Followers

Carian dalam Blog ini

11 August 2010

Tunggulah Kemusnahan Bila Memilih Pemimpin Yang Tidak Amanah

Suzalie Bin Mohamad
Fellow

06/08/2010 | Utusan Malaysia

Mengambil bahagian dalam politik adalah satu tindakan yang mulia dan berfaedah sekiranya penglibatan ini diniatkan untuk mencari keredaan Allah SWT. Bergiat dalam politik untuk menerajui kuasa pemerintahan sepatutnya dijadikan sebagai landasan untuk seseorang itu melaksanakan amanah bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Surah al-Anbia' ayat 107 menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW, serta para Nabi dan Rasul yang lain, diamanahkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Oleh itu, setiap orang yang beriman wajiblah mencontohi para rasul melaksanakan amanah ini demi kesejahteraan alam.

Politik atau dikenali Siyasah dalam bahasa Arab adalah ilmu pengetahuan berkaitan cara pemerintahan. Dalam Mu'jam al-Wajiz, Siyasah bermaksud mentadbir sesuatu perkara dengan baik atau pemerintah mentadbir urusan rakyat dengan penuh amanah. Apabila politik dilandaskan kepada Islam ia dinamakan politik Islami atau Siyasah Syariyah. Menurut para fuqaha, Siyasah Syariyah diertikan suatu "tindakan pemerintah menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak". Ringkasnya, Politik Islami merangkumi ilmu-ilmu berkaitan sistem, peraturan dan undang-undang yang diperlukan untuk mengurus sesebuah negara bertepatan dengan asas-asas agama bagi menjamin pencapaian kemaslahatan kepada manusia, menunaikan segala keperluan mereka dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan dunia dan akhirat.

Seseorang yang berhasrat untuk bergiat aktif dalam politik perlu membetulkan niatnya terlebih dahulu supaya tidak dipengaruhi oleh kepentingan dan kemewahan dunia samata-mata. Tujuan utama seseorang itu melibatkan diri dalam politik adalah untuk melaksanakan maqasid syar'iyyah bagi membawa kebaikan (maslahat) dan menghilangkan kemudaratan (mafasid) kepada manusia. Melaksanakan maqasid syar'iyyah bererti menjaga dan memelihara lima perkara utama kesucian agama; keselamatan nyawa; kemurnian dan kewarasan akal; kehormatan keturunan dan maruah diri; dan pemilikan harta benda. Oleh kerana itu, politik yang mendasari Islam sebagai rujukan adalah amat dituntut. Tingkah laku dan pandangan sesorang pemimpin yang adil mestilah terikat dengan kerangka maqasid syar'iyyah.

Memandangkan syariat Islam merangkumi semua perkara berkaitan persoalan akidah dan keimanan, akhlak-akhlak yang mulia dalam perhubungan sesama anggota masyarakat dan hukum-hukum Allah seperti halal, haram, wajib, sunat dan harus, maka syariat ini tidak akan dapat ditegakkan dalam kehidupan manusia melainkan adanya kuasa pemerintahan Islami. Di sinilah wujudnya keperluan dan kepentingan kuasa politik Islami untuk melaksanakan maqasid syar'iyyah.

Dalam konteks sebuah negara bercirikan Islam seperti Malaysia, urusan pemerintahan haruslah selari dengan ciri-ciri Islam yang ada di dalam negara ini. Walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, perlembagaan tidak menyekat penganut agama lain mengerjakan ibadat mereka. Ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang melarang umatnya menghina agama-agama lain. Oleh sebab sifatnya yang sejagat, syariat Islam diturunkan untuk semua manusia, tempat dan masa. Ia mampu memenuhi keperluan manusia dan tidak menyusahkan dan menghalang manusia mencapai kemajuan.

Corak pemerintahan negara perlu dipandu dengan syariat Islam. Ahli politik harus memahami bahawa agama Islam adalah pegangan majoriti penduduk di negara ini dan setiap rakyatnya juga dipandu dengan semangat Rukun Negara yang menekankan aspek kerohanian. Maka agak jangal sekiranya negara ini diurus-tadbir mengikut pandangan sekularisme. Sudah tentu akan berlaku banyak konflik dalam kalangan rakyat sekiranya rujukan Islam dipinggirkan. Oleh sebab itu, keharmonian dalam negara perlu dijaga dengan tidak membakar sentimen agama yang boleh menyebabkan pergaduhan dan perpecahan.

Matlamat utama institusi pemerintahan diwujudkan adalah untuk menegakkan keadilan kepada semua rakyat. Wujudnya ketidakadilan dalam sistem pemerintahan dan masyarakat adalah kerana agama dipinggirkan daripada kehidupan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana sikap dan tahap penerimaan rakyat dengan apa yang sudah kita miliki pada masa ini tidak kita sia-siakan. Walaupun sistem pemerintahan merangkumi undang-undang, ekonomi and sosio-politik dalam negara ini sebahagiannya diwarisi daripada penjajah, tidak semestinya kita menolak semuanya kerana kita diberikan kelonggaran dan keupayaan untuk memurnikan sistem tersebut selaras dengan kehendak dan semangat Islam. Pendekatan pemurnian sebegini adalah jauh lebih baik daripada melakukan revolusi.

Seperti mana yang disebut tadi, para ahli politik harus menyakini bahawa pemerintahan yang berlandaskan Islam menjamin keadilan kepada semua. Oleh itu, setiap pemimpin politik yang menentukan dan mempengaruhi hala tuju pembentukan dasar negara harus ingat bahawa tanggungjawab yang telah diamanahkan wajib dilaksanakan. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab ini bukan sahaja dimurkai Allah SWT, bahkan menyekat keadilan serta membawa manusia kepada kezaliman. Bertepatan dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud "Apabila dikhianati amanah maka tunggulah kiamat. Lalu ditanya, ‘wahai Rasulullah bagaimanakah mengkhianatinya?', sabda baginda: Apabila diserahkan kepimpinan bukan kepada ahlinya maka tunggulah kiamat". Pemimpin yang dilantik hendaklah meletakkan tanggungjawab menegakkan keadilan sebagai agenda utama dalam hidup mereka. Di antara tanggunjawab ini adalah seperti berikut;

1. Berlaku adil dan memelihara keadilan sesama manusia,
2. Bermusyawarah untuk mendapatkan jalan terbaik menyelesaikan sesuatu masalah itu,
3. Memelihara hak-hak persamaan manusia,
4. Membawa rahmat kepada manusia,
5. Melarang melakukan kemusnahan,
6. Menunaikan amanah dan janji,
7. Menjaga asas-asas hubungan luar negara.

Inilah di antara sebahagian tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh seseorang pemimpin politik demi menegakkan keadilan kepada semua. Keadilan Islam juga dapat dilihat dalam konteks rasional hukuman jenayah yang terkandung dalam al-Quran. Terdapat lima kategori jenayah yang pelaksanaan hukumannya adalah jelas contohnya, jenayah hirabah (pemberontakkan); membunuh dengan sengaja tanpa hak atau tak sengaja; menuduh orang-orang beriman melakukan zina; jenayah berzina dan mencuri. Selainnya daripada ini terpulang kepada pemerintah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya memandangkan terdapatnya perbezaan keperluan antara satu tempat dengan tempat yang lain dan juga peredaran masa.

Oleh yang sedemikian, bergelar ahli politik atupun Yang Berhormat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Negara bukan sahaja satu keistimewaan kepada seseorang itu, malah satu beban tanggungjawab yang besar yang harus dipikul untuk menegakkan keadilan. Kemampuan untuk memikul tanggungjawab yang besar ini memerlukan sesorang itu memiliki sikap amanah dan jujur serta tahap kelayakan yang tinggi. Sekiranya kelayakan dari segi fahaman agama, akal, sikap dan kudratnya tidak dimiliki, dengan mudah mereka akan terpesong dengan naluri kerakusan kuasa dan kekayaan yang suatu hari nanti memakan dirinya sendiri.

No comments: