Followers

Carian dalam Blog ini

12 April 2012

HUTAN DAN LAUTAN BERPERANAN MENYERAP KARBON





Written by Foon Weng Lian
Tuesday, 14 February 2012 16:05

Hutan hujan tropika dan lautan merupakan penyerap karbon yang paling besar dalam di dunia ini. Sumbangan ini merupakan faktor utama yang memutuskan kejayaan dalam memerangi isu pemanasan global dan perubahan iklim.

Penebangan hutan hujan tropika bukan sahaja telah mengurangkan jumlah pokok untuk menyimpan karbon, tetapi juga merupakan sumber pelepasan karbon dengan melepaskan hampir 1.1 bilion tan karbon ke dalam atmosfera setiap tahun. Di kebanyakan negara-negara membangun, penebangan hutan merupakan sumber terbesar bagi pelepasan gas rumah hijau.

Baru-baru ini terdapat laporan berita yang memberikan khabar gembira, iaitu berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam Nature Climate Change, membuktikan bahawa hutan hujan tropika boleh menyerap lebih daripada 21% karbon daripada jangkaan awal.

Dalam kajian terbaru ini, penyelidik-penyelidik telah melakarkan satu peta kepadatan karbon untuk kawasan tropika dengan tahap kejituan dan konsisten yang tinggi. Antara penemuan-penemuan yang dijumpai, mereka mendapati bahawa hutan tropika di Amerika menyimpan sebanyak 118 billion tan karbon, hampir 20% lebih daripada penemuan yang lalu.

Untuk mewujudkan anggaran penyimpanan karbon ini, adalah penting untuk mengetahui tentang jumlah karbon yang dilepaskan ke atmosfera melalui perubahan litupan dan penggunaan tanah.

Tanpa wujudnya perjanjian-perjanjian bersekutu dan komitmen yang berkekalan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, nampaknya hanya hutan dan lautan sahaja yang boleh diharapkan untuk meningkatkan keupayaan bagi menyerap karbon. Hanya inilah senjata utama yang boleh digunakan untuk menghadapi perubahan iklim. Oleh itu, senjata-senjata utama ini perlu dilindungi dengan mengurangkan pencemaran dan mempraktikkan penggunaan sumber yang mampan.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia

KE ARAH MASA DEPAN YANG HIJAU



Written by admin
Friday, 05 March 2010 10:50

Malaysia merupakan negara membangun telah berkembang dengan pesat. Namun begitu, kepesatan tersebut tidak seiring dengan sikap para pengguna terhadap alam sekitar. Sedangkan salah satu hak pengguna ialah hak untuk mendapat persekitaran yang sihat.

Siapa yang sepatutnya bertanggunjawab untuk menyediakan persekitaran yang sihat kepada kita? Sebagai pengguna, kita perlu mempraktikkan penggunaan lestari untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Apakah yang dimaksudkan dengan penggunaan lestari? Penggunaan lestari ialah penggunaan perkhidmatan atau produk bagi memenuhi keperluan asas dan membolehkan kita menjalani kualiti hidup yang baik. Dalam masa yang sama dapat mengurangkan penggunaan sumber asli serta bahan-bahan toksik dan pelepasan sisa serta bahan-bahan pencemar sepanjang kitar hayat supaya tidak menjejaskan keperluan masa depan generasi akan datang – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Produk dan perkhidmatan pengguna boleh memberikan kesan kepada alam sekitar sama ada sebelum atau selepas kita membeli dan menggunakannya. Merancang pembelian dan mengubah corak penggunaan akan membantu untuk memelihara alam sekitar. Jika kita membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan plastik, salah satu masalah besar di tapak pelupusan sampah dapat diatasi. Tetapi ini sukar untuk dilakukan kerana ketiadaan bahan ganti dalam pasaran ataupun perubahan tabiat pengguna.

Oleh itu, kita memerlukan satu mekanisme, iaitu Mekanisme CIG. Perkongsian antara Pengguna (C) – Industri (I) – Kerajaan (G) adalah mekanisme yang sangat penting.

Kerajaan memainkan peranannya dalam melaksanakan undang-undang dan memberi pendidikan secara berterusan. Perlaksanaan undang-undang dan pendidikan yang berkesan ini dapat mewujudkan kesedaran dan etika dalam kalangan industri dan pengguna. Sektor industri pula perlu mengambil tanggungjawab dengan memastikan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan dipatuhi untuk memastikan produk-produk atau perkhidmatan-perkidmatan bersifat mesra alam. Pengguna juga dapat manfaat daripada tindakan oleh kerajaan dan industri. Ini merupakan perkongsian bijak.

Pada masa akan datang, isu-isu berkaitan alam sekitar merupakan cabaran penting untuk ditempuhi. Bagaimana kita sebagai pengguna dapat mengatasi cabaran ini? Sebenarnya kita boleh memainkan peranan bagi menyelamatkan bumi dengan melakukan perkara-perkara berikut:

• Bawa beg sendiri apabila membeli-belah. Beg plastik tidak mesra alam dan tidak boleh terbiodegradasi.
• Menunggang basikal atau berjalan kaki apabila pergi ke sesuatu tempat atau kedai yang berdekatan. Ini merupakan amalan 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
• Tutup televisyen, stereo dan komputer apabila tidak digunakan kerana peralatan ini menggunakan di antara 10% hingga 60% sumber tenaga. Ini boleh menyumbang kepada pemanasan global.
• Membawa bekalan ke tempat kerja atau sekolah. Makanan ini lebih menyihatkan dan menjimatkan.
• Kumpulkan kertas yang digunakan di rumah dan bawa ke pusat kitar semula. Mengitar semula produk berasaskan kayu dapat menyelamatkan berjuta-juta pokok setahun.
• Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tumbuh-tumbuhan tertentu di kebun anda, seperti pudina dan selasih yang boleh menghalau serangga perosak.
• Gunakan lampu jenis kalimantang. Lampu jenis ini menggunakan ¼ tenaga elektrik dan empat kali lebih tahan lama berbanding mentol lampu biasa.
• Sebelum membuka peti sejuk, tentukan terlebih dahulu barang yang ingin diambil. Membuka peti sejuk dengan kerap boleh merugikan tenaga elektrik dan menyebabkan bil elektrik meningkat.
• Elakkan daripada menggunakan bahan berasaskan stirofom. Bahan ini tidak boleh terbiodegradasi dan boleh merosakkan lapisan ozon.
• Jadilah sukarelawan projek penghijauan di kawasan anda. Adakan atau sertai program alam sekitar di tempat anda.
• Kongsi maklumat dan panduan yang dipelajari tentang penggunaan lestari dengan keluarga dan rakan-rakan.
• Anda boleh mendinginkan ruangan dalam rumah dengan mudah. Gunakan pembidai atau langsir berwarna putih bagi mengurangkan pemanasan. Penggunaan pendingin hawa boleh menyumbang kepada pemanasan global.
• Beli tanaman keluaran tempatan. Ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga dapat menampung kehidupan petani tempatan.
• Kurangkan pembuangan sampah. Jangan gunakan produk pakai buang seperti pinggan kertas, cawan plastik atau kertas tisu.
• Menjimatkan penggunaan air turut menjimatkan tenaga elektrik;kerana proses membekalkan air dan menyaring sisa kumbahan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.
• Gunakan kaedah penanaman secara semula jadi di kebun. Penggunaan baja kompos organik dapat menyuburkan tanah untuk bercucuk tanam.


Mengapa penggunaan lestari sangat penting? Mengapa kita perlu bersikap prihatin kepada isu alam sekitar? Hakikatnya, kita hanya mempunyai dunia ini sahaja untuk hidup. Kita perlu memeliharanya untuk kehidupan generasi akan datang. Mulakan hidup yang hijau pada tahun baru ini. Mengubah tabiat memanglah sukar, tetapi ingatlah masa depan anak-anak kita. Perlindungan terbaik adalah perlindungan diri sendiri.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

SUBANG, BAYAN BARU DAN KLUANG KERAP BERLAKU PETIR PDF Print E-mail
Written by Foon Weng Lian
Wednesday, 07 September 2011 10:18

Hujan ribut petir merupakan gejala biasa yang berlaku di Malaysia. Namun apabila petir mencalar menyeberangi langit, pernahkah anda terfikir tentang kekuatan dan kerosakan yang boleh diakibatkan olehnya?

Subang di Selangor, Bayan Baru di Pulau Pinang dan Kluang di Johor, merupakan tiga buah kawasan yang mempunyai kekerapan yang tinggi berlakunya ribut petir. Dalam setahun, purata hari berlakunya ribut petir di ketiga-tiga kawasan tersebut adalah 180 hingga 200 hari. Oleh itu, anda perlu lebih memahami tentang fenomena semula jadi ini agar tidak menjadi mangsanya.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Teknologi Perlindungan Petir, Prof Madya Zainal Abidin, laporan yang dikeluarkan oleh Unit Keselamatan Petir di Amerika Syarikat mengesahkan ketiga-tiga kawasan ini merupakan kawasan yang mempunyai kadar yang tinggi berlakunya petir di Malaysia. Berikutan dengan pemanasan global, rakyat perlu bersiap-sedia kerana kadar ini akan meningkat lagi pada masa yang akan datang.

Beliau menekankan bahawa, selain daripada tiga kawasan ini, beberapa kawasan lain juga berdepan dengan masalah kekerapan petir yang tinggi. Oleh sebab itu, adalah susah untuk mengenal pasti masa dan tempat tertentu sebelum petir berlaku.

Selain itu, kedudukan Malaysia di khatulistiwa juga merupakan salah satu sebab utama. Jumlah penurunan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 2000mm hingga 2500 mm setahun, bertambah dengan perubahan iklim telah meningkat kekerapan berlakunya petir.

Di samping faktor semula jadi, faktor buatan manusia juga menyumbang kepada fenomena ini. Susulan peningkatan bilangan kilang dan pembangunan pesar di kawasan Lembah Klang, bahan-bahan kimia yang dibebaskan ke atmosfera mendorong pembentukan awan berpetir lalu menyebabkan peningkatan kadar petir di kawasan tersebut.

Walaupun petir banyak membawa kerosakan dan bahaya, Prof Madya Zainal Abidin berasa hampa kerana masih ramai orang yang mengabaikan kerja-kerja perlindungan daripada petir. Beliau berkata, walaupun kejadian petir tidak dapat dikawal, namun kerja-kerja perlindungan petir perlu dilakukan seperti memasang rod petir di atas bangunan. Semasa berlakunya ribut petir, elakkan daripada berada di kawasan lapang, di bawah pokok, khemah, menara telekomunikasi, tiang bendera dan tiang lampu.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

20 February 2012

Kanak-Kanak Mudah Dijangkiti Kuman Di Kolam Rekreasi

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kes yang melibatkan kanak-kanak menerima jangkitan penyakit di kolam rekreasi telah mencatat kenaikan yang agak mendadak dalam beberapa tahun yang lepas.

Ini adalah bahagian akhir daripada rencana dua siri mengenai jangkitan kuman terhadap anak kecil.

Oleh Zulkiple Ibrahim



KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ekoran laporan media mengenai jangkitan Rotavirus di dua daerah di Perak telah menimbulkan kebimbangan masyarakat tentang penyakit yang boleh berjangkit melalui air.

Pada 10 Feb lepas, media melaporkan jangkitan Rotavirus telah menyebabkan kematian dua bayi berumur antara dua dan 10 bulan kerana dehidrasi kerana cirit-birit yang teruk.

Laporan itu juga menyatakan lebih 2,200 telah dijangkiti virus dengan kebanyakannya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, pada 11 Feb, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata jangkitan itu kini di bawah kawalan dan tiada kes baru dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan.

Beliau juga berkata satu pasukan khas dari Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Kementerian Kesihatan, sedang menyiasat punca jangkitan tersebut yang dilaporkan di daerah Batang Padang dan Hilir Perak.

Bila ada jangkitan virus dan bakteria 'bawaan' air, timbul pula satu persoalan - bagaimana dengan mereka dan anak kecil yang mengunjungi kolam rekreasi dan taman air?

Terdapat beberapa penyakit mudah berjangkit yang wujud pertalian dengan lokasi rekreasi air seperti untuk berenang dan mandi-manda.

MANDI SEBELUM MASUK KOLAM

"Memang sukar bagi menghalang bakteria dan virus wujud dalam air kolam. Di kolam yang dikunjungi ramai orang termasuk anak kecil, tahap kontaminan (kotoran) adalah tinggi," jelas Adam Abdullah, seorang penyelia di sebuah Taman Air di Lembah Klang.

"Kami telah menasihati orang dewasa dan kanak-kanak yang tidak sihat agar jangan menggunakan kolam tetapi ramai yang tidak hirau akan nasihat ini," kata Adam, sambil menambah pengurusan kolam rekreasi telah meletak notis tentang risiko jangkitan kuman bila orang ramai menggunakan kolam untuk rekreasi.

"Kita juga menasihati pengunjung supaya mandi dahulu sebelum memasuki kolam.

"Sebaliknya, masyarakat Malaysia tidak begitu hiraukan nasihat tentang keperluan mandi dahulu sebelum masuk kolam. Tanpa mandi terlebih dahulu, mereka boleh bawa kontaminan dalam bentuk kuman dan virus yang kemudian boleh menjangkiti orang lain.

"Ada juga pengunjung yang tergamak masuk kolam dengan pakaian yang mereka pakai ketika sampai. Mereka ini tidak kisah menukar pakaian yang sesuai terlebih dahulu, ianya sesuatu memang sukar walaupun ada notis yang memberitahu mereka agar berbuat demikian.

"Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka boleh membawa virus dan bakteria masuk ke dalam kolam dan menjangkiti pengunjung lain termasuk kanak-kanak walaupun kami menggunakan sanitiser (pembersih) kolam," terang Adam.



KLORIN

Katanya pengurusan Taman Air menggunakan klorin bagi membersih kolam tetapi bahan ini cepat lupusnya jika terdapat kandungan kontaminan yang tinggi, ramai pengunjung kolam serta kesan cahaya dan haba dari matahari.

Menurut Adam lagi, algae (atau dikenali juga sebagai lumut) boleh tumbuh dalam kolam jika terdapat kandungan urea dalam air.

(Algae adalah organisme berbentuk tumbuhan yang boleh hidup di tempat lembab atau berair).

"Garam urea boleh wujud dalam air melalui peluh pengunjung serta air kencing mereka. Sebab itu, semua pengunjung mestilah mandi dengan menggunakan sabun sebelum masuk kolam.

"Pengurusan kolam menyediakan bilek mandi lengkap dengan pancuran serta kemudahan tandas bagi pengunjung.

"Jika pengunjung gagal membersihkan diri sebelum masuk kolam, mereka akan merencatkan kualiti air. Jangan sekali-kali kencing semasa berada dalam kolam, kerana bukan hanya menggalakkan algae membiak tetapi ia akan memberi kesan terhadap bahan kimia yang digunakan untuk membersih kolam.

"Dan, mengeluarkan kencing semasa berada dalam kolam adalah sesuatu perkara yang amat tidak 'higin' (bersih)," kata beliau.

RISIKO MANDIAN REKREASI

Pengurus hotel di sebuah resort, yang hanya mahu dikenali sebagai Eirene, berkata dengan mengambilkira faktor-faktor ini, ada pihak penjagaan kolam memasukkan lebih klorin bagi menghindari berlakunya jangkitan penyakit.

Ini menimbulkan satu dilema - klorin boleh menyebabkan masalah kesihatan dan terlebih menggunakannya perlu dijauhi, menurut pakar-pakar penjagaan kesihatan.

Mereka juga menjelaskan bahawa antara penyakit yang boleh berjangkit kerana air kolam yang kotor adalah gastroenteritis, demam kepialu, taun dan hepatitis A.

Pegawai perubatan Dr Bernice Wong menjelaskan satu aktiviti yang sepatutnya menyeronokan dan selamat iaitu mandi rekreasi kini sudah bertukar menjadi satu risiko kesihatan.

"Mandi rekreasi termasuk berendam dalam kolam, spa dan kolam air panas selain dari berenang di tasik, sungai, laut dan taman air.

"Orang akan sakit bila terminum air yang telah kontaminan walaupun air itu telah dirawat dengan klorin atau sanitiser lain," terang beliau.

NATRIUM HIPOKLORIT

Menurut pihak pengurusan hotel dan taman air, mereka biasanya menggunakan natrium hipoklorit bagi tujuan merawat air di kolam.

Kuman tidak akan berupaya membina ketahanan terhadap larutan ini dan natrium hipoklorit juga digunakan bagi tujuan 'oksidasi' pencemar seperti air kencing, peluh dan bahan kosmetik.

Ia juga digunakan bagi menghapus kuman patogen, bagaimanapun natrium hipoklorit memerlukan konsentrasi yang bergantung kepada tahap pencemaran.

Kata Adam, kandungan pencemar organik seperti peluh dan air kencing akan menentukan konsentrasi natrium hipoklorit yang diperlukan.

"Kalau air ditapis dahulu maka konsentrasi natrium hipoklorit yang digunakan adalah lebih rendah," terang beliau.

"Sekarang baru anda tahu kenapa pengurusan kolam dan taman air meminta anda mandi dahulu sebelum masuk kolam," tambah beliau.

-- BERNAMA

Imuniti Rendah, Kanak-kanak Mudah Kena Jangkitan Virus

Imuniti Rendah, Kanak-kanak Mudah Kena Jangkitan Virus

Menurut doktor, kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan virus disebabkan imuniti badan mereka yang lebih rendah berbanding orang dewasa. Berikut adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai kanak-kanak serta jangkitan virus.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Bernama


KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Media melaporkan pada 10 Feb lepas mengenai kematian dua kanak-kanak berumur antara dua dan 10 bulan yang disebabkan jangkitan Rotavirus.

Virus itu juga telah menyebabkan 2,236 orang jatuh sakit di daerah Hilir Perak dan Batang Padang di Perak.

Menurut pihak berkuasa kesihatan negeri, sejak 27 Jan hingga 10 Feb, terdapat 2,236 kes Gastroenteritis Akut (AGE) dilaporkan di Hilir Perak (1,397 kes) dan Batang Padang (839 kes).

Dalam kebanyakan kes, simptomnya adalah cirit-birit dan muntah dengan majoriti pesakit hanya memerlukan rawatan pesakit luar.

Laporan media juga menyatakan pihak berkuasa kesihatan Perak percaya jangkitan itu berpunca daripada 'dibawa air' dan mengambil makanan yang dijangkiti virus berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyiasat mengenai jangkitan itu.

Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasak air minuman, membasuh tangan dengan sabun sebelum dan selepas makan, sebelum menyediakan makanan, dan selepas mengguna tandas.

Ramai daripada pesakit yang terkena jangkitan itu dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Pada kebiasaannya, penyakit yang disebabkan jangkitan Rotavirus mudah dikawal tetapi menurut Perubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 500,000 kanak-kanak bawah umur lima tahun mati di seluruh dunia kerana jangkitan virus itu pada setiap tahun selain hampir dua juta lagi menghidap sakit teruk.

ROTAVIRUS

Menurut doktor juga, Rotavirus adalah punca utama cirit-birit yang teruk di kalangan anak kecil.

Jangkitan ini jarang berlaku pada orang dewasa di mana terdapat lima spesies virus ini iaitu virus A, B, C, D, dan E di mana Rotavirus A menyebabkan 90 peratus jangkitan pada manusia.

Menurut WHO, sebaik sahaja mencecah umur lima tahun hampir semua kanak-kanak di dunia dijangkiti virus paling kurang sebanyak sekali.

Dr Bernice Wong berkata, jangkitan virus adalah perkara biasa dan antara penyakit yang disebabkannya adalah selesema dan campak.

"Ada jangkitan virus itu hilang dengan sendirinya tanpa perlu mengambil ubat, ada yang tidak berapa serius tetapi memerlukan juga rawatan dan ada kes yang menjadi sangat serius sehingga rawatan adalah mandatori," jelas beliau.

Kata Dr Wong lagi, virus menganggu perjalanan sistem badan dan dengan itu ia menyebabkan 'ketidakselesaan' kepada pesakit.

Apakah simptom-simptomnya?

Menurut beliau, simptom jangkitan virus bergantung pada jenis virus yang menyerang dan simptomnya adalah berlainan dari satu individu ke individu yang lain.

Pegawai perubatan itu menerangkan, simptom yang biasa adalah muntah, cirit-birit dan sakit perut selain demam, sakit tekak, batuk dan selesema. Pesakit juga akan mengalami sakit badan dan keletihan.

"Simptom bagi kanak-kanak adalah tidak banyak bezanya dari simptom yang dijumpai di kalangan orang dewasa. Antara yang paling kerap dijumpai pada kanak-kanak adalah demam dan sakit kepala.

"(Kanak-kanak) yang terkena jangkitan akan mengalami simptom seperti hidung berair, muntah dan cirit-birit. Ada yang terkena batuk, sakit tekak dan sakit perut. Mereka juga akan keletihan dan tidak punya tenaga," jelas beliau.

KENAPA BAHAYA PADA ANAK KECIL?

Menurut Dr Wong, jangkitan virus adalah bahaya jika berlaku kepada anak kecil disebabkan sukar untuk memahami simptom jangkitan virus dalam diri anak kecil. Lagipun anak kecil mempunyai kesukaran bagi 'menerangkan' apa yang menganggu mereka.

Tetapi ibu bapa boleh memerhatikan gejala yang berlaku terhadap anak mereka, kata Dr Wong.

"Anak yang terkena jangkitan akan menangis tanpa henti selain mempamerkan keletihan. Terdapat ruam pada badan dan anak itu kelihatan resah.

"Ibu bapa juga akan dapat mengesan perubahan menerusi tabiat makan anak mereka dan anak itu akan makan amat sedikit berbanding kebiasaan.

"Anak yang terkena jangkitan mungkin sensitif kepada cahaya dan tidak gemar melakukan aktiviti harian seperti bermain," jelas beliau.

Kata Dr Wong individiu yang mempunya sistem imuniti badan lemah akan mudah dijangkit virus.

"Jika ibu bapa perasan simptom jangkitan virus terhadap anak mereka, jangan berlengah dan pastikan rawatan diberikan sebelum keadaan menjadi lebih teruk. Jika tidak dirawat, jangkitan virus boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius.

"Rawatan termasuklah mengubati simptom yang ada seperti rawatan dijalankan bagi mengurangkan demam, selesema dan cirit-birit. Dalam kes cirit-birit, badan pesakit perlu dihalang dari terjadinya dehidrasi dan pesakit biasanya akan diberi garam rehidrasi oral (oral rehydration salts)," kata beliau.

MERAWAT JANGKITAN VIRUS



Menurut Dr Wong, kajian menunjukkan virus adalah hanya bahan genetik yang terkandung dalam satu 'kelongsong'. Jadi virus bukanlah organisme yang 'bernyawa' yang boleh dimatikan.

"Virus menyerang manusia dengan memasuki sel badannya dan 'melakukan program semula' sel itu bagi membentuk klon (virus yang menyerang).

"Jika virus adalah sesuatu yang tidak bernyawa, ia tidak mempunyai proses metabolik dan oleh itu antibiotik tidak berkesan terhadapnya kerana antibiotik boleh membunuh kuman dengan menganggu proses metaboliknya," kata beliau.

Selain merawat simptom jangkitan virus, ada sekumpulan ubat yang dikenali sebagai 'antiviral' yang memperlahankan merebaknya virus dalam badan manusia.

Ubat antiviral ini boleh membantu rawatan jangkitan virus, tambah beliau.

-- BERNAMA

15 February 2012

Mengapa mahu ditukar sistem raja berperlembagaan Malaysia kepada republik?

Mengapa mahu ditukar sistem raja berperlembagaan Malaysia kepada republik?

Oleh Zaini Hassan
Utusan Online

PERNAHKAH sesiapa terfikir akhirnya Malaysia akan menjadi sebuah negara republik? Nama Malaysia kelak ialah Republik Malaysia, atau mungkin Republik Rakyat Malaysia?

Siapa kata ia tidak boleh berlaku? Ia mungkin boleh berlaku. Dengan situasi politik Malaysia sekarang ia kemungkinan boleh berlaku. Bukan tujuan saya mahu menakut-takutkan rakyat Malaysia, tapi ia boleh berlaku.

Adakah ia tidak pernah terfikir di fikiran sesetengah pihak? Atau adakah ia memang berada dalam fikiran sesetengah pihak? Atau adakah ia memang pernah dicadangkan oleh sesetengah pihak? Dan, atau adakah ia memang pernah diperkatakan oleh sesetengah pihak?

Orang yang memikir mengenainya, mencadangkan mengenainya dan memperkatakan mengenainya sememangnya cukup berfikiran jauh. Jika dia tidak berfikiran jauh maka dia tidak akan memikir, mencadang atau memperkatakan mengenainya.

Tapi adakah salah berfikiran sebegitu, jika ia boleh dilakukan? Tiada salahnya berfikiran sebegitu jika sokongannya atau mandatnya mencukupi. Dan tiada salahnya berfikiran sebegitu juga semua orang menyetujuinya.

Republik Malaysia atau Republik Rakyat Malaysia boleh berlaku. Sama seperti di yang berlaku negara-negara jiran. Kalau sesiapa pun selepas pilihan raya 13 ini menang, walaupun tidak secara 2/3 ia masih boleh berlaku. Yang menang itu akan mencadangkan dimansuh (bukan dipinda) Perlembagaan Malaysia bagi diganti dengan yang baru melalui satu referendum (pungutan suara). Pungutan suara itu boleh dicapai, kerana jika sesiapa pun berkuasa maka ia boleh memanipulasi keputusan itu untuk memihak kepadanya. Siapa kata ia tidak boleh berlaku.

Apa yang tidak boleh berlaku ialah meminda perlembagaan yang memerlukan perkenan kesemua raja-raja Melayu.

Maka itu, Malaysia boleh menjadi republik.

Sistem pemerintahan Malaysia sekarang ialah sistem raja berperlembagaan. Sebagai negara republik, Malaysia akan memisahkan sistem beraja. Maka dengan itu fungsi institusi raja-raja Melayu akan dipisahkan daripada sistem kerajaan.

Pada masa itu raja-raja Melayu masih wujud, tapi ia tidaklah lagi berfungsi. Buat sementara waktu raja-raja Melayu itu akan terus menikmati kemudahan, sehinggalah ia mungkin kemudiannya akan ditarik sedikit demi sedikit(?).

Itu tidak mustahil berlaku. Ia boleh berlaku. Ada yang sudah mula mengatakan fungsi raja-raja sekarang pun bukanlah besar sangat selain daripada hanya berkisar mengenai hal-hal berkaitan adat istiadat Melayu dan agama Islam.

Rata-rata orang Melayu di Malaysia masih tidak mempercayai adanya usaha untuk mengubah sistem pemerintahan negara ini kepada sebuah negara republik. Mereka berkata mustahil orang-orang itu berfikiran sedemikian. Namun ada juga orang Melayu yang tidak peduli jika ia berlaku.

Tetapi ada yang berkata mengapa perlu dimansuhkan sistem raja berperlembagaan di negara ini sedangkan ia adalah antara yang berunik di dunia. Raja-raja Melayu bergilir-gilir dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara persekutuan Malaysia ini. Mengapa sistem itu mahu dihapuskan bagi digantikan dengan sebuah republik? Adakah ada pihak yang berfikiran kotor sebegitu hanya kerana raja-raja itu merupakan custodian atau penjaga kepada Perkara 153?

Jangan tanya saya mengapa ada usaha ke arah itu. Sekali lagi saya tidak berniat menakut-takutkan sesiapa pun di negara ini, apa yang saya lakukan hanyalah sekadar mahu menyampaikan fikiran seumpama itu.

Secara peribadi, saya beranggapan (mungkin ada yang tidak bersetuju) orang yang berfikiran sedemikian amat bahaya kepada negara ini. Apa sebenarnya motif orang yang berfikiran seperti itu?

Orang semacam itu, jika ada, harus dihukum sekeras-kerasnya. Orang semacam itu harus dibuang negeri jauh-jauh kerana dia cuba mengkhianati sistem pemerintahan negara ini.

Jika dalam undang-undang tentera, orang yang mempunyai perancangan seumpama ini boleh dihukum mati.

Tapi persoalan kita lagi, wujudkah manusia semacam ini? Benarkah ada? Adakah orang seperti ini pernah menyatakan ideanya itu di tempat-tempat terbuka atau tertutup? Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi tidak bolehkah dia mengajukan pandangannya seperti itu?

Sebagai negara yang mengamalkan kebebasan bersuara, salahkah dia?

Tapi siapakah orang itu? Adakah dia orang biasa? Atau dia orang luar biasa. Adakah dia seorang terkenal, dikenali atau bertaraf pemimpin dan memimpin? Jika orang-orang biasa mungkin apa yang diperkatakan itu tidak membawa kesan. Jika orang yang berkata itu luar biasa, maka kesannya juga tentulah luar biasa.

Saya berharap janganlah ada mana-mana orang yang luar biasa itu tadi pernah membuat kenyataan yang semacam itu.

Seperti yang saya kata, bukan niat saya mahu menakut-takutkan mana-mana pihak. Ia hanyalah ingatan supaya jangan diganggu-gugat sistem yang telah kita bina selama 54 tahun ini. Selama ini sistem itu tidak pernah pun menganggu-gugat sesiapa pun.

Malaysia, yang selama ini tidak pernah pun menjadi republik, terus makmur, maju dan berjaya juga. Semua rakyat tidak kira bangsa dan agama hidup aman dan menikmati kekayaan seluas-luasnya di atas bumi bertuah ini. Malah banyak juga negara di Eropah pun terus mengekalkan sistem monarki dan menyanjung tinggi raja-raja mereka.

Oleh itu, mengapa perlu diganggu-gugat keharmonian itu? Mengapa perlu ada fikiran seumpama itu? Mengapa? Apa motifnya?

Manis beracun

Manis beracun

Susunan KHAIRUNNISA SULAIMAN

Utusan Online.


Setiap minuman yang kita minum mempunyai gula.

Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar.

Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari.

Tapi bolehkah kita hidup tanpa kristal putih yang membawa 'kemanisan' itu?

Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan.

Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen.

Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.

Justeru pengambilan gula yang berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol.

Itu belum lagi dikira penyakit kronik lain seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes.

Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia.

Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar dalam jurnal Nature bertarikh 2 Februari lalu.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik yang terkenal kerana kuliahnya di YouTube menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula.

Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Beliau menganggap fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa.

Justeru dengan sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas.

Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan.

Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis.

Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak.

Ketagih

Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin.

Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol.

Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti.

Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang.

Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti.

Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser.

Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan.

Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat.

Tapi apa rasanya dunia tanpa gula? Tentu saja tawar dan hambar.

14 January 2012

Klinik Berhenti Merokok Institut Jantung Negara (IJN)

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk!

Pun bagi mereka yang mungkin sudah tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil.

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian terakhir daripada tiga siri.

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- "Kalau rasa nak sangat merokok, ambil replika kotak rokok ni dan picit dengan sekuat hati.

"Kalau rasa nak tumbuk orang, picit juga replika kotak ini. Jangan lepaskan geram kepada isteri."

Ada yang senyum meleret, ada yang ketawa berderai-derai mendengar pembuka kata Khoo Soon Gaik, kaunselor pesakit bersama dua lagi jururawat, mengendalikan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN).

Mesra dipanggil Sister Khoo, beliau ketika itu bercakap di hadapan tujuh pelanggan QSC pada sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN baru-baru ini.

Dua daripada pelanggan klinik berkenaan berjaya berhenti merokok sejak lebih dua tahun lepas sementara tiga lagi baru memberhentikan tabiat merokok mereka antara dua dan lima bulan.

Seorang peserta sedang berusaha mengurangkan jumlah rokok yang dihisap sementara seorang lagi masih merokok.

PROGRAM PEMULIHAN

Dalam wawancara berikutnya dengan Bernama, Khoo menjelaskan bahawa QSC adalah sebahagian daripada program pemulihan IJN untuk membantu pesakit berhenti merokok iaitu faktor besar risiko penyakit kardiovaskular.

"Klinik ini sebenarnya adalah inisiatif Datuk Aizai Azan, perunding pakar jantung di sini. Beliau juga bertanggungjawab untuk Program Pemulihan Jantung," katanya.

Khoo telah berkecimpung dalam bidang perubatan sejak 1975. Beliau lama berkhidmat dengan beberapa hospital kerajaan sebelum menyertai IJN apabila institut itu memulakan operasi pada 1992.

Di IJN beliau bertugas di Unit Rawatan Koronari (CCU) dan Penjagaan Harian.

"Apabila Datuk Aizai mahu menubuhkan Klinik Berhenti Merokok, beliau meminta saya menguruskan klinik ini dan saya kata OK," jelasnya.

Khoo kemudian berjaya mendapatkan dua jururawat berpengalaman, Sister Lim Siew Suan dan Sister Hafishah Saad untuk membantu menubuh dan mengendalikan klinik berkenaan.

PALING SUKAR

Pada awal pengendalian klinik yang dibuka pada Februari 2008, perjumpaan dengan pelanggan dibuat hanya sekali seminggu iaitu pada tengahari Jumaat.

Memandangkan kebanjiran pelanggan serta masa panjang yang diperlukan terutama dengan pelanggan yang pertama kali datang ke klinik berkenaan, masa perjumpaan di tambah kepada tiga hari seminggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.

Menurut Khoo, sesi kaunseling dengan pelanggan boleh memakan masa sejam hingga hampir dua jam terutamanya dengan pelanggan baru dan yang belum bersedia untuk berhenti merokok.

Sesi pertama lazimnya paling mencabar bagi kaunselor-kaunselor di klinik ini kerana mereka perlu benar-benar menyakinkan pelanggan akan kepentingan membuang tabiat merokok.

Segala-galanya juga bergantung kepada sejauh mana mereka bersedia untuk berhenti merokok.

Menurut Khoo adalah lebih mudah mengendalikan mereka yang datang secara sukarela dan memberitahu mereka sebenarnya sudah lama mahu berhenti tetapi tidak tahu caranya.

"Jika mereka dihantar oleh doktor atau keluarga, ini bermakna mereka belum bersedia. Mereka juga akan beri banyak alasan tak mahu berhenti.

"Pelanggan yang begini tak ramai, cuma seorang dua. Contoh, ada seorang pelanggan yang mempunyai empat saluran tersumbat dan memerlukan pembedahan pintasan, dia kata dia lebih rela mati diserang sakit jantung yang teruk daripada berhenti merokok.

"Bagaimanapun untuk pelanggan yang rumit, mereka ini akhirnya menyertai juga program berhenti merokok setelah kita dapat menyakinkan mereka," jelasnya.

PENILAIAN PERIBADI

Setiap pelanggan yang datang ke klinik akan terlebih dahulu dinilai sebelum dicadangkan rawatan.

Pelanggan dikehendaki memberi maklumat sejarah merokok serta bentuk pekerjaan mereka.

Kebanyakan pelanggan klinik ini adalah lelaki dan sebahagian besarnya adalah kakitangan kerajaan.

Kebanyakan mereka mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan jantung dan Khoo berkata merokok adalah faktor risiko utama untuk penyakit seperti itu.

"Apabila mereka datang ke klinik, lazimnya mereka sudah ada masalah kesihatan dan mudahlah untuk kami menyakinkan mereka berhenti merokok.

"Kita akan beritahu pelanggan keadaan kesihatannya tidak akan berubah sekiranya dia terus merokok, malah akan menjadi bertambah teruk.

"Mereka juga akan diberitahu tidak terlambat untuk berhenti walaupun mempunyai masalah saluran arteri koronari tersumbat," katanya.

Apabila ditanya mengenai perokok wanita, Khoo berkata, mereka itu lazimnya enggan untuk tampil ke depan terutama yang berusia pertengahan tahun di mana merokok itu menjadi satu stigma.

"Bila kita adakan penerangan, mereka ini akan datang kepada kita secara senyap-senyap tanya risiko merokok dan bentuk rawatan yang kita ada," kata Khoo. Khoo.

Menurut beliau kebanyakan perokok yang hadir pada sesi pemeriksaan kesihatan yang diadakan di pelbagai organisasi adalah lelaki berusia lewat 20an dan awal 30an.

GUNA PSIKOLOGI

Mempunyai pengetahuan kaunseling serta pengalaman luas sebagai jururawat ternyata kelebihan untuk Khoo dalam mengendalikan pelanggan klinik berkenaan.

"Kita betul-betul perlu memastikan mereka faham dan sedar risiko kesihatan merokok. Memanglah di kotak rokok ada macam-macam gambar menunjukkan kesan teruk merokok.

"Ada pelanggan saya yang memberitahu mereka akan menutup gambar-gambar itu dan tanya pada saya apa risiko? Lagi pun mereka sudah biasa dengan gambar-gambar tersebut.

"Bagaimanapun jika kita luangkan masa duduk dengan mereka dan cuba sentuh aspek emosi, aspek peribadi, umpamanya sama ada mereka ada anak atau cucu, mereka akan dengar kita. Kita perlu guna psikologi," katanya.

Pada kebanyakan masa, kata Khoo, perokok akan mula berfikir apabila timbul perkara tentang cucu.

"Mereka akan lebih risau tentang cucu daripada anak mereka, mungkin kerana anak sudah besar.

"Selepas beberapa sesi kami menjadi rapat dan mereka semakin seronok datang ke klinik dan berkongsi dengan kami masalah mereka.

"Seperti yang saya katakan, psikologi memainkan peranan besar. Jika kita suruh mereka berhenti kerana sebab itu dan ini, ia tak akan berhasil. Kita perlu sentuh emosi mereka.

"Tak guna juga menakut-nakutkan mereka, mereka sudah dewasa dan kebanyakan mereka sudah merokok 30 hingga 40 tahun," tambah Khoo.

RAWATAN DI KLINIK

Terdapat dua bentuk rawatan untuk berhenti merokok, iaitu terapi penggantian nikotin dan terapi penggantian bukan-nikotin.

Kebanyakan pelanggan, kata Khoo memilih terapi penggantian bukan nikotin kerana mereka mahu berhenti merokok.

"Sekiranya mereka tak tahan gian, kami akan memberi gula-gula getah atau penampal yang mengandungi nikotin dan penggunaannya adalah dengan bimbingan profesional," katanya.

Khoo turut menunjukkan kepada penulis gambar produk yang mengandungi nikotin yang dapat memuaskan gian perokok termasuk 'lozenges', alat sedut dan gel tangan.

"Gel tangan ini tidak ada di negara kita. Seorang pelanggan yang juga ahli perniagaan menunjukkan saya produk ini yang dibelinya di AS. Memandangkan dia sering pergi ke AS dan UK, dia tidak dapat menahan gian dalam penerbangan yang memakan masa yang panjang.

"Jadi dia gunakan gel tangan yang mengandungi nikotin ini. Ia dapat memberikannya bekalan nikotin tanpa perlu merokok.

"Nikotin diserap di tangan, tidak ada bau. Sama seperti orang yang mengalami sakit dada, mereka mengambil pil dan meletakkannya di bawah lidah. Sama prinsipnya," kata Khoo.

KOS RAWATAN

Rawatan berhenti merokok di klinik ini adalah untuk tempoh tiga bulan dan purata membabitkan kos sekitar RM700.

Perokok yang merokok 20 batang rokok sehari untuk tiga bulan berkemungkinan telah membakar kira-kira RM900.

"Rawatan berhenti merokok akan tamat selepas tempoh tiga bulan tetapi tabiat merokok akan berterusan selama-lamanya," kata Khoo dalam memberi justifikasi kepada kos rawatan berhenti merokok.

Menurut beliau, ada pelanggan klinik berkenaan mampu berhenti merokok dalam tempoh dua bulan tetapi beliau akan menyesyorkan mereka untuk menghabiskan keseluruhan tempoh tiga bulan.

Dalam tempoh tiga bulan, pelanggan diminta datang ke klinik sekali dalam masa dua minggu di mana ubat diberi untuk tempoh dua minggu.

Pelanggan yang terbukti mempunyai disiplin yang baik hanya diperlukan datang ke klinik sekali sebulan.

KALAU GIAN

Menurut Khoo, sesetengah pelanggan yang telah berhenti mengambil ubat lazimnya akan merasa gian untuk merokok selepas bulan kelima.

"Bulan ke-lima adalah tempoh yang kritikal. Mereka ini boleh menelefon kami untuk mendapatkan nasihat. Kalau perlu kaunseling, mereka boleh datang berjumpa kami. Pihak kami akan membantu.

"Ramai yang menjadi gian kerana mereka kembali kepada kehidupan sosial mereka atau kerana tekanan kerja.

"Segala-galanya bergantung kepada mereka untuk terus tabah dan mengekalkan disiplin," jelas Khoo.

Katanya, pelanggan boleh dianggap "lulus" hanya selepas mereka bebas daripada rokok selama enam bulan.

Khoo berkata sekiranya ada pelanggan yang menelefon klinik dan memberitahu dia menghisap walaupun sebatang rokok, pihaknya akan meminta dia datang semula ke klinik.

"Bagi mereka yang gagal dan bilangannya tak ramai, mereka ini sebenarnya belum bersedia untuk berhenti merokok," kata Khoo, sambil menambah klinik itu tidak mengambil kes yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pihak klinik juga tidak menetapkan sasaran kejayaan kerana ini akan hanya memberi tekanan kepada pihaknya.

"Lagi pun ini tidak baik. Kami mahu pencapaian jangka panjang dan sekiranya kami memaksa pelanggan, kami hanya untuk memenuhi sasaran kami, hasilnya akan bertahan untuk jangka pendek.

"Pelanggan kami mungkin menerima apa yang kami beritahu dengan hati yang berat dan hasilnya tak akan lama.

"Jika kami dapat menyakinkan mereka dan mereka ikut kata kami, hasilnya akan lama," katanya.

CEGAH AWAL

Menghisap rokok telah didokumenkan sebagai faktor risiko utama bukan sahaja untuk penyakit jantung atau paru-paru serta pelbagai penyakit lain dan menurut Khoo, kanak-kanak sekolah terutamanya perlu didedahkan dengan maklumat berkenaan.

Tambahnya, yang perlu disasarkan ialah pelajar Tingkatan Satu kerana usaha mendekati mereka kemudian akan menjadi sia-sia kerana merokok sudah menjadi satu tabiat mereka.

"Sekiranya kita dapat mencegah mereka daripada merokok pada usia yang muda, pasti kempen Jangan Merokok akan berjaya.

"Tidak lama dahulu saya berada di luar kawasan sebuah sekolah menengah yang agak terkemuka di Kuala Lumpur. Saya melihat sekumpulan pelajar, semuanya lelaki, murid Tingkatan Tiga. Semuanya berkongsi sekotak rokok.

"Kita mungkin kurang berjaya dalam kempen Jangan Merokok dan Berhenti Merokok sekiranya kita tidak pergi ke sekolah-sekolah dan mendidik mereka," tegasnya.

-- BERNAMA

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian pertama daripada tiga siri

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Lazimnya tabiat ini bermula secara suka-suka. Lihat kawan buat, dia pun mahu mencuba. Kawan merokok, dia pun teringin merokok.

Kalau pun ada yang tidak mahu, pengaruh kuat rakan sebaya akhirnya menjeratnya kepada perangkap rokok.

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai DJ hanya mula merokok ketika dia melangkahkan kaki belajar di menara gading.

"Cuma dua hari sahaja saya merokok kerana saya terlalu teringatkan kata-kata ayah saya supaya jangan sekali-kali merokok," dia memberitahu Bernama.

Ayah DJ, seorang perokok tegar sehinggakan kahaknya bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.



Merokok sehingga 40 batang sehari, ayah DJ pada penghujung usia 60-an menderita serangan sakit ahmar dan paru-parunya turut rosak.



MEROKOK PADA USIA MUDA

Ada juga yang merokok pada awal usia belasan tahun. Kaki baru melangkah ke sekolah menengah rendah, sudah mula suka bau wangi asap rokok.

Lazimnya mereka yang mencuba sekali, meskipun ada yang terbatuk-batuk menyedut asap rokok, tidak akan berhenti dengan hembusan asap rokok yang pertama.

Merokok boleh menyebabkan ketagihan! Menurut laman sesawang "Info Sihat" Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini kerana tembakau dilaporkan mengandungi sejenis bahan penyebab ketagihan dipanggil nikotin.

Nikotin dilaporkan menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh dadah kokain dan heroin!

Terperangkap dengan ketagihan, akhirnya bukan sahaja duit belanja sekolah habis digunakan untuk membeli rokok malah ada juga yang berani ponteng sekolah untuk melepas gian kerana tidak boleh merokok di sekolah.

Tidak cukup dengan wang saku sekolah, ada juga yang mula menjadi pandai mengebas duit ibu bapa sendiri.

Kalau pun tidak bergelumang dengan tabiat buruk mencuri, sesetengahnya mula menipu orang tua meminta wang dengan mencipta pelbagai alasan, asalkan dapat menampung belanja membeli rokok.



TIDAK KISAH

Melepak di kafe siber, warung, perhentian bas atau pusat membeli-belah, anak-anak ini tidak segan silu menghembus asap rokok, sebatang lepas sebatang dalam masih berpakaian seragam sekolah!

Malah tidak kurang juga perokok-perokok ini yang kemudian dilaporkan terlibat dengan jenayah juvana dan penyalahgunaan dadah!

Bekas pesalah juvana, Paul (bukan nama sebenar) mengakui dia menjadi liar dan kerap ponteng sekolah kerana ketagih merokok.

Masalah hidup Paul bermula ketika dia masuk ke sekolah menengah rendah apabila dia terpengaruh dengan ajakan kawan untuk mencuba merokok.

Bermula dengan suka-suka akhirnya ketagih. Itu yang berlaku kepada Paul. Dia mula menjadi malas ke sekolah, melepak dan menipu orang tua sehingga akhirnya terpaksa menghabiskan usia mudanya di penjara atas kesalahan mengedar dadah.

Merengkok di penjara selama lima tahun menjadikan anak muda ini menanam azam untuk memilih jalan hidup yang lurus setelah dibebaskan.



FAKTA PEROKOK

Menurut laman sesawang 'infosihat' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan sekitar 1.15 bilion.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Lebih kurang 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit.

Info Sihat menyebut dalam kalangan remaja di seluruh dunia yang berumur antara 13 dan 15 tahun, dianggarkan seorang daripada lima adalah perokok.

Secara kasar, 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari dan separuh daripada jumlah itu di negara-negara Asia.

Info Sihat turut memetik kajian yang dijalan di Amerika Syarikat mendapati kecenderungan kanak-kanak yang merokok untuk menjadi penagih dadah adalah 13 kali ganda berbanding kanak-kanak yang tidak kerap merokok!



PEROKOK MALAYSIA

Fakta sepintas lalu Info Sihat mengenai senario dan tabiat merokok di Malaysia pula antaranya menunjukkan hampir separuh daripada lelaki Malaysia merokok!

Golongan remaja nampaknya tidak terlepas daripada perangkap merokok di mana setiap hari dilaporkan sekitar 45 hingga 50 remaja bawah umur 18 tahun mula merokok.

Statistik bilangan remaja perempuan yang merokok juga dilaporkan semakin meningkat.

Dua kajian ke atas remaja yang dijalankan, masing-masing pada 2000 dan 2004 menunjukkan bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat dari 4 peratus hingga 8 peratus.

Kajian 2004 menunjukkan secara keseluruhannya hampir seorang daripada lima remaja adalah perokok.

Kes kanser paru-paru dalam negara juga dilapor bertambah dengan kadar 17 peratus setahun dan tabiat merokok juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).

Infosihat menyebut bahawa berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ke-2 yang dijalankan KKM pada 1996, tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang setahun!

Sementara itu, lebih lima juta perokok tegar negara ini dilapor membelanjakan sekitar RM15 juta sehari untuk membeli rokok.

Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkifli Ahmad baru-baru ini dipetik sebagai berkata jumlah itu termasuk mereka yang merokok dari bangku sekolah lagi.

Beliau memberikan fakta itu ketika menyampaikan syarahan umum sempena pelantikannya sebagai profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986.



BANYAK PENYAKIT

Asap rokok yang mungkin tampak seakan-akan berwarna putih sebenarnya tidaklah sebersih sebagaimana yang lazimnya dikaitkan dengan warna putih.

Hakikatnya asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membunuh!

Infosihat memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata tembakau adalah penyebab paling utama kematian di seluruh dunia di mana tabiat merokok dilaporkan boleh membunuh satu bilion orang dalam abad ini.

Menurut infosihat KKM, terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau di mana 2,000 daripadanya adalah toksik dan 63 karsinogenik.

Separuh daripada perokok jangka masa panjang diuar-uarkan akan mati akibat penggunaan tembakau yang antaranya menyebabkan kanser paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik serta penyakit jantung.

Secara puratanya juga, hayat seseorang itu akan menjadi pendek lima minit bagi setiap batang rokok yang dihisap!



Fakta Infosihat turut memaparkan bahawa 30 peratus daripada semua kematian berkaitan kanser berpunca daripada tabiat merokok.

Di samping itu, 90 peratus daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah juga kerana tabiat merokok!



KEMPEN DEMI KEMPEN

Kalau hendak diikutkan bahaya merokok ini sudah lama dibincangkan sehingga mungkin ada yang sudah lali mendengar atau membaca sehingga menjadi anggota masyarakat yang langsung tidak kisah dan tidak peduli!

Kerajaan pula bukan tidak peka dengan gejala serta budaya merokok yang semakin menular dalam kalangan masyakarat negara ini.

Malah bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk menanam sikap benci kepada rokok, umpamanya menerusi Kempen 'Tak Nak Merokok'.

Pelbagai jenis media digunakan. Bermacam jenis strategi juga disusun termasuk memaparkan gambar-gambar yang 'mengerikan' di kotak-kotak rokok yang menunjukkan kesan buruk rokok kepada perokok!

Usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat negara ini supaya memberhentikan tabiat buruk merokok dilapor melibatkan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit!

"Walaupun kerajaan menjalankan kempen antimerokok, namun ia masih gagal membendung tabiat merokok ini.



"Bagaimanapun, saya berharap Kementerian Kesihatan akan meneruskan kempen ini meskipun kesannya yang tidak memberangsangkan," Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu Bernama.



Usaha itu, katanya, perlu diteruskan memandangkan syarikat-syarikat rokok secara agresif menjalankan kempen merokok terutama dalam kalangan golongan remaja.



"Ini dapat dilihat dengan penglibatan syarikat rokok dalam pelbagai pesta yang melibatkan golongan remaja," tambahnya yang juga berharap agar Kementerian Kesihatan terus menguatkuasakan larangan merokok di zon-zon yang ditetapkan.

Sehingga kini sebanyak 21 premis telah dikenal pasti sebagai zon larangan merokok.

Antaranya ialah hospital/klinik, lapangan terbang, lif serta tandas awam, restoran berhawa dingin, pengangkutan awam, premis kerajaan, institut pendidikan, stesen petrol, kafe internet, pusat membeli-belah di samping ruangan pejabat swasta dengan sistem pendingin hawa yang berpusat.



TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Beban menyedarkan rakyat tentang bahaya merokok sewajarnya bukan sahaja digalas kerajaan.

Mohd Yusof berpandangan pelbagai pihak perlu 'turun padang' dengan melaksanakan kempen kesedaran anti merokok.

Fomca sendiri, katanya, pernah mengadakan kempen anti merokok pada tahun 1990-an.

"Meskipun pihak kami tidak lagi mengadakan kempen itu, namun Fomca masih memperkatakan amalan gaya hidup sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan terutama amalan merokok yang memudaratkan kesihatan," jelasnya.



Menurut beliau, pihak sekolah turut berperanan penting dalam membanteras budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah.

"Walaupun pelajar menghisap rokok di luar kawasan sekolah, tindakan disiplin juga perlu dikenakan kepada mereka terutama melalui peranan penguatkuasaan agensi seperti polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Kerajaan juga perlu menghadkan umur mereka yang dibenar merokok agar mereka yang di bawah umur yang ditetapkan itu boleh dikenakan tindakan jika melanggar peraturan," katanya.

Mohd Yusof lalu menasihatkan golongan remaja, terutama yang ingin mencuba, agar tidak meneruskan hasrat itu.

"Selain daripada perbuatan itu membazir, ia boleh menyebabkan masalah ketagihan yang sukar diatasi.

"Hanya mereka yang menghidap penyakit atau mempunyai keazaman yang tinggi sahaja mampu menghilangkan ketagihan," katanya.

-- BERNAMA

Berhenti Merokok - Sukar Tapi Boleh Dilakukan

Adalah mudah untuk menyalakan rokok. Namun adalah sukar untuk menghentikan tabiat buruk itu. Foto oleh BernamaFotoOleh Melati Mohd Ariff

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk!

Pun bagi mereka yang mungkin tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil!

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian dua daripada tiga siri.



KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- "Mana boleh." "Susahlah nak berhenti." "Nanti berat badan naik." Ini antara alasan yang lazim digunakan perokok apabila dinasihatkan berhenti merokok.

Bak pepatah Melayu "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"!

Hakikatnya memang payah berhenti merokok tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pengalaman ini dikongsi beberapa pelanggan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN, Jalan Tun Razak baru-baru ini.

HABIS WANG

Lebih dua tahun berhenti merokok! Ini kejayaan perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Kali yang merokok lebih 45 tahun.

Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an mula merokok ketika berusia 25 tahun.

Pujukan rakan serumahnya untuk mencuba sebatang rokok ketika mereka bercuti ke Port Dickson akhirnya menjadikan dia seorang perokok.

Daripada beberapa batang sehari sehinggalah Kali merokok antara 50 hingga 60 batang rokok sehari sebelum dia mengambil keputusan untuk menghentikan tabiat buruknya itu.

"Mula-mula merokok, harga murah. Harga satu paket rokok 10 batang pada tahun 60an sekitar 30 hingga 40 sen sahaja. Sekarang harga satu paket 20 batang sudah naik jadi RM10," kata Kali yang kematian isteri akibat barah payu dara kira-kira 12 tahun lepas, kepada Bernama.

FAKTOR SUNYI

Kesunyian menjadikan Kali, pesara kerajaan terus merokok sehinggalah dia terasa kesempitan wang. Walaupun dia tinggal dengan anak lelaki dan menantunya, dia tidak mahu meminta wang daripada mereka.

Wang pencennya habis digunakan untuk membeli rokok. Sebulan dia membelanjakan antara RM500 dan RM600 untuk rokok sahaja.

Kesedaran untuk berhenti merokok timbul apabila Kali menyertai program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN dan kemudian menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.

Walaupun tidak menghidap penyakit kronik kecuali batuk yang teruk, Kali sudah bertekad mahu berhenti merokok.

Kali mengaku tempoh awal berhenti merokok bukanlah mudah. Dia menjadi mudah marah dan untuk menghilangkan keinginan merokok, dia makan dan makan sehingga berat badannya naik berlipat kali ganda.

"Kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN banyak tolong saya. Sudah dua tahun lebih tak hisap rokok. Saya sudah boleh kawal diri saya," katanya.

SUSAH TAPI BOLEH

Perokok tegar, Mohamad Lofti, 62, yang mula merokok pada usia 12 tahun memberitahu bahawa ketagihan merokok membuatkan dia tidak lagi puas dengan rokok-rokok biasa.

Dia beralih kepada menghisap paip atau setidak-tidaknya rokok Gudang Garam.

Lofti berkata dia pernah cuba berhenti merokok dua tahun lepas dan mengambil sejenis ubat untuk merawat ketagihan merokoknya.

Dia juga paling bersyukur sebagai orang Islam dia pasti dapat mengawal nafsu merokok.

Bagaimanapun dia yang berjaya mengawal ketagihannya sepanjang bulan puasa terpaksa akur kepada keinginan merokok apabila dia pergi menghadiri jamuan Hari Raya, dua minggu selepas berakhir bulan Ramadan.

"Anak buah semua hulur rokok. Mereka kata saya sudah hisap rokok 40 tahun, nanti saya yang susah," cerita Lofti.

Bulan Ramadan 2011, dia mencuba sekali lagi untuk berhenti merokok dan sehingga pada hari perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok, dia berjaya menahan keinginan merokoknya.

"Bukan senang untuk perokok tegar berhenti merokok. Apatah lagi saya penghisap paip. Semua bapak nikotin ada," katanya sambil diikuti deraian ketawa peserta Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

Menurut Lofti, bulan pertama adalah paling teruk bagi dirinya terutama apabila melihat orang merokok.

"Masa memandu kereta, nampak penunggang motosikal merokok, bawa kereta dekat-dekat nak ambil bau asap rokok. Sampai begitu sekali giannya.

"Ramai orang kata kalau berhenti merokok nanti berat badan naik. Memang berselera makan tapi saya kawal makan.

"Sekarang sudah lima bulan saya berhenti. Bukan mudah, kecuali anda perokok biasa," katanya sambil memberitahu langkah pertama yang diambil ialah menyorokkan paipnya.

PERLU SIFU

"Nak hisap rokok tak perlu sifu tapi kalau nak berhenti kena cari sifu," demikian kata perokok tegar Zulkiflee Mohd Ramlan, 47, yang baru dua bulan berhenti merokok.

Sifu bagi beliau ialah kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN.

Beliau yang mula merokok ketika berusia sekitar 14 tahun, menghisap rokok sehingga 40 batang sehari sebelum ini dan telah beberapa kali mencuba untuk berhenti merokok.

"Tiga tahun saya belajar untuk berhenti merokok. Setiap kali bulan puasa, saya juga cuba berhenti merokok tetapi tidak berjaya.

"Kira-kira dua bulan lepas saya berhenti, itu pun bila saya kena serangan sakit jantung dan kena buat pembedahan pintasan jantung. Doktor berani bedah kerana paru-paru saya ok.

"Cuma doktor kata, saya pesakit paling degil yang pernah dirawatnya. Kenapa? Semasa nak kena bedah, saya dibenar pulang seminggu, doktor kata jangan merokok tapi bila balik ke rumah, saya merokok balik," cerita Zulkiflee kepada Bernama.

Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 27 Sept 2011 di IJN setelah didapati tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

KERANA ANAKM

Tahu keburukan merokok, beliau mempunyai kawasan larangan merokoknya sendiri terutama untuk menjaga kesihatan keluarganya.

Beliau tidak merokok di depan anak atau dalam kereta kerana dia tidak mahu kereta berbau asap rokok.

Zulkiflee nekad berhenti merokok kerana beliau diberitahu peluang untuk berjaya tipis sekiranya beliau perlu lagi membuat pembedahan pintasan jantung.

"Saya ingat anak yang masih kecil, hendak tak nak saya mesti berhenti merokok," katanya

Zulkiflee turut berpendapat pendidikan mencegah anak daripada merokok perlu bermula dari rumah.

"Emak ayah kena main peranan. Dari rumah kena didik tapi kalau dia sudah hisap rokok, sudah lepak dengan kawan-kawan, jadi susah.

"Duit yang kita habiskan untuk beli rokok juga sepatutnya digunakan untuk membeli insurans kesihatan, itu yang terbaik," kata beliau.

TIGA KALI CUBA

Perokok tegar, M.Arumugam yang telah merokok selama 47 tahun, memberitahu Sesi Sokongan Berhenti Merokok IJN bahawa beliau baharu berhenti merokok tiga hari.

Beliau berhenti merokok apabila diserang sakit jantung pada 1994 tetapi kemudian merokok semula kerana tekanan kerja.

Pada 2000, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN kerana tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

"Enam hari saya di Unit Rawatan Intensif (ICU). Doktor kata urat darah saya macam paip berkarat, nak sambung pun susah. Pembedahan pintasan jantung mengambil masa empat jam," kata Arumugam.

Selepas pembedahan itu, beliau sekali lagi berhenti merokok tetapi hanya bertahan selama tiga bulan.

Ternyata cubaan berhenti merokok tanpa sebarang rawatan dan kaunseling adalah tidak berhasil bagi Arumugam.

Sekarang, beliau cuba sekali lagi berhenti kerana masaalah gastrik dan doktor memberitahunya penyakit itu boleh baik jika beliau berhenti merokok.

"Doktor saya juga memberitahu saya supaya mendapatkan khidmat kaunseling di Klinik Berhenti Merokok IJN," katanya.

Beliau mula dengan mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara berperingkat.

Daripada 20 batang, ia berkurangan sehingga paling rendah, enam batang rokok sehari.

Menurut Arumugam, beliau kemudian membuat keputusan untuk berhenti langsung merokok selepas pulang daripada menghadiri sebuah parti dengan kawan-kawan.

"Saya tak tahu apa yang membuatkan saya memberhentikan kereta dan buang kotak yang mengandungi rokok serta pemetik api ke dalam longkang," katanya.

JAUHI PEROKOK

Hari pertama berhenti merokok, Arumugam sudah merasa keperitannya. Bila bangun pagi, beliau teringin sangat hendak merokok.

Apa yang dilakukannya?

"Saya buat-buat sibuk. Saya bawa anjing saya berjalan-jalan dan saya juga banyak berjalan.

"Sebab saya baru berhenti merokok, saya juga tidak menghampiri mereka yang merokok sehingga saya boleh menahan diri daripada ingin merokok bila melihat orang merokok," kata Arumugam.

Keputusan beliau berhenti merokok turut mendapat sokongan jirannya, seorang anak muda yang juga perokok tegar.

"Saya beritahu dia jika dia hendak merokok jangan merokok di luar rumah di mana saya boleh nampak dia merokok.

"Anak muda itu beritahu saya dia akan menolong saya dan tidak akan merokok di luar rumah," katanya.

KURANGKAN ROKOK

Bagi Low Sam Guan, 62, beliau masih dalam proses untuk berhenti merokok.

Setakat ini beliau hanya mengurangkan bilangan rokok yang dihisap, secara perlahan-lahan sehinggalah sekarang beliau mengambil sekitar enam batang sahaja.

Mula menghisap rokok semasa berusia 17 tahun, Low sebelum ini menghisap rokok antara 40 dan 60 batang sehari.

Jika dulu beliau membeli berpaket rokok dan menghabiskan sehingga RM600 sebulan, sekarang beliau hanya membeli sebatang-sebatang sahaja.

Beliau perlu menjalani pembedahan kerana tiga saluran besar darah ke jantungnya tersumbat dan beliau berdepan dengan risiko serangan jantung yang teruk.

"Doktor tak nak bedah sebab paru-paru saya lemah," kata Low yang ditemani anak lelakinya hadir pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

"Anak lelaki saya tidak merokok dan dia banyak beri sokongan kepada saya untuk berhenti merokok," tambahnya, sesekali beliau terbatuk. Suaranya juga menjadi garau kerana batuk yang kuat.

Low memberitahu bahawa beliau akan terus cuba mengurangkan bilangan rokok yang diambil supaya paru-parunya menjadi kuat.

Lagi pun sekarang, katanya setelah mengambil ubat untuk merawat ketagihannya, bau rokok sudah menjadi 'tidak sedap'.

Low mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk betul-betul bebas rokok tetapi sekurang-kurangnya beliau sudah mengambil langkah pertama dengan mengurangkan bilangan rokok yang dihisapnya.

Kesungguhan itu juga terbukti dengan mengikuti program Klinik Berhenti Merokok IJN dan hadir di Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan setiap dua bulan sekali.

Bagaimana pula dengan anda di luar sana yang masih tegar merokok?

Apakah anda mampu melakukan seperti yang dilakukan Kali, Lofti, Zulkiflee dan Arumugam?

Atau setidak-tidaknya seperti Low.

Anda mungkin beranggapan anda tidak mampu melakukannya tetapi orang tua-tua ada berpesan "Di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan!"

-- BERNAMA