Followers
Carian dalam Blog ini
29 December 2010
Tahniah Rimau Malaya
Setelah berhempas pulas
menyerang hendap
dalam senyap
kau membenam taring
ketangkasanmu mengelak sambaran garuda
menangkis cakaran
mematahkan paruh patukan
akhirnya garuda kecundang jua
kukunya kau patahkan
terima kasih
bawa pulang
maruah piala kemenangan
ke bumi Malaya.
CNM, 29/12/2010, 22.39 pm
Amukan Garuda
Setelah tiga biji telur dipecahkan
hati-hatilah rimau Malaya
garuda pasti cuba mencabut taringmu
sayapnya pasti menebarkan kekuatan
paruhnya pasti memagut keras
kuku yang tertinggal pasti mencakar kasar
nantikan terjahan dengan lompat tangkasmu
serangan hendap yang senyap
pantas, tangkas itulah senjatamu
jangan biarkan garuda meluka wajah
kerana luka itu pasti merencat gerak
tunjukkan taringmu masih berbisa
membaham apa saja bagai singa kelaparan
membenam musuh dengan gagah bermaruah
bukan seperti kata orang rimau tak berkuku
hebat mengaum cengkaman sudah lemah
bawa pulang daging kemenangan
bersama kuku garuda yang telah kau patahkan.
CNM, 28.12.2010, 17.40 pm
Rimba lara
Rimba lara
Rimba yang gelita
membutakan mata penuh hiba
menanti penuh setia
mengharap datangnya pembawa berita
berteduh di silara pohon cemara
membisikan seribu kata
tiada dusta
tiada cerca
lalu menyinar cahaya
membuka buta mata
di kelopak sengsara.
CNM, 26/12/2010, 22.30 pm
27 December 2010
Beralih dekad
Beralih dekad
Sedar tak sedar
sudah di hujung dekad
apakah tercapai tekad?
sepuluh tahun berlalu
kita semakin maju?
atau ditakat itu?
renung-renungkan sahabatku
bertindak jitu
mengubah perilaku
ke arah yang bermutu
direstu
Tuhan yang satu.
CNM, 26/12/2010, 11.21 am
Tragedi 26 Disember
Tragedi 26 Disember
Seringkali mencengkam jiwa
trauma berganda
hilang keluarga
sanak saudara
ombak pembinasa
menerjah meragut nyawa
membunuh tanpa pusara
huru hara
apa dosa?
bencana tak disangka
takdir yang Esa
subhanallah.
CNM, 25/12/2010, 18.44 pm
Hari ini hari Sabtu esok hari Ahad
Hari ini hari Sabtu esok hari Ahad
Hari ini hari Sabtu
esok hari Ahad
banyakkan baca buku
ilmu kekal berabad.
Hari ini hari Sabtu
esok hari Ahad
tuntutlah segala ilmu
sehingga ke liang lahad.
Hari ini hari Sabtu
esok hari Ahad
kuatkan iman kamu
jangan takut nak berjihad.
Hari ini hari Sabtu
esok hari Ahad
Tuhan kita satu
mengurnia tanpa had.
Hari ini hari Sabtu
esok hari Ahad
kita perlu bersatu padu
bulatkan semua tekad.
CNM, 25/12/2010, 7.23 am
Tak bisa
Tak bisa
Tak bisa menuruti
menuruti langkah yang kian jauh
jauh tergelincir dari landasan
landasan yang tak mungkin bercantum
bercantum pada satu titik persamaan
persamaan yang sepatutnya telah lama terjelma
terjelma dalam hidup kita
kita yang tentukan hala tuju
tuju ke haluan yang berpaksi
berpaksi Al-Quran dan As-Sunnah.
CNM, 24/12/2010, 23.00 pm
Tak perlu mengubah
Tak perlu mengubah
Tak perlu mengubah
terus saja dengan tabah
apa hendak diendah
kepada kerenah yang memuntah
itu semua anggap macam antah
dalam kehidupan pasti ada yang tak berfaedah
usah gundah
mainkan peranan yang diamanah
jayakan perancangan yang digubah
strategi dilaksana perlu berarah
InsyaAllah
tak perlu mengubah.
CNM, 24/12/2010, 15.26 pm