PADA 26-28 Julai lalu telah berlangsung satu persidangan kesihatan mental. Program yang dikenali sebagai Persidangan Kesihatan Mental Kuala Lumpur Ke-7 itu diadakan dua tahun sekali, dan merupakan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur.
Antara beberapa objektif ia diadakan ialah bagi mendidik masyarakat supaya sentiasa sensitif terhadap aspek penjagaan kesihatan mental yang sempurna dan peka terhadap sebarang perkara yang berpotensi mengundang risiko gangguan mental.
Ia juga merupakan satu platform yang dapat mengumpulkan ramai pakar perubatan dan kesihatan berkaitan untuk mendedahkan hasil rawatan, kajian dan penemuan terkini bidang penyakit mental, agar dapat dimanfaatkan golongan rakyat, selain dikongsi sesama pakar.
Kesedaran sememangnya telah sedia ada bagi membawa maklumat berkaitan seperti ini agar ia sampai kepada golongan masyarakat awam yang lebih memerlukan. Mungkin terdapat beberapa kekangan seperti dari segi cara dan kaedah penganjuran program selain hanya berbentuk seminar semata-mata. Cara lain bagaimana menyalurkan maklumat berkaitan sampai kepada masyarakat perlu difikirkan dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif lagi.
Dalam usaha meningkatkan martabat perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, terdapat beberapa isu yang perlu diatasi secara lebih berkhemah, kreatif dan lebih inovatif. Malah, ia juga memerlukan kesungguhan pelbagai pihak bagi mencapai objektif ini, terutamanya dari pihak berkuasa, dan seterusnya sokongan padu dan keterbukaan masyarakat.
Kesihatan mental adalah satu bidang sains, yang dilandasi matlamat untuk melahirkan individu manusia yang sihat dan sejahtera dari segi mental, fizikal, emosi dan sosial, dan bukannya bebas dari penyakit atau kesakitan semata-mata. Sebagai satu bidang sains, ia berusaha untuk menyelesaikan masalah individu berdasarkan kepada pemerhatian secara saintifik, empirikal dan objektif.
Justeru, pendekatan rawatan dan pemulihan masalah berkaitan mental, emosi dan tingkah laku juga adalah berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh serta telah terbukti berjaya menghasilkan kesan yang efektif.
Bagaimanapun, peranan yang murni ini akan menjadi terbatas kerana cabaran paling utama yang dihadapi kini ialah masalah kekurangan tenaga pakar. Maklumat yang ada menggambarkan negara kekurangan pakar psikiatri, dengan jumlah keseluruhan adalah sekitar 200 orang sahaja.
Jumlah yang kecil ini sudah pasti membataskan tahap kecepatan dan kecekapan usaha merawat pesakit secara lebih berkesan, di samping menghalang pelbagai agenda mempromosi kesedaran kesihatan mental. Manakala rakyat yang menghidapi gejala penyakit mental pula semakin bertambah setiap tahun, dan pada masa yang sama, tiga juta daripada 26 juta orang sedang menderita pelbagai sindrom akibat penyakit ini.
Kesan buruk daripada jumlah yang kecil golongan profesional ini akhirnya akan mengakibatkan kurangnya penghasilan idea dan pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif dalam sektor perkhidmatan ini, sama ada dari segi rawatan dan pemulihan, ataupun penjagaan dan pencegahan, mahupun promosinya, mengkibatkan bidang ini semakin jauh ketinggalan dan terkebelakang berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan.
Di samping bidang perubatan psikiatri, isu yang sama turut berlaku dalam beberapa bidang sains kesihatan yang lain, yang berkaitan dengan sistem penjagaan kesihatan mental dan tingkah laku seperti psikologi klinikal, psikologi kaunseling dan kerja sosial. Di negara ini, sesuatu yang amat membanggakan ialah apabila pada ketika ini, bidang-bidang ini kelihatan semakin berkembang maju, walaupun mereka bangkit agak lewat setelah jauh ketinggalan berbanding bidang lain dalam sektor kesihatan dan perubatan.
Perkembangan terkini menyaksikan bidang-bidang ini telah semakin diterima oleh masyarakat dan diiktiraf peranan mereka oleh kerajaan untuk turut sama menyumbang ke arah mewujudkan satu sistem kesihatan awam yang lebih baik, kukuh dan bersepadu.
Bagi memperkukuhkan lagi tahap kualiti dan profesionalisme bidang ini dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat, dan bagi menjamin serta melindungi hak-hak masyarakat awam, satu akta khusus yang berkaitan akan diwujudkan. Ia akan dikenali sebagai Rang Undang-Undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu, bernaung di bawah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kini dalam proses penggubalan sebelum ia dibentang di Parlimen pada awal tahun 2011.
Terdapat sebanyak 23 profesion sains kesihatan yang akan dikawal oleh akta ini, termasuklah profesion bagi pegawai psikologi klinikal untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan mental. Namun cabaran yang sama dialami ialah masalah kekurangan tenaga profesional dalam bidang ini yang sudah pasti akan turut menjejaskan usaha untuk memperkukuhkan lagi sektor kesihatan mental secara lebih bersepadu dalam kesihatan awam negara dan perlu diatasi segera.
Cabaran seterusnya yang perlu ditangani segera ialah bagaimana untuk berhadapan dengan penerimaan dan sikap masyarakat terhadap perkhidmatan ini. Sebagai satu perkhidmatan yang baru diperkenalkan kepada mereka, sudah pasti ia akan mengambil masa untuk diterima masyarakat. Tambahan pula dengan latar belakang kehidupan dan pemikiran masyarakat yang telah sebati dengan unsur-unsur yang bersifat mistikal, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai konflik apabila berhadapan dengan sains.
Stigma dan mitos masyarakat terhadap perkhidmatan ini sebagai perkhidmatan kelas rendah yang digeruni dan ditakuti serta perlu dijauhi juga wajar ditangani. Jika tidak, ia akan menjejaskan usaha untuk mengetengahkan perkhidmatan ini sebagai penyelesaian masalah kehidupan mereka melalui pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan saintifik.
Semoga dengan penganjuran program dan seminar seperti ini, cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi dengan lebih berkhemah lagi. Lantaran itu, IKIM turut mengambil kesempatan dengan matlamat yang sama untuk mendidik dan mempromosi kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat, dengan menganjurkan Seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa pada 19-20 Oktober 2010 nanti, secara bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
No comments:
Post a Comment