Followers

Carian dalam Blog ini

23 September 2009

Rasuah dari kacamata Agama

Rasuah dari kaca mata agama

KETIKA mana rasuah itu berlaku? Jenayah rasuah itu benar-benar berlaku apabila ada orang yang memberi wang atau habuan lain dan ada pula orang yang mahu menerimanya dengan tujuan tertentu untuk kepentingan orang yang memberinya. Umpamanya si A memberi sejumlah wang kepada si B dengan tujuan si B mengundi si A. Apabila tiba masa mengundi, si B benar-benar mengundi si A. Mengikut hukum adat yang memberi itu bersalah dan dijatuhkan hukuman. Adapun hukum Allah kedua-dua mereka iaitu yang memberi atau yang menerima bersalah dan tempatnya dalam neraka. Hadis Nabi Muhammad SAW dalam perkara ini sangatlah jelas kerana Rasulallah bersabda "Kedua-dua orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah dihumban masuk ke dalam neraka".
Proses menjatuhkan hukum di dunia ini melalui perbicaraan di mahkamah atau di kamar yang diberi kuasa untuk membicarakannya. Dalam perbicaraan itu mesti ada bukti dan saksi. Saksi dan bukti itulah menjadi asas hakim membuat keputusan mengikut undang-undang yang ada dalam negeri itu atau undang-undang dan peraturan yang ada dalam parti itu. Kadang-kadang orang yang bersalah itu boleh terlepas daripada hukuman kerana bukti tidak cukup atau kerana sebab teknikal.
Ada pun perbicaraan pada hari akhirat kelak, yang menjadi saksi ialah kaki dan tangannya kerana mulut telah dikunci rapat-rapat seperti tersebut dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: "Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberi tahu kami atas kesalahan masing-masing dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Inilah perbicaraan yang akan berlaku di Padang Mahsyar kelak. Satu perbicaraan yang sangat adil tanpa memerlukan peguam lagi.
Rasuah tidak berlaku, jika wang suapan itu tidak sampai kepada tujuan orang yang memberi. Umpamanya si A memberi wang suapan kepada si B tetapi si B tidak juga mengundi si A. Si B beranggapan wang yang diberi itu sebagai derma atau sedekah jariah sahaja kepadanya. Wang yang diberi itu diambil tetapi apabila sampai pada hari mengundi, si B akan mengundi sesiapa sahaja yang layak menduduki tempat yang terpilih itu.
Dalam minggu ini, ramai orang yang hendak mengetahui siapakah pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang. Yang hendak mengetahui itu bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga orang yang berada di luar UMNO sama ada pembangkang atau orang atas pagar. Perkara ini berlaku kerana BN yang bertunggakkan UMNO masih kuat dan sukar ditumbangkan.
Bolehkah UMNO yang bertunggakkan BN itu boleh ditumbangkan kerana gejala politik wang? Inilah perkara yang sangat dibimbangkan oleh bangsa Melayu hari ini. Jika ini berlaku, orang Melayu harus menerima hakikat bahawa Melayu akan hilang kuasanya di dunia ini kerana dipengaruhi oleh politik wang.
Jika UMNO mahu terus berkongsi kuasa dengan komponen parti dalam BN, maka gejala rasuah itu hendaklah dihalang dan disekat oleh mereka yang mewakili Bahagian UMNO dalam perhimpunan agung UMNO akhir bulan ini. Jika ada apa-apa usaha untuk menggagalkan lembaga disiplin UMNO menjalankan tugasnya, maka usaha itu hendaklah dicegah melalui nasihat yang baik dan berhikmah.
Apalah yang untung dengan satu ribu, jika selepas ini anda tidak lagi dipilih sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO? Perkara ini boleh berlaku kerana anda menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Perbuatan khianat itu boleh menghilangkan Melayu di dunia ini. Di akhirat kelak orang yang memberi dan menerima rasuah itu akan dicampak ke dalam neraka setelah selesai perbicaraan di Padang Mahsyar nanti.
Perkara ini termasuk dalam Rukun Iman. Percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada syurga dan neraka adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Mengapa kita mahu menggadaikan segala amalan kita dalam solat lima waktu dan solat Jumaat tetapi akhirnya dicampak ke dalam neraka kerana menerima suapan rasuah politik? Hukuman ini sangat adil kerana di akhirat kelak tangan yang menerima atau memberi suapan itu sendiri menjadi saksi.
DATUK ABD. MANAF AHMAD
Ketua Penerangan
MUBARAK Malaysia.

No comments: