Followers

Carian dalam Blog ini

Showing posts with label Isu Politik/Keselamatan. Show all posts
Showing posts with label Isu Politik/Keselamatan. Show all posts

16 October 2016

Ancaman keselamatan siber

Oleh Zahri Yunos, Rabiah Ahmad, Shahrin Sahib dan Mokhtar Mohd. Yusof

CyberSecurity Malaysia berperanan memberi pendidikan mengenai pentingnya mengetahui bahaya ancaman siber.
Pergantungan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang amat tinggi pada abad ini telah mengakibatkan Malaysia terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman siber.

Berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia, serangan siber meningkat sejak tahun 2007 sehingga kini, dunia turut dikejutkan dengan ancaman siber yang juga berpaksikan keganasan fizikal sebenar.

Namun, hingga kini tiada definisi yang jelas mengenai maksud keganasan siber.

Kepesatan aplikasi ICT dalam kehidupan seharian dalam pelbagai aspek telah mengakibatkan struktur maklumat terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada berbentuk digital mahupun fikizal.

Oleh kerana jenayah siber adalah serangan ke atas sistem komputer yang mengakibatkan kecurian dan kemusnahan sistem maklumat, dan ia dilakukan oleh si pelaku yang tidak mendapat kebenaran capaian sistem, maka tafsiran ini dilihat terlalu kecil untuk diertikan sebagai keganasan siber.

Keganasan siber harus dikategorikan dalam skop jenayah yang lebih berat kerana tafsiran keganasan tersebut bermaksud ancaman ganas dengan niat yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada infrastruktur kritikal seperti teknologi komunikasi, tenaga dan pengangkutan.

Kebanyakan penyelidik barat mengaitkan aktiviti keganasan termasuk keganasan siber dengan kumpulan militan Islam.

Sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat dan merdeka, definisi ini tidak harus diguna pakai. Namun, tafsiran keganasan siber dalam konteks Malaysia perlu ada bagi membendung masalah keganasan terutama yang melibatkan ICT.

Satu kajian yang disokong oleh dana tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberi input baharu kepada kaedah melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) daripada ancaman keganasan yang boleh dicetuskan melalui teknologi digital.

Secara keseluruhan, artikel ini menghuraikan komponen asas yang menggariskan elemen keganasan siber serta impak kepada kemusnahan infrastruktur fizikal.

Artikel tersebut juga menjelaskan bahawa keganasan siber bukan rekaan atau dongeng, tetapi ia adalah satu realiti.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia harus bersedia dalam menghadapi serta menangani masalah ini.

Hasil kajian awal berjaya menampilkan beberapa kes sebenar keganasan siber yang berlaku di sekitar negara Amerika Syarikat dan benua Eropah. Walaupun masih tiada kaedah pembuktian yang mengkaitkan kes tersebut dengan keganasan siber, ramai pakar keselamatan maklumat dan anti keganasan mengklasifikasikan insiden ini dengan keganasan.

Penyelidikan keganasan siber telah bermula pada tahun 2011 melalui kajian literasi dengan melihat kepada beberapa laporan kes serangan siber. Selain itu, sesi temu bual dengan beberapa pakar keselamatan siber dari agensi-agensi kerajaan, organisasi CNII, ahli akademik serta pakar syarikat swasta telah diadakan bagi mendapat gambaran awal tentang kefahaman keganasan siber dalam kalangan pakar tempatan.

Setelah itu, proses ekstraksi maklumat berkaitan keganasan siber pula dilaksanakan, membolehkan penyelidik mengenal pasti persepsi penyelidikan terdahulu dalam membuat tafsiran mengenai keganasan siber. Melalui maklumat yang diperoleh, penyelidik telah membangunkan soalan bagi sesi temu bual bersama kumpulan pakar dalam bidang keselamatan siber seperti yang dijelaskan.

Teknik kajian teori asas atau Grounded Theory telah digunakan bagi membangunkan tafsiran setiap komponen yang terlibat secara langsung dengan penggunaan siber untuk mencetuskan keganasan.

Olahan kumpulan pakar telah mencapai satu tahap yang dikatakan sebagai tepu atau saturated diklasifikasikan sebagai penerimaan mutlak terhadap tafsiran terma. Setiap tafsiran dianalisis menggunakan perisian envivo iaitu satu perisian bagi data bersifat kualitatif.

Objektif analisis ini adalah untuk menghubungkan tafsiran yang diberi oleh responden terhadap sesuatu terma berkaitan keganasan siber.

