Followers

Carian dalam Blog ini

19 October 2012

Insinerator Selamat Digunakan

Insinerator Selamat Digunakan
Ini adalah bahagian akhir daripada dua siri mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan bagi menangani pelupusan sisa pepejal negara.

Oleh Sakini Mohd Said

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Teknologi insinerator sisa pepejal telah lama diketahui kewujudannya dan cadangan pemilihan kaedah itu perlu dipertimbang sekali lagi sebelum menganggap ia membawa kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Insinerator bertindak membakar sisa di samping meminimumkan jumlah pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah. Insinerator bukanlah bermaksud untuk menggantikan tapak pelupusan sampah dengan sepenuhnya tetapi sebaliknya adalah sebagai pelengkap kepada pelupusan sisa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya ketika ditemubual Bernama berkata, "Tanggapan salah mengenai insinerator mungkin berdasarkan kepada insinerator yang terdapat pada masa dahulu.

"Kita perlu maju ke hadapan. Teknologi sudah berubah dan bertambah maju sehingga boleh menghalang pembentukan dioxin, bahan kimia (hasil daripada pembakaran sisa menerusi insinerator) yang dikatakan boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan alam sekitar dan ditentang oleh mereka yang tidak bersetuju dengan penggunaan insinerator", katanya.

Dioxin ialah racun kelas pertama, yang mendedahkan masyarakat kepada kanser.

KEBAIKAN INSINERATOR

Memandangkan isu insinerator ini boleh diperbesarkan seperti mana yang berlaku untuk projek Lynas, di Kuantan, Nadzri percaya orang ramai perlu mendapatkan penjelasan sebenar teknologi insinerator untuk menangani kebimbangan itu.

Untuk menyalahkan komuniti ini pun, adalah satu tindakan tidak wajar kerana ia berlaku ekoran ketidakfahaman mahupun kurangnya pengetahuan mereka berhubung teknologi itu.

Akan tetapi, kelantangan mereka seharusnya merujuk kepada fakta, bukti sambil melihat keberkesanan dan kejayaan beberapa buah negara maju menggunakan insinerator untuk pelupusan sisa pepejal mereka.

"Tokyo ada 21 insinerator, Singapura sebuah negara kecil pun ada lima insinerator, adakah kita dengar ramai rakyat mereka mati akibat kanser?

"Sekiranya benar teknologi ini memudaratkan, sudah pasti ramai, beratus penduduknya kena kanser, tetapi tiada pula," jelas beliau.

Sebaliknya, negara berkenaan masih mempunyai nilai pelancongan apabila tetap menjadi antara destinasi pilihan ramai. Ini membuktikan, pembinaan insinerator bukan sahaja tidak menjejaskan kesihatan malah ekonomi.

"Dengan teknologi terkini, pembentukan dioxin boleh dikawal menerusi pengawalan suhu, yakni mesti melebihi 850 darjah selsius", kata Nadzri.

DIKAWAL KETAT

Teknologi hijau itu juga akan dilengkapi dengan peralatan yang akan menyerap serta peka kepada sebarang pelepasan gas yang memudaratkan kesihatan termasuklah penghasilan dioxin.

Dikawalselia setiap masa oleh Jabatan Alam Sekitar, proses pembakaran mahupun operasi loji insinerator ini perlu mengikut garis panduan ditetapkan bagi memastikan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar terjamin dari mengenalpasti tapak sehinggalah insinerator itu siap dan diserahkan.

Insinerator berkenaan perlu memenuhi banyak syarat khas termasuk suhu pelepasan gas antara 850 hingga 1000 Celsius dan sekiranya ia melebihi tahap dibenarkan akan menyebabkan insinerator diberhentikan operasi dan langkah-langkah pembaikan akan dijalankan.

"Disebabkan itulah, hanya bahan buangan tertentu sahaja kita ambil untuk dibawa ke loji insinerator seperti sisa makanan dan komersial. Bagi sisa industri, ia masih diambil tetapi bukan daripada jenis berbahaya atau sisa terjadual yang disenaraikan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling," katanya.

"Ramai juga salah faham dan menyangkakan kalau ada insinerator tidak perlu tapak pelupusan. Sebenarnya, masih perlu kerana abu yang terhasil daripada proses pembakaran perlu dibuang ke tapak pelupusan.

"Tidak timbul kesan berganda kerana penggunaan insinerator dapat mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, sekali gus memanjangkan tempoh hayatnya," katanya.

Abu-abu atau 'bottom ash' yang terhasil hanyalah antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dibakar.



LEBIH BANYAK BAIK DARIPADA BURUK

Kebaikan di sebalik pemilihan teknologi insinerator adalah lebih banyak berbanding keburukannya.

Selain menjimatkan ruang kerana berkapasiti kecil berbanding tapak pelupusan, kawasan loji insinerator masih boleh digunakan bagi tujuan lain seperti perumahan, pertanian.

"Selepas usia tapak pelupusan habis tempoh hayatnya, ia perlu ditutup dan dicari tapak baru. Tapak ini sudah tidak boleh digunakan untuk pembangunan dan hanya boleh dijadikan sebagai taman rekreasi mahupun taman permainan.

"Berlainan dengan insinerator. Sekiranya lokasi loji itu ingin diubah, tapak asal masih boleh digunakan balik," katanya.

Istimewanya, sisa pepejal yang dibakar di insinerator juga berupaya menjana tenaga elektrik dan haba yang boleh digunakan untuk operasi loji, sekali gus mengurangkan kos pengurusannya.

Menurut laporan Lab Pengurusan Sisa Pepejal, loji insinerator di Copenhagen, Denmark, berupaya menghasilkan elektik dan haba, bersamaan dengan penggunaan 70,000 isi rumah untuk tahun 2004.

Justeru, ada munasabahnya untuk mengkategorikan insinerator sebagai antara satu teknologi hijau kerana selain menghasilkan tenaga ia juga membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar.

ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA

Merujuk kepada empat loji mini insinerator di Langkawi (Kedah), Tioman (Pahang), Pangkor (Perak) dan Cameron Highlands (Perak) yang dibina bagi mengatasi isu setempat, kata Nadzri ini menunjukkan bahawa negara sudah bersedia.

"Kita sudah bersedia. Kalau tidak, takkanlah kita bina. Cuma, yang berskala besar itu memerlukan kita mempunyai kepakaran, jadi adalah lebih baik sekiranya ia dilakukan menerusi kerjasama dengan pengusaha atau pembekal teknologi berkenaan," katanya.

Biarpun begitu, semua ini tidak akan berhasil tanpa adanya jaringan kerjasama masyarakat.

Harus diingat, kebergantungan sepenuhnya kepada tapak pelupusan tidak lagi sesuai pada masa ini, kata Nadzri mengakhiri temubual dengan Bernama.

-- BERNAMA

Insinerator Bantu Pelupusan Sisa Pepejal

Oleh Sakini Mohd Said

Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan dalam menangani pelupusan sisa pepejal negara.

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Penduduk di Malaysia menjana sisa pepejal sehingga 25,000 tan sehari dan ini bukanlah satu jumlah yang kecil!

Ditambah dengan jumlah penduduk kian meningkat, ada kemungkinan besar tapak pelupusan sebanyak 165 merangkumi lapan berstatus sanitari, tidak dapat menampung sampah yang semakin menimbun.

Untuk mencari tapak baru, mungkin ia bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik berikutan masalah kekangan tanah di samping kos pembinaan yang sangat tinggi. Bagi mendirikan tapak pelupusan berstatus sanitari adalah lebih tinggi berbanding kaedah tapak pelupusan konvensional.

Tambahan pula, kaedah tapak pelupusan hanya dapat bertahan dalam jangka masa tertentu, yakni bergantung kepada kadar penjanaan sisa pepejal setiap tahun. Kalau banyak penjanaannya, maka cepatlah tarikh hayatnya.

Melihat kebimbangan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah dengan menubuhkan Lab Pengurusan Sisa Pepejal dalam mencari kaedah terbaik.

Setelah meneliti pelbagai kaedah yang dijalankan oleh pihak lain, makmal berkenaan menjuruskan pemilihan kepada sistem loji insinerator bercirikan teknoloji hijau.

TAPAK PELUPUSAN, KESAN RUMAH HIJAU

Namun begitu, pemilihan teknologi ini sebagai kaedah alternatif pengurusan sisa pepejal turut tidak terkecuali daripada menerima bantahan.

Hanya membabitkan komuniti kecil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan kepada kepentingan alam sekitar, mereka mempertikaikan keselamatan masyarakat apabila insinerator diaplikasikan.

Berdasarkan laporan Lab itu, mendapati tapak pelupusan merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau serta penyebab kepada perubahan iklim dan pemanasan global.

Malah, dianggarkan peratusan pembebasan gas rumah hijau akan meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun 2020 dan oleh itu kaedah tapak pelupusan bukanlah satu pilihan.

Walaupun kaedah tapak pelupusan berstatus sanitari dianggap lebih mesra alam, jumlahnya adalah terhad berikutan penglibatan kos yang tinggi untuk mengada dan menguruskannya.

Dikenalpasti sebagai antara kaedah mesra alam, tapak pelupusan berstatus sanitari dilengkapi loji rawatan air larut resap (leachate) yang akan memastikan pelepasan leachate menepati standard Jabatan Alam Sekitar.

Ia juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan sampah yang dilupuskan bagi menangani masalah pemanasan global dan kejadian kebakaran.

"Tapak ini juga dilengkapi lapisan (liner) bagi menangani masalah bau serta menghalang air hujan memasuki tapak pelupusan yang boleh menambah kepada penghasilan leachate," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya kepada Bernama.

Namun, untuk menaiktarafnya kepada status sanitari, yakni tapak pelupusan lestari alam sekitar tentunya ia melibatkan kos yang tinggi. Jadi insinerator berasaskan kepada teknologi hijau mungkin jawapan kepada pengurusan sisa pepejal pada masa akan datang.

CADANGAN PENEMPATAN

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dipetik berkata tender bagi insinerator teknologi hijau itu akan dibuka pada Mac 2013 selepas kertas kerja mengenainya siap.

Untuk tujuan ini, KPKT bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan kertas kerja pembinaan tiga insinerator itu.

Menteri itu berkata, teknologi insinerator yang bercirikan teknologi hijau dirancang pembinaannya di Taman Beringin (Kuala Lumpur), Bukit Payung (Johor) manakala satu lagi sama ada di Selangor atau Melaka.

SUARA NEGATIF

Dipetik dalam satu laporan akhbar, kebimbangan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan adalah tertumpu kepada penularan bahan kimia seperti dioksin, furan dan merkuri hasil daripada pembakaran sisa menggunakan teknologi insinerator.

Dikatakan, penularan bahan kimia itu boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan bekalan makanan.

Ini disusuli pula dengan kajian impak kesihatan Greenpeace, menunjukkan risiko kematian akibat kanser paru-paru meningkat dalam kalangan penduduk di sekitar tapak pembakar sebuah perbandaran di Itali.

Bagaimanapun, kajian teliti yang dijalankan oleh Lab dan jabatan yang berkenaan mendapati bahawa insinerator teknologi hijau adalah selamat dan faedahnya adalah lebih banyak daripada yang sebaliknya.

ADAKAH PILIHAN LAIN?

Apapun, seseorang itu akan bertanya sama ada terdapat pilihan lain bagi Malaysia termasuk dengan mengaktifkan program kitar semula.

Walhal, kajian sebelum ini menunjukkan tahap pengasingan sisa di punca menerusi program kitar semula hanyalah sekadar lima peratus!

Satu peratusan sangat kecil berbanding kebergantungan kita terhadap tapak pelupusan, iaitu 95 peratus.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada konsep 3R, Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula) dalam pengurusan sisa pepejal.

"Malah, tidak ada mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang bergantung 100 peratus menerusi kaedah kitar semula," kata Nadzri kepada Bernama.

Biarpun dilihat ada 'sinar harapan' pengaktifan program kitar semula menerusi penguatkuasaan sistem pengasingan dipunca bermula 1 Sept lepas ekoran pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), namun ia tidak boleh disandarkan harapan sepenuhnya.

Hakikatnya, sistem pengasingan dipunca ataupun kitar semula, bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian ke arah pengurangan kadar penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

SUSAHNYA UBAH MINDA

Semuanya berbalik kepada minda masyarakat. Kata Nadzri, masih ada segelintir masyarakat yang acapkali mengambil mudah akan perihal berkaitan dengan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Bukan senang untuk mengubah minda masyarakat terutama yang berkaitan dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan teknologi terkini.

"Ia (ubah minda) antara cabaran terbesar dan paling susah. Contohnya, mereka kata kita tidak sediakan tong sampah kitar semula, walhal yang sebenarnya kita sudah sedia. Tetapi masyarakat (bukan semua) masih lagi mencampurkan sisa," katanya.

Begitu jugalah dalam hal mengaplikasi teknologi insinerator bagi pengurusan sisa. Negara lain seperti Denmark turut menerima bantahan pada peringkat awal.

Namun, selepas penerangan demi penerangan diberikan akhirnya insinerator bukan sahaja diterima penduduk negara itu malah ada dibina kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.

Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya hidup, 3R dan teknologi pelupusan terkini seperti insinerator.

-- BERNAMA

11 October 2012

Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan

Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- "Anak saya degil". "Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan." "Anak saya hanya sibuk dengan facebook dan internet". "Anak saya kalau saya marah sikit, mulalah tarik muka, hempas pintu dan berkurung dalam bilik."

Luahan rasa ini mungkin dikongsi kebanyakan ibu bapa masa kini terhadap anak mereka khususnya yang berusia remaja.

Ibu bapa yang berdepan dengan situasi ini mungkin marah, sakit hati atau berasa putus asa kerana memikirkan mereka telah gagal memainkan peranan sebagai ibu bapa.

Ada juga ibu yang mungkin berasa begitu sedih kerana anak yang dikandung dan dilahir dengan susah payah, dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang tetapi akhirnya tidak mendengar kata.

Sesetengah ibu bapa mungkin mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja anak remaja berterusan berkelakuan mengikut sesedap hati mereka kerana tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.

CARI FORMULA

Mungkin juga ada ibu bapa yang mencari jalan untuk berkomunikasi dengan anak melalui pembacaan tetapi apa yang dibaca mungkin tidak sesuai untuk diterapkan.

Kebanyakan buku mengenai keibubapaan adalah dari Barat, justeru cara mereka melihat isu ini mungkin berbeza daripada cara masyarakat tempatan khususnya orang Islam.

Menyedari keperluan ini, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia atau ringkasnya PPLI akan mengadakan bengkel sehari mengenai keibubapaan pada 13 Okt ini.

Bengkel tersebut sesuai dihadiri ibu bapa yang mempunyai anak remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun.

"Kita mengandaikan ibu bapa yang ada anak remaja sedang mencari-cari apa formula sebenarnya untuk mendidik anak remaja supaya masalah yang timbul antara mereka sekurang-kurangnya dapat diminimumkan," Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman memberitahu Bernama mengenai matlamat bengkel keibubapaan itu.

UBAH KEADAAN

Ibu bapa sepatutnya mendapat tempat di hati anak dan menjadi model contoh atau idola.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan keadaan, ia hanya berlaku ketika anak itu masih kecil.

"Bila mula pandai bercakap, emak bapa dialah segalanya. Emak dialah yang paling cantik. Emak dialah yang paling pandai.

"Apabila anak mula bersekolah, idolanya bertukar kepada guru. Kalau kita cakap tentang sesuatu, dia akan merujuk kepada gurunya. Bagi anak ini, guru dia lebih menyakinkan.

"Masuk usia remaja, anak ini berubah arah. Idolanya ialah rakan sebayanya. Kalau ibu bapa tidak mengambil langkah selanjutnya, anak itu akan kekal begitu. Cakap ibu bapa tak dengar. Cakap guru pun tak diendahkan," Siti Fatimah yang mempunyai banyak pengalaman dalam isu wanita dan kekeluargaan sebelum menyertai PPLI memberi pandangannya.

Beliau menegaskan, keadaan tersebut perlu diubah di mana ibu bapa patut kekal menjadi idola anak serta menjadi rujukan mereka.

KURANG MINAT

Program keibubapaan kurang menarik penyertaan! Siti Fatimah melihat isu ini lebih kepada faktor kewangan.

"Nak keluarkan mungkin RM200 untuk menghadiri seminar atau bengkel sehari mengenai keibubapaan? Ada yang berfikir RM200 ini lebih elok untuk membeli keperluan makanan rumah," katanya.

Bagi pihak majikan pula Siti Fatimah memberitahu bahawa ada yang mungkin beranggapan soal keibubapaan adalah soal peribadi.

"Pihak majikan perlu ingat bahawa pekerja yang mempunyai masalah keluarga, akan terjejas tumpuannya kepada tugas dan ini akan menjejaskan produktiviti mereka.

"Katakanlah, seorang ibu yang baru mendapat tahu bahawa anak gadisnya mengandung luar nikah, sudah tentu fikirannya terganggu dan dia tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada tugasan.

"Kalau kita selaku majikan dapat memberikan kemahiran keibubapaan kepada mereka supaya perkara tersebut dapat dielakkan, maka tak perlulah dia dan keluarganya berdepan dengan kesulitan ini," jelasnya.

Menurut Siti Fatimah, kestabilan rumah tangga termasuk memiliki kemahiran keibubapaan adalah penting ke arah melahirkan pekerja yang tenang dan bahagia yang seterusnya boleh menyumbang kepada produktiviti organisasi.

Beliau memberi contoh di Australia, syarikat-syarikat di negara itu menjadi semakin mesra keluarga.

Pelbagai kemudahan disediakan bagi memudahkan keluarga para pekerja. Kalau di Malaysia, isu taska pun masih belum betul-betul selesai, di Australia, majikan telah menyediakan "Children's room" bagi menempatkan anak pada usia persekolahan selepas tamat waktu sekolah.

"Dalam masyarakat kita, lepas anak balik sekolah, mereka mungkin ke sekolah agama. Antara dua waktu persekolahan ini, penjagaan anak perlu diuruskan juga.

"Bagi yang tidak ke sekolah agama? Mereka mungkin tinggal di rumah bersendirian atau dengan adik-beradik lain tanpa pengawasan orang dewasa.

"Nak ambil pembantu rumah, bukan sahaja semakin susah dan mahal, kadangkala tidak berbaloi kerana anak sudah besar," katanya sambil menambah beliau menyasarkan sekitar 80 peserta yang akan hadir pada bengkel keibubapaan itu.

MAKLUMAT BENGKEL

Bengkel keibubapaan, yang akan diadakan di Dewan Besar IKIM, No 2 Langgak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur itu membawa tajuk "Keibubapaan Anak Remaja: Anakku, Kawanku".

Ia akan membincangkan tiga modul.

Modul pertama "Keibubapaan Anak Remaja Dari Perspektif Islam" akan disampaikan oleh pakar motivasi yang tidak asing lagi, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga tetamu Segmen D'Zahrah IKIMfm.

"Kita memanggil seorang ustaz untuk modul ini kerana kita hendak bercakap mengenai keibubapaan anak remaja menurut Islam.

"Dalam hal keibubapaan, Saidina Ali bin Abi Talib iaitu khalifah Islam keempat, pernah berpesan, 'Bermainlah dengan mereka untuk tujuh tahun pertama, disiplinkan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya, berkawanlah dengan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya dan selepas itu anggaplah mereka sebagai orang dewasa.

"Saya berpendapat, kita hanya boleh berkawan dengan anak sekiranya kita telah melakukan dua tugas keibubapaan yang lebih awal iaitu bermain dan mendisiplinkan mereka pada tujuh tahun pertama dan kedua.

"Kita bermain dengan mereka semasa mereka kecil dan kita disiplinkan mereka semasa usia persekolahan. Lepas itu, baru kita boleh menjadi kawan mereka ketika mereka remaja," kata Siti Fatimah.

Kadangkala apa yang berlaku ialah ada ibu bapa yang merujuk kepada psikologi Barat dan gaya keibubapaan Barat dan melayan anak seperti kawan dari kecil sehingga remaja.

"Disebabkan itu, anak tidak sempat didisiplinkan dan berlakulah kepincangan yang akhirnya menimbulkan masalah dalam diri anak dan hubungan anak beranak itu sendiri. Sebagai orang Islam, mari kita lihat kembali apa Islam kata mengenai hal ini dan amalkannya," tambah beliau.

TIPS UNTUK IBU BAPA

Modul kedua, "Ibu Kool, Bapa Hebat" pula akan dikendalikan oleh Jamilah Samian yang juga penerbit tiga buah buku termasuk "Ibu Kool, Bapa Hebat" dan "Groovy Tips untuk membesarkan generasi Y dan generasi Z".

"Jamilah akan memberi tips bagaimana untuk membesarkan anak generasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang kita hadapi sekarang ini.

"Ibu bapa yang kool bukanlah ibu bapa yang mengikut sahaja kehendak anak tetapi ibu bapa yang membimbing anak dengan baik.

"Mereka tahu macam mana hendak menegur anak tanpa melukakan hati mereka. Mereka tahu bagaimana hendak menyuruh anak berbuat baik tanpa kelihatan seperti memberi arahan," katanya.

Sementara Siti Fatimah sendiri akan mengendalikan modul ketiga bertajuk "Keibubapaan Remaja: Cabaran Semasa".

Untuk modul itu, beliau akan mengambil beberapa isu yang boleh dianggap sebagai cabaran besar kepada ibu bapa seperti pergaulan bebas, pendidikan seks dan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) dan bagaimana ibu bapa boleh memperkasa diri untuk menjelas dan berbincang dengan anak mengenai hal ini.

"Isu LGBT umpamanya, mungkin tidak ramai ibu bapa yang mampu membincangkan perkara ini dengan anak mereka. Kita akan buat perbincangan berkumpulan dan dari situ kita akan bincangkan bagaimana ibu bapa boleh menangani isu tersebut," kata Siti Fatimah sambil menyarankan agar lebih ramai golongan bapa menyertai bengkel ini.

Bengkel itu juga terbuka kepada semua termasuk orang bukan Islam dan ahli akademik yang berminat untuk mengetahui pandangan Islam mengenai keibubapaan.

Maklumat lanjut boleh hubungi PPLI nombor 03-6204 6200 atau e-mel jie@ikim.gov.my atau http://www.ikim.gov.my.

-- BERNAMA

09 September 2012

Ibu Bapa Masih Kurang Arif Mengenai Keperluan Nutrisi Untuk Anak

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ibu bapa bertanggungjawab memupuk tabiat pemakanan sihat dalam tempoh pembesaran anak memandangkan tabiat makan kanak-kanak bermula dari rumah.

Keperluan nutrisi adalah berbeza mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak yang mana kebanyakan proses tumbesaran dan perkembangan mereka seperti deria, minda dan pembelajaran berlaku sedari usia satu hingga tujuh tahun.

Tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang pada peringkat ini, adalah faktor penting yang mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan minda terbaik.

Justeru, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kerana ruang kesempatan memupuk tabiat sihat hanyalah tujuh tahun pertama sebelum bermulanya pemendapan kolestrol dan sebelum tabiat anak dipengaruhi oleh faktor luar.

Kajian terkini menunjukkan ibu muda tempatan cukup prihatin dalam memastikan anak mereka menerima khasiat lengkap melalui formula susu untuk membesar atau growing-up milk (GUM) yang adalah sumber makanan awal terpenting selepas susu ibu.

KAJI SELIDIK



Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM) dengan sokongan Abbott Nutrition telah melakukan satu kaji selidik ke atas 300 ibu yang mempunyai anak kecil berusia kurang tiga tahun pada beberapa bulan yang lepas.

Mereka mendapati banyak faktor yang mempengaruhi keputusan ibu untuk memilih GUM terbaik termasuk yang paling popular ialah dakwaan kelebihan produk yang disokong dengan bukti saintifik serta syor daripada pakar kanak-kanak.

"Kebanyakan ibu memilih GUM yang dikatakan mampu menguatkan imuniti kanak-kanak, menyokong perkembangan mental dan fizikal, dilengkapi dengan semua vitamin dan mineral selain paras DHA yang tinggi," kata Presiden PPM, Dr Tee E Siong.

Antara lain hasil kajian ialah lebih 55 peratus ibu didapati memilih formula GUM yang diperkaya ramuan tertentu seperti DHA, Omega 3, Omega 6, Lutein atau Gangliosida kerana menyangka ia sudah cukup baik bagi perkembangan anak.

KELIRU BERHUBUNG NUTRIEN

Bagaimanapun, Dr Tee menegaskan bahawa ibu bapa sering terkeliru dengan pelbagai iklan formula GUM hingga menyebabkan mereka hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua nutrien tertentu, selain percaya bahawa kandungan yang tinggi ramuan tertentu itu adalah lebih baik untuk anak mereka.

Katanya, tanggapan ini tidak benar kerana hakikatnya, tiada satu pun nutrien khusus yang mampu menjanjikan perkembangan minda, mental dan fizikal yang lebih baik.

"Sebaliknya, bayi dan kanak-kanak kecil memerlukan kombinasi semua nutrien yang betul dalam kuantiti yang betul bagi menampung keperluan tumbesaran dan pembelajaran," jelas Dr Tee.

Mengambil lebih banyak nutrien tertentu seperti DHA atau Gangliosida sahaja tidak memberi kelebihan kerana tubuh hanya mampu menggunakan nutrien spesifik dalam amaun tertentu sahaja manakala amaun selebihnya akan dikumuh.

"Lagipun, sebahagian daripada asid amino tubuh seperti DHA sebenarnya boleh dibina sendiri oleh tubuh menjadikan kanak-kanak itu tidak akan menghadapi masalah kekurangan asid amino," jelas Dr Tee.

Kajian PPM turut mendapati 80 peratus daripada ibu muda gagal mengambil tahu tentang ramuan lain yang terkandung dalam formula GUM pilihan sedangkan mereka wajar mempunyai pengetahuan itu yang sejajar dengan keperluan nutrisi anak mereka.

"Tiga daripada empat ibu tidak memahami panel maklumat nutrisi dalam produk, manakala, separuh daripada responden lain yang membaca label telah memberi tumpuan berlebihan terhadap satu jenis nutrien," jelas Dr Tee.

KOMBINASI TERBAIK SUSU

Bagi PPM, ibu bapa perlu faham bahawa kombinasi terbaik GUM mestilah memenuhi keperluan tenaga, protein serta semua nutrien lain, dan ibu bapa perlu sedar bahawa kombinasi keperluan nutrien itu berubah-ubah mengikut usia anak.

"Jadi, sebaiknya, ibu bapa sendiri perlu memutuskan kombinasi terbaik nutrien untuk anak melalui pembacaan dan kajian, serta merujuk kepada professional yang tiada kecenderungan terhadap mana-mana jenama.

"Ibu bapa wajarlah mengkaji sendiri maklumat itu dan bukan setakat mendengar nasihat rakan dan saudara mara mahupun terpengaruh dengan iklan," katanya menegaskan bahawa susu untuk peringkat tumbesaran itu adalah pelaburan terpenting yang boleh diberi kepada anak kecil.

Bagaimanapun, hasil kaji selidik mendapati 56 peratus ibu tidak pernah melakukan kajian sendiri sebelum memilih GUM terbaik untuk anak mereka, dan tidak sampai separuh daripada ibu mendapatkan nasihat profesional.

Sebaliknya, seramai 68 peratus ibu bergantung sepenuhnya kepada saranan daripada anggota keluarga dan kawan dalam membuat keputusan penting itu.

TIDAK WUJUD MAKANAN CERDIK



Hasil kajian itu juga mendedahkan bahawa hampir semua ibu menyangka pemilihan GUM yang betul akan mencerdikkan anak mereka.

Bagaimanapun ia dinafikan Dr Tee yang menjelaskan bahawa tiada sebarang makanan tertentu yang berfungsi begitu, sebaliknya kecergasan minda memerlukan usaha kerja keras ibu bapa selain persekitaran sesuai.

"Anak akan cerdik jika ibu bapa memberi perhatian terhadap asuhan yang baik dan pemakanan seimbang supaya dia cukup sihat untuk mampu belajar dengan cara yang betul.

"Anda mesti memastikan anak mendapat khasiat mencukupi khususnya pada usia mentah ketika mereka masih di peringkat tumbesaran dan perkembangan fizikal dan minda yang pesat," jelas pakar nutrisi itu.

Tegasnya, tiada nutrien yang secara sendirinya dapat menjamin perkembangan mental dan fizikal yang terbaik, sebaliknya hanya gabungan semua nutrisi yang betul dan dalam jumlah yang seimbang mampu menyokong perkembangan keseluruhan anak.

MENENTUKAN TAHAP KESIHATAN



Hasil kajian turut mendapati bahawa hampir semua ibu menganggap kesihatan anak berada pada tahap yang baik jika mereka mengambil makanan dan minuman daripada jenis dan kuantiti tertentu.

Sedangkan pada waktu yang sama hanya sedikit ibu bapa yang memberi tumpuan terhadap kualiti senaman, tinggi dan berat anak yang merupakan indikator kesihatan yang lebih penting.

Justeru, Dr Tee mahu agar ibu sentiasa memantau nisbah indeks berat badan (BMI) anak dan menggalakkan ibu bapa menimbang dan mengukur ketinggian anak secara berkala setiap enam bulan.

"Setiap dewasa wajar memantau sentiasa nisbah BMI anggota keluarga mereka, memahami dan mengamalkan corak pemakanan sihat melalui piramid makanan sebelum terlewat.

Ibu bapa boleh mendapatkan nasihat kesihatan dengan melayari laman PPM di www.nutriweb.org.my.

-- BERNAMA

14 August 2012

SALAM LEBARAN

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua tetamu yang sudi bertandang. Salam kemafaan buat semua.

Terima kasih

09 August 2012

Ramai Masih Kurang Faham mengenai Isu Kesihatan mental

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Insiden amuk di luar perkarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya telah menarik perhatian betapa rawatan untuk gangguan kesihatan mental di negara ini kurang diberi tumpuan.

Pada 9 Julai, pasukan pegawai keselamatan cuba menghentikan Khalil Afandi Abdul Hamid, 37, dan seorang rakan wanitanya, lengkap bersenjatakan pedang samurai dan sebilah pisau, daripada bertindak agresif di pintu masuk kompleks jabatan itu.

Perlakuan bahaya oleh pasangan itu kemudian menyebabkan pasukan keselamatan mengambil tindakan yang berkesudahan dengan kematian Khalil Afandi.

Walaupun laporan awal menyebut bahawa pasangan itu mengamalkan ajaran sesat, namun siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai gangguan kesihatan mental.

Tragedi melibatkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental bukanlah satu senario asing mahupun baru di Malaysia, tetapi masyarakat tidak ambil peduli terhadap masalah itu.

Masyarakat mempunyai persepsi bahawa jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan mental mereka dianggap boleh mendatangkan bahaya dan malahan penyakit mereka tidak boleh sembuh.

Tanggapan dan pandangan negatif ini pula menimbulkan situasi di mana mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental bertindak mengasingkan diri daripada masyarakat dan seterusnya tidak berusaha untuk mendapatkan rawatan.

RAWATAN AWAL MEMBANTU

Ini juga membawa kepada kelewatan untuk didiagnosa penyakit berkenaan dan dalam kes Khalil Afandi, diagnosa tidak pernah dijalankan.

"Mereka yang didiagnosa menghadapi masalah kesihatan mental peringkat awal tidak membahayakan orang lain. Masalah hanya akan timbul bila mereka lewat mendapatkan rawatan", kata Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari kepada Bernama.

Pesakit yang mengalami halusinasi yang berpunca daripada schizophrenia dan kemurungan pula gagal mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang reaksi prejudis masyarakat terhadap penyakit mental yang dialami", kata Dr Muhammad Muhsin.

Lama kelamaan keadaan mereka akan terus bertambah teruk, yang turut meningkatkan risiko mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai", katanya, dan menambah bahawa mereka yang mempunyai gangguan mental tidak mampu membezakan antara yang betul dan salah memandangkan proses pemikiran mereka berkurangan.

Lagipun, mereka akan bertindak agresif sebaik mereka mula berhalusinasi, yang meletakkan mereka dalam keadaan bahaya.

Pesakit yang mengalami schizophrenia melakukan jenayah yang sungguh kejam memandangkan mereka tidak berada di bumi nyata dan tidak ada apa yang mampu menghalang perbuatan mereka.

"Bagaimanapun, sebenarnya, mereka ini boleh menjadi kurang bahaya jika dirawat awal," katanya.

STIGMA MASYARAKAT

Kajian Pendaftar Kesihatan Mental Kebangsaan (NMHR) menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan mental adalah jauh daripada memuaskan.

Kajian itu juga menjelaskan bahawa secara puratanya ia mengambil masa sehingga 28 bulan untuk seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental di negara ini untuk mendapatkan rawatan, tapi pada ketika itu ia sudah terlewat.

Ini berikutan, pemikiran kognitif individu yang mengalami kesihatan mental pada ketika itu telah berada di tahap kritikal, di mana mereka sudah tidak mampu untuk membuat sesuatu keputusan, tindakan atau berfikir secara waras.

Kajian itu sekali gus dilihat selaras dengan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang dipetik dalam satu laporan akhbar, menguraikan bahawa kesedaran masyarakat terhadap rawatan bagi isu kesihatan mental kian menurun.

Dalam tempoh tiga tahun lepas, hanya 1.2 hingga 1.5 peratus merujuk kes mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental pergi mendapatkan rawatan ke pusat kesihatan kerajaan, adalah satu situasi yang membimbangkan memandangkan satu daripada lima rakyat Malaysia mengalami beberapa bentuk penyakit mental.

Selain faktor kurangnya kesedaran, langkah awal untuk mendiagnosis akan potensi penyerangan penyakit itu masih didasari dengan stigma serta sikap prejudis di kalangan masyarakat.

Mereka takut dan malu dicemuh sebagai 'pesakit mental', menyebabkan ramai tidak dapat menerima hakikat serta lebih gemar mendiamkan diri apabila mengalami tekanan berterusan mahupun masalah kesihatan mental daripada mengambil inisiatif berjumpa pakar piskiatri.

Masalah kesihatan mental akan dialami oleh semua individu. Tanpa mengira golongan kaya, miskin, tua, muda, setiap daripada kita tidak terlepas mengalami tekanan, masalah kehidupan.

Namun, pengendalian kepada tekanan dihadapi akan menentukan sama ada mereka hanya sekadar mengalami kesihatan mental ataupun penyakit mental.

KELUARGA MAINKAN PERANAN

Selain masyarakat, kaum keluarga terdekat juga memainkan peranan penting dalam membantu mereka berkenaan mengekalkan kesihatan mental dengan pergi mendapatkan rawatan.

Pengesanan, langkah awal boleh dilakukan dengan mengenalpasti 'perubahan kelakuan' ahli keluarga sama ada secara mendadak mahupun sebaliknya, perlu diambil perhatian jitu.

Merupakan simptom premier kepada pengesahan masalah kesihatan mental, seseorang individu yang mengalami perubahan kelakuan ketara perlu mendapatkan rawatan segera.

Ini termasuklah perubahan tingkahlaku dari seorang periang kepada pendiam, pemarah, lebih gemar bersendirian, bercakap berseorangan, mempercayai diri mempunyai kuasa luar biasa, tidur terganggu, hilang selera makan, tidak upaya melakukan aktiviti harian serta memikir dan bercakap soal bunuh diri.

"Individu mengalami masalah mental tidak tahu yang mereka ini sakit kerana tidak merasai penyakit itu, di mana kita panggilnya sebagai instilah 'inside', disebabkan itulah keluarga perlu monitor," jelas Dr Muhammad Muhsin.

Bagaimanapun, diagnosa oleh pakar dan rawatan yang betul perlu dilakukan.

Ibu bapa yang mempunyai anak yang mula menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental, sering menafikan hakikat anaknya mengalami masalah mental, bukan kerana apa tetapi 'takut' sekiranya dipulaukan atau didiskriminasikan oleh masyarakat setempat.

Waima, penafian serta rasa ketakutan itu akhirnya bukan sahaja akan membinasakan si pesakit malah masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun, pengesanan perubahan tingkahlaku sahaja tidak akan berjaya sekiranya keluarga tidak memainkan peranan dalam memastikan pengambilan ubat pesakit mengikut aturan.

Ini kerana, terdapat sesetengah pesakit mula bersikap sambil lewa dalam pengambilan ubat kerana merasakan diri sudah 'sembuh' walhal penyakit itu boleh menyerang kembali apabila mereka berada dalam keadaan tekanan.

Biarpun keluarga mempunyai peranan penting, namun individu juga wajar membudayakan perjumpaan pakar psikiatri dalam sahsiah kehidupan mereka.

Apatah lagi, situasi cabaran global masa kini memerlukan seseorang itu mempunyai daya ketahanan tinggi serta pengurusan kesihatan mental sebaiknya bagi menangani tekanan dihadapi.

Lebih memerlukan pemerhatian rapi, apabila sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan keluarga pernah mengalami gangguan mental.

Disebabkan itu, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, digalakkan berjumpa dengan pakar psikiatri, sebelum ia menjadi parah!

"Persepsi tidak perlu jumpa pakar psikiatri (apabila mengalami kesihatan mental) adalah salah. Kalau mereka merasakan tidak mengapalah boleh rawat diri sendiri atau berjumpa dengan kawan, mereka silap", kata Dr Muhammad Muhsin.

Pendek kata, kesedaran yang meluas mengenai keshitan mental dan rawatan awal boleh membantu menyelamat banyak nyawa mereka yang mengalami masalah mental. Menghentikan stigma dan diskriminasi yang dikaitkan dengan isu kesihatan mental adalah langkah pertama ke arah mengawal penyakit kesihatan mental dan membantu mereka yang mengalami masalah mental.

-- BERNAMA

08 August 2012

ASEAN

'Cara Asean', Prinsip Tidak Campur Tangan Buahkan Hasil - Najib
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- 'Cara Asean' (the Asean Way) yang berasaskan permuafakatan serta prinsip tidak campur tangan pertubuhan itu telah membuahkan hasil seperti yang dibuktikan dengan proses demokrasi yang bermula di Myanmar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil berkata 'Cara Asean' itu juga ditonjolkan dalam peristiwa-peristiwa lain, Perdana Menteri menjelaskan ini termasuk pendekatan yang diambil Malaysia dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan antara negara-negara jiran iaitu ia boleh diselesaikan dengan baik.

"Biarpun Asean masih berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan, mekanisme-mekanisme Asean yang berpaksikan apa yang disebut sebagai 'The Asean Way' atau 'Cara Asean' membolehkan pelbagai isu yang disifatkan sebagai sensitif dan kompleks diselesaikan di meja perundingan," katanya.

Dalam perutusan khas beliau sempena sambutan Hari Asean ke-45 yang disiarkan RTM malam Selasa, Najib menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan Asean terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, segala faktor positif yang terhasil telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemimpin negara anggota untuk merencana pelbagai inisiatif dan pelan pembangunan ke arah meningkatkan taraf dan kualiti hidup warganya.

"Jelas, kewujudan Asean menjadi pemangkin dalam merapatkan jurang perbezaan tahap pembangunan sosio-ekonomi antara negara-negara di rantau ini," kata Najib.

Mengimbau liku-liku yang dihadapi Asean sejak penubuhannya, beliau berkata kemampuan Asean untuk menjadi kerangka politik serantau bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini sering diragui.

Menurutnya, keberkesanan gerak kerja Asean dipersoal kerana pegangannya kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota yang disifatkan kurang efektif dalam mengatasi konflik di rantau ini.

"Namun, di sebalik kritikan itu, mekanisme Asean ini terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara di rantau ini. Justeru, tidak hairanlah pertubuhan yang bermula dengan lima anggota sahaja pada 1967 telah berkembang kepada 10 negara anggota," katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa penglibatan aktif negara-negara rakan dialog semasa mesyuarat dan persidangan peringkat Asean merupakan pengiktirafan masyarakat dunia kepada kemampuan dan potensi Asean itu sendiri.

Najib berkata isu-isu berkepentingan bersama seperti keselamatan, penyeludupan dadah, anti-keganasan dan alam sekitar dapat dibincang dan ditangani secara bersama bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Menurutnya lagi, Asean kini merupakan antara rantau paling dinamik di dunia, dan dengan saiz pasaran lebih 500 juta penduduk dan GNI (Pendapatan Negara Kasar) terkumpul bernilai US$2.15 trilion, Asean adalah pertubuhan yang telah mencapai kejayaan membanggakan dan penuh dengan potensi masa depan.

Asean, katanya, diperkukuh dengan termeterainya Piagam Asean yang telah mentransformasikan pertubuhan itu kepada sebuah entiti berlandaskan peraturan selain mempergiat lagi integrasi dan kesalinghubungan antara negara anggota dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.

"Asean sentiasa peka kepada perubahan zaman. Asean prihatin bahawa ia perlu terus relevan dengan aspirasi warganya. Bertitik-tolak kesedaran inilah pemimpin-pemimpin Asean telah melancarkan Agenda Kesalinghubungan Asean pada 2010," katanya.

Sambil menjelaskan agenda itu bertujuan memastikan Asean dapat dihubungkan melalui jaringan pengangkutan dan komunikasi, Najib berkata: "Bayangkan kemungkinan yang ada jika segala produk dari negara-negara Asean dapat bergerak dengan mudah dari satu negara ke negara lain," katanya.

Di samping itu, Najib berkata Asean telah menubuhkan Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Suruhanjaya Asean Untuk Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC).

Beliau turut menarik perhatian bahawa Asean kini di peringkat akhir untuk menghasilkan Deklarasi Hak Asasi Manusia yang bakal digunakan negara anggota dalam memelihara hak asasi manusia di rantau ini.

"Saya yakin bahawa kematangan hubungan antara negara anggota Asean dengan berpegang kepada konsep Kepusatan Asean yang ditunjangi semangat kebersamaan Asean, permasalahan-permasalahan sebegini pasti akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan Malaysia akan terus mempergiat usaha membawa Asean kepada rakyatnya melalui pelaksanaan program seranta yang memberi fokus kepada memperkenal sejarah, sistem nilai, budaya dan kepentingan Asean.

"Hanya dengan kefahaman mendalam mengenai pertubuhan ini maka warga Asean terutama golongan belia akan dapat menghargai peri mustahaknya," jelasnya.

Beliau turut menyarankan semua negara anggota dan warga Asean supaya terus gigih berusaha bagi melaksanakan pelan strategik dalam semua lapangan seperti yang telah dirancang.

"Insya Allah, dengan berpandukan kepada Piagam Asean dan sokongan padu dan kesepakatan semua pihak, kita akan dapat merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015," katanya.

-- BERNAMA

27 July 2012

Kanser Serviks Mudah Jangkiti Wanita, Tapi Boleh Dicegah

Oleh Hazlinda Hamzah

PULAU INDAH (KLANG), 25 Julai (Bernama) -- Menurut pakar-pakar perubatan, kanser serviks atau barah pangkal rahim boleh membawa maut kepada wanita yang menghidapinya.

Menyedari ancaman kanser jenis ini, kerajaan memulakan program memberi suntikan HPV kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sebanyak tiga dos secara percuma sejak lebih dua tahun lepas dan kini kepada remaja perempuan berusia 18 tahun.

Suntikan HPV ini boleh membina imunisasi secara semulajadi seseorang yang berusia antara 13 hingga 45 tahun. Ia dipercayai satu usaha mencegah diri daripada menjadi mangsa kanser serviks yang amat berbahaya.

Bagi fraterniti (kelompok) pakar penjagaan kesihatan, pengambilan suntikan seawal itu amat digalakkan.

Apa itu HPV?

HPV adalah 'Human Papillomavirus', sejenis virus yang boleh berjangkit menerusi hubungan seksual. Tiada ubat bagi kanser serviks dan cara yang terbaik adalah melalui pencegahan.

Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang melaksanakan program Imunisasi HPV Kebangsaan.

KANSER SERVIKS

Kanser serviks adalah kanser ketiga paling ketara dihidapi wanita Malaysia dan ia boleh menyerang mana-mana wanita berusia dari 30 sehingga 70 tahun.

Menurut statistik penghidap kanser serviks berada selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal dalam tahap kanser pembunuh bagi kaum wanita di negara ini.

Walaupun begitu, ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kanser serviks.

Menurut statistik lagi, penghidap kanser serviks yang paling ramai di negara ini adalah kaum Cina diikuti India dan Melayu.

Kanser serviks boleh menjangkiti mana-mana wanita terutama mereka yang telah mula mengadakan hubungan kelamin tidak kira berapa usia mereka. Ini bererti wanita dewasa yang telah berumahtangga adalah golongan yang berisiko.

Apa yang paling ditakuti ramai wanita ialah penyakit ini tidak dapat dikesan melalui sebarang tanda-tanda awal yang jelas sehingga ia melarat ke tahap yang agak lewat untuk dirawati.

PAKAR PERUNDING

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Mohamad Farouk Abdullah, memberitahu Bernama ramai dalam kalangan wanita yang didapati menghidap kanser serviks hanya mengetahui tentang penyakit yang dideritai itu pada peringkat yang sudah serius.

"Sebagai doktor, ramai di antara kami rasa terkilan apabila kehilangan pesakit-pesakit wanita akibat terlambat melakukan ujian 'pap smear' dan mendapatkan rawatan serta perhatian untuk keadaan kesihatan.

"Ramai juga wanita yang tidak merebut peluang mendapatkan khidmat di unit obstetrik dan ginekologi di hospital kerajaan yang terdekat", jelas Dr Mohamad Farouk, yang juga presiden Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau SEDAR.

Peratusan wanita yang datang untuk mendapatkan ujian 'pap smear' juga masih kurang walaupun ia dijalankan secara percuma.

Dan kerana itulah, hospital-hospital kerajaan turut menggalakkan petugas mereka termasuk jururawat menjalankan ujian 'pap smear' secara konsisten, iaitu setiap tiga tahun sekali, di bawah program kerajaan yang diperkenalkan seawal tahun 1960an lagi.

Menurut Dr Mohamad Farouk lagi, "kanser serviks boleh dicegah, oleh itu takkan kaum wanita tidak mahu memilih jalan terbaik untuk terus kekal sihat?"

Ujian 'pap smear' dapat mengesan perubahan sel-sel yang diambil daripada bahagian serviks dan jika ia menunjukkan tanda-tanda kurang normal, tindakan awal boleh diambil secepat mungkin.

"Rawatan boleh dimulakan pada peringkat lebih awal dan ia menyelamatkan nyawa," jelas pakar itu.

PENCEGAHAN

Kanser serviks boleh dicegah sama ada melalui strategi pencegahan primer iaitu secara suntikan vaksin HPV atau strategi kedua, melalui saringan sel serviks pada peringkat awal.

'Mukosa' boleh didapati di bahagian mulut, tekak, serviks atau bahagian pangkal rahim dan dubur.

Jangkitan yang serius oleh HPV boleh menyebabkan pertumbuhan tisu secara tidak normal serta perubahan sel yang mendadak dan ini boleh mengakibatkan kanser serviks.

SUNTIKAN HPV

Suntikan HPV setakat ini ada dua jenis dan kedua-duanya melindungi mereka yang disuntik daripada HPV 16 dan 18 yang risikonya paling tinggi untuk serviks wanita, sehingga ke tahap 71 peratus.

"Suntikan perlu diambil setiap 20 tahun sekali. Walaupun begitu, ujian dan saringan serviks antara kaedah yang lebih tepat, boleh menyelamatkan nyawa wanita daripada barah yang sangat ditakuti ini, memandangkan melalui saringan sebegini saja ia terbukti berjaya dikesan", tambah Dr Mohamad Farouk.

Menurut satu kajian yang dijalankan di United Kingdom, program menyuntik remaja perempuan dengan suntikan HPV dapat menyelamatkan 400 nyawa setiap tahun kerana vaksin HPV yang disuntik sebelum dijangkiti virus tersebut terbukti sangat berkesan.

KOS

HTAR telah menjalankan satu program bersama SEDAR untuk memberi ujian 'pap smear' secara percuma kepada wanita di sebuah pulau berhampiran kawasan Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut Dr Mohamad Farouk, jadual saringan untuk virus yang boleh menyebabkan seseorang wanita itu menghidap kanser serviks ialah sebaik-baiknya di antara tiga hingga lima tahun sekali, bergantung kepada umur mereka.

"Kos untuk menjalani ujian 'pap smear' ialah kira-kira RM150 untuk setiap tiga tahun sekali. Manakala kos penyaringan HPV hampir RM200 setiap kali ia dilakukan", jelas beliau.

Dalam kajian pada lima tahun lepas, hanya 45.7 peratus wanita dalam usia lebih 20 tahun menjalani ujian 'pap smear,'di Malaysia.

KESEDARAN WANITA BEKERJA

"Saya tak pernah buat ujian 'pap smear' walaupun sudah beranak beberapa kali", seorang wanita didengari mengaku ketika menunggu giliran untuk membuat ujian 'pap smear' kali pertamanya semasa kumpulan petugas HTAR bersama SEDAR berkunjung ke pejabat wanita itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wanita itu bersama lebih 30 rakan-rakan sepejabatnya yang lain telah berpeluang menjalani ujian 'pap smear' dan saringan HPV secara percuma di bangunan pejabat mereka.

Seorang lagi petugas pejabatnya yang pernah menjalani ujian 'pap smear' setiap kali selepas bersalin turut menjalani ujian saringan yang sangat penting itu setelah hampir 10 tahun tidak berkunjung ke klinik pakar ginekologi untuk membuat saringan susulan.

MENGAPA?

Mengapakah ramai yang menyedari tentang bahaya melewatkan jadual menguji tahap kesihatan organ dalaman mereka, memilih untuk tidak mengikuti jadual yang sepatutnya?

Ada yang malu, ada juga yang takut.

"Wanita harus mengenali tubuh mereka sendiri. Setiap organ yang dimiliki, telah ditentukan fungsinya dan ia hanya boleh berfungsi dengan baik sekiranya ia sihat.

"SEDAR dan HTAR sentiasa berusaha memberi wanita tempatan pilihan sendiri. Kira-kira 80 peratus daripada wanita akan dijangkiti dengan HPV pada satu-satu masa dalam kehidupan mereka tetapi tidak semua HPV menyebabkan kanser.

"Jadi, pastikan pemeriksaan yang sangat perlu ini tidak diabaikan atau dipandang ringan", Dr Mohamad Farouk mengingatkan.

Ujian 'pap smear' adalah pemeriksaan dalaman yang dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks untuk mengambil sel-sel permukaan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.

"Jika keputusan ujian 'pap smear' tidak normal, wanita itu akan dirujuk untuk penyiasatan dan rawatan lanjut.

Ujian 'pap smear' yang dijalankan dalam program HTAR menggunakan kaedah sitology berasaskan cecair dan ujian DNA HPV dapat dijalankan sekaligus. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama mencegah kanser serviks.

-- BERNAMA

Usaha Murni Tingkatkan Kesedaran Mengenai Kanser Serviks

Oleh Hazlinda Hamzah

Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai kesedaran kanser serviks dalam kalangan wanita. Bahagian ini berkisar kepada khidmat Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser (SEDAR) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi penduduk di Pulau Indah, Selangor.

PULAU INDAH (Klang), 24 Julai (Bernama) -- Bagi Artini Ariffin dan penduduk di sini, usaha yang dijalankan Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau 'SEDAR' boleh dikatakan sebagai satu usaha murni untuk mereka.

SEDAR dengan kerjasama Jabatan Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah menjalankan program kesedaran dan saringan bagi kanser serviks terutama bagi penduduk wanita di sini.

(Kanser serviks atau dikenali juga sebagai barah pangkal rahim ialah sejenis kanser yang boleh menyerang wanita. Tanpa pencegahan dan rawatan ia boleh membawa maut).

Program kesedaran ini turut disokong Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Artini, anak kelahiran Pahang yang telah 13 tahun menetap di sini meluahkan rasa gembiranya bila Pulau Indah dipilih HTAR untuk program kesihatan yang mendatangkan kesedaran mengenai kanser terutama kanser serviks.

"Untuk kami di sini sampai ke HTAR, memerlukan sekurang-kurangnya satu jam. Khidmat yang diberikan SEDAR bersama pakar dan jururawat dari HTAR bagaikan satu rahmat bagi kami," jelas Artini kepada penulis di sini.

Pulau Indah, dulunya dikenali sebagai Pulau Lumut, terletak di barat Pelabuhan Klang atau dengan lebih tepat 'West Port'. Ia dihubungkan ke Teluk Gong di tanah besar dengan sebuah jambatan.

Penduduknya seramai lebih 10,000 orang di mana 95 peratus daripada mereka berbangsa Melayu. Terdapat juga 300 orang Asli mendiami pulau ini.

SEGAN DAN TAKUT

Menurut pakar-pakar bidang perubatan, kanser serviks boleh disebabkan 'Human Papillomavirus' atau HPV. Ia adalah satu jangkitan virus secara hubungan seksual iaitu dari kulit ke kulit.

"Pada mulanya, ramai antara kami yang rasa segan untuk berbincang secara terbuka tentang masalah kesihatan kami.

"Tetapi setelah kami faham pencegahan penyakit lebih baik daripada rawatan, kami pun bertekad mahu mendapatkan lebih pengetahuan tentang kanser yang mudah menyerang wanita", kata Artini.

Menurut guru tuisyen itu, ramai penduduk wanita yang malu dan tidak mahu menjalani ujian 'pap smear', tetapi setelah diberi penerangan, ramai yang bersetuju memilih menyertai program kesedaran ini dan hanya 10 peratus saja mengambil sikap enggan mengambil tahu tentang penyakit kanser serviks ini", jelas beliau.

'Pap smear' adalah ujian saringan bagi kanser serviks di mana sel-sel dari pangkal rahim diambil bagi pemeriksaan patologi.

Artini menjelaskan pada peringkat awalnya ramai penduduk wanita di sini enggan menjalani ujian saringan ini tetapi setelah mereka diberikan penjelasan akhirnya mereka bersetuju menjalani pemeriksaan.

PERANAN

Anak kelahiran Kelantan, Dermawani Mamat, turut menyertai program ini dan memberi motivasi kepada penduduk di empat kampung di pulau ini untuk sama-sama menyertai program saringan kanser serviks.

Kata Dermawani, beliau akan menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada peserta program bagi mengingatkan mereka terhadap program yang akan bermula di Klinik Kesihatan di kampung masing-masing.

"Sebelum program bermula di Klinik Kesihatan, saya akan menghantar SMS kepada penduduk mengingatkan mereka mengenai program itu.

"Pada peringkat awal, ada yang memberi sambutan positif, ada yang hanya berdiam diri tetapi ramai juga yang menolak. Susah juga hendak mengajak mereka dengan sekali cuba sahaja", jelas Dermawani, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah kilang di sini.

Kampung-kampung yang terlibat di bawah program ini ialah Sungai Pinang, Perigi Nanas, Teluk Nipah dan Sungai Kembong.

MAKLUMAT KESIHATAN

"Kami dapat lebih pengetahuan tentang tahap penjagaan kesihatan yang perlu diketahui, terutama untuk mengelakkan kanser serviks daripada petugas HTAR yang berkunjung ke pulau ini untuk berkongsi ilmu kesihatan dengan penduduk", jelas Derma'ani kepada penulis pada sesi penerangan kesihatan di sebuah Klinik Kesihatan di sini.

Program ini turut mendapat sambutan positif daripada golongan lelaki.

Ketua kampung Sungai Pinang, Abdul Haris Bahrun berkata, program itu dapat memberi penerangan tentang tahap kesihatan lelaki.

"Ada juga (lelaki) yang menyuarakan rasa ingin tahu akan kanser yang boleh mengancam kesihatan serta kehidupan dan hubungan sesama keluarga termasuk kanser prostat.

"Saya difahamkan ia satu-satunya program di dunia yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah jika perlu. Saya telah menasihatkan anak buah di kampung untuk menyertainya," jelas Abdul Haris, anak kelahiran Pulau Indah.

RUMAH KE RUMAH

Hampir 200 petugas HTAR terlibat dalam program yang dijalankan selama hampir setahun di pulau ini.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa separuh daripada penduduk wanita Pulau Indah tidak pernah menjalani ujian 'pap smear'.

Program ini turut mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi meyakinkan mereka yang tidak mahu menerima pemeriksaan daripada petugas hospital.

"Kami pujuk dan mengingatkan mereka bahawa ujian itu perlu untuk kebaikan diri sendiri. Kalau jatuh sakit, bukan sahaja keluarga akan menderita malah melibatkan kos yang tinggi.

"Mereka tidak sepatutnya membebankan keluarga dengan penyakit yang boleh dicegah daripada melarat itu.

"Saya turut mengajak pekerja kilang tempat saya bekerja untuk menerima tawaran khidmat saringan secara percuma itu", jelas Derwani.

Ada juga yang menolak pelawaan itu kerana tidak dibenarkan oleh suami masing-masing.

Dermawani yang mengambil peranan sebagai wakil jururawat, berusaha secara berterusan mempengaruhi penduduk kampung supaya tidak menolak perkhidmatan perubatan yang dibawa ke pintu rumah mereka.

"Ini program yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah secara percuma, selain memudahkan penduduk mendapat akses kepada informasi kesihatan dan rawatan", jelas Dermawani.

Hasrat Kementerian Kesihatan adalah murni bagi mencapai tahap sifar sakit bagi penduduk pulau ini, katanya.

-- BERNAMA

18 July 2012

Mengekang Ancaman Senjata Biologi Di Malaysia

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Serangan kuman anthrax di Amerika Syarikat pada 2001 membuktikan bahawa senjata biologi berkesan dalam membunuh dan menimbulkan suasana panik.

Laporan Senjata Biologi oleh Bio Weapons Prevention Project 2004, mencatatkan tujuh kematian dan 17 lagi mengalami jangkitan daripada agen biologi itu.

Ketakutan terhadapnya turut dirasai di negara lain termasuk Malaysia apabila spora bakteria anthrax itu disebarkan dalam bentuk serbuk dengan mengepos kepada individu tertentu di pelbagai pelosok dunia.

Ancaman itu telah dinilai sebagai satu bentuk serangan yang berpotensi menggugat kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Selain itu ia juga membuktikan serangan menggunakan senjata biologi boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

BAHAYA SENJATA BIOLOGI

Percubaan menggunakan senjata biologi bukanlah sesuatu yang baru kerana pada tahun 300 Masehi karya silam Parsi, Greek dan Roman merekodkan perbuatan membuang bangkai haiwan ke dalam sumber air bagi memusnahkan musuh.

Bagaimanapun, dengan peredaran zaman dan perubahan pesat teknologi, kini senjata biologi boleh dihasilkan dengan mudah dan disembunyikan serta sukar dikesan.

Dengan tempoh pengeraman yang singkat serta boleh dijangkakan, ia kini menjadi pilihan dalam membawa kemusnahan sejagat.

Keadaan ini dimudahkan dengan kewujudan mikro-organisme penyebar penyakit kepada manusia yang sukar dikenalpasti, menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Datuk Dr Abdul Ghaffar Ramli.

Ini kerana agen biologi bukan sekadar digunakan untuk menghapus manusia terpencil malah ia turut digunakan sebagai agen utama yang dapat membunuh dalam skala lebih besar dalam tempoh yang singkat, menyebabkan ia tergolong sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

"Agen penyebarnya adalah manusia sendiri, selain haiwan dan tumbuhan. Ia lain daripada senjata konvensional seperti bom, senjata nuklear dan kimia yang memerlukan peralatan tertentu untuk melepaskannya di lokasi yang disasarkan.

"Senjata biologi, tidak memerlukan semua itu. Hanya perlu masuk ke negara sasaran untuk melepaskan kuman itu," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya baru-baru ini.

Senjata biologi menjadi kebimbangan seluruh dunia kini dan Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan segala kemungkinan berkaitan dengan senjata biologi itu.

Ditambah dengan langit berbuka yang membolehkan seseorang sampai dengan mudah dari sebuah negara ke negara lain yang secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko ancaman.

"Kita biasa lihat serangan kumpulan berani mati mengebom tempat awam, tidak mustahil satu hari nanti kumpulan seperti ini melepaskan agen biologi di tempat orang ramai, di dalam kapal terbang dan seumpama.

"Mereka tahu, serangan biasa mungkin tidak berkesan, jadi mereka bangunkan kuman itu di makmal dan bawa ke negara sasaran dan lepaskannya untuk melumpuhkan ekonomi dan populasi sesebuah negara itu," katanya.

SALAHGUNA AGEN BIOLOGI

Tidak seperti bahan kimia yang boleh dikesan dengan teknologi terkini. Tidak ada satu pun teknik yang boleh mengesan seseorang membawa agen biologi melainkan dengan bantuan kepakaran perisikan, katanya.

Dr Ghaffar berkata semenjak serangan anthrax, banyak negara di dunia terutama negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan tindakan kawalan terhadap agen biologi agar ia tidak disalahgunakan.

"Mengambil contoh serangan anthrax, ia dilakukan oleh seorang saintis bernama Bruce Edwars Ivis yang menghasilkan di makmalnya, malah banyak insiden yang berlaku di dunia yang menggunakan toksin dan kuman bagi mengancam musuh," katanya.

Cara yang sama pernah digunakan oleh pasukan perisik Rusia untuk membunuh ejennya yang berpaling tadah. Mereka bertindak meletakkan saxitoksin yang dihasilkan oleh percambahan organisme laut dalam bilangan besar khasnya algae.

Racun saxitoksin ini dikatakan pernah digunakan untuk menikam ejen Rusia yang berpaling tadah dengan toksin itu terus menyerang paru-paru hingga menyukarkan penafasan dan membuatkan seseorang itu kejang serta akhirnya membawa maut.

Kerana itu saxitoksin diletakkan dalam Jadual Pertama Akta Konvensyen Senjata Kimia, agar penyelidikan dan penggunaan serta penyimpanannya dikawal.

BANYAK SUMBER TOKSIN BIOLOGI

Sebenarnya sumber-sumber toksin ini wujud secara semulajadi dan dari masa ke masa mengancam orang ramai.

Contohnya, masyarakat nelayan di Sabah sering berhadapan dengan ancaman saxitoksin daripada percambahan alga sehinggakan masyarakat di Pulau Gaya di situ dikatakan menggunakan kucing untuk menentukan sama ada kerangan selamat untuk dimakan atau sebaliknya.

"Menjadi kebimbangan sekiranya tidak dikawal, ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengekstrak racun itu dan menyimpannya untuk disalahgunakan.

"Ini yang perlu dikawal kerana pelbagai cara boleh digunakan musuh termasuk dengan cara melumpuhkan ekonomi," katanya.

Seperti yang berlaku pada serangan virus Nipah sebagai penyebab wabak penyakit pada khinzir dan manusia di Semenanjung Malaysia antara hujung tahun 1998 sehingga bulan Mei 1999. Ia memberi kesan kepada industri penternakan khinzir, malah kerugian yang ditanggung oleh penternak akibat serangan virus masih belum ditebus semula walaupun hampir 15 tahun telah berlalu.

"Bayangkan sekiranya ada pihak yang menyebarkan agen biologi untuk melumpuhkan industri penternakan seperti lembu, ayam, mahupun kambing yang mewakili hampir 70 peratus sumber makanan manusia. Pastinya ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan," katanya.

RANG UNDANG-UNDANG BARU

Untuk melaksanakan langkah pencegahan bagi memastikan kawalan agen biologi dan toksin, satu undang-undang khusus perlu diwujudkan di negara ini.

Sehingga ini tidak ada perundangan dan peraturan yang boleh mengawal dan memantau dengan berkesan penyelidikan dan aktiviti berkaitan agen biologi dan toksin berbahaya yang boleh digunakan bagi tujuan keganasan dan peperangan.

Abdul Ghaffar berkata Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin itu mampu mencegah usaha pihak-pihak tertentu menghasil, membangun dan menyimpan agen biologi dan toksin untuk tujuan tidak baik.

"Ia perlu agar negara dapat melaksanakan pematuhan terhadap Konvensyen Senjata Biologi yang telah ditandatangani pada 10 April, 1972 dan meratifikasinya pada 6 Sept, 1991.

"Selain itu aspek keselamatan pertahanan negara antara ciri penting yang akan dilihat dalam draf rang undang-undang itu termasuk mengambil kira perkembangan teknologi terkini," katanya.

Sejak 2008, Kementerian Pertahanan melalui STRIDE telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan melibatkan penggubal dasar dan pakar-pakar dari 23 agensi kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan kandungan rang undang-undang itu.

UNDANG-UNDANG TENTUKAN ATURCARA KAWALAN

Melalui undang-undang baru ini juga Malaysia akan dapat mematuhi artikel III yang mana negara tidak boleh memindahkan atau dalam apa-apa cara membantu dan menggalakkan mana-mana pihak untuk memperoleh atau mengekalkan senjata biologi dan artikel IV memerlukan negara mengambil apa-apa langkah perlu dan berkesan bagi melaksanakan peruntukan konvensyen dalam negara.

Siri bengkel, forum dan perbincangan menghasilkan rang undang-undang juga telah mengenalpasti pelbagai masalah terutama kebimbangan saintis yang berasa kurang selesa terutama apabila penyelidikan mereka dipantau selain denda yang dianggap terlalu tinggi.

Melalui rang undang-undang itu, berdasarkan kepada jenis agen biologi dan toksin yang dikawal, saintis perlu memaklumkan aktiviti yang dilakukan.

"Saintis tidak boleh anggap ia menyusahkan, kerana tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti penyelidikan yang dijalankan adalah secara sistematik dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, usaha mengawalnya dapat dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan," katanya negara turut bekerjasama baik dengan negara serantau dan Amerika Syarikat agar langkah yang diambil adalah selari.

Beliau berkata usaha kini adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada saintis agar mereka bertanggungjawab atas kajian yang dilakukan, mengikut peraturan serta merekod dan melaporkan kajian itu.

"Kita bimbang, saintis diperguna pihak tertentu tanpa mereka sedari ia boleh memberi kesan dan ancaman kepada masyarakat, ekonomi dan negara. Ini yang kita mahu elakkan," katanya yang turut berharap penguatkuasaan akta baru itu nanti akan dijalankan oleh pihak yang neutral sifatnya setelah diluluskan di Parlimen.

29 June 2012

Peralatan Penyejuk Kurang Mesra Alam

CYBERJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Setiap kali sesiapa menggunakan pendingin hawa, menghidupkan lampu, menyaksikan televisyen, membiarkan pintu peti sejuk terbuka atau mengecas telefon bimbit, lebih banyak gas rumah hijau (GHG) dibebaskan ke atmosfera.

Peralatan-peralatan moden ini, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita pada hari ini, memerlukan tenaga elektrik tetapi menjana tenaga elektrik ada kepincangannya memandangkan ia menyumbang kepada GHG yang dikatakan menjadi punca fenomena pemanasan global.

Statistik daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (EC) menyenaraikan empat sumber tenaga negara - gas semulajadi, minyak mentah, arang batu dan kok, dan kuasa hidro.

Penggunaan tenaga elektrik secara keseluruhan telah meningkat dengan ketara dalam negara dari 1990 hingga 2009 iaitu sebanyak 383 peratus.

PERALATAN YANG BANYAK GUNAKAN TENAGA

Peralatan penyejuk seperti pendingin hawa, peti sejuk dan pendingin banyak menggunakan tenaga berbanding peralatan elektik yang lain.

Satu penyelidikan oleh Pusat Bagi Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya mendapati 67 peratus daripada purata penggunaan elektrik isi rumah adalah bagi peralatan penyejuk.

Ini kemudian diikuti oleh peralatan yang digunakan bagi pemanasan (11 peratus), pencahayaan (tujuh peratus), masak (lima peratus), hiburan (empat peratus), mesin basuh (dua peratus) dan lain (empat peratus).

Sementara bagi bangunan, audit Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia mendapati pendingin hawa menggunakan 62 peratus daripada jumlah tenaga, diikuti oleh perkakas berasaskan palam kuasa (20 peratus) dan pencahayaan (18 peratus).

PENGGUNAAN MENGIKUT SEKTOR

Semasa bercakap pada Forum iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) ke 14 baru-baru ini, Eksekutif Kanan EC bagi Pengurusan Bahagian Permintaan Ir.Zul Azri Hamidon menunjukkan bahawa pertumbuhan besar dalam penggunaan elektrik berpunca kerana pembangunan pesat negara.

Penggunaan elektrik oleh kemudahan kediaman dan komersial sahaja meningkat 413 peratus dari 1990 hingga 2009.

Pada 2009, penggunaan kuasa oleh sektor komersial dan kediaman mewakili nilai yang disatukan sebanyak 54.7 peratus berbanding sektor lain, khasnya industri (44.9 peratus), pertanian (0.3 peratus) dan pengangkutan (0.2 peratus).

"Adalah penting bagi para pengguna daripada kumpulan ini (komersial dan kediaman) untuk memahami aliran penggunaan elektrik masing-masing dan belajar akan langkah-langkah berkesan untuk mengurangkan penggunaan.

"Adalah baik bagi mereka dan alam sekitar. Dengan memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan penggunaan tenaga, ia mengurangkan wasap CHG dan membantu menjimatkan sumber semulajadi kita yang semakin kehabisan," tambah beliau.

BERAPAKAH SUMBANGAN WASAP ANDA

Kesedaran terhadap penggunaan tenaga secara berhemah masih rendah di negara ini. Ramai warga Malaysia masih tidak sedar yang sikap tidak ambil peduli mereka terhadap penggunaan tenaga secara berhemah boleh memudaratkan alam sekitar.

"Setiap satu kilowatt jam (kWh) yang digunakan membebaskan 0.684 (kilogram) kg karbon dioksida (CO2), gas yang menyumbang kepada kesan rumah hijau," kata Zul Azri.

Anda boleh mengukur sendiri pencemaran CO2 yang anda lakukan dengan mendarabkan penggunaan elektrik anda seperti yang tercacat dalam bil dengan 0.684. Keputusannya mewakili jumlah wasap CO2 yang dibebaskan ke udara.

Secara purata, penggunaan elektrik setiap isi rumah Malaysia adalah 251 kWh sebulan. Ini bermakna, sebuah isi rumah membebaskan 171.68 kg CO2 setiap bulan.

Mendarabkan nilai ini dengan 13,777,039 kuarters kediaman dan isi rumah yang dikenalpasti semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010, rakyat Malaysia mencemarkan udara dengan 2.4 bilion kg CO2 setiap bulan, bersamaan dengan 28.8 bilion kg setahun!

"Jika setiap orang memainkan peranan masing-masing dengan mengambil langkah-langkah memastikan mereka mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak mana yang boleh, ia pasti membawa perubahan besar," tambah Zul Azri.

MENGURUSKAN PENDINGIN HAWA

Pelbagai pendekatan boleh diambil untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Menggunakan peranti-peranti penyejuk seperti pendingin hawa memerlukan disiplin, penyenggaraan berterusan dan sedikit penyesuaian dalam rutin harian.

"Padamkannya apabila anda tinggalkan bilik, laraskan termostat ke paras suhu selesa di sebalik paras sejuk dan bersihkan penapis udara secara berjadual," kata Zul Azri.

Beliau juga berkata semua pintu dan tingkap harus ditutup rapat kerana kebocoran menambah bebanan kepada pendingin udara.

Memakai pakaian yang sesuai juga dapat membantu memperluaskan zon selesa sementara mengurangkan tenaga yang digunakan oleh pendingin hawa. Mereka yang memakai pakaian tebal akan memerlukan suhu yang lebih sejuk untuk berasa selesa berbanding mereka yang memakai pakaian yang nipis.

"Percaya atau tidak, dengan hanya meningkatkan suhu sebanyak satu darjah, anda boleh menjimatkan tenaga sehingga 6 peratus," jelas Zul Azri.

Selain itu, penggunaan tingkap ketelusan rendah atau dengan memasang lapisan penapis di tingkap dan penebat di bumbung dapat mengurangkan penyerapan panas matahari, oleh itu membenarkan proses penyejukan berlaku dengan lebih cepat.

PENGGUNAAN PETI SEJUK

Bagi peti sejuk pula, peralatan ini memerlukan pengudaraan yang baik. Memberikan ruang yang wajar antara peti sejuk dan diding di sekelilingnya atau kabinet membolehkan aliran udara yang baik.

"Hari ini, ramai yang menempatkan peti sejuk mereka di ruang yang sempit di antara kabinet dapur. Ini mungkin nampak hebat tetapi ia tidak sesuai bagi alam sekitar memandangkan ia meningkatkan pembaziran tenaga," kata Zul Azri.

Pengudaraan yang kurang baik bermakna peti sejuk perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk penyejukan.

"Juga jangan biarkan pintu peti sejuk terbuka untuk tempoh yang lama dan pastikan pengedap pintu berada dalam keadaan yang baik," kata Zul Azri.

PROGRAM PENJIMATAN

Berita baik bagi para pelanggan. Kerajaan kini menawarkan baucar sehingga RM200 kepada semua warganegara bagi setiap pembelian peti sejuk dan pendingin hawa yang disahkan cekap dari segi penggunaan tenaga di bawah program Kelestarian Tercapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE).

Satu ganjaran lebih kurang sama juga ditawarkan kepada syarikat-syarikat swasta untuk menggantikan penyejuk yang berusia 10 tahun atau lebih yang digunakan untuk mendingin hawa di bangunan-bangunan komersial.

Dilancarkan pada Julai 2011, program ini menawarkan 165,000 baucar rebat daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).

Sehingga hari ini, hampir 125,000 pembeli telah menikmati rebat sebanyak RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi pendingin hawa bersama penarafan lima bintang bagi kecekapan tenaga seperti yang disahkan oleh EC.

Penolong Pengarah Kecekapan Tenaga bagi Seda Muhammad Hafiz Azizan menekankan bahawa objektif program ini adalah untuk mempercepat transformasi pasaran peralatan elektrik pengguna dan meningkatkan penguasaan model-model cekap tenaga di pasaran.

"Para pembeli boleh log ke laman web kami di http://www.saveenergy.gov.my, dan cetak baucar sebelum membuat pembelian dan terus nikmati rebat," katanya.

Para pembeli boleh mencari peralatan-peralatan cekap tenaga dalam senarai yang disediakan di laman web ini. Atau secara alternatif mereka boleh cari peralatan dengan pelekat merah 'energy efficient' (cekap tenaga) di peranti-peranti yang dijual oleh kedai-kedai elektrik.

Muhammad berharap supaya orang ramai akan menghulurkan sokongan kepada program ini dengan mendapatkan baucar yang masih terdapat.

Menurut laman web itu, Program SAVE akan berakhir apabila kesemua baucar itu telah digunakan ataupun notis dikeluarkan akan penamatan tawaran rebat itu, yang mana dahulu.

-- BERNAMA

27 June 2012

Menjejak Kaki Di Menara Gading Proses Bantu Kematangan

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Inilah musimnya - antara akhir Mei hingga awal Jun - setiap tahun, pelajar mula mendaftar diri di pelbagai kursus peringkat diploma di sebuah universiti awam yang mempunyai kampus cawangan di setiap negeri di seluruh negara.

Mulai 2 Jun tahun ini, pelajar yang kebanyakannya datang dari kampung serta kawasan luar bandar akan meninggalkan keselesaan yang mereka nikmati di rumah.

Mereka juga meninggalkan suasana kehidupan bersama ibu bapa serta keluarga untuk kali pertama di mana mereka akan menghadapi pelbagai rasa sebak termasuk rasa rindu pada kampung halaman.

Tetapi inilah pentas dunia yang harus ditempuhi setiap pelajar dalam usaha mereka mengejar cita-cita di menara gading dan masa inilah mereka sebenarnya mengorak langkah untuk berdikari dan mencapai kematangan, menurut pensyarah Sains Kemanusiaan Amin Iskandar.

"Tahun pertama di universiti adalah masa transisi atau peredaran bila seorang anak berpisah dari ibu dan bapanya tetapi ini bukannya satu situasi di mana perhubungan antara si anak dan ibu bapa putus tiba-tiba," katanya kepada penulis.

"Tidak salah jika terasa begitu rapat dengan ibu dan bapa bahkan ia perkara biasa jika bila berada di kolej penginapan di kampus dan teringatkan kampung halaman," kata beliau.

Menurut beliau, ia juga merupakan satu perkara biasa bagi pelajar yang baru saja menjejakkan kaki di menara gading menghubungi ibu bapa bila mereka rasa stres atau dibeban tekanan mental yang agak berat.

Amin menerangkan sedemikian tentang isu di mana pelajar baru universiti mengalami masalah rindu pada keluarga ketika baru menjejakkan kaki ke kampus. Baru-baru ini, pelajar baharu mula mendaftar ke universiti untuk sesi akademik tahun 2012/2013.

IKATAN KElUARGA

"Di tahun-tahun permulaan di universiti, kecenderungan untuk bergantung kepada ibu bapa dan adik-beradik adalah suatu yang sihat secara psikologi dan membantu remaja menjadi lebih matang, penyayang dan berkeyakinan.

"Ikatan keluarga yang kuat membantu remaja menjadi individu yang berdikari. Biasanya pelajar akan rasa lebih dekat dengan keluarga bila berjauhan dari rumah dan perhubungan sebeginilah yang akan menggamit rasa yakin dan bertanggungjawab," jelas pensyarah itu.

Menurut Amin, pelajar yang mempunyai asas kekeluargaan yang kukuh di rumah biasanya akan lebih mudah mendapat teman baharu selain mencapai keputusan akademik yang baik semasa berada di kampus dan mencapai satu kepuasan dengan kehidupannya.

Terang Amin lagi, pelajar yang ada rasa rindu kepada kampung halaman akan membuat panggilan telefon atau pulang ke rumah semasa cuti.

"Mereka akan lebih menyatakan rasa sayang terhadap keluarga serta berkomunikasi secara terbuka dan jujur tentang kehidupan di universiti".

Katanya bila remaja ini rasa stres atau menghadapi cabaran serta memerlukan satu keputusan dibuat, mereka akan berpaling kepada ibu bapa untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan.

"Ini tidak menggugat autonomi dan kebebasan hidup mereka," kata Amin.

HUBUNGAN HARMONI

Bagi Amin, hubungan harmoni antara anak dan ibu bapa akan menerbitkan perasaan kesejahteraan dalam aspek psikologi para mahasiswa.

"Bagi pelajar, mereka sedar dan percaya bahawa ibu bapa mahukan mereka jadi berdikari dan pada masa yang sama mereka rasa ibu bapa akan membantu bila sesuatu pertolongan diperlukan.

"Sebaliknya, pelajar yang rasa sepi dan tidak menerima sokongan dari keluarga akan kurang mempunyai keyakinan diri dan kurang keterampilan bila bersama dengan pelajar lain.

"Pelajar ini punya masalah berjauhan dari ibu bapa dan mereka sukar mencari teman baharu ketika berada di kampus," kata beliau.

Beliau berkata kebanyakan remaja tidak punya masalah bila meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

"Hanya sebanyak 20 peratus daripada remaja ini akan mengalami masalah dalam mencapai kematangan serta menjadi berdikari," katanya.

MENINGGALKAN RUMAH UNTUK KE UNIVERSITI

"Abang saya meninggalkan rumah pada Mei tahun 2010 bagi melanjutkan pelajaran dalam kursus ijazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sri Iskandar di Perak.

"Dia mengembara ke sebuah bandar baru, sebuah universiti yang dia tidak pernah sampai dan tinggal di asrama di mana dia terpaksa membuat kerja sendiri tanpa dibantu ibu dan ayah seperti mengemas bilik, membasuh baju dan mencari makanan sendiri.

"Tetapi dia telah mengajar saya, bahawa tahun pertama kehidupan di universiti bukan sahaja bermakna untuk melanjutkan pelajaran tetapi juga memulakan kehidupan terasing dari kepompong (rumah)," cerita Zaidatul Azreen yang baru menamatkan tahun pertama kursus diplomanya di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri iskandar.

Menurut Amin, meninggalkan rumah untuk ke universiti adalah antara langkah terakhir menghilangkan kebergantungan pada keluarga dan memulakan hidup berdikari.

"Ramai antara remaja rasa tertekan bila berjauhan dari keluarga tetapi bagi saya, ibu bapa serta anak-anak mereka tidak perlu bimbang terhadap perhubungan rapat ini," tambah beliau.

IBU BAPA

"Kalau anda seorang bapa atau ibu, beradalah di samping anak anda bila mereka memerlukan sokongan," nasihat Amin.

Beliau juga menyeru ibu bapa supaya memberi ruang dan masa untuk anak remaja mereka menyesuaikan diri kepada keperluan serta kehidupan baharu di kampus.

Menurut Amin, antara perkara yang dapat ibu bapa berikan kepada anak sewaktu mengucapkan selamat tinggal selepas menghantar anak itu di kampus adalah:

"Jaga diri kamu baik-baik, malah lebih baik daripada yang kami pernah buat untuk kamu."

-- BERNAMA

Sampah, Boleh Ke Tong Sampah Pukal?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian dua daripada rencana tiga siri megenai tentang sampah dan masyarakat Malaysia.

PETALING JAYA, 19 Jun (Bernama) -- Masalah kutipan sampah di kawasan perumahan di Selangor tidak lama dahulu menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kutipan dan pelupusan sampah domestik.

Dalam meningkatkan perkhidmatan, pihak-pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tambahan untuk memastikan kemelut itu tidak berulang.

Sebagai contoh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menempatkan tong-tong sampah pukal, bagi manfaat penduduk Subang Jaya.

Inisiatif ini bermula pada Januari 2012 dengan empat tong pukal diletakkan di kawasan USJ11 bersama poster-poster menunjukkan lokasi tong-tong ini terpampang di kejiranan itu.

Begitu juga di USJ2 dan beberapa kawasan berdekatan lain termasuk SS14, SS15 dan SS19. Sisa buangan dalam tong-tong pukal ini dikutip pada setiap Sabtu.

Bagaimanapun usaha pihak berkuasa ini mendapat sambutan dingin penduduk tempatan dan ini dapat dilihat daripada jumlah sampah yang kecil dikutip daripada tong-tong pukal ini.

MASALAH TONG SAMPAH DAN KUTIPAN SAMPAH

Kemampuan serta sumber-sumber pihak berkuasa yang terhad dalam menguruskan kutipan sampah, dan keengganan masyarakat untuk menghulurkan kerjasama, menjadi punca sampah bertimbun dan persekitaran dicemari bau busuk.

Sumber-sumber terhad turut menjadi punca, termasuk bilangan dan saiz tong sampah yang tidak memadai dan kedudukannya yang mengganggu keselesaan masyarakat.

Sampah yang terbiar dibimbangi akan memudaratkan kesihatan masyarakat setempat. Untuk menangani masalah ini, apa jua cara sekalipun perlu digunakan.

Penduduk di bangunan pangsapuri sekitar Ulu Kelang dan Puchong juga membuang sampah mereka yang diikat ke dalam beg-beg plastik ke dalam tong sampah pukal yang disediakan pihak pengurusan kawasan perumahan itu.

Di Ulu Kelang, satu tong sampah pukal disediakan untuk dua blok pangsapuri, manakala di Puchong pula satu tong sampah untuk tiga buah blok pangsapuri.

Seorang penduduk pangsapuri di Puchong mengeluh tong-tong kutipan pukal itu diletakkan di petak tempat letaka di dalam kawasan pangsapuri, bersebelahan dengan petak-petak letak kereta berpemilik, di kiri dan kanannya.

Sampah yang melimpah keluar serta bau busuk mengganggu keselesaan pemilik petak letak kereta itu.

Ada tong tetap mengundang masalah, tak ada tong pun ada masalah.

Sakini Mohd Said, penghuni sebuah unit pangsapuri di Ulu Kelang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jadual kutipan sampah di kawasannya.

"Ada kalanya sampah tidak dikutip sehingga seminggu lamanya. Itu yang membuatkan kami serumah tidak senang duduk bila melihat sampah yang bertimbun di dalam tong sampah pukal, dan baunya juga," jelas Sakini.

Adakalanya, sekumpulan babi hutan dilihat datang mencari makanan di sekitar kawasan tong sampah pukal itu, pada waktu malam dan awal pagi.

LANGKAH PROAKTIF

Akibat masalah kutipan sampah di negeri Selangor, pihak MPSJ telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah sampah dan kutipannya daripada berterusan.

Di kawasan perumahan termasuk di Subang Jaya biasanya, kutipan sampah dibuat secara berkala, tiga kali seminggu, sama ada pada Isnin, Rabu dan Jumaat atau Selasa, Khamis dan Sabtu.

Kutipan dijalankan secara konsisten tetapi adakalanya jika cuti umum jatuh pada hari kutipan itu, atau cuaca buruk melanda pada hari itu, kutipan akan ditunda.

Sehingga awal Jun 2012, lebih 600 kes sampah longgok (iaitu sampah selain sisa makanan atau sampah domestik yang turut diletakkan di luar rumah atau di bawah pokok dan di bahu jalan) yang diadukan kepada MPSJ, telah dapat diselesaikan.

Dan untuk mengelakkan masalah longgokan sampah dan sampah kebun tidak dikutip sehingga masalah timbunan pula berlaku, kekerapan mengutipnya telah ditambah.

Aduan bagi sampah domestik yang diterima tahun ini pula, hampir 1,400 manakala 230 aduan diterima untuk sampah kebun.

Sampah kebun merangkumi sampah daripada pemotongan dahan-dahan pokok yang lebih besar dan tidak dimasukkan ke dalam beg plastik.

Peratusan kes aduan yang dapat diselesaikan oleh MPSJ mencapai hampir 99 peratus, secara purata dan ini jelas memuaskan.

Setiap bulan, pihak MPSJ mengutip 1.5 juta tan sampah domestik manakala jumlah kutipan sampah longgok dan kebun ialah hampir 90 tan sebulan.

Saiz kawasan yang terletak di bawah penjagaan dan penyeliaan MPSJ hampir 162 km persegi.

Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi turut menyarankan masyarakat terus menggunakan saluran yang telah disediakan untuk mengadu tentang masalah sampah serta memberi apa-apa timbal balas mengenainya.

Talian-talian 03-8026-7431, 03-5637-6545 dan alamat emel di mpsj@mpsj.gov.my disediakan untuk orang awam menyampaikan aduan tentang sampah kepada pihak MPSJ.

-- BERNAMA

Milik Siapakah Longgokan Sampah Itu?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian pertama daripada rencana tiga siri mengenai pengurusan sisi pepejal dan sikap masyarakat Malaysia terhadap amalan pembuangan sampah yang betul.

PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Bau busuk sering kali menusuk deria bau orang ramai ketika melalui kawasan perumahan yang ramai penghuninya dan tapak perniagaan yang ramai pengunjung.

Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.

Masalah di taman perumahan ini sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik.

PERLU BERTANGGUNGJAWAB

Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan mengurangkan sisa buangan atau melupuskannya mengikut cara yang betul, dan apabila sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Sampah yang dibuang penghuni rumah kediaman dan peniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

"Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip. Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga," jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Penghuni turut boleh terus mengasingkan sampah mengikut warna beg kerana kemudahan mengitar semula dibolehkan serentak.

Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

"Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri dan penghuni mengambilnyaa semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan," jelas Aminah lagi.

TONG SAMPAH

Semasa penulis berusia 10 tahun dan baru berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1970an, pengalaman membuang sampah ke dalam tong sampah yang diletakkan di tempat awam di kawasan seksyen 14, Petaling Jaya menunjukkan ketiadaan tong sampah yang sempurna turut menyumbang kepada masalah itu.

Penulis teringat bila cuba membuang cawan kertas minuman ke dalam tong sampah kecil yang digantung di tepi jalan berhadapan beberapa buah kedai, ia terus jatuh ke lantai.

Rupa-rupanya tong sampah yang diletakkan pihak majlis bandaran ketika itu, berlubang di bahagian dasarnya kerana telah berkarat.

Seorang penghuni di Kelana Jaya mengeluh bahawa penutup tong sampahnya yang menampung sisa buangan lima sekeluarga telah dilenyek lori yang mengutip sampah.

"Sekarang tong sampah kami tidak boleh ditutup rapat. Tudung tong penyek dan pada sebelah malam kucing memasuki tong sampah untuk mencari makanan di dalam sampah yang dibuang itu. Saya tertekan melihat keadaan pada keesokan paginya," jelas Tengku Elisa Tengku Bustaman, bila ditanya tentang pengalamannya.

Sewaktu tinggal di Dammam, Arab Saudi dulu, menurutnya, tong sampah pukal diletakkan secara fizikal di hadapan beberapa buah rumah di kawasan kediamannya dan ia dikutip setiap dua hari sekali.

"Sistem kutipan di tempat tinggal saya itu memang cekap tapi di luar kawasan kediaman kami di Dammam itu, entahlah saya tak tahu sistemnya," jelas Tengku Elisa.

Walaupun sistem kutipan sampah diatur dengan baik, penghuni masih perlu membuang sampah mereka dengan teratur dan bersesuaian dengan kandungan sampah itu, baik yang pejal mahupun cecair.

PENCEROBOHAN HAIWAN

Sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah.

Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya.

Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

"Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar yang tidak bertuan pada waktu malam," luah S.Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Kereta-kereta yang melalui jalan itu akan melenyek sampah sarap yang bertaburan di atas jalan itu. Penulis pernah melihat jiran yang tidak sanggup melihat keadaan yang mencacatkan pemandangan itu, lalu membersihkan sendiri jalan raya di hadapan rumahnya.

Salahkah haiwan yang menceroboh sampah-sampah yang dibuang di luar tong sampah seperti ini?

Sebenarnya, mereka yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sebegini yang patut disalahkan .

Perbuatan meletakkan sampah di luar, menarik kedatangan haiwan dan angkara haiwan ini boleh dihindari jika sampah diikat rapi dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

Selain itu, apabila sampah itu tidak dikutip selama beberapa hari ia mula bertimbun.

DAPATKAN SATU

Setiap rumah teres atau berkembar dan banglo di kebanyakan kawasan perumahan dibina lengkap dengan sebuah ruang letak tong sampah di tembok pagar depan.

Ruang itu lengkap berpintu dan mudah untuk digunakan.

Penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah, dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84, bergantung kepada saiz, bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.

Tong sampah plastik dan bertutup yang boleh memuatkan sampah hampir 38 liter didapati berharga RM24.90 manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula, tidak melebih RM60 setiap satu.

"Tong sampah beroda yang besar untuk sampah seberat 120 liter dan berkualiti tinggi, harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan," jelas penjual sebuah kedai perkakasan, HaDIY di Taipan Business Center, USJ10.

Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk sampah atau tong sampah di dalam mahupun di luar kawasan rumah.

Hampir 30 buah rumah di dalam kategori ini meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar di jalanan.

Banyak juga pokok-pokok yang menjadi mangsa longgokan sampah kerana beg plastik berisi sampah digantungkan pada dahannya.

MENYUSAHKAN

"Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang saya tidak tahu siapa. Walaupun ia di luar pagar rumah saya, tapi tetap menyusahkan kerana saya selalu menyapu di luar untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Setiap kali saya memandu balik ke rumah, mata saya pasti melihat bahu jalan di tepi rumah. Ada longgokan buangan barukah?" cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya.

Sampah yang terlonggok termasuk timbunan ranting pokok, beg berisi rumput yang telah dipotong dan juga bungkusan yang berisi sampah isi rumah.

Kenapa agaknya penghuni kawasan perumahan hari ini lebih suka membuang di ruang terbuka yang terletak di depan atau tepi rumah orang lain?

"Agaknya, mereka tidak mahu mengotorkan kawasan rumah sendiri. Jadi kotorkan tempat orang lain. Ia menjadi beban bagi kita yang duduk berdekatan dengan sampah itu, perlu diadukan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini yang membuatkan saya rasa marah dan tertekan," jelas Siti yang baru bersara, dan amat mengutamakan kecantikan sekitar rumahnya selain kebersihan kawasan sekeliling.

Penghuni perlu lebih bertanggungjawab dalam melupuskan sampah masing-masing supaya ia tidak menyusahkan orang lain, baik baunya mahupun kewujudan fizikalnya.

Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain.

-- BERNAMA