Khairul Azhar Bin Idris Fellow 18/06/2010 | Utusan Malaysia |
Kerangka dasar Rancangan Malaysia Ke-10 telah pun dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri bagi memacu pembangunan negara untuk tempoh antara 2011-2015. Di antara beberapa dasar yang paling menarik ialah mewujudkan satu pendekatan yang menjurus kepada pembangunan kualiti hidup yang sempurna di kalangan rakyat. Sememangnya setiap individu adalah berhak untuk hidup dan tinggal dalam suasana persekitaran yang kondusif dan berkualiti, baik di bandar mahupun di luar bandar. Suasana persekitaran yang kondusif itu pula perlu wujud bukan setakat di rumah mereka, tetapi juga di sekolah, di tempat kerja, di jalan raya, malah di mana-mana jua. Persekitaran yang kondusif ini amat penting bagi mempertingkatkan kualiti hidup dan dapat pula menjamin tahap keselamatan yang tinggi di kalangan mereka. Di samping itu, persekitaran yang kondusif dan jaminan tahap keselamatan yang tinggi juga akan seterusnya mempertingkatkan lagi kualiti kesejahteraan sosial, fizikal dan mental mereka. Suasana yang ceria, segar dan nyaman serta selamat sudah pasti adalah lebih baik dan lebih menyihatkan seseorang lagi berbanding suasana yang kotor, tidak selesa dan tidak tenteram. Sebagaimana kesihatan itu ditakrifkan sebagai satu kesejahteraan dan kesihatan yang menyeluruh, meliputi aspek fizikal, mental dan sosial, bukan sekadar ketiadaan penyakit atau kesakitan semata-mata, maka faktor persekitaran yang kondusif perlu turut dilihat dari perspektif bagaimana ia dapat membantu mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dari aspek kesejahteraan fizikal, mental dan sosial, keagamaan serta kepelbagaian etnik dan ideologi. Walaupun matlamat ini seperti terlalu ideal, tetapi ia bukan mustahil untuk dicapai kerana dasar dan garis panduan telah diwujudkan. Apa yang perlu ialah memastikan tindakan untuk menggerakkan agensi pelaksanaan bagi menjamin kewujudannya tercapai. Membincangkan isu persekitaran kondusif dan peranannya dalam mewujudkan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial di kalangan rakyat amatlah menarik. Memang terdapat beberapa kajian empirikal dilakukan yang menunjukkan hubungkait antara suasana persekitaran dengan tahap kesihatan, baik fizikal mahupun mental dan sosial. Sebagai contoh, pada tahun 2001, Kerajaan Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim pernah mengkaji peranan dan hubungkait antara suasana persekitaran yang tidak kondusif dalam kehidupan sesebuah keluarga dengan pelbagai jenis gejala sosial yang wujud di kalangan penduduk. Namun di negara ini, kajian-kajian seperti ini masih di peringkat ‘amat terlalu awal’ atau ‘preliminary’, walaupun ada, amat sedikit jumlahnya, dan perlu dipertingkatkan lagi. Ini amat penting kerana hasil kajian boleh digunakan untuk membantu proses penggubalan dasar yang berkaitan. Begitu juga, kajian-kajian lain yang seumpamanya perlu turut dilakukan, seperti mengkaji apakah kesan kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur terhadap kesejahteraan mental dan fizikal penduduknya, atau apakah kesan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur terhadap stres dan penyakit jantung para penggunanya, dan mungkin juga mengkaji adakah Kuala Lumpur sesuai dan munasabah untuk didiami jika berdasarkan kepada peranannya dalam peningkatan kadar tekanan dan pelbagai penyakit di kalangan penduduknya, atau sebagainya. Kajian seumpama ini memerlukan kepakaran tersendiri dan IKIM turut melihatnya sebagai satu peluang untuk penyelidikan. Begitu juga, persekitaran yang kondusif turut akan mempertingkatkan lagi kualiti kesihatan mental di kalangan rakyat, terutamanya di kalangan para pekerja, baik di sektor awam mahupun sektor swasta. Persekitaran yang kondusif boleh diwujudkan melalui penyediaan kelengkapan prasarana bagi mempermudahkan urusan pekerjaan dapat berjalan dengan lancar dan selesa. Ia juga dapat dihasilkan melalui bentuk perhubungan dan sistem komunikasi yang baik dan mesra di antara majikan dengan pekerja atau sesama pekerja. Di samping itu, pelbagai bentuk insentif yang boleh meningkatkan daya motivasi dan inovasi di kalangan pekerja juga boleh mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif yang akhirnya dapat membantu meningkatkan kesejahteraan mental dan kestabilan emosi para pekerja. Suasana pada hari ini menyaksikan isu kesihatan mental di kalangan para pekerja agak kurang mendapat perhatian. Ini amat berbeza dengan aspek kesihatan dan perubatan dalam bidang selain kesihatan mental, terutamanya kesihatan yang melibatkan fizikal dan persekitaran. Golongan pekerja juga merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit mental, gangguan emosi, masalah tingkahlaku dan disiplin, kecelaruan personaliti, gangguan identiti dan orientasi seksual, ketagihan dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat di kalangan mereka yang menghidapi tekanan kerja akibat persekitaran pekerjaan yang tidak membantu dan bebanan tugasan yang tidak setimpal, di samping perhubungan dengan majikan dan pekerja lain yang dipenuhi dengan konflik. Akibatnya, ramai di kalangan mereka menderita dalam diam yang akhirnya menjejaskan produktiviti dan matlamat organisasi. Tidak kurang juga mereka yang mengambil jalan singkat dengan mencedera atau sengaja membunuh diri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Walaupun tiada pengkalan data yang kukuh diwujudkan atau kajian khusus terhadap status kesihatan mental para pekerja dilakukan, namun hasil daripada laporan dalam beberapa akhbar dan media massa mendapati mereka turut menderita akibat penyakit mental dan gangguan emosi. Ada di kalangan mereka dilaporkan telah membunuh diri atau wujud cubaan membunuh dan mencederakan diri. Ia amatlah serius lebih-lebih lagi apabila ajaran Islam dan ajaran semua agama di dunia ini yang mengharamkan sebarang cubaan dan usaha untuk mencedera atau membunuh diri. Kes-kes seperti ini boleh dicegah sejak awal lagi sebelum ia berakhir dengan kecederaan atau kehilangan nyawa. Ini belum lagi termasuk kes-kes yang tersembunyi dari pengetahuan atau rujukan kepada sektor perubatan dan kesihatan mental, seperti gangguan personaliti, ketagihan dan penyalahgunaan dadah dan alkohol, gangguan seksual serta sebagainya. Keadaan seperti ini tidak sewajarnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila negara telah mensasarkan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, dengan peningkatan kualiti pekerja yang berkemahiran tinggi dan hasil pendapatan yang lebih tinggi, setanding dengan kemahiran dan pendapatan di negara-negara maju. Inilah antara beberapa elemen dalam Model Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri yang sewajarnya dihayati oleh setiap lapisan pekerja awam. Matlamat dari dasar ini mungkin tidak akan tercapai sekiranya isu berkaitan kesihatan mental hanya dipandang remeh dan tidak penting oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika selama ini kita mengambil pendekatan dengan mengadakan seminar, ceramah dan pelbagai kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat berkaitan penyakit mental dan langkah-langkah pencegahan serta penjagaan kesihatan mental yang sempurna yang sememangnya perlu diteruskan lagi, tindakan yang seterusnya yang perlu diberi perhatian kini ialah seperti mengenalpasti kelompok yang berisiko untuk menghidapinya. Walaupun setiap individu itu berisiko untuk mengalaminya, namun tahap risiko adalah berbeza antara individu. Faktor risiko harus diperhalusi. Maklumat demografi dalam mana-mana kajian, contohnya seperti Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia wajar digunakan sepenuhnya bagi memahami semua faktor risiko individu yang boleh terdedah kepada tekanan. Kumpulan ini perlu diberi lebih lagi pemantauan dan intervensi khusus untuk mengurangkan semua risiko gejala tekanan daripada terus berlaku. Selain itu, ujian saringan tahap kestabilan mental dan emosi juga perlu dilaksanakan. Melaksanakan ujian-ujian tersebut secara berkala sebagaimana yang dilakukan bagi mengetahui status kesihatan fizikal pekerja perlu juga dilaksanakan terhadap kesihatan mental dan kestabilan emosi mereka. Hasil ujian ini perlu digunakan bagi memantau sebarang kemungkinan risiko ketidakstabilan mental dan emosi mereka, di samping memilih apakah kaedah rawatan yang bersesuaian untuk mereka. |
Followers
Carian dalam Blog ini
13 July 2010
RMK10 Pertingkat Taraf Kesihatan Mental Rakyat dan Pekerja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment