Followers

Carian dalam Blog ini

12 January 2010

Tangani Perubahan Iklim


Kurangkan Pencemaran Asap Tangani Perubahan Iklim

Sambutan baik masyarakat terhadap dua kempen yang telah dianjurkan serentak oleh Jabatan Alam Sekitar Sabah sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) 2009 yang bertemakan "Bumi Memerlukan Anda dan Bersama Kita Menangani Perubahan Iklim" merupakan satu petanda positif menggambarkan tahap keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar semakin meningkat. Kempen tersebut iaitu "Kempen Udara Bersih Untuk Bandar Raya" dan "Kempen Pemeriksaan Asap Kenderaan Tanpa Saman" merupakan satu usaha murni yang perlu dicontohi oleh setiap negeri bagi mengajak setiap lapisan masyarakat bersama-sama menangani ancaman pencemaran asap akibat daripada penggunaan kenderaan bermotor yang semakin meningkat saban tahun.

Statistik peningkatan jumlah kenderaan bermotor yang berdaftar di Malaysia kepada 17 juta pada tahun 2008 berbanding 14 juta pada tahun 2004 merupakan satu skala peningkatan yang agak besar dan drastik jika dibandingkan dengan saiz negara dan penduduk yang hanya dianggarkan berjumlah 26 juta sahaja pada tahun tersebut. Melihat kepada senario perkembangan jumlah kenderaan bermotor untuk tempoh tersebut, ia cukup membimbangkan jika kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh alam sekitar diambil kira. Ini memandangkan asap kenderaan bermotor seperti kereta, motosikal, bas, lori, kereta api dan sebagainya merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran udara.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal lebih-lebih lagi apabila setiap pergerakan kenderaan bermotor memerlukan penggunaan tenaga yang sangat banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil. Pembakaran tersebut seterusnya menghasilkan asap dan bunyi bising yang sekaligus membawa kesan negatif bukan sahaja terhadap kualiti udara bahkan juga kepada persekitaran setempat. Jika situasi peningkatan jumlah kenderaan bermotor setiap tahun dibiarkan secara berterusan tanpa adanya langkah proaktif oleh pihak-pihak tertentu dalam menyebarkan maklumat bagi meningkatkan pengetahuan dan tahap kesedaran masyarakat berhubung penyelenggaraan kenderaan, pastinya masalah pencemaran asap yang sedia ada akan bertambah meruncing dan akan memberi dampak yang lebih buruk lagi kepada alam sekitar.

Pendekatan yang diambil oleh kerajaan Sabah sempena kempen tersebut dengan memberi peluang kepada masyarakat setempat menguji kenderaan bagi menentukan sama ada tahap pengeluaran asap kenderaan mereka melebihi kandungan yang telah ditetapkan ataupun sebaliknya dapat membantu meningkatkan tahap kefahaman masyarakat terhadap aspek penyelenggaraan kenderaan yang betul bagi mengelakkan pembebasan asap secara berlebihan ke udara. Kempen-kempen seumpama itu merupakan satu inisiatif yang baik dalam mendidik masyarakat agar prihatin berhubung aspek penyelenggaraan kenderaan dan menjadikannya sebagai satu budaya hidup agar masalah pencemaran asap dan pembebasan gas karbon dioksida dapat dikawal dan diminimumkan. Malah usaha-usaha sedemikian juga dapat membantu membenih dan menyemai semangat kecintaan terhadap alam sekitar di kalangan seluruh anggota masyarakat.

Namun persoalan yang sering timbul, adakah hanya dengan satu atau dua kempen sahaja sudah memadai untuk mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap kebersihan alam sekitar? Pastinya rata-rata di antara kita sedia maklum bahawa sikap segelintir masyarakat kita yang mempunyai semangat berkobar-kobar hanya sepanjang tempoh penganjuran sesuatu kempen atau program sahaja, sebaliknya cepat pudar apabila sesuatu kempen yang dianjurkan telah tamat dan ditinggalkan. Sikap sedemikian bukan perkara baru dalam masyarakat kita, bahkan ia seakan sudah menjadi kelaziman kepada segelintir daripada kita yang hanya ibarat "hangat-hangat tahi ayam sahaja" dalam melaksanakan sesuatu perkara. Adakah kita ingin membiarkan sikap sedemikian terus membelenggu masyarakat kita? Pastinya kita sama sekali menjawab tidak. Oleh itu, apakah yang perlu kita lakukan dalam memastikan kesedaran yang disuntik akan sentiasa subur dan mekar dalam jiwa setiap lapisan masyarakat?

Pastinya jawapan mudah, kita sebagai individu terlebih dahulu perlu tetapkan tekad dan azam untuk terus menyokong dan menyumbang tenaga dalam memastikan setiap usaha pihak-pihak yang terbabit dalam memulihara dan melestarikan alam sekitar tidak menjadi sia-sia. Malah, kita sebagai individu juga perlu sedaya upaya berusaha menjadikan amalan menjaga dan menyelenggara kenderaan sebagai satu kemestian dan budaya hidup seharian agar pembebasan asap kenderaan sentiasa terkawal mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Jika kita sebagai individu tidak mempunyai iltizam yang kuat untuk sama-sama menyumbang ke arah itu, pastinya kempen-kempen yang dianjurkan tidak akan memberi sebarang makna kepada kita dan matlamat menangani masalah pencemaran alam sekitar akan terkubur begitu sahaja.
Dalam memastikan semangat kecintaan terhadap alam sekitar yang diterapkan sentiasa subur dan terus tersemai kukuh dalam jiwa setiap individu, kempen-kempen seumpama itu perlu diadakan secara berterusan dari masa ke semasa agar matlamat yang disasarkan dapat dicapai dengan jayanya. Malah ia juga perlu diperhebatkan lagi dengan mensasarkan bilangan pengguna yang lebih ramai tanpa mengira peringkat umur, misalnya dengan menganjurkan kempen secara bergerak untuk tempoh masa yang tertentu agar kesedaran mengenai aspek penjagaan dan penyelenggaraan kenderaaan dapat diterapkan sehingga ke akar umbi dalam memastikan matlamat menangani masalah pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim dapat direalisasikan. Malah, lebih berkesan lagi jika kempen-kempen seumpama itu diperluaskan ke sekolah-sekolah agar para pelajar dapat didedahkan berhubung aspek penjagaan kenderaan dengan lebih baik dan sewajarnya pada usia yang masih muda.
Selain daripada penganjuran kempen-kempen kesedaran yang giat, penguatkuasaan peraturan berhubung pelepasan asap hitam juga perlu dipertingkatkan, misalnya dengan mengenakan denda yang lebih tinggi daripada biasa kepada pemilik kenderaan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Pendekatan seumpama itu dilihat dapat memberi pengajaran yang berkesan kepada pemandu dan juga pemilik kenderaan agar lebih berwaspada dan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Dalam hal tersebut, pihak berkuasa juga seharusnya telus dan tidak berkompromi dengan mana-mana pengguna dan pemandu yang enggan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Dengan tindakan tegas yang dipraktikkan, pastinya ia dapat membantu menangani masalah pelepasan gas hitam secara menyeluruh.
Kerjasama yang padu daripada semua pihak dan segenap lapisan masyarakat juga adalah penting dan sangat perlu dalam memastikan matlamat mengurangkan pelepasan asap hitam dapat dicapai. Semua pihak perlu sedar bahawa tanggungjawab menjaga dan memulihara alam sekitar bukan terletak di bahu satu pihak sahaja, malah ia perlu dipikul oleh semua pihak. Matlamat mengurangkan pelepasan asap hitam tidak akan berkesan jika hanya seorang sahaja yang melakukannya. Walaupun mungkin tindakan menjaga dan menyelenggara kenderaan dengan baik merupakan satu tindakan yang nampak kecil sahaja pada pandangan mata kasar, namun ia mampu memberi impak yang besar kepada kepentingan alam sekitar.

Malah, sikap tidak mahu mengambil tahu dan hanya bergantung harap kepada orang lain semata-mata untuk melunaskan tanggungjawab alam sekitar juga perlu dielakkan, kerana sikap sedemikian akan hanya menjejaskan integriti alam sekitar yang seterusnya akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kepada pembangunan negara. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah diri dan mula mengubah sikap kita agar lebih prihatin terhadap masa depan alam sekitar kita demi melahirkan persekitaran yang bersih dan selamat untuk semua pihak. Jika matlamat pelepasan asap hitam yang mencemarkan udara dapat dikurangkan, pastinya masalah perubahan iklim dan pemanasan global juga dapat ditangani dengan jayanya.

Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik 12/08/2009

No comments: