Mohamad A'sim Bin Ismail Pegawai Penyelidik 08/07/2010 | Artikel Bahasa Malaysia |
Pada awal bulan Julai ini, sesi pendaftaran pelajar baru di Institut Pengajian Tinggi (IPT) rancak berjalan. Pemandangan mahasiswa baru sibuk memunggah barang, membawa timba bekas air dengan ditemankan waris keluarga khasnya ibu bapa sudah menjadi satu yang lumrah. Begitu juga suasana ibu bapa yang sedih melepaskan anak mereka tinggal berasingan di asrama. Pada tahun 70-an dan 80-an, ibu bapa walaupun mempunyai sentimen sedih yang sama ketika melepaskan anak mereka menuntut ilmu di menara gading tetapi mereka melepaskan anak-anak dalam zaman yang kita dapat sifatkan masih konservatif, masih belum ada ledakan teknologi maklumat, tanpa ada penularan budaya kuning secara melampau yang boleh menggugat aspek keselamatan akhlak dan potensi keilmuan anak-anak mereka. Keadaan sebaliknya berlaku pada zaman globalisasi ini. Kecanggihan teknologi seperti internet mengandungi banyak lambakan nilai buruk yang mudah diperolehi. Pergaulan sosial yang lebih luas dan bebas pula akan membuka jalan kepada pelajar IPT untuk terlibat dalam perlakuan dan eksperimen apa-apa yang diperolehi di internet. Ibu bapa tidak boleh lagi ‘melepas tangan' mereka secara mutlak kepada pihak kedua untuk memantau khasnya tentang keselamatan akhlak anak-anak mereka. Walaupun anak-anak mereka mendapat status pelajar IPT, ini tidak bererti status itu dapat menjadi pelindung mereka daripada terjebak ke dalam gejala sosial yang menjadi beban masyarakat. Ini terbukti apabila terdapat kes-kes pelajar IPT yang terlibat dalam salah laku akhlak khasnya dalam hubungan kelamin luar nikah atau zina. Ini akhirnya boleh pula membawa kepada gejala kelahiran anak tidak sah taraf dan pembuangan bayi. Dalam soal selidik yang dilakukan oleh Mazlin Mohamad Mokhtar dalam kajian mengenai pengetahuan, sikap dan amalan berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi di kalangan pelajar kolej dan universiti pada tahun 2005 telah mendapati bahawa daripada 727 responden pelajar dua buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dua buah lagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), seramai 50% mengaku pernah melakukan hubungan seks, 80% pula tidak menggunakan bahan kontraseptif. Laporan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 21 Mac 2010 menyatakan bahawa bilangan anak tidak sah taraf dalam tempoh 2005 - 2009 ialah 214,033 orang seperti statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Daripadanya, seramai 74,723 anak tidak sah taraf atau 35% adalah anak bangsa Melayu. Jika dilihat kepada statistik, berlaku peningkatan bilangan anak luar nikah bangsa Melayu iaitu pada tahun 2007 terdapat 16,100 orang meningkat kepada 16,541 pada tahun 2008 dan seterusnya 17,303 orang pada tahun 2009. Situasi ini sepatutnya memberi kebimbangan kepada masyarakat khasnya ibu bapa remaja dalam kalangan pelajar IPT. Langkah-langkah pencegahan daripada terjebak ke dalam kegiatan tidak bermoral perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab termasuk ibu bapa. Peranan berterusan ibu bapa penting dalam proses pendidikan akhlak anak-anak walaupun anak-anak mereka telah melangkah ke IPT. Ibu bapa kekal menjadi ketua keluarga yang bertangunggjawab memimpin anak-anak bertepatan dengan kehendak Syariah. Ini sesuai dengan sebuah hadis nabi SAW yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan setiap apa-apa yang kamu pimpin". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Walaupun anak-anak di IPT tidak lagi tinggal sebumbung, ibu bapa sebenarnya boleh terus melaksanakan tanggungjawab didikan akhlak kepada anak-anak mereka. Selain menyalurkan dana kewangan dan keperluan pengajian yang mencukupi, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan hidup anak-anak mereka di IPT dengan sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa berhubungan dengan anak-anak dan bertanya khabar. Dengan kemudahan telefon, teknologi maklumat dan kemudahan prasarana pengankutan sekarang, ibu bapa secara berterusan dapat memberikan pimpinan, kasih sayang, keprihatinan dan membuat kunjungan menziarahi anak-anak mereka di IPT. Hubungan yang tidak putus di antara anak-anak dengan ibu bapa boleh mengelakkan hambatan pengaruh-pengaruh negatif yang sentiasa menerjah kehidupan pelajar di IPT. Manusia secara tabiatnya akan mudah terpengaruh jika mereka terdedah kepada sesuatu perkara. Dalam kehidupan berdikari pelajar IPT, mereka sudah tentu terdedah kepada pergaulan sosial dengan rakan sama ada lelaki atau perempuan, masyarakat sekeliling, termasuk gaya hidup materialistik dan hedonistik. Jika tidak ada pihak yang prihatin dalam soal akhlak dan moral, golongan belia ini yang pada asalnya terpilih untuk mengejar kecemerlangan akademik akhirnya boleh tersasar dan terjebak pula ke dalam mengejar keseronokan hawa nafsu. Ini termasuk terlibat dengan pergaulan yang tiada batasan, seks rambang, seks luar nikah, salah guna dadah, alkohol, kehamilan remaja, pengguguran, jangkitan kelamin, HIV dan AIDS, keganasan seksual, menjual maruah diri demi mendapatkan duit dan sebagainya. Ibu bapa yang sentiasa mengambil tahu hal anak-anak di IPT dan pada masa yang sama menghormati kebebasan dan hak-hak remaja sebenarnya akan menimbulkan keinsafan dalam diri anak-anak remaja mereka. Ini kerana anak-anak terus dihargai dan dibelai dengan pimpinan, teladan serta kasih sayang. Ibu bapa boleh mengesan sebarang keganjilan tingkah laku anak-anak mereka yang biasanya berlaku jika mereka terjebak dalam aktiviti songsang. Jika dapat dikesan lebih awal, ia akhirnya boleh diperbetulkan. Kasih sayang dan pimpinan ibu bapa menjadi benteng yang kebal memelihara akhlak pelajar di IPT. |
Followers
Carian dalam Blog ini
20 July 2010
Ibu Bapa Perlu Memantau Akhlak Mahasiswa
Labels:
Artikel,
Isu Sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment