Followers

Carian dalam Blog ini

10 June 2010

Masyarakat celik ekologi

KEPELBAGAIAN spesies yang hidup di muka bumi ciptaan Ilahi ini menjadi medan dugaan bagi masyarakat dunia untuk memeliharanya. Malangnya, alam sekitar sentiasa menjadi mangsa dalam usaha manusia memacu ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk dunia.

Rentak tari dan irama serta lenggok pembangunan telah mengalami perubahan sejak tahun 1970-an dan menjadi lebih ketara selepas persidangan kemuncak bumi di Rio de Jeneiro pada 1992. Semua negara di dunia telah diberikan peringatan tentang perlunya manusia menjaga alam sekitar semasa mengejar kemajuan. Alam sekitar yang masih segar perlu dijaga sementara yang rosak dibaikpulih supaya nikmat kemajuan hari ini boleh dinikmati generasi akan datang.

Demi membentuk satu masa depan yang lebih sejahtera di dalam satu-satunya planet yang dapat memberikan kehidupan kepada manusia dalam sistem alam semesta ini, konsep celik ekologi dilihat mampu digunakan untuk mendepani permasalahan alam sekitar.

Masyarakat yang celik ekologi bukan sahaja mampu mengenali spesies-spesies yang wujud atau membilang jumlah spesies tersebut sama ada flora atau fauna, namun lebih jauh daripada itu adalah keupayaan untuk memahami sistem semula jadi yang menjadikan kehidupan di dunia saling berkait di antara komponen-komponen ekosistem yang wujud. Untuk menjadi masyarakat celik ekologi bermakna kita bersama-sama memahami prinsip-prinsip organisasi ekologi komuniti (misalnya ekosistem) dan menggunakannya untuk membina kehidupan komuniti yang berdayahuni (livable) dan lestari.

Celik ekologi adalah satu konsep yang berpengaruh yang menyediakan landasan untuk pendekatan integrasi dan mampu memberikan penyelesaian terhadap permasalahan alam sekitar sama ada dari konsep mahupun teknikalnya. Istilah celik ekologi ini telah dicipta dan dipopularkan oleh seorang pendidik Amerika iaitu David W. Orr dan ahli fizik, Fritjof Capra pada tahun 1990-an yang telah menambah nilai dalam istilah pendidikan demi kesejahteraan dunia. Masyarakat yang celik ekologi adalah masyarakat yang berdayahuni dan lestari yang tidak menghancurkan persekitaran semula jadi yang menjadi pergantungan kehidupannya demi kelangsungan ekonomi, sosial mahupun budayanya.

Celik ekologi menekankan pemahaman prinsip-prinsip organisasi ekosistem dan potensi aplikasi untuk memahami bagaimana untuk membina masyarakat yang berdayahuni. Ia menggabungkan sistem sains dan ekologi dalam melakar bersama elemen-elemen yang diperlukan untuk menggalakkan proses pembelajaran yang betul-betul menghargai dan menjiwai dengan mendalam alam semula jadi dan peranan yang boleh dimainkan masyarakat dalam memahami alam semula jadi ini dengan sebaik-baiknya.

Pemikiran sistemik dan kompleksiti yang menjadi prinsip asas organisasi menjadi lebih penting kerana masyarakat yang celik ekologi dapat melihat keseluruhan fenomena yang berlaku dan menjadi sebahagian daripada jaringan yang menentukan arah elemen tersebut berfungsi. Pemikiran sistemik ini adalah perlu untuk memahami pergantungan kompleks sistem ekologi, sistem sosial dan sistem-sistem lain pada semua aras dalam satu-satu siri masa dan keadaan.

Dalam dekad-dekad mendatang ini, survival manusia amat bergantung kepada kadar celik ekologi masyarakatnya iaitu keupayaan untuk memahami prinsip-prinsip asas ekologi dan kehidupan di dunia ini. Ini bermakna bahawa celik ekologi akan menjadi satu kemahiran kritikal kepada ahli politik, pemimpin perniagaan, dan ahli profesional dan akan menjadi bahagian yang begitu penting dalam sistem pendidikan di semua peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti serta pendidikan berterusan dan juga latihan profesional. Tujuan celik ekologi ini adalah untuk membina keutuhan dan menunjukkan bahawa ketidakseimbangan ekosistem yang berlaku adalah cerminan ketidakseimbangan pemikiran kita dalam memahami kehendak dan naluri ekosistem semula jadi yang wujud.

Salah satu inisiatif celik ekologi yang sedang berjalan di peringkat negara iaitu Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar yang dianjurkan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Pelajaran dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengetengahkan konsep celik ekologi melalui pemupukan budaya penjagaan alam sekitar di kalangan warga sekolah dan pendidik yang bersama-sama membawa pemahaman ini ke luar dari lingkungan kawasan sekolah sehingga kepada masyarakatnya, selain sama-sama membudayakan penjagaan alam sekitar bermula dari rumah lagi.

Para murid dan pelajar mampu mempengaruhi ibu bapa dan jiran-jiran sekeliling agar dapat bersama-sama menjaga alam sekitar demi membina masa depan lebih berdayahuni dan lestari. Inisiatif yang sama juga diusahakan di peringkat perbandaran melalui Bandar Lestari - Anugerah Alam Sekitar dengan memberikan pengiktirafan kepada bandar yang mampu mencapai tahap yang tertinggi dalam penjagaan alam sekitar menerusi governans yang berkesan.

Untuk mencapai kelestarian, kita perlu menggali hingga ke akar umbi budaya masyarakat bagi mengetahui rahsia yang terkandung di dalamnya dan menjauhkan segala kesilapan yang pernah dilakukan akibat daripada sikap dan buta ekologi masyarakat sebelum ini.

Proses pembangunan yang ditempuh sejak negara mencapai kemerdekaan menerusi pembangunan industri, pembandaran dan pelbagai lagi bentuk pemodenan yang dilaksanakan sebahagiannya telah menghancurkan keupayaan ekosistem yang menyokong kehidupan seharian masyarakat. Isu-isu ketidaklestarian yang wujud dan tindakan yang tidak bertanggungjawab adalah hasilan langsung daripada kelemahan pemahaman ekologi tadi.

Meneruskan ketidaklestarian akan hanya menambahkan permasalahan menjadi lebih serius dalam jangka masa panjang. Celik ekologi mensasarkan untuk mengubah kerosakan paradigma pemikiran yang terpisah ini dengan alat yang mampu membina pemahaman integrasi terhadap kelestarian. Ia adalah asas untuk menyokong peralihan pantas terhadap sistem yang lestari. Seterusnya akan mengundang persoalan tentang dayahuni masyarakat dan tempat yang didiaminya.

Model Baru Ekonomi (MBE) yang digubal dan sedang diteliti semula setelah menerima desakan beberapa pihak harus digerakkan dengan mengambil kira kadar celik ekologi di kalangan masyarakat. Pembangunan ekonomi yang berteraskan kreativiti, inovasi dan pengetahuan sebagaimana yang diungkapkan dalam MBE perlu lebih jelas pengertiannya agar selari dengan tuntutan tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini iaitu 'Pelbagai spesies, satu planet, satu masa depan' agar kehidupan yang bakal diharungi anak cucu kita tidak terperangkap dalam sangkar pertumbuhan ekonomi yang tinggi yang dihasratkan untuk memacu ke arah sebuah negara maju menjelang 2020.

Penyelidikan berteraskan konsep celik ekologi perlu dijalankan dengan segera untuk mengetahui bentuk, mekanisme dan kadar celik ekologi di kalangan masyarakat negara ini agar pemahaman yang tuntas dapat digembeling dalam usaha mengatasi sebarang permasalahan yang berkait bukan sahaja dengan alam sekitar tetapi juga yang menyangkut dengan ekosistem-ekosistem lain. Kadar celik ekologi perlu diketahui mengikut lapisan masyarakat agar tindakan yang diambil untuk menangani permasalahan berkaitan alam sekitar dapat diusahakan dengan lebih teratur, tersusun dan berkesan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments: