Followers

Carian dalam Blog ini

21 September 2010

Tiga raya gamit perantau kembali ke Kelantan

Bersama Imlan Adabi

2010/09/21

Negeri Cik Siti Wan Kembang terus kekal dengan opera politik, kaya drama, intrig

ADA tiga raya menyebabkan ramai perantau Kelantan kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Aidilfitri, Aidiladha dan pilihan raya. Pada Aidilfitri 2009, hampir 200,000 anak Kelantan kembali ke Tanah Serendah Sekebun Bunga untuk bertemu dengan keluarga dan persekitaran Pantai Timur yang lebih nyaman menghadap Laut China Selatan.

Mereka sebahagian besarnya mencari rezeki di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Mereka tentunya pulang untuk mengimbau tanah Darulnaim yang kaya dengan keunikan seni, khazanah budaya dan tradisi pondok yang lama bertapak. Tentunya juga mereka dapat membandingkan kehidupan di perantauan dengan suasana masih tradisional di Kelantan. Di sesetengah tempat di Kelantan, perayaan Aidiladha lebih meriah berbanding Aidilfitri. Selain majlis korban dan aqiqah, Aidiladha yang lebih dikenali Hari Raya Haji disambut dengan selawat dan salam di samping majlis kenduri yang meriah. Di beberapa tempat pula, musim perayaan turut dihiasi majlis ceramah politik kerana dianggap detik terbaik untuk mengalukan perantau pada musim perayaan.

Bagi kebanyakan anak Kelantan yang terkenal dengan kemesraan di kalangan rakan senegeri, semangat kekitaan akan lebih menebal jika sama-sama dapat bertutur
dan beramah mesra dengan loghat tersendiri.

Ada dongeng yang mendakwa semangat kekitaan menebal kerana penduduk Kelantan tidak mempunyai darah Indonesia seperti negeri lain di Malaysia. Hampir tidak ada keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Minang dan Banjar yang menjadi darah daging di Kelantan.
Mereka banyak mempunyai darah campuran Siam, Pakistan, Kemboja dan Arab menyebabkan tingkah laku dan keperibadian sedikit berbeza dengan penduduk negeri lain. Sebanyak 95 peratus daripada 1,313,014 penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Justeru, tidak hairanlah segelintir penduduk Kelantan boleh mendakwa mereka lebih Melayu daripada penduduk negeri lain kerana kaum India dan Cina hanya lima peratus. Keadaan ini juga mendorong dua parti politik Melayu yang dominan UMNO dan PAS bersaing hebat sejak 1955 untuk merebut pengaruh dan menguasai massa. Berjaya mentadbir Kelantan dikaitkan sebagai kejayaan merebut hati pengundi Melayu.

PAS sudah menguasai Kelantan selama 20 tahun sejak 1990. Perkembangan mutakhir juga memihak kepada PAS. Cara hidup beberapa tokoh UMNO negeri masih menjadi bualan hangat kerana kehidupan yang berbeza dengan kebanyakan rakyat di Pantai Timur.

PAS pula dikaitkan dengan imej ulama walaupun tidak semesti ahli dan pemimpinnya alim serta menghayati cara hidup Islam. Imej ketayap, janggut dan jubah sering dijadikan model Islam walaupun takrif keimanan tiada kaitan dengan peribadi luaran seseorang.

Walaupun pimpinan PAS Kelantan kerap dihamburkan dengan pelbagai isu termasuk nepotisme dan korup, ia tidak pernah didakwa di mahkamah. Ada pihak yang berasakan isu politik Kelantan banyak digembur oleh media massa, sedangkan hakikat di Kota Bharu tidak ada pergolakan besar. Penduduk Kelantan juga pernah memilih PAS mentadbir Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Kelantan yang mempunyai keluasan 14,922 kilometer persegi dianggap negeri termiskin di Semenanjung. Kadar kemiskinan kekal 20 peratus sejak lapan tahun lalu.

Pertumbuhan penduduk pula menurun 0.9 peratus iaitu amat kecil berbanding Selangor yang mencatat 6.1 peratus. Bagaimanapun imej agama meletakkan Negeri Serambi Makkah dipandang tinggi.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader PAS yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera UMNO. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat. Justeru, tidak menghairankan setiap kali menjelang pilihan raya umum, banyak bas disewa khas untuk membawa pulang perantau ke kampung halaman masing-masing. Mereka juga merayakan demokrasi di Kelantan walaupun mencari rezeki di tempat lain.

Tanpa sedar ada segelintir yang merasakan Kelantan tempat sesuai untuk mencari ketenangan dan membuat keputusan di peti undi, tetapi terus kekal mencari
rezeki di tempat lain.

Mereka mungkin mewah di tempat lain, namun membuat keputusan pulang ke Kelantan menjelang Aidilfitri, Aidiladha dan Pilihan Raya Umum.

Tentunya Kelantan mempunyai tarikan luar biasa yang menyebabkan loghat Kelantan semakin berleluasa di beberapa negeri lain. Kelantan juga akan terus kekal dengan opera politik yang kaya drama dan intrignya. Tentunya Kelantan akan terus mencatat sejarah dengan keunikan siasah yang luar biasa!

No comments: