Followers

Carian dalam Blog ini

05 December 2010

Pendekatan Agama Untuk Tangani Gejala Sosial

03 Disember, 2010 16:00 PM

Pendekatan Agama Untuk Tangani Gejala Sosial

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Gejala sosial seperti perjudian, pengambilan arak, dadah, pelacuran dan rasuah bukan masalah baru dan bukan sahaja dialami masyarakat di Malaysia.

Ia sebenarnya berlaku lama dalam sejarah dan dihadapi oleh masyarakat manusia yang menganuti pelbagai agama serta kepercayaan.

Memandangkan kemelut gejala ini semakin meningkat dan dibimbangi akan membawa kepada keruntuhan peradaban, langkah segera perlu difikirkan dengan memberi penekanan kepada pendekatan agama.

Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabat Ikim di sini baru-baru ini memberitahu bahawa pendekatan agama boleh memberi kesan yang lebih besar dalam menangani kemelut gejala sosial.

PENTINGNYA KEFAHAMAN

"Agama itu penting dan rakyat Malaysia mendukung agama. Malahan ini disebut dalam Rukun Nnegara kita iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

"Bagaimanapun, pendekatan agama bukan bererti hukuman semata-mata tetapi lebih kepada kefahaman melalui pendidikan.

"Kalaulah masyarakat kita faham tentang agama, yang Islamnya lebih menghayati Islam dan yang bukan Islam kepada agama masing-masing, sudah tentu kita dapat setidak-tidaknya mengurangkan perangkaan gejala sosial ini daripada terus meningkat," tegas Nik Mustapha.

Dengan merujuk kepada agama Islam, beliau turut berpandangan seruan mengajak masyarakat kembali kepada Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W jangan sekadar bersifat retorik dan slogan.

"Kita perlu menyakinkan mereka melalui kefahaman dan keintelektualan kita. Barulah kita boleh berhujah secara ilmiah," jelasnya.

AMBANG KERUNTUHAN

Nik Mustapha pantas merujuk kepada peradaban masyarakat manusia di peringkat antarabangsa di mana katanya kini berada di ambang keruntuhan.

Mengambil contoh Eropah dan Amerika Syarikat, beliau turut menyentuh isu kegawatan ekonomi yang semakin tenat yang turut memberi tamparan hebat kepada negara-negara lain dunia.

"Di Eropah satu demi satu ekonomi negara mereka menghadapi masalah, ada negara menjadi muflis. Amerika Syarikat sendiri menanggung hutang begitu banyak lebih daripada 50 trilion dolar.

"Bukan sahaja ekonomi runtuh tetapi institusi rumah tangga runtuh, perkahwinan ditolak dan bersekedudukan tanpa perkahwinan berleluasa.

"Ini hasilnya apabila masyarakat berpendapat cukup dengan kemampuan akal sehingga manusia merasai tidak perlu kepada petunjuk Ilahi," tegas Nik Mustapha.

KOS EKONOMI

Perlu juga diingat bahawa gejala sosial bukan setakat melibatkan kos akhlak tetapi turut mempunyai implikasi ekonomi!

Seperti yang dijelaskan Ketua Pengarah Ikim, sudah tiba masanya untuk semua pihak memandang serius ancaman gejala sosial ini yang jika tidak dibendung boleh merencat dan membantutkan usaha pembangunan negara.

"Kalau tidak apa ertinya pertumbuhan ekonomi? Kita tidak akan mampu meneruskan pencapaian jika gejala sosial menghala kepada wujudnya ahli masyarakat yang tidak berfungsi?

"Contoh, penagih dadah yang perlu menjalani pemulihan di pusat serenti. Kos untuk mengendalikan pusat ini ditanggung kita pembayar cukai.

"Jika ramai yang duduk di pusat-pusat pemulihan seperti ini kita secara tidak langsung kerugian tenaga pekerja.

"Ekonomi tidak boleh maju kalau anak kita tidak boleh berfungsi. Malahan bukan sahaja dia tidak boleh berfungsi kita kena biayai kos pemulihan mereka. Bagaimana pula mereka yang ketagihan arak dan judi?" soal Nik Mustapha.

INSTITUSI KELUARGA

Institusi rumah tangga adalah sinonim kepada kewujudan peradaban. Institusi keluarga juga sering dikaitkan sebagai punca kepada berlakunya gejala sosial.

Menurut Nik Mustapha, satu daripada punca gejala sosial dalam kalangan anak-anak ialah tiada didikan dan kasih sayang ibu bapa.

Sebagai contoh, katanya, ada anak-anak yang terjebak dengan penyalahgunaan najis dadah disebabkan oleh ketandusan kasih sayang ibu bapa dan salah pilih kawan.

"Ibu bapa tidak berkawan dengan anak-anak mereka seperti yang dianjurkan oleh agama sehingga mereka mencari kawan di luar," katanya.

Ketua pengarah Ikim itu kemudian memberi contoh cara mendidik anak seperti yang dianjurkan Saidina Ali Abi Talib, iaitu khalifah keempat Islam.

"Saidina Ali berkata umur 7 tahun ke bawah bermainlah dengan anak-anak, dan belailah mereka dengan sepenuh kasih sayang. Selepas 7 tahun, kita tanamkan sedikit disiplin tetapi bukan bererti menghukum mereka dengan rotan."

Nik Mustapha menekankan:"Kita galakkan anak-anak 7 tahun ke atas bersolat. Lepas 10 tahun ada sedikit hukuman. Umur 14 tahun ke atas berkawanlah dengan anak-anak. Maknanya kalau anak suka bermain tenis, kita patut bermain dengan mereka.

"Kalau tidak bertenaga untuk bermain sekurang-kurangnya kita mengambil tahu tentang permainan ini, siapa pemain-pemain hebat sebagai contoh. Jadi kita mampu berkomunikasi dengan anak-anak.

"Pandangan Saidinia Ali ini sudah pasti pancaran daripada pemahaman Al Quran dan Sunnah," kata Nik Mustapha sambil menambah kata ibu bapa juga perlu meluangkan masa makan bersama anak-anak yang boleh mencambah kemesraan.

Menurut beliau, jika setiap ibu bapa memainkan peranan dan mendidik serta menjaga anak masing-masing, usaha berkenaan tidak mustahil boleh mengurangkan penularan gejala sosial.

ANTARA DESAKAN DAN RAKUS

Anak-anak mungkin tidak mendapat cukup kasih sayang kerana ibu atau bapa mereka terpaksa melakukan banyak kerja untuk mencari wang lebih menampung kenaikan kos sara hidup.

Menurut Nik Mustapha, ada ibu atau bapa mungkin terpaksa melakukan dua atau tiga jenis pekerjaan demi menyara keperluan hidup keluarga.

Namun, katanya ada juga yang bekerja sehingga lewat malam kerana terlalu rakus kepada kebendaan dan kemewahan hidup.

"Orang seperti ini hidup hanya untuk mengumpul harta bagi memuaskan tuntutan hawa nafsu.

"Lihat masyarakat Jepun, mereka sedang menghadapi masalah sekarang. Walaupun masyarakatnya ada kelebihan, berdisiplin tinggi, berjiwa besar tetapi disebabkan hidup bermewah-mewahan, ia membawa masalah lain iaitu berhutang.

"Sekarang ada ramai rakyat Jepun hidup di bawah khemah," kata Nik Mustapha.

"Di Barat perkara yang sama berlaku. Sebahagian hidup masyarakat di sana mengamalkan pandangan hidup sekularisme. Mereka mungkin beragama kristian tetapi kristian tidak menjadi panduan hidup mereka. Yang menjadi panduan hidup mereka ialah kapitalisme semata-mata," katanya.

ORANG BERADA

Apa yang pasti ialah gejala sosial turut melibatkan orang yang berada dan tidak semestinya orang tidak berada semata-mata.

Di dalam hal ini, Nik Mustapha turut menegur ibu bapa yang langsung tidak meluangkan masa untuk anak-anak mereka dan beranggapan kasih sayang boleh ditukar dengan wang ringgit.

"Ada ibu bapa yang kalau anak mereka ada masalah bagi kad kredit. Itu bukan penyelesaiannya.

"Di sinilah kita perlu melihat penyusunan masyarakat dari pelbagai aspek.

"Jangan kita hanya mengejar pertumbuhan ekonomi dan mengabaikan asas-asas yang penting kepada pembangunan sebuah masyarakat seperti keutuhan institusi rumah tangga," tambahnya.

SEMINAR IKIM

Sebagai satu usaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada gejala sosial yang semakin membimbangkan, Ikim sebagai sekretariat kepada jawatankuasa mempromosi perhubungan antara agama dalam negara akan menganjurkan satu seminar pada 8 dan 9 Disember depan.

Seminar dua hari itu bertajuk "Peranan Agama Dalam Menangani Gejala Sosial".

Menurut Nik Mustapha, Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dijadual merasmi dan menyampaikan ucap utama bertajuk "Ke Arah Pembinaan Sebuah Negara Bangsa Muhibah."

Seminar itu, kata Nik Mustapha juga akan mengumpulkan pakar rujuk dari semua agama untuk berbincang secara terbuka mengenai masalah sosial yang sedang melanda masyarakat negara ini.

Sebanyak 14 buah kertas kerja dijangka dibentang pada seminar dua hari itu.

BANGUN MASYARAKAT

Nik Mustapha berkata antara tujuan seminar ialah untuk melihat masalah gejala sosial dari perspektif agama dan mengenal pasti saranan bagi menangani masalah itu.

"Saya percaya semua agama menolak perbuatan yang tidak betul, jadi mengapa kita tidak mengembleng tenaga dan kita sebagai penganut agama Islam patut lebih berperanan memainkan tugas itu.

"Ini kerana Islam adalah agama untuk seluruh manusia bukan untuk orang Islam sahaja," kata Nik Mustapha.

Ikim juga, katanya berharap seminar itu dapat memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman mengenai agama yang mereka anuti serta agama-agama lain di Malaysia.

"Matlamat kita ialah mahu menyusun dan membangun masyarakat Malaysia sehingga wujud sebuah peradaban yang utuh.

"Kita mahu masyarakat yang berperadaban, masyarakat yang menolak penyalah gunaan kuasa, berbudi luhur, menolak rasuah dan menolak penglibatan yang menjana kepada gejala sosial.

"InsyaAllah barulah masyarakat boleh menjulang peradaban tinggi dan membawa negara kepada mercu kejayaan," kata Nik Mustapha.

No comments: