Abu Bakar Bin Yang
Pegawai Penyelidik
14/08/2002 Artikel Bahasa Malaysia
Sumbangan besar air terhadap produktiviti ekonomi dan kehidupan harian jarang dihargai walaupun semua kegiatan sosial dan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air. Dengan pertambahan penduduk serta kegiatan ekonomi, banyak negara menghadapi masalah kekurangan bekalan air atau menghadapi pembangunan ekonomi yang sudah hampir batasannya. Permintaan bekalan air semakin pesat bertambah sejak 10 tahun yang lalu dengan kadar 70?80 peratus diperlukan untuk penyaliran, kurang daripada 20 peratus untuk perindustrian dan 6 peratus untuk kegunaan domestik. Satu pengurusan menyeluruh bagi air sebagai satu sumber terhad dan terancam dan persepaduan di antara rancangan sektor air dengan program dalam rangka dasar sosial dan ekonomi nasional adalah amat penting terutamanya dalam abad ke 21 ini.
Penilaian terhadap sumber air yang sedia ada juga adalah amat penting bagi meneruskan kelangsungan kehidupan manusia. Penilaian sumber air termasuklah mengenalpasti sumber berpotensi bagi bekalan air tawar, yang merangkumi penerusan kerja mengenalpasti sumber, pergantungan dan kualiti sumber air serta aktiviti manusia yang memberi kesan kepada sumber air itu sendiri. Penilaian begini merupakan asas praktikal bagi pemuliharaan berterusan dan satu keperluan permulaan bagi penilaian kemungkinan untuk pembangunan. Walau bagaimanapun pada masa di mana maklumat mengenai sumber air yang lebih jitu dan boleh dipercayai amat diperlukan, keprihatinan terhadap kekurangan khidmat hidrologi dan badan lain yang berkaitan semakin meningkat terutamanya maklumat mengenai kualiti air dan air bawah tanah.
Objektif menilai sumber air adalah untuk memastikan kuantiti dan kualiti sumber air yang mencukupi, menganggarkan jumlah kuantiti sumber air yang masih ada dan potensi bekalan di masa hadapan, menentukan status kualiti masa kini, meramalkan persaingan antara permintaan dan bekalan serta untuk mengadakan pangkalan data saintifik bagi penggunaan sumber air secara rasional.
Kepentingan air dalam kehidupan manusia telah dinyatakan oleh Allah dalam al Quran:
"Apakah kamu tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturNya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian ditumbuhkanNya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya'.."
Surah az Zumar : 21
Air adalah sumber bersama. Pembangunan jangkapanjang bagi air memerlukan pengurusan sumber yang menyeluruh. Masalah besar yang memberi kesan terhadap kualiti air timbul mengikut kepentingan bagi keadaan yang berbeza iaitu dari kumbahan domestik yang tidak terolah dengan sempurna, pelepasan effluen dari industri yang tidak, kehilangan dan kerosakan kawasan tadahan, penempatan kawasan perindustrian yang tidak dibuat dengan betul, kehilangan hutan, pertanian pindah yang tidak terkawal dan amalan pertanian yang buruk. Ini menyebabkan nutrien dan racun serangga melarut resap. Ekosistem akuatik terganggu dan sumber kehidupan air terancam. Di dalam keadaan tertentu, ekosistem akuatik juga mendapat kesan dari projek pembangunan pertanian sumber air seperti empangan, lencongan sungai, skim pemasangan dan penyaliran air. Hakisan, pemendapan, kehilangan hutan dan penggunaan telah menyebabkan peningkatan susutan tanah dan menyebabkan kesan buruk terhadap ekosistem. Banyak dari masalah ini timbul dari model pembangunan yang merosakkan alam sekitar dan kurangnya kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan air. Kesan yang boleh diukur ialah kesan ekologi dan kesihatan manusia. Kaedah pencegahan amat perlu bagi mengelakkan kos yang tinggi berikutan langkah bagi membaikpulih sumber air yang rosak, mengolah dan membangunkan bekalan air baru.
Terdapat beberapa langkah yang boleh dibuat bagi menyepadukan elemen kualiti air ke dalam pemuliharaan sumber air,
a. Penyelenggaraan persepaduan ekosistem, mengikut perinsip-prinsip pemuliharaan bagi pengekalan ekosistem akuatik termasuk sumber kehidupan dan memelihara ekosistem dengan berkesan dari sebarang bentuk susutan;
b. Pemeliharaan kesihatan orang awam, iaitu satu tugas yang memerlukan bukan hanya membekalkan bekalan air minuman yang selamat tetapi juga pengawalan vektor penyakit di dalam alam persekitaran akuatik;
c. Pembangunan sumber manusia yang menjadi kunci kepada peningkatan keupayaan dan satu keperluan awal bagi melaksanakan pengurusan kualiti air.
Pemeliharaan berkesan sumber air dan ekosistem dari pencemaran memerlukan peningkatan keupayaan sedia ada bagi kebanyakan negeri. Program?program pemuliharaan kualiti air memerlukan keperluan minima infrastruktur untuk mengenalpasti dan melaksanakan penyelesaian teknikal dan untuk menguatkuasakan tindakan peraturan. Salah satu masalah pada hari ini dan pada masa hadapan ialah operasi dan penyelenggaraan kemudahan secara berterusan.
Air Sebagai Sumber Minuman
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tanpa air pincanglah kehidupan manusia dan hidupan lain. Di dalam aktiviti seharian, air menjadi sumber minuman yang utama bagi membekalkan tenaga. Air yang bersih perlu bagi memantapkan lagi sistem pertahanan badan. Sumber air tawar yang bersih untuk digunakan oleh manusia terutamanya untuk minuman telah dijelaskan oleh Allah dalam al Quran:
"Dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air yang tawar."
Surah al Mursalaat : 27
Bekalan air yang selamat dan sanitasi amat penting bagi pemuliharaan alam sekitar, dan meningkatkan tahap kesihatan. Bekalan air bersih dan selamat amat penting kepada semua aktiviti kehidupan manusia. Satu anggaran sebanyak 80 peratus dari semua penyakit dan lebih dari satu pertiga kematian di dunia ini disebabkan oleh pengambilan air tercemar. Usaha gigih yang bermula pada tahun 1980an telah membawa perkhidmatan air dan sanitasi kepada beratus juta penduduk dunia termiskin. Antara usaha?usaha ini yang terunggul ialah pelancaran Abad Sanitasi dan Bekalan air minuman antarabangsa pada tahun 1981, yang menghasilkan Plan Tindakan Mar del Plata yang dipakai oleh Persidangan Air Bangsa?Bangsa Bersatu. Sasaran bagi usaha seterusnya ialah membekalkan bekalan air minuman dan sanitasi untuk kawasan bandar yang tidak mendapat bekalan sempurna terutamanya di kawasan perkampungan, tetapi matlamat yang dicapai masih tidak mencukupi. Satu dalam tiga orang dalam negara sedang membangun masih kekurangan dua keperluan asas iaitu kesihatan dan taraf hidup yang baik. Adalah juga diiktiraf bahawa buangan manusia dan kumbahan adalah antara penyebab utama kemerosotan kualiti air di negara membangun. Kepentingan memiliki dan menggunakan sumber air yang bersih juga telah dinyatakan oleh Allah dalam al Quran:
"Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan), dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih."
Surah al Furqan : 48
Pengalaman masa lampau telah menunjukkan bahawa sasaran spesifik patut ditetapkan oleh setiap negara individu. Di 'World Summit for Children' pada bulan September tahun 1990, ketua?ketua negara atau Kerajaan telah di seru supaya sepakat bagi bekalan air dan sanitasi dan pembasmian penyakit cacing guinea sebelum tahun 1995. Satu strategi yang realistik untuk memenuhi keperluan semasa dan masa akan datang ialah dengan membangunkan perkhidmatan kos rendah tetapi mencukupi yang boleh dilaksanakan berterusan di peringkat masyarakat.
Sungai : Sumber Air Yang DiCemari
Pada 1992, wang sebanyak RM7 juta setahun digunakan untuk menanggung kos memungut sampah yang terletak di Sungai Klang dan dari beberapa batang anak sungai yang masuk ke laluannya. Wang itu juga dibelanjakan untuk mengeluarkan kelodak dan mendapan tanah daripada hakisan yang terhasil akibat pembangunan tidak terancang di sepanjang laluan sungai itu.
Perbelanjaan sebesar itu bagi mengurus Sungai Klang bukanlah satu angka yang menghairankan. Ini kerana, jumlah sampah atau istilahnya sisa pepejal yang dikeluarkan dari Sungai Klang terlalu tinggi iaitu 50 tan sehari dan jenis sampah yang dipungut pula pelbagai, daripada sekecil-kecil benda hinggalah kepada sebesar-besar barang termasuk peti sejuk, sisa binaan, katil, tilam dan juga kereta buruk.
Sampah sarap yang dikutip itu bukan hanya dibawa oleh arus Sungai Klang tetapi dari semua longkang dan parit yang ada di seluruh Lembah Klang. Mendapan dan kelodak yang mengalir ke dalam Sungai Klang pula dianggarkan berjumlah 1.2 juta tan setahun.
Sungai adalah antara nikmat alam yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Seorang pujangga pernah berkata, "Alam ini bukan kita warisi daripada nenek moyang tetapi ianya kita pinjam daripada anak-anak masa depan." Semua orang tahu sungai yang bersih boleh menyumbang ke arah kegiatan ekonomi, aktiviti riadah, industri pelancongan dan keharmonian alam sekitar. Sungai yang bersih menjadi hidup kerana ia berfungsi. Sungai yang tidak dapat menjalankan peranannya sebagai sungai boleh diibaratkan telah mati. Mahukah kita memanggilnya sungai sedangkan ia tidak lebih seperti longkang yang airnya mengalir lesu, coklat dan berbau? Allah telah menganugerahkan sungai kepada manusia untuk pelbagai faedah sebagaimana firmanNya dalam al Quran:
"Allahlah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu, dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu, supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendakNya, dan Dia telah menundukkan pula bagimu sungai-sungai."
Surah Ibrahim : 32
Purata 50 hingga 60 tan sampah sarap (atau sisa pepejal) dikutip di Sungai Klang setiap hari. Selepas hujan tidak mustahil sejumlah 80 tan sampah sarap dapat dikutip daripada perangkap sampah sepanjang Sungai Klang dan anak sungainya. Keadaan sampah sarap hanyut dan terkumpul di sungai berlaku di seluruh negara, lebih-lebih lagi di kawasan penempatan penduduk seperti di bandar dan kawasan perumahan. Program pembersihan sungai dilihat sebagai satu jalan penyelesaian masalah kutipan sisa pepejal secara menyeluruh dan penyelesaian daripada puncanya.
Antara tindakan jangka pendek yang dicadangkan ialah 'Kempen Cintailah Sungai' dan 'Minggu Gotong Royong' seluruh negara dan pembinaan perangkap sampah sarap bersesuaian di tempat strategik di sungai, parit dan longkang.
Persekitaran sungai yang kemas dan cantik boleh mewujudkan kawasan riadah yang sihat dan menarik. Program pengindahan sungai perlu digandingkan dengan pelaksanaan landskap yang indah dan bersesuaian dengan unsur alam dan tradisi setempat supaya suasana yang tercipta menjadi serasi dan mesra dengan alam persekitaran. Dengan itu kawasan berkenaan akan menjadi tumpuan dan kebanggaan penduduk setempat dan terus dipelihara untuk keperluan bersama.
Penutup
Dengan kesedaran bahawa air merupakan sumber yang sangat sensitif kepada pencemaran, maka wajar bagi kita mengambil inisiatif yang perlu bagi menangani sebarang permasalahan yang dihadapi. Salah satu daripada strategi penting bagi memastikan sumber air dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan kesedaran dan kecintaan penduduk negara ini terhadap alam sekitar. Dengan pelbagai usaha yang dijalankan seperti kempen 'cintai sungai kita', dan usaha-usaha menerusi media cetak dan elektronik, kita semua perlu disedarkan tentang hubungan akrab antara manusia, alam sekitar dan juga Allah s.w.t. Walaupun keadaan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar terutamanya sumber air yang unggul masih belum tercapai, namun kita tidak boleh berputus asa daripada terus berusaha. Nasib generasi akan datang terletak di tangan kita.
No comments:
Post a Comment