Followers

Carian dalam Blog ini

21 April 2010

Komunikasi keluarga tangani masalah remaja

Oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim

2010/04/21

Sokongan emosi ibu bapa bentuk nilai murni generasi muda

DALAM menghadapi kerenah generasi muda yang terjebak dengan salah laku sosial dan budaya, pemikiran dan watak, kadang-kadang kita menjadi hilang punca dan akhirnya kerenah ini menjadi wabak yang sukar dibendung.

Hari ini, ramai daripada anak muda kian hilang nilai akhlak yang murni, sebaliknya hanyut dalam arus kelalaian yang akhirnya membinasakan diri. Ramai terjebak dalam salah guna dadah, terbabit dalam salah laku sosial seperti mat rempit, amalan seks bebas, jenayah juvana, lari dari rumah dan mengandung pada usia muda sehinggalah gejala membuang bayi yang kerap berlaku akhir-akhir ini.

Ini adalah di antara gejala yang melanda anak muda masa kini yang dikatakan kian membimbangkan dan perlu perhatian segera dalam mengembalikan mereka ke arah yang sepatutnya. Ada banyak suara yang melontarkan punca pemasalahan ini kepada sesetengah pihak terbabit dengan beberapa andaian dan hujahnya.

Ada yang menyalahkan institusi kekeluargaan menjadi punca kelonggaran tatasusila yang sepatutnya disemai pada peringkat awal. Tidak kurang juga yang menyalahkan kebejatan ini berpunca daripada aspek zaman globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan.

Dengan wujudnya banyak kemudahan perolehan maklumat yang sukar dibendung, maka ia turut mempengaruhi budaya Timur yang sudah lama diwarisi. Kemajuan dan kemodenan menyebabkan banyak unsur yang menjadi pendorong kuat terhadap golongan ini untuk melakukan aktiviti sedemikian sekali gus terbabit dalam gejala yang tidak sihat atau jenayah.

Era globalisasi kini mendedahkan anak remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang hebat ini tidak terhad sifatnya. Ia meliputi pelbagai jenis termasuklah sesuatu yang mampu untuk mempengaruhi kehidupan anak remaja sehingga menyebabkan mereka mempunyai tanggapan salah mengenai dunia ini.
Maklumat yang diterima daripada sumber yang pelbagai agak menakutkan jika dikaji. Kebebasan kehidupan yang keterlaluan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan menular dalam sanubari golongan ini. Tanpa bimbingan dan nasihat, golongan ini mudah untuk mempercayai dan sekali gus terpedaya dengan apa yang mereka peroleh.

Umum mengetahui bahawa anak remaja adalah satu kelompok masyarakat yang amat besar maknanya kepada negara. Mereka bakal pemimpin masa depan bagi meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa.

Sebagai bakal pemimpin bagi generasi akan datang, mereka ini sewajarnya dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri, remaja juga hendaklah dididik dan diberi tunjuk ajar mengenai pelbagai perkara.

Pemantapan sahsiah peribadi adalah asas terbaik bagi golongan ini untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berliku. Ibu bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam pembentukan integriti keluarga serta masyarakat.

Didikan di rumah, selain pendedahan pada peringkat sekolah dan amalan sifat murni menjadi nadi kepada keperibadian seorang individu. Ini adalah penting kerana perubahan persekitaran yang begitu pantas membolehkan anak berubah mengikut keadaan semasa. Perubahannya mungkin mudah dan sukar untuk disedari ibu bapa, dan kemungkinan sesuatu yang tidak disangka itu berlaku adalah tinggi dan hampir pasti.

Secara umumnya, komunikasi keluarga merujuk kepada cara bagaimana ibu bapa berkomunikasi dengan anak mereka dalam membentuk sosialisasi terutama pada peringkat awal kanak-kanak. Pola komunikasi kekeluargaan didapati mempunyai pengaruh terhadap cara anak memproses maklumat daripada luar persekitaran keluarga yang membawa kepada kebolehpercayaan sesuatu maklumat itu.

Ada beberapa kajian terdahulu menunjukkan komunikasi keluarga mempunyai kaitan dengan tingkah laku anak khususnya remaja. Maka seharusnya komunikasi keluarga dititikberatkan agar ia berlangsung dengan baik.

Komunikasi keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan sesebuah keluarga. Ini terjadi kerana institusi keluarga adalah institusi asas terpenting dalam membentuk sikap dan tingkah laku individu. Institusi keluarga memainkan peranan besar dalam proses sosialisasi yang membawa kepada perkembangan sikap anak.

Jika komunikasi keluarga tidak dapat berjalan dengan sepatutnya, ia akan membawa kepada beberapa implikasi negatif yang akan membabitkan anak sebagai mangsa. Sebagai contoh, apabila terjadinya konflik seperti kecelaruan keluarga, pertengkaran dan perceraian, memungkinkan komunikasi yang tidak menyenangkan akan membawa implikasi buruk terhadap pemikiran anak di dalam keluarga berkenaan.

Pembentukan sikap dan peribadi akan wujud secara spontan dalam jiwa mereka yang membolehkannya berperlakuan seperti pendedahan yang diterima atau sebaliknya berdasarkan sesuatu situasi.

Hakikatnya perkembangan anak remaja pada hari ini tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran dan masalah. Remaja sentiasa dikaitkan dengan masalah sosial, akhlak, jenayah dan sebagainya. Mereka keliru dengan dunia sebenarnya akibat terdedah daripada sesuatu sumber persekitaran yang kurang jelas.

Inilah yang akan berlaku jika komunikasi keluarga gagal dan membolehkan golongan remaja ini melakukan sesuatu berdasarkan kemahuannya sendiri yang memungkinkan dirinya terdedah dengan pengaruh sekeliling bagi mencari jalan keluar yang dirasakan perlu.

Oleh yang demikian, cara berkesan ialah ibu bapa perlu selalu meluangkan masa untuk anak dan bertukar peranan mengikut situasi seperti bertindak menjadi rakan sebayanya, bertanya perkembangan persekolahan, permasalahan jika ada atau sesekali bersiar-siar bagi merapatkan hubungan.

Dengan ini membolehkan si anak berasa selesa dan mungkin mudah bagi mereka berkongsi masalah, cerita dan pengalaman yang diperoleh. Peluang mendekati dan memahami anak akan membuatkan anak remaja (pada peringkat awal) berasa dekat dan mendapat sokongan emosi daripada ibu bapa.

Oleh itu, komunikasi perlu berjalan dengan jelas dan mengkhusus supaya tidak berlaku salah faham dan kekeliruan pada mesej yang ingin disampaikan.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka

No comments: