daripada responden dan tafsiran melalui kajian literasi. Seramai 22 responden telah memberi tafsiran yang berbeza dan dianalisis bagi mendapatkan perkaitan komponen keganasan siber. Hasilnya, kesepakatan telah dapat dicapai iaitu hampir semua responden yang terlibat mengaitkan keganasan siber membawa kepada kemusnahan aset kritikal negara.

Secara umum, konsep asas rangka kerja keganasan siber ini menampilkan enam komponen asas yang menjadi faktor penyumbang kepada aktiviti pengganas siber.

Hasil analisis daripada maklum balas pakar yang terlibat dalam kajian ini dapat dirumuskan bahawa keganasan siber ditafsirkan dengan penglibatan ke enam komponen asas yang dinyatakan di atas.

Bagi membantu proses mengecam pengganas siber, rangka kerja ini perlu diguna pakai.

Hasil kajian kes yang dijalankan dalam penyelidikan ini mencadangkan bahawa aktiviti keganasan siber perlu berpaksikan kepada penggunaaan siber sebagai medium serangan, serangan adalah dalam bentuk ancaman siber seperti serangan worm, botnet dan sebagainya. Perlakuan keganasan perlu bermotif merosakkan CNII dan sasaran adalah kepada kehancuran negara dan masyarakat awam.

Secara keseluruhan, kajian tersebut berjaya memberi satu cadangan tafsiran ke atas keganasan siber dengan kajian empirikal dan bukan tafsiran sembrono atau mengikut kehendak negara tertentu. Analisis data membuktikan keperluan kepada enam komponen asas dalam mentafsirkan keganasan siber dan ianya adalah sasaran, kesan, kaedah tindakan, domain, alat serang dan motif.

Keenam-enam komponen ini perlu ada dan bersaling kait sebelum sesuatu tafsiran keganasan siber dibuat.

Dalam usaha melindungi aset kritikal negara, enam komponen asas ini dapat diguna pakai oleh kumpulan pembangun dasar keselamatan maklumat negara.

Cadangan rangka kerja keganasan siber ini juga membuktikan bahawa Malaysia serius dalam menangani isu keganasan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.

Hakikatnya keganasan siber adalah satu realiti dan bukan dogengan semata-mata. Apa yang penting adalah kepekaan seluruh rakyat Malaysia dalam melindungi maklumat terutama yang berkaitan CNII. Pengganas era digital tidak melakukan kemusnahan secara alam nyata tetapi menggunakan alam maya bagi meruntuhkan sesebuah negara.


03 October 2016

Pembangunan Lestari 2030 (SDGs)

Malaysia komited terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). Bagi Malaysia, agenda pembangunan negara sentiasa berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi SDGs.
Malaysia telah memulakan inisiatif untuk mencapai Agenda 2030;
1. Rancangan lima tahun kami yang sedia ada, Rancangan Malaysia Ke-11 meliputi tempoh 2016-2020.
2. Rakyat dijadikan sebagai teras bagi semua usaha pembangunan dan dengan tema 'pertumbuhan berpaksikan rakyat'.
Rancangan itu fokus pada tiga prinsip utama –
a) mencapai pendapatan tinggi,
b) keterangkuman, dan
c) kelestarian.
3. Malaysia juga kini dalam proses menggubal Rancangan SDG Negara, dengan pewujudan jawatankuasa inklusif dan pelbagai untuk menyelia pelaksanaan dan pemantauan SDGs.
4. Memperkukuhkan keperluan data bagi SDGs sebagai dasar yang menjadi panduan bagi kelestarian pembangunan Malaysia.
5. Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional atau TVET. Dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan menerusi program TVET, kami bukan sahaja menyediakan belia untuk pasaran kerja, tetapi juga menyediakan modal insan bagi pembinaan negara.
6. Seterusnya ialah MaGIC, atau Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia, dari situ kami akan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai modal permulaan di Asia. Misi kami untuk memanfaatkan ekosistem keusahawanan di Malaysia, dengan menggabungkan kekayaan sumber-sumber daripada rakan kongsi dan juga masyarakat, untuk membangunkan usahawan yang berdaya saing dan mencatat pertumbuhan tinggi yang akan memberikan impak positif di peringkat serantau dan global.
MaGIC, yang terletak di Cyberjaya, Malaysia, telah dilancarkan bersama oleh Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri Najib Tun Razak pada April 2014, dan pada hari penuh bersejarah itu, MaGIC menandatangani memorandum persefahaman dengan UP Global untuk pemupukan dan pembangunan eskosistem permulaan yang lebih berdaya maju di Malaysia dan sekitarnya.
Sumber : Ucapan TPM di UNGA, PBB.

#Isu Penyeludupan


Definisi
Penyeludupan adalah perbuatan mengangkut barang atau orang secara haram dan diam-diam, seperti keluar daripada sebuah bangunan, ke dalam penjara, atau melalui sempadan antarabangsa, bertentangan dengan undang-undang atau peraturan lain.
Sebab
- Perdagangan haram seperti dadah,
- kemasukan dan penghijrahan haram,
- mengelakkan cukai,
- penyeludupan barangan haram kepada tahanan penjara,
- penyeludupan barang yang dicuri.
Contoh lain bagi sebab bukan bermotifkan kewangan
- membawa barangan terlarang melewati sebuah pos pemeriksaan keselamatan (seperti di lapangan terbang)
-penghapusan dokumen rahsia daripada pejabat kerajaan atau syarikat.
#Penyeludupanmanusia
merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada pengangkutan manusia merentasi sempadan antarabangsa ke pintu masuk bukan rasmi negara destinasi bagi banyak tujuan. Selalunya mereka yang diangkut tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau kebenaran untuk memasuki negara destinasi.
Penyeludupan manusia berlaku akibat dari ketidakupayaan sesebuah negara mengawal kawasan darat dan perairan. Biasanya manusia menyeludup dan berhijrah dari negara yang miskin, mundur dan tertutup ke sebuah negara yang maju dan mempunyai potensi ekonomi yang tinggi. Ia satu bentuk pengabdian manusia yang baru.
Penyeludupan manusia terbahagi 3 iaitu sebenar-benarnya diseludup, mereka menyeludup sendiri dan penyeludupan secara sukarela. Ramai wanita asing yang ditangkap atau diselamatkan daripada terlibat dengan pelacuran mendakwa mereka adalah mangsa pengedaran. Ramai yang masuk atas kehendak sendiri untuk mencari pekerjaan.[1]
Penyeludupan manusia bukan satu masalah luar biasa di Asia kerana globalisasi membolehkan pergerakan manusia yang lebih melalui migrasi rentas negara yang menyebabkan penyeludupan manusia. Seramai 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dan 80% daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak.
#Penyeludupanbarangan
Perbuatan membawa masuk barang-barang bercukai atau larangan ke Malaysia atau keluar dari Malaysia secara tidak sah.Jenis-jenis komoditi utama diseludup adalah seperti rokok, minuman keras, gula, minyak diesel dan sebagainya.
Punca
1- Faktor geografi antara Malaysia dengan Negara jiran merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya penyeludupan,seperti yang berlaku di sempadan negara Malaysia dengan Thiland yang hanya dipisahkan oleh sebatang sungai yang berkelebaran beberapa meter.
2. Punca penyeludupan seterusnya ialah berkaitan dengan undang-undang perairan antarabangsa. Pasukan keselamatan dan penguatkuasaan negara seperti kastam dan polis tidak mempunyai kuasa untuk merampas barang yang ada dalam sungai kerana terikat dengan undang-undang perairan antarabangsa.
3. Disamping harga yang murah permintaan yang tinggi dari pengguna menyebabkan masalah ini berlarutan dan sukar dikawal.
Kesan
1. Dari segi ekonomi, negara kehilangan pendapatan daripada hasil cukai yang akan memberi impak kepada pembangunan sosial dan ekonomi
2. menggalakkan jenayah terancang, jika dibiarkan jenayah lain yang berkait dengan aktiviti penyeludupan juga boleh berlaku seperti penyeludupan dadah dan senjata api.
3. menjejaskan kesihatan dan kebersihan kerana barang yang diseludup tidak melalui proses saringan oleh pihak berkuasa,
4. mendedahkan rakyat terhadap risiko penyakit dan penggunaan barangan yang tercemar.
Malaysia tersenarai bersama beberapa negara lain seperti Filipina, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam sebagai pusat transit utama penyeludupan hidupan liar. Selain menjadi lokasi pemburu haram.
Faktor
1. Permintaan tinggi terhadap beberapa tubuh haiwan tertentu yang dipercayai mempunyai nilai perubatan tradisional yang tinggi terutama di China serta tabiat pemakanan masyarakat hari ini yang semakin pelik dan permintaan tinggi restoran yang menghidangkan makanan eksotik menyebabkan sesetengah haiwan dilindungi sentiasa menjadi buruan.
2. Faktor kekayaan flora dan fauna serta kepelbagaian sumber dalam negeri antara sebab Malaysia menjadi pilihan pemburu haram sebagai hab penyeludupan hidupan liar.
3. Rangkaian pengangkutan darat yang baik dan operasi pelabuhan cekap menjadikan Malaysia sebagai pusat transit pilihan negara serantau untuk menyeludup keluar haiwan eksotik yang dilindungi.
4. Malaysia merupakan negara Maritim dan penguatkuasaan yang ketat dan bersepadu agak sukar untuk dilaksanakan kerana batasan jumlah kakitangan.
Kesan
penyeludupan haiwan liar menyebabkan spesies flora dan fauna mengalami gangguan untuk membiak dan bilangan mereka kini semakin berkurangan.

Pendatang atau Pelarian

PENGENALAN
Entry kali ini macam takde kaitan dengan travelling. Tapi rasanya ada kaitan jugak coz dimana2 kita pergi mesti ada terjumpa mereka samada di dalam Malaysia atau semasa di oversea. Cuma di sini kita tidak tau mana nak bezakan antara mereka kerana dari luaran lebih kurang sama. Kalau anda pernah ke Istanbul mesti tahu bagaimana nak bezakan kerana di sana memang banyak pelarian Syrian. Berbeza kalau anda pernah ke sana 3 tahun lepas, jarang2 jumpa tapi sekarang mereka berada di mana2 di sana. Beberapa jam saya berada di pejabat UNHCR yang terletak di Jalan Sri PEtaling, memanggil saya untuk menulis satu entry di blog saya. Betapa untung nya kita berada di bumi Malaysia ini yang aman dan bebas dari peperangan. Pejabat UNHCR tiada bangunan tetap, ia hanyalah blok2 kabin yang dikumpul kemudian dijadikan pejabat. Kebanyakan pekerja UNHCR adalah sukarelawan yang banyak juga terdiri daripada golongan professional. Kalau anda ingin menjadi sukarelawan boleh rujuk ke website UNHCR Malaysia. Sekurang2 nya 3 bulan untuk menjadi sukarelawan. Tahukah jika mereka tidak gembira tinggal di sini, mereka boleh memohon resettlement untuk ke negara2 lain yang mengiktiraf pelarian untuk keadaan yang lebih baik. Berbas2 mereka dihantar ke airport, ada yang ke USA ada yang ke Canada.
PERBEZAAN ANTARA PENDATANG DAN PELARIAN
Tahukah ada perbezaan antara pendatang dengan pelarian? Orang kita selalu salah anggap dengan istilah ini. Bagi kita mereka semua adalah pendatang. Benar, bukan?. Secara am, nampak sama kerana mereka semua meninggalkan negara mereka dan datang ke sini. Saya petik dari UNHCR website; perbezaan antara mereka;

Pelarian/refugees:
Refugees are persons fleeing armed conflict or persecution. Their situation is often so perilous and intolerable that they cross national borders to seek safety in nearby countries, and thus become internationally recognized as "refugees" with access to assistance from States, UNHCR, and other organizations. They are so recognized precisely because it is too dangerous for them to return home, and they need sanctuary elsewhere. 
Refugees are defined and protected in international law. The 1951 Refugee Convention and its 1967 Protocol as well as other legal texts, such as the 1969 OAU Refugee Convention.
The protection of refugees has many aspects.

Pendatang/immigrant:
Migrants choose to move not because of a direct threat of persecution or death, but mainly to improve their lives by finding work, or in some cases for education, family reunion, or other reasons. Unlike refugees who cannot safely return home, migrants face no such impediment to return. If they choose to return home, they will continue to receive the protection of their government.
Nampak tak perbezaan nya? Besarkan jurang perbezaan definasi antara dua ini. Jadi, jangan anggap mereka sama.

Secara peribadi, pelarian UNHCR dibenarkan untuk tinggal di Malaysia atau di mana2 negara yang terdapat organisasi ini. Amnya, hanya dibenarkan untuk tinggal sahaja. Bergantung kepada negara. Ada negara yang membenarkan mereka bekerja serta menikmati kemudahan2 seperti rakyat mereka tetapi masih ada tempoh tertentu untuk melayakkan mereka menikmati kemudahan itu. Manakala pendatang tanpa izin secara terang2an kehadiran mereka tidak sah dan haram dari segi undang2 negara.
Pendatang, ada dua cara kemasukan mereka ke sini, samada dari jalan darat atau jalan laut di mana tidak memerlukan langsung passport atau identiti pengenalan diri. Kedua, jalan udara yang menggunakan passport dan tinggal di sini mengikut tempoh yang dibenarkan seperti social visit pass/visa. Setelah expired, mereka dinamakan P.A.T.I jika mereka tidak memperbaharui pass atau visa mereka. Begitu juga dengan pelarian, buat permulaan masuk seperti pendatang samada dari jalan darat,laut atau udara, tidak ada passport atau ada passport tetapi kemudian datang ke pejabat UNHCR untuk memohon status sebagai refugees UNHCR. Diingatkan bukan mudah juga untuk memohon status ini, ada interview dan saringan yang perlu dijalankan. Sebab itu, ada kes kad penipuan yang dijalankan oleh sindiket2 yang tidak bertanggungjawab.
APA ITU UNHCR?
Sebelum itu, Siapa UNHCR? Apakah fungsi UNHCR? Permulaan, UNHCR bertapak di Malaysia sejak dari 1975 ketika masa itu, ramai pendatang dari Vietnam masuk ke sini. Dari saat itu, UNHCR membantu pendatang2 ini untuk mendapatkan status pelarian. UNHCR adalah singkatan dari United Nations High Commissioner for Refugees. Ditubuhkan pada December 14, 1950 oleh United Nations General Assembly bertujuan untuk membantu dan membela nasib2 pelarian di seluruh dunia. Namun begitu, Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian ini. Nak tau kenapa? Sebab kerajaan tidak menandatangi United Nations Convention Relating to the Status of Refugees, Article 1(A) (2) 1951. Ada juga sebabnya kenapa Malaysia tidak melakukan demikian, antara sebab utama untuk menjaga kebajikan rakyat negara sendiri. Ini kerana dalam konvensyen ini, pelarian2 mempunyai hak seperti mana yang diperolehi oleh rakyat sendiri tanpa sebarang diskriminasi. Seperti peluang pekerjaan, gaji yang sama rata mengikut taraf pelajaran mereka serta hak2 yang lain. Disebabkan Malaysia negara yang masih membangun bukan seperti negara USA, Australia serta negara2 lain yang telah maju (Di mana mereka menandatanangi Konvensyen ini), berpendapat kita tidak mampu untuk menyediakan kesemua yang termaktub dalam konvensyen ini. Tetapi kerajaan masih jugak menyediakan kemudahan yang semampu yang boleh kepada pelarian2 ini.
AKTA IMIGRESEN MALAYSIA
Disebabkan kerajaan tidak mengiktiraf pelarian kerana tidak menandatanangi konvensyen, ini bermakna di atas kertas pelarian sama saja dengan imigran. Bermaksud pelarian di bawah Akta Imigresen 1959/1963. Dibawah akta ini mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin dan tertakluk kepada tangkapan, tahanan serta dihantar pulang ke negara asal. Boleh rujuk akta ini di website Jabatan Imigresen sendiri. Namun begitu, kita tidak boleh suka2 menghantar mereka pulang kerana UNHCR akan membela mereka. Tidak berperikemanusiaan lah kita kalau nak menghantar pulang mereka ke negara mereka yang sedang bergolak, seolah2 kita menghantar mereka MATI. Ini kerana pelarian UNHCR boleh menggunakan status Basic de Facto di peringkat negara. Ini kerana mereka diiktiraf diperingkat antarabangsa untuk tidak disabitkan kesalahan mengikut akta imigresen ini. Tetapi jika mereka melakukan kesalahan jenayah, semestinya mereka boleh disabit kesalahan dan menjalani hukuman jika terbukti bersalah. Namun begitu, jika sebelum ini tinggal melebehi masa (overstay-bagi mereka yang masuk menggunakan passport) dan dalam masa yang sama berstatus pelarian UNHCR, boleh juga ke memohon Special Pass untuk pulang.
PENUTUP
Kita seringkali menyampaikan simpati kepada mangsa2 peperangan. Palestin contohnya. Syria, Rohingya, Selatan Filipina, Yemen serta negara2 lain. Dengan gah kita hashtag #PrayForPalestin #PrayForRohingya ,etc. Tetapi bila mereka ke sini dan tinggal antara kita, lain pula ceritanya. Mereka dipandang rendah apatah apabila mereka jugak menikmati kemudahan perubatan di hospital kerajaan. Apalagi, lagilah kita bising kan. Tambah2 kita terpaksa pula berebut2 katil dengan mereka. Diingatkan mereka bukan pendatang tanpa izin. Itu belum lagi bising kalau ada antara kita yang nak berkahwin dengan pelarian. Mahu tak, malulah kan kalau ada ahli keluarga yang berkahwin dengan pelarian. Namun begitu, tiada masalah kalau nak berkahwin dengan mereka secara sah mengikut undang2 tapi perlulah rujuk dahulu dengan Jabatan Agama Islam Negeri di tempat masing2.
Pelarian di sini tidak dibenarkan bekerja, tapi secara lojik kalau tidak dibenarkan bekerja bagaimana pula mereka hendak menyara keluarga. Tahu kan kadang2 mereka satu keluarga lari dari negara mereka untuk mendapat perlindungan. Jika tiada pekerjaan bagaimana untuk mendapatkan wang. Takkan nak harapkan U.N saja membantu. Takkan pula nak mengharap belas ikhsan derma orang, meminta sedekah ditepi2 jalan. TEtapi masih ada juga orang kita yang bertimbang rasa dan hati baik memberi mereka pekerjaan yang biasa2. Bolehlah mereka menampung
perbelanjaan sedikit sebanyak. Secara peribadi, masalah2 kekurangan tenaga kerja di sektor buruh di Malaysia boleh dikurangkan jika kita mengambil mereka bekerja di sini. Tidaklah lagi kita perlu mengimport Bangla, Nepal dan berikan pula permit kerja. Masalah ini dapat dikurangkan daripada kita membawa masuk 1.5 juta Bangla. Menambah lagi masalah yang ada, menambah pula jumlah orang luar mencari rezeki di sini, lebih baik mengupah saja pelarian2 ini yang memang dipantau oleh UNHCR. Namun begitu, banyak aspek2 lain yang mungkin perlu dikaji sebelum boleh mengambil mereka bekerja.

#KESELAMATAN: ISU YANG TIADA PENGHUJUNG


Dewasa ini, isu keselamatan sering menjadi bualan hangat dan topik perbincangan masyarakat. Runtuhnya keutuhan nilai dan berlakunya kebejatan akhlak yang kritikal mencetuskan pelbagai bentuk isu dan ancaman keselamatan yang merungsingkan masyarakat.

Ancaman luaran dan dalaman seperti serangan pengganas, jenayah terancang, ideologi melampau, ancaman kimia, ancaman ekonomi dan jenayah siber merupakan sebahagian daripada fenomena masa kini yang mendatangkan impak jangka panjang kepada faktor keselamatan. Lebih menakutkan lagi apabila pelbagai bentuk ancaman ini telah bertukar menjadi „satu cara atau trend hidup‟ hingga gagal dicegah.

Di manakah peranan integriti dalam menangani fenomena yang semakin meruncing ini? Integriti yang membawa maksud keutuhan nilai perlu dilihat dengan lebih holistik dan tidak hanya membabitkan isu rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa. Integriti sangat berperanan dalam mengawal dan mengurangkan bahaya, risiko serta ancaman keselamatan, sama ada terhadap manusia mahupun sistem.

Terdapat beberapa mekanisme dan strategi  yang telah dirintis oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan.  Antaranya adalah mekanisme  yang bersifat pencegahan dan kawalan yang berterusan  berfungsi untuk mengekang sebarang unsurunsur  yang menyebabkan pelanggaran integriti.

Mekanisme selanjutnya pula adalah aktiviti pemulihan bagi yang telah terjebak dengan pelanggaran integriti. Pelaksanaan aktiviti pemulihan perlu bersifat menyeluruh dengan menyentuh dan  menitikberatkan aspek spiritual, emosi, mental dan fizikal.

Justeru, kedua-dua pendekatan atau mekanisme ini perlu dipantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa supaya berjalan tanpa diragui dan berupaya mengekang segala bentuk pelanggaran integriti serta ditambahbaik pula aspek kualitinya mengikut keperluan semasa.

Tidak dapat dinafikan seiring dengan kedua-dua pendekatan atau mekanisme tersebut, sasaran strategik sangat diperlukan supaya matlamatnya sampai kepada generasi penerus. Antara sasarannya adalah melahirkan modal insan berintegriti dengan memiliki pegangan agama yang mantap, berkeupayaan membudayakan serta menghayati nilai-nilai luhur agama dan integriti dalam kehidupan secara konsisten dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan melalui tadbir urus yang terbaik dan efisyen secara menyeluruh di segenap peringkat organisasi.

Walau apapun pendekatan, strategi, pelan atau mekanisme yang disusun atur, ia tetap merupakan satu bentuk perancangan dan usaha. Akhirnya ia akan berbalik kepada individu tersebut. Maka di sini tunjangnya adalah memiliki kekuatan ilmu dan penghayatan agama yang tulen menerusi pendekatan wasatiyyah (berimbang dan syumul) dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat. Itulah acuannya dalam memastikan isu-isu integriti dalam konteks keselamatan yang seolah-olah tiada penghujungnya ini sentiasa berada dalam kawalan.

Oleh: Shahriman bin Ali Pitchay, UI KPM
Sumber: Buletin Integriti KPM bil 2/2016