Proses verifikasi setiap komponen berkaitan dengan keganasan siber ini dilakukan melalui perbandingan olahan tafsiran keganasan daripada responden dan tafsiran melalui kajian literasi. Seramai 22 responden telah memberi tafsiran yang berbeza dan dianalisis bagi mendapatkan perkaitan komponen keganasan siber. Hasilnya, kesepakatan telah dapat dicapai iaitu hampir semua responden yang terlibat mengaitkan keganasan siber membawa kepada kemusnahan aset kritikal negara.

Secara umum, konsep asas rangka kerja keganasan siber ini menampilkan enam komponen asas yang menjadi faktor penyumbang kepada aktiviti pengganas siber.

Hasil analisis daripada maklum balas pakar yang terlibat dalam kajian ini dapat dirumuskan bahawa keganasan siber ditafsirkan dengan penglibatan ke enam komponen asas yang dinyatakan di atas.

Bagi membantu proses mengecam pengganas siber, rangka kerja ini perlu diguna pakai.

Hasil kajian kes yang dijalankan dalam penyelidikan ini mencadangkan bahawa aktiviti keganasan siber perlu berpaksikan kepada penggunaaan siber sebagai medium serangan, serangan adalah dalam bentuk ancaman siber seperti serangan worm, botnet dan sebagainya. Perlakuan keganasan perlu bermotif merosakkan CNII dan sasaran adalah kepada kehancuran negara dan masyarakat awam.

Secara keseluruhan, kajian tersebut berjaya memberi satu cadangan tafsiran ke atas keganasan siber dengan kajian empirikal dan bukan tafsiran sembrono atau mengikut kehendak negara tertentu. Analisis data membuktikan keperluan kepada enam komponen asas dalam mentafsirkan keganasan siber dan ianya adalah sasaran, kesan, kaedah tindakan, domain, alat serang dan motif.

Keenam-enam komponen ini perlu ada dan bersaling kait sebelum sesuatu tafsiran keganasan siber dibuat.

Dalam usaha melindungi aset kritikal negara, enam komponen asas ini dapat diguna pakai oleh kumpulan pembangun dasar keselamatan maklumat negara.

Cadangan rangka kerja keganasan siber ini juga membuktikan bahawa Malaysia serius dalam menangani isu keganasan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.

Hakikatnya keganasan siber adalah satu realiti dan bukan dogengan semata-mata. Apa yang penting adalah kepekaan seluruh rakyat Malaysia dalam melindungi maklumat terutama yang berkaitan CNII. Pengganas era digital tidak melakukan kemusnahan secara alam nyata tetapi menggunakan alam maya bagi meruntuhkan sesebuah negara.


17 July 2016

Masa Depan Malaysia Dalam Krisis Laut Cina Selatan


Ketika ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ mereka ada ribut dan badai yang lebih dahsyat, yang hanya menanti masa untuk datang menderu.

Kemelut politik di Malaysia di antara Dato’ Seri Najib dan penyokongnya serta Tun Dr Mahathir dan penyokongnya telah mencuri perhatian segenap lapisan rakyat Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Tanpa kita sedari, krisis pertikaian antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang sepatutnya menggusarkan kita.

Aktiviti Ketenteraan Meningkat

Hari demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara US dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda. Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.

US giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina Selatan, selain mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers) di pengkalan di Australia. China yang sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di kepulauan tersebut.

Meskipun kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.

Bolehkah Perang Meletus?

Di dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi kemungkinannya untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku.

Pertembungan yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang paling merbahaya jika tercetus ialah di antara US dengan China sendiri. Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima implikasi secara ketenteraan.

Yang kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan pengkalan besar US di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif. Manakala yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam. Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.

Implikasi Kepada Malaysia

Malaysia tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Terdapat pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah, Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi medan pertempuran kuasa US dan kuasa Soviet.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain daripada tanah air mereka sendiri. Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa besar seperti US dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi nasional yang berkesan.

Oleh kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi (seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.

Diplomasi Sebagai Jalan Keluar?

Kebarangkalian untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.

Tambahan pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar US dan China, serta keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’ kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Dato’ Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, US, pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC) pihak-pihak di Laut Cina Selatan.

Jelas sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus kelak.

Dalam keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh US, serta kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salahlaku ramai pemimpin negara, adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?

Dalam situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.

Oleh:
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Chief Operating Officer IRIS Institute