Followers

Carian dalam Blog ini

30 August 2010

Keinsafan

Ini soal qalbu

bukan dipaksa

datangnya kesedaran kendiri

hidayah suci

di bulan suci.


Lihatlah

petanda-petanda kebesaranNya

kita ini kerdil

tiada apa kuasa selain menadah tangan

memohon keampunan

memohon perlindungan

memohon dilimpahkan taufik dan hidayah

jika takdirNya

keinsafan

buat yang terpilih.


cikgunikmie

30/8/2010

10.45 pm

Merdekakan dengan syiar

446 tahun digasak

mental fizikal dibelenggu

penjajah laknat rakus mengaut

khazanah alam setanah melayu

tinggal sisa.


Tanggal 31 Ogos 1957

Tunku laungkan kata keramat

merdeka!

merdeka!

merdeka!


Kini

setelah 53 tahun detik sejarah itu

di mana taraf merdeka kita?

setiap pelosok negara tidak lagi selamat

dalam rumah sendiri apatah lagi di jalanan.


Merdekakah? dengan,

rempit merempit jantan betina, menjadi-jadi

rogol merogol tak kira keturunan, menggila

buang bayi bagai buang sampah, bersepah

bunuh membunuh jadi agenda harian


Warga sudah lupa undang-undang

warga sudah hilang pedoman

warga sudah tiada pegangan

warga sudah tidak takut Tuhan.


Oo hoiiii

yang urus tadbir

kita ke zaman mana ni?

tegakkanlah syiar Islam

moga jadi kita umat yang dirahmati

merdekakan diri bersama dua tunjang

al-Qur'an dan as-Sunnah.


cikgunikmie

30/8/2010

6.40 pm

26 August 2010

Kesabaran

Tak perlu beremosi

biasakan melafaz nada romantis

difahami dimengertikan

hati senang tiada dendam

dalam marah hati jadi tenteram.


Marah tak bawa ke mana

tambah luka tambah parah

hati berais tukar bergeseir

tindakan boleh menggila

sakit mental jiwa merana.


Kesabaran itu

kemantapan iman peribadi mulia.


cikgunikmie

26/8/2010

6.05 pm

25 August 2010

Tenatnya

Oo hoooii (versi Dato M Daud Kilau)

Apa nak jadi!!!

penggal kepala

tembak kepala

potong leher

terjun bagunan

simbah asid.


Kalau iman kosong

riwayat di noktahkan

betapa

tenatnya masyarakat kita.


aduhai!!! YB PM

warga kian tenat nih!!!

mana modul bina insan

mana modul Islam hadhari.


usah fikir glokal

kalau lokal kian parah.


cikgunikmie

23 August 2010

Adakala

Adakala rindu meniup sepi

adakala kasih mengintai pilu

adakala sayang merayu sendu

adakala benci merodak kejam.


Adakala kejujuran diragui

adakala keikhlasan dipersenda

adakala ketabahan dipermain

adakala keimanan dibolakbalik.


Adakala tenang bersendiri

adakala ria berteman

adakala duka bertali

adakala suka sedetik.


Adakala kecewa menghiris

adakala gembira memucuk

adakala teringin lenyapkan

ADAKALA.


cikgunikmie

23/8/2010

11.50 pm

22 August 2010

Kepala


Kepala negara

kepala negeri

kepala daerah

kepala mukim

kepala kampung

kepala keluarga.


Jika kepala pincang

maka pincanglah

jajahan takluk.


cikgunikmie

22/8/2010

2.00 am


Tika ini

Tika ini

kulihat bulan

suram di balik awan

tiada bintang menemani

adat dunia

kala terang kala kelam.


Ada insan lena dibuai mimpi

meski

ada mengerah keringat

cari sesuap nasi.


Ada insan memanjat doa keampunan

meski

ada mengutip dosa

sesat dalam terang.


Ada insan murah rezeki

meski

ada tergadai maruah

mengemis simpati.


Rencam dunia

hanya ketaqwaan

beza kita disisiNya.


Cikgunikmie

12.20 am

22/8/2010

21 August 2010

Kemalangan sifar cara Islam


PENGGUNA jalan raya perlu mengamalkan sikap berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan maut. - Gambar hiasan


Ramadan kembali untuk memberikan kerahmatan kepada umat Islam selama sebulan dan akan disusuli dengan kemenangan pada 1 Syawal nanti. Seperti kebiasaan umat Islam di seluruh negara, kita akan berpusupusu pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan hari lebaran dengan keluarga tercinta.

Ada yang akan menaiki kenderaan persendirian, bas, motosikal dan kenderaan awam dengan satu matlamat iaitu pulang ke destinasi dengan selamat. Malangnya setiap kali cuti umum atau hari perayaan, maka pokok perbincangan kita adalah kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

Masalah ini seolah-olah tiada noktah akhirnya di Malaysia. Setiap hari, media massa menyiarkan dan memaparkan kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan dan kematian kepada individu tertentu termasuklah orang yang kita kenali dan sayangi.

Paparan oleh pihak media seolah-olah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat Malaysia, malahan mereka menerimanya sebagai takdir daripada Allah.

Adakah kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian adalah takdir daripada Allah? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian ini dari sudut undang-undang jenayah Islam?

Bagaimanakah Islam sebagai agama yang syumul ini dapat mengurangkan kadar kemalangan maut sekali gus 'kemalangan sifar' di Malaysia? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya dari sudut maqasid al-syariah iaitu dalam hal menjaga nyawa sama ada nyawa sendiri atau nyawa orang lain?

Statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku hampir setiap hari. Perangkaan oleh Polis Trafik Bukit Aman mengesahkan bahawa kadar kematian rakyat Malaysia di jalan raya meningkat setiap tahun dan konsisten iaitu 6,745 orang pada 2009 dan 6,527 pada tahun sebelumnya.

Sehingga Jun 2010, kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian adalah seramai 3,379 dan angka ini dijangka meningkat pada hari-hari perayaan.

Jika dilihat daripada statistik tersebut, secara purata kadar kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah di antara dua hingga tiga orang dalam sehari. Cuba kita bayangkan, angka kematian dalam seminggu, sebulan, atau setahun hanya disebabkan oleh kecuaian manusia di jalan raya.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Reseach (MIROS), bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang paling ramai maut disebabkan kemalangan jalan raya.

Pada tahun 2008, 62 peratus daripada 10,753 kematian yang dikenal pasti sebagai bangsa Melayu adalah sebanyak 6,703, diikuti bangsa Cina sebanyak 2,190 dan bangsa India sebanyak 1,137.

Jika menurut peringkat umur pula, mangsa yang berumur 18 hingga 30 tahun adalah penyumbang terbesar kematian diikuti peringkat umur 31 hingga 50 tahun. Ini menunjukkan bahawa peringkat umur yang masih muda dan boleh menyumbang kepada pendapatan keluarga, masyarakat dan negara terbunuh di atas jalan raya.

Menurut DSP Zainal Abdul Abdul Hamid dari Cawangan Bukit Aman, faktor utama yang menyumbangkan kemalangan jalan raya adalah sikap manusia sendiri ketika memandu di jalan raya.

Antara kesalahan yang dikenal pasti menyebabkan kematian antaranya pemandu kenderaan yang cuba/sedang memotong/tukar lorong, cuai ketika keluar masuk simpang jalan susur, makan jalan, membuat pusingan U/patah balik/menyeberang, berhenti mengejut, memandu laju, mengekori rapat kenderaan lain, memotong kenderaan lain secara berbahaya atau tiba-tiba, tidak menggunakan isyarat memotong, membelok secara merbahaya, memandu secara cuai, tidak mengikuti peraturan lampu isyarat, melawan arah trafik, tidak menggunakan lampu isyarat ketika hendak mengubah laluan, terbabas, memandu dalam keadaan mengantuk, letih dan pelbagai lagi kesalahan lain yang kesemuanya menjurus kepada kecuaian pemandu itu sendiri.

Umat Islam di Malaysia yang telah diterapkan sikap yang mahmudah sejak dari kecil seperti sabar, bekerjasama, berhati-hati, mendahului orang lain, menghormati perasaan orang lain, saling bantu membantu sesama Islam hendaklah mempraktikkan amalan mulia yang amat dituntut oleh Islam ketika berada di jalan raya.

Mungkin hubungan kita dengan Allah, hablum min Allah adalah baik terutamanya di bulan Ramadan seperti berpuasa, bertadarus, bersedekah, mengerjakan amalan wajib dan sunat dan amalan-amalan yang baik. Tetapi kita sering terlupa bahawa hubungan kita sesama manusia, hablum min al-nas ketika berada di jalan raya perlu juga dijaga.

Ini kerana jika kita melakukan dosa terhadap Allah dengan melakukan kemungkaran, kita boleh terus memohon keampunan daripada Allah secara terus. Tetapi jika kita menyakiti hati pengguna jalan raya yang lain, seperti memandu laju, cuai, mengekori rapat kenderaan lain, meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain, tidak memberikan isyarat ketika ingin menukar haluan, berlumba dan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, maka dosa itu tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali kita memohon maaf daripada individu tersebut.

Oleh itu, hilangkanlah perasaan riak, takbur, ingin menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika berada di jalan raya. Marilah kita budayakan budaya Islam ketika memandu bagi mengelakkan menyakiti hati sesama manusia sekali gus dapat menghindari kemalangan maut yang saban tahun semakin bertambah.

Jika ditinjau dari sudut undang-undang jenayah Islam, kematian disebabkan kemalangan jalan raya dikategorikan sebagai pembunuhan yang tersilap kerana kecuaian. Ini disebabkan pelaku tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian tetapi kematian tetap berlaku disebabkan kecuaian pelaku di jalan raya.

Ia dikenali sebagai al-qatl bi khata', pembunuhan disebabkan oleh kesilapan. Hukuman bagi mereka yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika memandu boleh dikenakan diyah yang ringan iaitu membayar kepada ahli waris si mati sebanyak 100 ekor unta atau yang senilai dengannya.

Malahan pesalah juga dikehendaki membayar kafarah iaitu memerdekakan seorang hamba, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Begitu beratnya hukuman bagi mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tidak sengaja menurut undang-undang jenayah Islam.

Hukuman ini dianggap adil, setiap pemandu sepatutnya mempunyai sikap berhati-hati di jalan raya dan jika dia menyebabkan kemalangan dan kematian kepada mangsa, pemandu terbabit perlu membayar diyah kepada ahli waris si mati.

Kemungkinan besar, mangsa yang terbunuh adalah ketua keluarga yang menyara anak isteri atau ahli keluarganya dan dengan adanya pampasan bernilai 100 ekor unta atau nilaiannya sama, maka ia dapat meringankan bebanan ahli waris yang masih hidup.

Jika ditinjau undang-undang jenayah di negara lain seperti di Pakistan, pemandu yang memandu dengan melulu dan cuai dan menyebabkan kematian kepada mangsa boleh dikenakan hukuman diyah dan ditambah dengan hukuman takzir yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Hal ini jelas dinyatakan di dalam Seksyen 25, Ordinan Berkaitan Dengan Nyawa ( Perlaksanaan Qisas dan Diyah) 1984. Diyah yang dikenakan bernilai 10,000 dirham atau bersamaan dengan 30.63 kilogram perak atau senilai dengan wang semasa. Mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan menilai dan mengetatkan undang-undang jalan raya dengan memasukkan peruntukan berkaitan pampasan kepada ahli waris si mati yang terbunuh di jalan raya disebabkan kecuaian pemandu lain atau sebab-sebab lain.

Sehingga kini, Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333) hanya memperuntukkan hukuman bagi pemandu cuai atau merbahaya jika disabitkan hanya akan dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 hingga tidak lebih daripada RM20,000.

Tiada langsung konsep diyah diberikan kepada waris mangsa yang mana ahli keluarganya terbunuh disebabkan kesalahan pemandu lain atau agensi-agensi lain seperti mengorek lubang di jalan raya tetapi tidak menyediakan papan tanda secukupnya sehingga pemandu jatuh dan mati.

Oleh itu, kutiplah pahala di bulan Ramadan ini sebanyak-banyaknya ketika kita berada di jalan raya. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Mengelakkan bahaya daripada jalan raya adalah satu kebaikan."

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

20 August 2010

Keranamu Zharif Aimran


Darimu kupelajari

nilai kasih memaut

nilai cinta menyimpul

nilai persaudaraan terpeteri.


Aimran,

masa kegetiran

uji kesabaran

buat kami

pedulikan segala

hanya kamu

hanya kamu

hanya kamu

anugerah ternilai

waris penyelamat kami.


abah

20/08/10

5.20pm

Anak didikku


Kutahu kalian keresahan

Bimbang tersungkur di kaki STPM ini

Perit meredhai kesukaran

Kepayahan lumrah hidup

Jadikan kita lebih tabah

Bangkitlah! disisa hari yang berbaki

Kalian mampu lepasi halangan ini


Kumelihat jerih kalian

Redup wajah budarnya sinar mata

Genang airsuci tak tertumpah

Simpan buat iringi tanggis kesyukuran


Kucuba curah segunung kata

Seraplah! laksana kumbang rakus menghisap manis madu

Kucuba permudahkan cara

Kelak tak tersadung digelanggang perjuangan

Kucuba riangkan duka lara

Agar reda kekusutan membadai


Kucuba pujuk hati sendiri

Agar terukir kepastian

Kalian bukanlah pengecewa


Tempuhi realiti ini

Berkat usaha kalian

Kuyakini kupasti

Kalian akan tiba ke kaki menara

Gedung ilmu idaman bangsa


Usah gusar

Potensi persis air pacuran

Tiba detik terhambur dalam jawapan

Terpaku sipemeriksa tiada keraguan


Kejayaan pasti tiba

Basahan airmata iringi kesyukuran

Lalu kutersenyum dalam kehilangan anak didikku.


Cikgunikmie

20/8/2010

10.30 am

17 August 2010

Senja

saat mentari melabuh sinar

unggas pulang ke sarang

buat pelindung dingin embun

rehat sejenak menanti fajar


saat rembulan menjelma diri

sirna cahaya dipagari bintang

sayu pungguk mendayu merayu

harapkan rembulan jatuh ke riba


insan bersuci tunai tuntutan Illahi

anak isteri berkumpul menyeri

doa dipanjat pohon diampuni

hidup berkat tanda diredhai


silangit jingga menyuram

tanda malam tunjuk cemburu

pepohonan tunduk menyeru

meratib hiba di hujung senja

cikgunikmie

17/8/2010

7.20 pm

~Jika Bumi Berjiwa~

aku malu

malu melihat sandiwara manusia

telunjuk lurus menuding seberang

ekor jalaknya bergelumang najis


aku kecewa

kecewa manusia tak berperi

menelanjang dengan rakus

memperkosa penuh nafsu serakah

khazanahku anugerahMu


aku derita

menanggung bebanan manusia

menyemai tipu daya

membaja tamak haloba

menuai dosa kemaksiatan


aku bangga

menjalani perintahMu Ya Rabbi

jadi jambatan

kembalinya makhluk padaMu

Cikgunikmie

17/8/2010

5.50 pm

16 August 2010

`~Pintu~`

dari kayu, besi, plastik atau kaca

sama saja

namanya pintu

pintu terbuka

menerjah angin bawa rezeki melimpah

jadi hidup senang di mata

tumpang bahagia jiran tetangga

pintu tertutup

kelam bagai malam tanpa rembulan

udara terperam suram

segala organik seni biak menawan

salah atur merebak jadi duri rencam

memakan diri hilang pedoman

pintu hati

moga terbuka

terima hidayah petunjuk Illahi

kental iman tersungkur iblis durjana

pintu hati

jika tertutup

hidup lara penuh dosa

ketawa syaitan jaya mengoda

lemah iman lalai leka

binasa diri kelak ke neraka

Pintu syurga

hanya untuk yang bertaqwa

ayuh !!!! cari keredhaan Illahi

doa dan selawat mohon dapat syafaat junjungan Nabi

moga kita ditakdirkan ke pintu-pintu syurga

cikgunikmie

16/8/2010

7.25pm

~Kehidupan~


menjalani hidup seketika cuma ini

onak duri

badai gelombang

ribut amarah

angin hasad dengki

banjir haloba

petir fitnah

pasti melanda

lumrah mainan manusia

nista noda tanpa takut dosa

halal haram bukan jadi perkiraan


kudrat dan akal dikurnia

musuh jelas ditinta


tinggal lagi!!!!

atur langkah bertunjang firmanNya

jalani kehidupan berpandu sabda jujungan kekasih Allah

nescaya selamat dunia dan akhirat

cikgunikmie

16.8.2010

5.20pm

15 August 2010

Airmataku kerana hadir airmatamu

kutidak melihat

sekadar mendengar

bari sahabatmu,

airmatamu menitis tatkala

menghadapi sakaratulmaut

ku mengerti hadir airmatamu

kejerihan hidupmu membawa ke akhirnya

maafkan kami

moga airmatamu suci

sesuci kalimah kalimah zikirullah

gugur airmataku kerana hadir airmatamu

namun Illahi lebih menyayangimu

moga syurga jua tempat abadi bagimu

Ayahchik

15/8/2010

10.20 am

13 August 2010

Cabaran kreativiti, inovasi rawat mental

PADA 26-28 Julai lalu telah berlangsung satu persidangan kesihatan mental. Program yang dikenali sebagai Persidangan Kesihatan Mental Kuala Lumpur Ke-7 itu diadakan dua tahun sekali, dan merupakan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur.

Antara beberapa objektif ia diadakan ialah bagi mendidik masyarakat supaya sentiasa sensitif terhadap aspek penjagaan kesihatan mental yang sempurna dan peka terhadap sebarang perkara yang berpotensi mengundang risiko gangguan mental.

Ia juga merupakan satu platform yang dapat mengumpulkan ramai pakar perubatan dan kesihatan berkaitan untuk mendedahkan hasil rawatan, kajian dan penemuan terkini bidang penyakit mental, agar dapat dimanfaatkan golongan rakyat, selain dikongsi sesama pakar.

Kesedaran sememangnya telah sedia ada bagi membawa maklumat berkaitan seperti ini agar ia sampai kepada golongan masyarakat awam yang lebih memerlukan. Mungkin terdapat beberapa kekangan seperti dari segi cara dan kaedah penganjuran program selain hanya berbentuk seminar semata-mata. Cara lain bagaimana menyalurkan maklumat berkaitan sampai kepada masyarakat perlu difikirkan dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif lagi.

Dalam usaha meningkatkan martabat perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, terdapat beberapa isu yang perlu diatasi secara lebih berkhemah, kreatif dan lebih inovatif. Malah, ia juga memerlukan kesungguhan pelbagai pihak bagi mencapai objektif ini, terutamanya dari pihak berkuasa, dan seterusnya sokongan padu dan keterbukaan masyarakat.

Kesihatan mental adalah satu bidang sains, yang dilandasi matlamat untuk melahirkan individu manusia yang sihat dan sejahtera dari segi mental, fizikal, emosi dan sosial, dan bukannya bebas dari penyakit atau kesakitan semata-mata. Sebagai satu bidang sains, ia berusaha untuk menyelesaikan masalah individu berdasarkan kepada pemerhatian secara saintifik, empirikal dan objektif.

Justeru, pendekatan rawatan dan pemulihan masalah berkaitan mental, emosi dan tingkah laku juga adalah berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh serta telah terbukti berjaya menghasilkan kesan yang efektif.

Bagaimanapun, peranan yang murni ini akan menjadi terbatas kerana cabaran paling utama yang dihadapi kini ialah masalah kekurangan tenaga pakar. Maklumat yang ada menggambarkan negara kekurangan pakar psikiatri, dengan jumlah keseluruhan adalah sekitar 200 orang sahaja.

Jumlah yang kecil ini sudah pasti membataskan tahap kecepatan dan kecekapan usaha merawat pesakit secara lebih berkesan, di samping menghalang pelbagai agenda mempromosi kesedaran kesihatan mental. Manakala rakyat yang menghidapi gejala penyakit mental pula semakin bertambah setiap tahun, dan pada masa yang sama, tiga juta daripada 26 juta orang sedang menderita pelbagai sindrom akibat penyakit ini.

Kesan buruk daripada jumlah yang kecil golongan profesional ini akhirnya akan mengakibatkan kurangnya penghasilan idea dan pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif dalam sektor perkhidmatan ini, sama ada dari segi rawatan dan pemulihan, ataupun penjagaan dan pencegahan, mahupun promosinya, mengkibatkan bidang ini semakin jauh ketinggalan dan terkebelakang berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan.

Di samping bidang perubatan psikiatri, isu yang sama turut berlaku dalam beberapa bidang sains kesihatan yang lain, yang berkaitan dengan sistem penjagaan kesihatan mental dan tingkah laku seperti psikologi klinikal, psikologi kaunseling dan kerja sosial. Di negara ini, sesuatu yang amat membanggakan ialah apabila pada ketika ini, bidang-bidang ini kelihatan semakin berkembang maju, walaupun mereka bangkit agak lewat setelah jauh ketinggalan berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan.

Perkembangan terkini menyaksikan bidang-bidang ini telah semakin diterima oleh masyarakat dan diiktiraf peranan mereka oleh kerajaan untuk turut sama menyumbang ke arah mewujudkan satu sistem kesihatan awam yang lebih baik, kukuh dan bersepadu.

Bagi memperkukuhkan lagi tahap kualiti dan profesionalisme bidang ini dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat, dan bagi menjamin serta melindungi hak-hak masyarakat awam, satu akta khusus yang berkaitan akan diwujudkan. Ia akan dikenali sebagai Rang Undang-Undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu, bernaung di bawah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kini dalam proses penggubalan sebelum ia dibentang di Parlimen pada awal tahun 2011.

Terdapat sebanyak 23 profesion sains kesihatan yang akan dikawal oleh akta ini, termasuklah profesion bagi pegawai psikologi klinikal untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan mental. Namun cabaran yang sama dialami ialah masalah kekurangan tenaga profesional dalam bidang ini yang sudah pasti akan turut menjejaskan usaha untuk memperkukuhkan lagi sektor kesihatan mental secara lebih bersepadu dalam kesihatan awam negara dan perlu diatasi segera.

Cabaran seterusnya yang perlu ditangani segera ialah bagaimana untuk berhadapan dengan penerimaan dan sikap masyarakat terhadap perkhidmatan ini. Sebagai satu perkhidmatan yang baru diperkenalkan kepada mereka, sudah pasti ia akan mengambil masa untuk diterima masyarakat. Tambahan pula dengan latar belakang kehidupan dan pemikiran masyarakat yang telah sebati dengan unsur-unsur yang bersifat mistikal, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai konflik apabila berhadapan dengan sains.

Stigma dan mitos masyarakat terhadap perkhidmatan ini sebagai perkhidmatan kelas rendah yang digeruni dan ditakuti serta perlu dijauhi juga wajar ditangani. Jika tidak, ia akan menjejaskan usaha untuk mengetengahkan perkhidmatan ini sebagai penyelesaian masalah kehidupan mereka melalui pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan saintifik.

Semoga dengan penganjuran program dan seminar seperti ini, cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi dengan lebih berkhemah lagi. Lantaran itu, IKIM turut mengambil kesempatan dengan matlamat yang sama untuk mendidik dan mempromosi kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat, dengan menganjurkan Seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa pada 19-20 Oktober 2010 nanti, secara bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Hukum mati jika sabit kesalahan buang bayi

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh.

Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam.

Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan.

“Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan ‘buang bayi’ kepada ‘pembunuhan bayi’. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Penyerahan Bantuan Khas Perbendaharaan dengan nilai bantuan RM2,657,010 kepada 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kementeriannya di sini hari ini.

Shahrizat berkata, pihaknya juga akan meminta PDRM menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kepada kes-kes tertentu supaya ibu dan bapa kepada bayi yang tidak berdosa dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, ujian DNA ini penting supaya lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya kes hamil luar nikah tidak akan dibiarkan lepas tetapi akan turut didakwa.

Beliau percaya dengan hukuman lebih keras ini dapat mengatasi gejala pembuangan bayi yang sehingga hari ini mencecah 60 kes.

Tambah beliau, sebelum ini kementerian hanya menggunakan pendekatan kebajikan yang mana ia selari dengan matlamatnya termasuk menangani isu pembuangan bayi.

“Selama enam bulan ini, kementerian melaksanakan pelbagai program termasuk ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendidik mahasiswa supaya bersama menangani gejala yang makin meruncing ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrizat meminta kerjasama NGO yang menerima bantuan kewangan supaya tidak lupa meletakkan logo dan nama kementerian yang telah membantu menjayakan program mereka.

Elak terlebih minum produk 3-in-1

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa produk minuman 3-in-1 yang kandungan gulanya melebihi 5 gram boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini menasihatkan produk makanan yang ditambah gula perlu dielakkan seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia supaya tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah tenaga harian atau 10 sudu teh (50 gram) sehari bagi dewasa.

"Bagi remaja berusia antara 10 dan 18 tahun dalam sehari tidak melebihi 11 dan setengah sudu teh atau 58 gram; dan 6 dan setengah sudu teh (32 gram) sehari bagi kanak-kanak yang berusia antara setahun dan sembilan tahun," kata kenyataan tersebut.

Transformasi Ekonomi Luar Bandar Menerusi FELDA

13 Ogos, 2010 13:11 PM

Oleh Zuhafizah Ahmad Zaki

SLIM RIVER, 13 Ogos (Bernama) -- Semasa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diwujudkan hasil idea bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, ramai yang ragu sejauh mana rancangan tanah FELDA ini, mampu merubah kehidupan peneroka dan generasi pewarisnya.

Hari ini masyarakat peneroka FELDA di 317 rancangan tanah berjumlah kira-kira 4.8 juta orang dan mewakili 15.6 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Mereka bukan sahaja telah membaiki kedudukan sosio ekonomi mereka, malah turut merubah landskap geografi negara.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Slim (Perak) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ialah seorang daripada mereka yang berbangga dengan warisan FELDA ini.

Beliau ialah anak peneroka FELDA Sungai Behrang di Slim River dan memang berbangga dengan apa yang disumbangkan FELDA selama ini terutama untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar daripada kepompong kemiskinan.

"Kebanyakan peneroka FELDA datangnya dari perkampungan terpencil di luar bandar yang sebelum ini hidup serba miskin dan melarat. Tidak pernah mereka bayangkan suatu hari nanti pendapatan mereka boleh menjangkau sehingga RM4,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding pendapatan anak-anak mereka yang keluar dari pusat pengajian tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa Mohd Khusairi menyertai FELDA Sungai Behrang pada 1968 dan pada masa itu taraf hidup tidak banyak berubah namun ada kerja dan matlamat yang perlu dicapai.

Selepas tujuh tahun apabila getah mengeluarkan hasil, kehidupan warga peneroka yang hanya bergantung kepada barang makanan yang didapatkan dari kedai syarikat, mula meningkat.

KEHIDUPAN BERUBAH

"Sebelum menjadi peneroka, mereka tinggal di kampung tradisi yang ada sebahagian mereka hanya menumpang di rumah saudara-mara dan ada juga yang tiada rumah sendiri. Apabila menyertai FELDA mereka diberikan tanah suku ekar dan sebuah rumah satu bilik dengan tandas di luar rumah.

"Tapi kini perubahan fizikal rumah warga peneroka dapat kita saksikan kerana hasil ladang dan pentadbiran cekap FELDA. Hari ini kebanyakan rumah peneroka lebih besar dan lebih selesa. Ada sesetengah peneroka juga mampu membina rumah banglo hasil berjimat cermat," katanya.

Mohd Khusairi, graduan Psikologi dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1986 berkata bergantung kepada harga komoditi, pendapatan peneroka kini antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata FELDA menyediakan skim tuisyen percuma kepada anak-anak peneroka di sekolah rendah dan menengah serta memberi RM500 kepada mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan RM1,000 bagi Ijazah Sarjana Muda di mana-mana institut pengajian tinggi.

Generasi baru FELDA juga didedahkan kepada pelbagai kursus kemahiran yang berkaitan termasuk penyelenggaraan pesawat.

TINGKAT SOSIO-EKONOMI

Transformasi sosio ekonomi ini jelas dilihat di semua rancangan tanah FELDA.

" Di peringkat awal kehidupan mereka, mungkin ada di antara generasi FELDA yang malu hendak mengaku sebagai anak peneroka FELDA, tetapi hari ini rata-rata mereka berbangga.

"Anak generasi FELDA hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibu bapa dan keluarga mereka. Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah FELDA di rancangan tanah dan hari ini rumah berkenaan melalui proses baik pulih atau dibina baru menjadi banglo mewah," katanya.

Kini terdapat 10 buah rancangan tanah FELDA berhampiran -- tiga di Trolak, lima di Besout, masing-masing satu di FELDA Sungai Behrang dan FELDA Sungai Klah dengan bilangan keseluruhan penduduk kira-kira 40,000 orang.

DULU DAN SEKARANG

Abdul Razak Din, 46, anak peneroka dari FELDA Lasah di Sungai Siput mengakui akan keperitan hidup yang dilalui arwah bapanya ketika mula-mula memasuki rancangan tanah itu pada sekitar 70-an.

"Dulu pendapatan ayah sebulan hanya RM69.60 sebelum tiba hasil ladang getah bagi menyara enam anak yang bersekolah. Sekarang masyarakat peneroka boleh meraih pendapatan minimum RM3,000 sebulan dan ada sesetangah kawasan FELDA yang tanahnya agak subur, peneroka boleh memperoleh pendapatan hampir RM8,000 bagi hasil 4.4 hektar tanah," katanya.

Abdul Razak yang kini memegang jawatan Editor akhbar Utusan Malaysia di ibu negara berkata warga peneroka kini rata-rata memiliki motosikal dan kereta sendiri malah ada yang pergi menoreh getah membawa kereta, bukan lagi basikal seperti satu ketika dulu.

Menyentuh aspek pendidikan, Abdul Razak yang memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi (Kewartawanan Ekonomi) dari Universiti Putra Malaysia berkata banyak saluran dan bantuan yang disediakan untuk generasi muda FELDA melanjutkan pengajian mereka.

"Anak peneroka yang mendapat 4A dihantar belajar di sekolah terbaik di seluruh negara. Bagi yang tidak cemerlang pula FELDA tetap menyediakan bantuan pendidikan dan menyediakan saluran supaya mereka meneruskan pelajaran. Malah saya turut menerima biasiswa FELDA semasa belajar di universiti," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Dr Kamari Kasan pula berkata kehidupan warga peneroka dan generasi baru FELDA kini jauh berbeza dan di luar jangkaan sebenarnya.

"Asalnya hanya mahu membasmi kemiskinan dan tidak pernah terbayang rumah besar yang begitu selesa dan memiliki kereta sendiri," katanya.

PROSES TRANSFORMASI

Dr Kamari, pemegang PhD dari United Kingdom, ialah anak peneroka FELDA Cahaya Baru, Masai Johor yang turut mengharungi onak dan duri hidup bersama-sama FELDA apabila arwah bapanya menyertai FELDA pada tahun 1969.

Beliau berkata kehidupan warga peneroka ketika itu bertukar daripada di bawah paras kemiskinan kepada golongan pertengahan dan kini merupakan era untuk FELDA melahirkan generasi baru bergelar jutawan.

"Anak-anak peneroka yang berjaya perlu dikumpulkan dan digerakkan untuk melahirkan lebih banyak jutawan.

"Generasi baru ini tidak perlu hanya menjadi golongan peneroka di rancangan tanah sendiri, mereka perlu keluar meneroka sumber dan sektor perniagaan dan perladangan baru di luar negara," katanya.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan generasi baru FELDA Gedangsa, Hulu Selangor menyifatkan FELDA berjaya membantu anak peneroka mencapai pendidikan pada tahap tertinggi namun, ia tidak seharusnya terhenti di situ.

"Dalam pendidikan kita telah berjaya tetapi kita mahu berjaya lagi. Kita mahu mewujudkan juga sebuah intitut pendidikan bertaraf universiti khas untuk anak-anak warga FELDA. Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kita sudah ada. Oleh itu kita perlu satu tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu taklimat di FELDA Gunung Besout 1 di Sungkai baru-baru ini.

Rozali dilihat sebagai generasi baru FELDA yang paling berjaya dan beliau menyedari kepentingan tranformasi berterusan untuk masyarakat peneroka. GWGF sedang berusaha merangka cadangan ke arah itu.

"Pelan tranformasi ini ialah bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020, seiring dengan transformasi ekonomi negara dan bagi 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.

Pewaris masyarakat peneroka perlu pastikan usaha gigih tanpa mengenal kepayahan dan dugaan generasi awal seperti yang dipaparkan di dalam filem 'Bilut' tidak sia-sia!.

-- BERNAMA

12 August 2010

TakdirMu

walau berat namun

takdirmu

ku redhai



suratan tersurat

anakanda tinggalkan kami

walau payah tetap ayanhanda mamah

pasti ada hikmah dari Illahi



moga jadilah kami

dari golongan yang bertaqwa



tiada lebih mulia

selain mendapat keredhaanMU Ya Allah



Al-fatihah buat anakanda nik zakuan

moga kamu dari kalangan umat yang soleh



ayahchik

12/8/2010

6.25 p.m

Pemanasan global cetus bencana

2010/08/12

Pakar PBB dakwa banjir landa Pakistan, China terburuk dalam sejarah

LONDON: Pakar perubahan iklim berkata, fenomena pemanasan global kemungkinan menjadi punca tercetusnya banjir besar di Pakistan, kebakaran hutan di Russia dan tanah runtuh di China sekarang.

Hampir 14 juta orang terjejas oleh banjir di Pakistan menjadikan bencana itu lebih buruk daripada kejadian tsunami 2004 dan gempa bumi di Kashmir dan Haiti.

Bencana banjir terbaru itu yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terburuk dalam sejarah terdekat, disebabkan oleh kehadiran supercharged jet stream atau gelungan besar angin kencang yang juga dikatakan menjadi punca banjir di China dan cuaca panas berpanjangan di Russia yang menyebabkan kebakaran hutan.

Pakar PBB dari beberapa universiti di seluruh dunia berkata, fenomena cuaca ekstrem dialami sekarang membuktikan kesan pemanasan global semakin dirasai.

Jean-Pascal van Ypersele, naib presiden IPCC, badan PBB yang ditugaskan untuk memantau pemanasan global, berkata cuaca ekstrem itu adalah konsisten dengan perubahan iklim yang dibawa oleh aktiviti manusia.

Cuaca ekstrim dialami sekarang terus dicetus dan diburukkan lagi oleh fenomena pencemaran rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti manusia. katanya.

PBB berkata, banjir melanda Pakistan sekarang adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak beberapa tahun lalu dengan 13.8 juta orang terjejas dan 1,600 orang terkorban setakat ini.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda China sejak tiga hari lalu sudah menyebabkan 702 orang terkorban dan lebih 1,000 orang dilaporkan hilang, di samping menyebabkan kerosakan berbilion dolar di 28 wilayah.

Di RUSSIA, rumah mayat hampir penuh di Moscow ketika negara itu dilanda kebakaran hutan yang dicetuskan cuaca panas terburuk sejak 130 tahun lalu.

Ketua pemantauan iklim di Pejabat Meteorologi Britain, Dr Peter Stott, berkata hampir mustahil untuk menyatakan fenomena cuaca ekstrem dialami semata-mata disebabkan pemanasan global.

Namun beliau berkata, wujud bukti jelas peningkatan kekerapan fenomena cuaca
ekstrem berikutan pemanasan global.

Dr Stott berkata, pemanasan global dikatakan menjadi punca kepada fenomena cuaca ekstrem kerana apabila atmosfera lebih panas ia mempunyai keupayaan untuk menampung lebih banyak air dan berikutan itu mencetuskan hujan lebat dan banjir yang lebih teruk seperti disaksikan di Pakistan dan China. Agensi

11 August 2010

Tunggulah Kemusnahan Bila Memilih Pemimpin Yang Tidak Amanah

Suzalie Bin Mohamad
Fellow

06/08/2010 | Utusan Malaysia

Mengambil bahagian dalam politik adalah satu tindakan yang mulia dan berfaedah sekiranya penglibatan ini diniatkan untuk mencari keredaan Allah SWT. Bergiat dalam politik untuk menerajui kuasa pemerintahan sepatutnya dijadikan sebagai landasan untuk seseorang itu melaksanakan amanah bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Surah al-Anbia' ayat 107 menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW, serta para Nabi dan Rasul yang lain, diamanahkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Oleh itu, setiap orang yang beriman wajiblah mencontohi para rasul melaksanakan amanah ini demi kesejahteraan alam.

Politik atau dikenali Siyasah dalam bahasa Arab adalah ilmu pengetahuan berkaitan cara pemerintahan. Dalam Mu'jam al-Wajiz, Siyasah bermaksud mentadbir sesuatu perkara dengan baik atau pemerintah mentadbir urusan rakyat dengan penuh amanah. Apabila politik dilandaskan kepada Islam ia dinamakan politik Islami atau Siyasah Syariyah. Menurut para fuqaha, Siyasah Syariyah diertikan suatu "tindakan pemerintah menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak". Ringkasnya, Politik Islami merangkumi ilmu-ilmu berkaitan sistem, peraturan dan undang-undang yang diperlukan untuk mengurus sesebuah negara bertepatan dengan asas-asas agama bagi menjamin pencapaian kemaslahatan kepada manusia, menunaikan segala keperluan mereka dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan dunia dan akhirat.

Seseorang yang berhasrat untuk bergiat aktif dalam politik perlu membetulkan niatnya terlebih dahulu supaya tidak dipengaruhi oleh kepentingan dan kemewahan dunia samata-mata. Tujuan utama seseorang itu melibatkan diri dalam politik adalah untuk melaksanakan maqasid syar'iyyah bagi membawa kebaikan (maslahat) dan menghilangkan kemudaratan (mafasid) kepada manusia. Melaksanakan maqasid syar'iyyah bererti menjaga dan memelihara lima perkara utama kesucian agama; keselamatan nyawa; kemurnian dan kewarasan akal; kehormatan keturunan dan maruah diri; dan pemilikan harta benda. Oleh kerana itu, politik yang mendasari Islam sebagai rujukan adalah amat dituntut. Tingkah laku dan pandangan sesorang pemimpin yang adil mestilah terikat dengan kerangka maqasid syar'iyyah.

Memandangkan syariat Islam merangkumi semua perkara berkaitan persoalan akidah dan keimanan, akhlak-akhlak yang mulia dalam perhubungan sesama anggota masyarakat dan hukum-hukum Allah seperti halal, haram, wajib, sunat dan harus, maka syariat ini tidak akan dapat ditegakkan dalam kehidupan manusia melainkan adanya kuasa pemerintahan Islami. Di sinilah wujudnya keperluan dan kepentingan kuasa politik Islami untuk melaksanakan maqasid syar'iyyah.

Dalam konteks sebuah negara bercirikan Islam seperti Malaysia, urusan pemerintahan haruslah selari dengan ciri-ciri Islam yang ada di dalam negara ini. Walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, perlembagaan tidak menyekat penganut agama lain mengerjakan ibadat mereka. Ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang melarang umatnya menghina agama-agama lain. Oleh sebab sifatnya yang sejagat, syariat Islam diturunkan untuk semua manusia, tempat dan masa. Ia mampu memenuhi keperluan manusia dan tidak menyusahkan dan menghalang manusia mencapai kemajuan.

Corak pemerintahan negara perlu dipandu dengan syariat Islam. Ahli politik harus memahami bahawa agama Islam adalah pegangan majoriti penduduk di negara ini dan setiap rakyatnya juga dipandu dengan semangat Rukun Negara yang menekankan aspek kerohanian. Maka agak jangal sekiranya negara ini diurus-tadbir mengikut pandangan sekularisme. Sudah tentu akan berlaku banyak konflik dalam kalangan rakyat sekiranya rujukan Islam dipinggirkan. Oleh sebab itu, keharmonian dalam negara perlu dijaga dengan tidak membakar sentimen agama yang boleh menyebabkan pergaduhan dan perpecahan.

Matlamat utama institusi pemerintahan diwujudkan adalah untuk menegakkan keadilan kepada semua rakyat. Wujudnya ketidakadilan dalam sistem pemerintahan dan masyarakat adalah kerana agama dipinggirkan daripada kehidupan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana sikap dan tahap penerimaan rakyat dengan apa yang sudah kita miliki pada masa ini tidak kita sia-siakan. Walaupun sistem pemerintahan merangkumi undang-undang, ekonomi and sosio-politik dalam negara ini sebahagiannya diwarisi daripada penjajah, tidak semestinya kita menolak semuanya kerana kita diberikan kelonggaran dan keupayaan untuk memurnikan sistem tersebut selaras dengan kehendak dan semangat Islam. Pendekatan pemurnian sebegini adalah jauh lebih baik daripada melakukan revolusi.

Seperti mana yang disebut tadi, para ahli politik harus menyakini bahawa pemerintahan yang berlandaskan Islam menjamin keadilan kepada semua. Oleh itu, setiap pemimpin politik yang menentukan dan mempengaruhi hala tuju pembentukan dasar negara harus ingat bahawa tanggungjawab yang telah diamanahkan wajib dilaksanakan. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab ini bukan sahaja dimurkai Allah SWT, bahkan menyekat keadilan serta membawa manusia kepada kezaliman. Bertepatan dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud "Apabila dikhianati amanah maka tunggulah kiamat. Lalu ditanya, ‘wahai Rasulullah bagaimanakah mengkhianatinya?', sabda baginda: Apabila diserahkan kepimpinan bukan kepada ahlinya maka tunggulah kiamat". Pemimpin yang dilantik hendaklah meletakkan tanggungjawab menegakkan keadilan sebagai agenda utama dalam hidup mereka. Di antara tanggunjawab ini adalah seperti berikut;

1. Berlaku adil dan memelihara keadilan sesama manusia,
2. Bermusyawarah untuk mendapatkan jalan terbaik menyelesaikan sesuatu masalah itu,
3. Memelihara hak-hak persamaan manusia,
4. Membawa rahmat kepada manusia,
5. Melarang melakukan kemusnahan,
6. Menunaikan amanah dan janji,
7. Menjaga asas-asas hubungan luar negara.

Inilah di antara sebahagian tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh seseorang pemimpin politik demi menegakkan keadilan kepada semua. Keadilan Islam juga dapat dilihat dalam konteks rasional hukuman jenayah yang terkandung dalam al-Quran. Terdapat lima kategori jenayah yang pelaksanaan hukumannya adalah jelas contohnya, jenayah hirabah (pemberontakkan); membunuh dengan sengaja tanpa hak atau tak sengaja; menuduh orang-orang beriman melakukan zina; jenayah berzina dan mencuri. Selainnya daripada ini terpulang kepada pemerintah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya memandangkan terdapatnya perbezaan keperluan antara satu tempat dengan tempat yang lain dan juga peredaran masa.

Oleh yang sedemikian, bergelar ahli politik atupun Yang Berhormat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Negara bukan sahaja satu keistimewaan kepada seseorang itu, malah satu beban tanggungjawab yang besar yang harus dipikul untuk menegakkan keadilan. Kemampuan untuk memikul tanggungjawab yang besar ini memerlukan sesorang itu memiliki sikap amanah dan jujur serta tahap kelayakan yang tinggi. Sekiranya kelayakan dari segi fahaman agama, akal, sikap dan kudratnya tidak dimiliki, dengan mudah mereka akan terpesong dengan naluri kerakusan kuasa dan kekayaan yang suatu hari nanti memakan dirinya sendiri.

Cabaran Terhadap Kreativiti dan Inovasi Dalam Kesihatan Mental

Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

30/07/2010 | Utusan Malaysia

Pada awal minggu ini, telah berlangsung satu persidangan kesihatan mental yang bermula dari 26-28 Julai 2010. Program yang dikenali sebagai Persidangan Kesihatan Mental Kuala Lumpur ke 7 itu diadakan dua tahun sekali, dan merupakan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur. Antara beberapa objektif ia diadakan ialah bagi mendidik masyarakat supaya sentiasa sensitif terhadap aspek penjagaan kesihatan mental yang sempurna dan peka terhadap sebarang perkara yang berpotensi mengundang risiko gangguan mental. Ia juga marupakan satu platform yang dapat mengumpulkan ramai pakar perubatan dan kesihatan berkaitan untuk mendedahkan hasil rawatan, kajian dan penemuan terkini bidang penyakit mental yang berlaku, agar dapat dimanfaatkan golongan rakyat, selain dikongsi sesama pakar.

Anjuran pelbagai program berkaitan seperti ini amat penting bagi menjamin hanya kualiti perkhidmatan kesihatan yang terbaik dapat disalurkan kepada rakyat yang akhirnya meningkatkan lagi taraf dan kualiti sektor kesihatan ini, dan pada masa yang sama memelihara tahap kesihatan mental rakyat agar sentiasa berada dalam paras yang optimum. Walaupun terdapat beberapa penganjuran program seperti ini lebih tertumpu kepada golongan profesional, namun ia tidak bermakna bahawa masyarakat awam terhalang daripada sama-sama menikmati kebaikan program-program ini. Kesedaran sememangnya telah sedia ada bagi membawa maklumat berkaitan seperti ini agar ia sampai kepada golongan masyarakat awam yang lebih memerlukan. Mungkin terdapat beberapa kekangan seperti dari segi cara dan kaedah penganjuran program selain hanya berbentuk seminar semata-mata, cara lain bagaimana untuk melaksanakan maklumat berkaitan seperti ini sampai kepada masyarakat perlu difikirkan dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif lagi.

Dalam usaha meningkatkan martabat perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, terdapat beberapa isu yang perlu diatasai secara lebih berkhemah, kreatif dan lebih inovatif. Malah, ia juga memerlukan kesungguhan pelbagai pihak bagi mencapai objektif ini, terutamanya dari pihak berkuasa, dan seterusnya sokongan padu dan keterbukaan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa sentiasa berada di hadapan dalam memainkan peranan mereka untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang terbaik, termasuklah kesihatan mental.

Kesihatan mental adalah satu bidang sains, yang dilandasi matlamat untuk melahirkan individu manusia yang sihat dan sejahtera dari segi mental, fizikal, emosi dan sosial, dan bukannya bebas dari penyakit atau kesakitan semata-mata. Sebagai satu bidang sains, ia berusaha untuk menyelesaikan masalah individu berdasarkan kepada pemerhatian secara saintifik, empirikal dan objektif. Justeru itu, pendekatan rawatan dan pemulihan masalah berkaitan mental, emosi dan tingkahlaku juga adalah berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh serta telah terbukti berjaya menghasilkan kesan yang efektif. Sebagai satu bidang sains, ia tidak dapat lari untuk turut sentiasa berkembang, sejajar dengan perkembangan dan kemajuan dunia sains dan teknologi. Sudah pasti, perkembangan dan kemajuan yang terhasil ini adalah cetusan daripada kreativiti dan inovasi pemikiran para pendukung dalam bidang ini.

Walaubagaimanapun, peranan yang murni ini akan menjadi terbatas kerana cabaran paling utama yang dihadapi kini ialah masalah kekurangan tenaga pakar. Maklumat yang ada menggambarkan negara kekurangan pakar psikiatri, dengan jumlah keseluruhan adalah sekitar 200 orang sahaja. Jumlah yang kecil ini sudah pasti membataskan tahap kecepatan dan kecekapan usaha merawat pesakit secara lebih efektik, di samping menghalang pelbagai agenda mempromosi kesedaran kesihatan mental. Manakala rakyat yang menghidapai gejala penyakit mental pula semakin bertambah setiap tahun, dan pada masa yang sama, 3 juta daripada 26 juta orang sedang menderita pelbagai sindrom akibat penyakit ini. Kesan buruk daripada jumlah yang kecil golongan profesional ini akhirnya akan mengakibatkan kurangnya penghasilan idea dan pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif dalam sektor perkhidmatan ini, sama ada dari segi rawatan dan pemulihan, ataupun penjagaan dan pencegahan, mahupun promosinya, mengkibatkan bidang ini semakin jauh ketinggalan dan terkebelakang berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan. Namun, masalah ini lambat laun akan dapat diatasi juga akhirnya, walaupun akan mengambil masa yang amat panjang dari sekarang, mungkin sejajar dengan pencapaian kemajuan negara dan Wawasan 2020.

Di samping bidang perubatan psikiatri, isu yang sama turut berlaku dalam beberapa bidang sains kesihatan yang lain, yang berkaitan dengan sistem penjagaan kesihatan mental dan tingkahlaku seperti psikologi klinikal, psikologi kaunseling dan kerja sosial. Di negara ini, sesuatu yang amat membanggakan ialah apabila pada ketika ini, bidang-bidang ini kelihatan semakin berkembang maju, walaupun mereka bangkit agak lewat setelah jauh ketinggalan berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan. Perkembangan terkini menyaksikan bidang-bidang ini telah semakin diterima oleh masyarakat dan diiktiraf peranan mereka oleh kerajaan untuk turut sama menyumbang ke arah mewujudkan satu sistem kesihatan awam yang lebih baik, kukuh dan bersepadu.

Bagi memperkukuhkan lagi tahap kualiti dan profesionalisma bidang ini dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat, dan bagi menjamin serta melindungi hak-hak masyarakat awam dalam menerima perkhidmatan para pengamal dalam bidang ini, satu akta khusus yang berkaitan akan diwujudkan. Ia akan dikenali sebagai Rang Undang-Undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu, bernaung di bawah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kini dalam proses penggubalan sebelum ia dibentang di Parlimen pada awal tahun 2011. Terdapat sebanyak 23 profesion sains kesihatan yang akan dikawal oleh akta ini, termasuklah profesion bagi pegawai psikologi klinikal untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan mental. Namun cabaran yang sama dialami ialah masalah kekurangan tenaga profesional dalam bidang ini yang sudah pasti akan turut menjejaskan usaha untuk memperkukuhkan lagi sektor kesihatan mental secara lebih bersepadu dalam kesihatan awam negara dan perlu diatasi segera.

Cabaran seterusnya yang perlu ditangani segera ialah bagaimana untuk berhadapan dengan penerimaan dan sikap masyarakat terhadap perkhidmatan ini. Sebagai satu perkhidmatan yang baru diperkenalkan kepada mereka, sudah pasti ia akan mengambil masa untuk diterima masyarakat. Tambahan pula dengan latarbelakang kehidupan dan pemikiran masyarakat yang telah sebati dengan unsur-unsur yang bersifat mistikal, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai konflik apabila berhadapan dengan sains. Stigma dan mitos masyarakat terhadap perkhidmatan ini sebagai perkhidmatan kelas rendah yang digeruni dan ditakuti serta perlu dijauhi juga wajar ditangani. Jika tidak, ia akan menjejaskan usaha untuk mengetengahkan perkhidmatan ini sebagai penyelesaian masalah kehidupan mereka melalui pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan saintifik.

Semoga dengan penganjuran program dan seminar seperti ini, cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi dengan lebih berkhemah lagi. Lantaran itu, IKIM turut mengambil kesempatan dengan matlamat yang sama untuk mendidik dan mempromosi kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat, dengan menganjurkan Seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa pada 19-20 Oktober 2010 nanti, secara bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

Kurang Air Rosakkan Organ

Kita sering dinasihatkan supaya minum banyak air, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Namun bagi sesetengah orang, nasihat ini sukar diikut dengan alasan mereka akan kerap mengulang ke tandas dan ini bukan perkara digemari.


Selain itu, ada juga yang berpendapat badan mereka menerima cukup bekalan air selepas dicampur kopi, teh, jus buah atau minuman berkarbonat yang diambil sepanjang hari.

Justeru, ramai beranggapan pengambilan air masak dirasakan tidak perlu sebanyak disarankan.

Secara purata, badan kita kehilangan hampir 2.5 liter air (lebih kurang 10 cawan) setiap hari melalui peluh, pernafasan dan pembuangan najis.

Pada masa sama, kita juga kehilangan bahan elektrolit (mineral) seperti sodium, potassium dan kalsium yang berfungsi menjaga keseimbangan cecair dalam badan.

Perlu Diganti Segera

Itu adalah kadar kehilangan air yang normal daripada setiap orang. Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak yang perlu diganti segera bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi (masalah kekurangan air).

Hampir 60% daripada berat badan kita adalah berat air, jadi jika berlaku dehidrasi badan akan mengalami perubahan fisiologi yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan, tetapi masalah ini biasanya tidak kita sedari.

Masalah kekurangan air akan menyebabkan jumlah darah yang dipam ke seluruh badan juga berkurang. Akibatnya, jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan tekanan darah juga menurun.

Oleh kerana badan kekurangan air, kita tidak akan berpeluh dan haba tidak keluar dari badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih serius, masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita mungkin boleh demam.

Dahaga Bila Kurang Air

Mungkin anda berfikir, badan kurang air bila kita dahaga. Anggapan ini kurang tepat kerana dahaga bukan penunjuk tepat kepada masalah ini, terutama di kalangan kanak-kanak dan orang tua, kerana badan boleh mengadaptasi kepada keadaan kekurangan air sehinggalah masalah menjadi lebih serius.

Bukan semua kes dehidrasi akan menyebabkan komplikasi serius, tetapi kehilangan dua peratus berat badan boleh mempengaruhi prestasi, terutama di kalangan atlit, kehilangan tiga hingga lima peratus berat badan akibat dehidrasi menjejaskan penumpuan, tindak balas dan pertimbangan mereka.

Penunjuk terbaik adalah warna air kencing — sama ada kuning cair atau pekat.

Tanda dan Kesan Kekurangan Air

Antara tanda kekurangan air termasuk:

* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* Mengantuk
* Air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening

Pada keadaan lebih serius, individu terbabit mungkin mengalami masalah:

* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan

Keadaan kekurangan air berterusan juga boleh mengundang bahaya yang tidak dijangka, seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ berkurangan dan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan tidak mencukupi.

Jika tidak diatasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.

Malah, otak juga boleh menjadi bengkak. Biasanya air yang hilang dari badan mengandungi garam galian dan untuk menggantikannya, badan terpaksa menghasilkan bahan yang akan menarik balik air ke dalam sel.

Akibatnya, sel mungkin menyerap terlalu banyak air, menjadi bengkak dan pecah. Keadaan ini bertukar menjadi masalah serius apabila membabitkan sel-sel otak.

Sikap tidak suka minum air juga sebenarnya menyeksa organ penting badan, terutama buah pinggang, kerana buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi menapis bahan-bahan toksik daripada air (tindak balas untuk mengurangkan kehilangan air dari badan).

Air juga mudah keluar daripada badan melalui cirit birit (kaedah paling cepat kehilangan air dan garam mineral, terutama di kalangan kanak-kanak), bersenam, berjogging, berbasikal atau sekadar berjalan.

Demam juga akan menyebabkan kita kehilangan air. Lagi panas suhu badan, lebih banyak air yang hilang. Masalah bertambah buruk jika anda muntah dan birit birit.

Minum Air Semasa Penerbangan

Selain itu, penerbangan yang lama ke satu-satu destinasi juga menyebabkan kita kehilangan air kerana udara dalam kapal terbang sangat kering, dengan kadar kelembapan kurang daripada 10 peratus. Keadaan bertambah buruk jika anda minum minuman beralkohol. Jadi, pastikan anda minum banyak air masak ketika penerbangan.

Bagi orang dewasa yang masih muda, masalah kekurangan air mungkin tidak mendatangkan banyak kesan sampingan, tetapi keadaannya berbeza bagi bayi, kanak-kanak dan orang tua, khususnya jika menghidap penyakit seperti kencing manis.

Justeru inilah juga, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika bayi atau anak kecil mengalami masalah muntah dan cirit birit. Pastikan air yang hilang dari badan diganti segera untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini kerana kehilangan air berlebihan boleh menyebabkan kematian.

Semakin kita berusia, kebolehan badan untuk mengekalkan kandungan air dalam badan menurun, deria mengesan dahaga juga menjadi kurang peka dan kemampuan badan bertindak balas dengan perubahan cuaca juga semakin rendah.

Malah, sesetengah orang tua yang tinggal di rumah penjagaan mahupun duduk sendirian selalunya makan sedikit dan terlupa untuk makan atau minum. Keadaan ini juga akan menyumbang kepada masalah dehidrasi yang semakin meruncing setiap hari jika tidak diperbaiki.

Jadi, sebelum berlaku kerosakan tidak diingini, mulakanlah amalan yang baik untuk diri anda. Caranya bukan susah, cuma minum air masak sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari. Jadi, jangan bertangguh lagi melakukan ‘kebajikan’ untuk diri sendiri!

Sumber: Http://www.sihatselalu.com.my

10 August 2010

'Laptop.pc.rasis' lebih bahaya daripada lestospirosis?

PENYAKIT kencing tikus atau leptospirosis juga dikenali sebagai sindrom weil, demam canicola, demam ladang tebu atau demam 7 hari merupakan penyakit berjangkit zoonosis yang berpunca daripada spirochaete dalam genus Leptospira yang menjejaskan manusia dan sejumlah haiwan, termasuk mamalia, burung, amfibia dan reptilia.

'Laptop.pc.rasis' pula adalah satu istilah sosial yang amat berbahaya jika menjangkiti masyarakat bertamadun unik dan majmuk seperti Malaysia.

Virus ini menular melalui hujung jari manusia. Manusia yang menyebarkan virus ini selesa menaip apa sahaja di papan kekunci gajet komputer mereka.

Soalnya, adakah pihak yang dianggap peniup wisel (whistleblower) ini sanggup bertanggungjawab terhadap setiap pernyataan menyalahkan ras/bangsa lain hanya melalui teknologi hujung jari di atas lap top (komputer riba) mahupun di papan kekunci komputer peribadi (PC).

Pada masa wujud fenomena pihak yang memperjuangkan kaum dan ras masing-masing, golongan ini tiada segan silu membuat pelbagai tuduhan melalui dunia siber.

Adakah kelompok ini sedar dari segi tanggungjawab undang-undang bahawa mereka boleh dihadapkan ke mahkamah jika fakta yang disebutkan adalah dogma dan polemik semata-mata.

Perkara yang lebih menyakitkan hati apabila ada yang menyebut tentang bangsa lain hanya kerana beranggapan negara ini tegak hanya kerana disebabkan ekonomi semata-mata sedangkan kekuatan ekonomi adalah disebabkan perpaduan nasional antara rakyat berbilang bangsa. Terutama ras majoriti yang sanggup berkongsi warisan alam dan Perlembagaan negara.

Internet dan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace dan lain-lain sepatutnya digunakan untuk mempertingkatkan perpaduan, seterusnya kegiatan ekonomi boleh dirancakkan sebagaimana lebih separuh abad yang lalu.

Dengan laman-laman sosial yang mempunyai jaringan berjuta-juta manusia, kita perlu mempergunakan dunia siber sebagai dunia sebenar. Setiap bait dan patah kata menyentuh hak-hak istimewa ras lain pasti akan menyinggung perasaan pihak tersebut. Jika tuntutan dibuat di mahkamah bersedialah untuk membayar harganya.

Istilah babi sebagai binatang yang hina dan penghinaan lain kepada sesuatu bangsa di internet sebenarnya merupakan virus blog yang bukan sahaja merosakkan nama teknologi siber malahan ia menjadi virus sosial yang masih belum disedari oleh majoriti bangsa yang disebut-sebut itu.

Bayangkan jika bangsa tersebut semua sedar dan merasakan diri mereka dihina sesuka hati dan mengambil tindakan yang bukan bersifat menjawab dengan teknologi tetapi tindakan 'fizikal,' apa akan jadi kepada kebanggaan ekonomi negara puak itu kelak.

Sepatutnya komputer riba mahupun peribadi digunakan untuk tujuan meningkatkan ekonomi melalui E-Dagang dan E-Pengetahuan bukannya mencari musuh dan membuat kecaman membuta-tuli.

Isu blogger yang menjadi blogger upahan sepatutnya tidak timbul kerana jika blogger tersebut ada rasa tanggungjawab, beliau sepatutnya berani kerana benar bukan berani kerana tiada orang yang berani menegurnya meniup wisel sesuka hati.

Sikap jalak berkokok ekor penuh najis memang ramai di kalangan puak ini. Jangan menuding jari tanpa ada bukti yang kukuh. Jangan juga lari dan bersembunyi di sebalik pokok berduri setelah menuduh itu dan ini.

Sindrom 'Laptop.pc.rasis' perlu dihentikan daripada dunia siber. Jangan menyentuh soal hak istimewa bangsa lain kerana ia ibarat memusnahkan landskap kenegaraan sesuatu negara.

Sesungguhnya dunia siber masih dianggap dunia yang begitu asing bagi orang Melayu akibat jurang digital yang tinggi. Jika pihak ini diberi kesedaran bahawa bangsa mereka dihina dengan pelbagai nama oleh puak-puak yang selesa mengetuk papan kekunci di 'lap top' dan 'pc' kita takut nanti suasana aman negara dirosakkan oleh minoriti dajal internet ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) setakat ini masih lagi memberi lampu hijau untuk golongan penyebar 'laptop.pc.rasis' ini yang lebih bahaya dari penyakit leptospirosis yang merupakan jangkitan bakteria jarang berlaku pada manusia.

Jangkitan biasanya dipindahkan kepada manusia apabila air yang dicemari dengan air kencing haiwan menyentuh bukaan pada kulit, mata, atau dengan selaput lendir. Di luar kawasan tropika, kes leptospirosis berlaku mengikut musim dan kebanyakannya berlaku sekitar bulan Ogos-September/Februari-Mac.

Namun beringatlah penyakit laptop.pc.rasis ini pula sedang berkembang sepanjang masa dalam dunia siber dan ia ibarat HIV positif yang masih belum menjadi AIDS. Jangan sampai kebebasan yang diberi kerajaan disalah guna di alam siber dengan menyentuh asas kenegaraan negara.

Mengetuk papan kekunci memang mudah, menghina juga mudah, namun apa jadi apabila semua orang Melayu bersatu setelah sedar bahawa perbuatan melampau mempersoalkan hak istimewa mereka terus diuar-uarkan. ALT+CTRL+DEL pada rasisme dan tingkatkan pratiostisme sempena merdeka.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor