Followers

Carian dalam Blog ini

18 April 2010

Mencegah penularan wabak H1N1




MENCEGAH dan kesedaran. Langkah itu perlu untuk mengawal influenza A (H1N1) daripada merebak. Sikap acuh tak acuh hanya menyumbang kepada peningkatan kes. Walaupun catatan kes baru H1N1 masih perlahan namun tiada siapa boleh menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.

Setiap langkah pencegahan mesti agar wabak yang pernah menggemparkan negara itu dapat dibendung. Bersama Pakar Perubatan dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr Abd Rahman Mohd Ali, Mingguan Malaysia mengupas isu ini lebih lanjut.

“Orang ramai perlu faham kenapa wabak ini cepat merebak. Ia merebak melalui air liur dan hingus misalnya apabila kita batuk atau bersin. Walaupun kadar kematian kes H1N1 masih rendah, kita perlu ingat kadar berjangkit selesema H1N1 tinggi dan mudah berbanding penyakit-penyakit lain. Justeru itu, bilangan kes boleh meningkat dengan cepat.

Ia mudah berlaku dalam komuniti apabila orang ramai duduk setempat berkelompok dalam jarak yang dekat dan padat,” kata beliau.

Pada pendapat Dr. Abd Rahman, cuaca negara yang panas ketika ini mempengaruhi penyebaran wabak ini. Walaupun ada peningkatan kes, masih belum ada gelombang kedua H1N1 kerana ia masih virus yang sama.

Dalam hal ini, Dr. Abd Rahman menasihatkan orang ramai meneruskan langkah-langkah pencegahan H1N1 seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Antara perkara yang perlu dilakukan bagi mengurangkan penularan jangkitan ini adalah:

* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan.

* Adab batuk yang baik (cough etiquette) .

* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap.

* Pengudaraan dalam rumah yang baik.

* Kes-kes berkomplikasi atau berisiko tinggi perlu dapat rawatan di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimumkan.

* Individu yang mempunyai gejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, boleh dirawat di rumah. Mereka perlu berehat dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat atau demam tidak reda selepas dua hari.

* Individu yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru bila perlu ke tempat awam yang sesak atau ramai orang.

* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja/ anak murid mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas atau sekolah kerana sakit.

* Kejadian kes simptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Dr. Abd Rahman memberitahu, langkah-langkah pencegahan ini perlu diteruskan. namun, masih ada yang lupa hingga mereka lalai tentang risiko jangkitan wabak tersebuti.

Misalnya, golongan ibu mengandung adalah yang berisiko tinggi.

Ini disebabkan lebih mudah mendapat selesema dan jangkitan mereka lebih teruk dan berkomplikasi.

Berikut merupakan golongan yang berisiko dijangkiti wabak ini:

* Kanak -kanak berumur kurang lima tahun.

* Warga tua berumur lebih 65 tahun.

* Wanita hamil.

* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti Asma, Kencing manis, Kegagalan buah pinggang, Pesakit yang ambil ubat steroid berpanjangan.

* Orang yang obes.

“Bagi ibu mengandung dan berisiko tinggi, elakkan pergi ke tempat orang ramai. Jika perlu membuat pemeriksaan kandungan di hospital, pakailah topeng muka. Selain itu, wanita mengandung serta keluarga perlu mengamal adab kebersihan yang baik. Misalnya, sentiasa membasuh tangan apabila bersiar-siar, di rumah, ke tandas awam dan sebagainya,” ujar beliau.

Walaupun terdapat vaksin atau rawatan H1N1, orang ramai digalakkan untuk melakukan langkah-langkah pencegahan.

Menurut Dr. Abd Rahman kini sudah ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada H1N1.

Antara kumpulan sasar berkeutamaan (sumber Kementerian Kesihatan) pemberian vaksin H1N1 ialah:

* Wanita hamil (18+ minggu kehamilan)..

* Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.

* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik.

* Individu dengan morbid obesiti (iaitu BMI > 35 kilogram/m2) dan/atau menghidapi sebarang penyakit kronik.

* Orang awam yang berkehendakkan dengan tujuan (pengembara).

Oleh kerana bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve. Penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu bagi menerima vaksin.

Selain itu, pesakit juga akan diberikan ubat anti virus,” jelasnya.

Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini diberikan kepada pesakit-pesakit berisiko tinggi yang ada gejala demam selesema dan juga pesakit yang di sahkan ada penyakit demam selesema influenza A H1N1.

Dalam pada itu, Dr. Abd Rahman menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, beringat dan elakkan daripada mengunjungi tempat berisiko tinggi.

“Jika anda demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan, yang juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI) seharusnya anda perlu berjumpa dengan doktor segera terutama bagi yang tergulung dalam yang berisiko tinggi bagi doktor mengesahkan jangkitan H1N1 dan rawatan. Juga bagi mereka yang berisiko tinggi, sebaiknya dapatkanlah vaksin untuk melindungi dari jangkitan virus H1N1. Orang ramai juga perlu mengamalkan kesihatan diri yang baik, mengamalkan etika batuk serta bersin dengan mengunakan perlindungan tisu atau sapu tangan. Kemudian, anda perlu kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitizer selepas menyentuh mulut dan hidung sebelum menyentuh permukaan lain. Sama juga basuh tangan selepas menyentuh permukaan lain sebelum menyentuh muka kita. Jika anda mendapati seseorang itu mempunyai gejala ILI jarakkan diri dengan mereka sekurang-kurangnya satu meter. Sekiranya anda demam, anda boleh makan ubat demam, minum air banyak dan berehat dan jika tidak reda dalam dua hari atau menjadi lebih teruk jumpa doktor cepat,” ujarnya.

No comments: