Followers

Carian dalam Blog ini

25 September 2010

Hujan buatan pasukan Diraja


KEMARAU di wilayah tertentu di Thailand yang menjejaskan golongan petani telah mencetuskan keprihatinan Raja Bhumibol lalu mempersiapkan pasukan khas.


TINGGI di atas landskap kering bumi Thailand, sebuah pasukan khas diraja yang bertanggungjawab membuat hujan buatan, gigih melakukan kerja-kerja mereka.

Skuadron yang terdiri daripada 20 pesawat terbang menembusi awan dan menembak bahan kimia khas. Mereka berharap dapat menghasilkan hujan lebat bagi mengurangkan kesan kemarau yang semakin genting sehingga menjejaskan sektor pertanian di negara itu.

Penyemaian benih awan merupakan operasi tahunan yang menjadi perjuangan peribadi Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej yang telah menerima gelaran Bapa Penghasilan Hujan Diraja untuk projek setengah abadnya bagi 'memujuk' awan supaya menurunkan hujan.

Tidak sekadar membiarkan perubahan cuaca berlaku secara semula jadi, monarki yang berkuasa hampir lapan dekad itu telah membangunkan program tersebut bagi membantu para petani, malah telah mempatenkan teknik penyemaian awan ciptaan baginda.

Pergerakan besar-besaran yang dikenali sebagai sandwich itu menembak bahan kimia pada altitud berbeza seperti sodium klorida di lapisan tinggi manakala ais kering di sebelah yang lebih rendah untuk menghasilkan hujan.

Iodid perak

Gerakan super sandwich pula melibatkan penambahan beberapa pesawat semasa operasi. Kumpulan pesawat itu melepaskan iodid perak dari ketinggian 6,000 meter untuk menghasilkan hujan daripada formasi suhu-suhu yang berbeza.

Juruterbang, Mejar Phumintorn Undhisote bertanggungjawab membuat penerbangan dari pusat penghasilan hujan buatan di Hua Hin, lokasi yang juga terdapat sebuah sebuah istana hinggap keluarga diraja.

Penyemaian benih awan di ruang udara sempit iaitu di antara Teluk Thailand dan sempadan Myanmar itu memerlukan tahap ketepatan yang tinggi.

Mejar Phumintorn percaya, misi yang dilakukannya, tidak semestinya bebas risiko.

"Mengikut buku, dalam cuaca buruk, juruterbang perlu terbang jauh atau mendaratkan pesawat, tetapi menghasilkan hujan buatan bermaksud kami kena terbang menembusi gumpalan awan," katanya.

Phumintorn antara 522 kakitangan yang terlibat dalam operasi itu yang turut melibatkan saintis, jurutera dan juruteknik dalam pasukan Royal Rainmaking and Agricultural Aviation (Penerbangan Pembuat Hujan dan Agrikultur Diraja) untuk memanipulasi fitrah alam.

Lebih daripada 5,500 penerbangan pembenihan awan dilakukan di lapan pusat penghasilan hujan buatan pada 2008 dan sebanyak 870 juta baht (RM87 juta) telah dibelanjakan.

Tahun ini, musim hujan yang lazimnya berlaku sekitar Mei hingga Oktober di wilayah tertentu dilihat turun dengan sedikit selepas beberapa minggu ia bermula.

Ketika Thailand mempunyai cuaca tropika dan sering dilanda banjir dan kemarau, saiz sektor pertanian dan peningkatan terhadap penggunaan air menyebabkan negara itu agak sensitif jika berlaku perubahan cuaca pada musim hujan.

Data daripada bank pusat negara itu melaporkan sektor pertanian menyumbang hampir 10 peratus kepada ekonomi pada tahun lalu dan menawarkan hampir 40 peratus sumber pekerjaan.

Wathana Sukarnjanaset, Pengarah Pusat Pembenihan Awan Hua Hin berkata, terdapat krisis kecil pada tahun ini iaitu paras air di empangan terbesar negara tersebut mula menurun ke tahap kritikal, walaupun situasinya semakin baik.

Pada musim kering daripada November sehingga April, seramai 6.4 juta penduduk di 52 wilayah terjejas akibat kemarau, menurut Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana.

Pada masa lalu, pembenihan awan dihentikan sebagai salah satu kaedah metereologi ketika para saintis bekerja keras untuk menilai sama ada hujan akan terjadi tanpa menggunakan bahan kimia.

Bagaimanapun, kaedah itu mula digunakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan China, sementara Thailand baru-baru ini memberi Australia kebenaran untuk menggunakan teknik yang digunakan oleh mereka.

Wathana berkata, kajian negara itu mencadangkan pembenihan awan dapat meningkatkan jumlah hujan sehingga 109 peratus.

Dia berkata, kebiasaannya terdapat perubahan pada pola cuaca selepas penerbangan yang beroperasi dari Februari hingga Oktober.

Aduan petani

"Petani mengadu kepada kami agar membuat hujan di kawasan mereka. Maka, kami suruh mereka pulang dan menunggu dahulu. Hujan akan turun selepas tengah hari atau dalam masa terdekat, lazimnya memakan masa satu atau dua hari," tambah Wathana.

Salah seorang yang bergantung kepada program pembenihan awan ialah Siriwan Boonngarm, yang mempunyai ladang di desa terpencil Phetchaburi.

Wanita itu mengusahakan ladangnya pada tahun 2005 selepas bersara sebagai guru dan kini memiliki tanaman nanas, pisang dan getah, yang memerlukan kurang air berbanding tanaman padi.

Bagaimanapun, bekas tutor Matematik itu memberitahu dia masih memerlukan khidmat penghasilan hujan buatan dari pasukan diraja, adakalanya sekerap empat atau lima hari sekali.

"Kemarau tahun ini paling teruk. Hujan tidak turun mengikut tempohnya. Cuaca panas dan bekalan air tidak mencukupi," keluhnya.

Rumah Siriwan dihiasi bendera-bendera diraja. Dia, sama seperti ramai yang lain, tidak ragu-ragu kepada siapa dia harus berterima kasih ketika awan bertukar gelap dan hujan mulai turun.

"Semua benda tidak dapat hidup tanpa air," katanya. "Yang Mulia membantu kita segala-galanya, memberi kita kasih sayang dan kehidupan." - AFP

No comments: