Followers

Carian dalam Blog ini

13 July 2010

Membangun Modal Insan Cemerlang dalam Organisasi jayakan RMKe-10

Nor Hartini Bt. Saari
Pegawai Penyelidik

09/07/2010 | Utusan Malaysia

Sepuluh idea utama telah dirangka dalam Strategi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), untuk memacu pembangunan negara mencapai Wawasan 2020. Salah satu daripada idea tersebut yang diberi tumpuan ialah memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang. Modal insan cemerlang dalam konteks pengurusan organisasi Islam merujuk kepada pembangunan diri pekerja dalam menyemai nilai dan ciri-ciri yang baik dari segi akhlak, etika, perwatakan, pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Ia penting sebagai tenaga penggerak organisasi ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, pelaburan dalam modal insan perlu diberi keutamaan organisasi dalam membentuk pekerja yang mempunyai nilai yang boleh diteladani. Melalui kerangka modal insan, ia harus dijana dengan baik sejak peringkat awal lagi kerana di tangan mereka inilah setiap langkah dan hala tuju digagaskan dan perancangan dilaksanakan. Berasaskan kepentingan modal insan ini, maka Islam memberikan penekanannya lebih utama berbanding pembangunan dari aspek fizikal.

Alasan ini begitu jelas, bahawa insan yang terbina akal, minda dan jiwanya akan membina pembangunan fizikal yang menepati kehendak syariat-Nya. Apabila pembinaan sahsiah insan tersebut dibangunkan mengikut syariat-Nya, maka segala tindak-tanduknya tidak sesekali melanggar akan perintah Allah SWT.

Di situ akan lahirlah insan yang bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang penting dalam organisasi. Individu yang bertanggungjawab dan amanah seringkali dikaitkan dengan definisi al-Quran sebagai mereka yang mempunyai akal fikiran yang sempurna (ulul al-Bab); iaitu seseorang yang mengerti nilai kehidupan dan memeliharanya dengan sempurna baik dalam diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

Begitu juga dengan pandangan Ibnu Khaldun yang turut menegaskan bahawa pembinaan sesebuah tamadun amat bergantung kepada manusia sebagai aset terpenting kerana mereka mempunyai kemampuan berfikir, menentu, memilih dan mempelajari sesuatu untuk tujuan hidup yang bertamadun.

Justeru, menyedari diri pekerja sebagai aset dan tenaga penggerak utama organisasi maka mereka perlu menggalas amanah serta tanggungjawab untuk melaksanakan tugas dengan penuh iltizam, minat dan kesungguhan, mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding dengan kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat bekerja mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya.

Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja, cuai dan juga sikap sambil lewa dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Sikap sebegini akan menyebabkan sesebuah organisasi gagal dan mundur. Oleh itu, beberapa langkah dalam memberi nilai tambah dari segi peningkatan ilmu pengetahuan, memotivasikan pekerja, melihat contoh dan teladan yang baik di samping semangat dan roh pekerjaan sebagai satu ibadat perlu dijadikan misi dalam menjayakan modal insan terbaik dalam RMKe-10 kali ini.

Memandangkan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas nilai tambah dalam pembangunan insan dalam diri pekerja, maka di sini peranan majikan amat penting untuk memupuk, memberi semangat dan dorongan kepada pekerja untuk terus menimba ilmu bagi melahirkan individu yang berjaya. Di samping dapat bertindak sebagai pekerja yang beradab dan berdisiplin dalam organisasi masing-masing.

Dalam Laporan Model Baru Ekonomi (MBE), menyatakan pada tahun 2007 hanya 80 peratus daripada tenaga kerja Malaysia mendapat pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menyedari hal ini, majikan perlu menggalakkan tenaga kerja untuk terus meningkatkan kelayakan dan keupayaan ke tahap yang lebih tinggi melalui pelbagai program dan latihan kemahiran. Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia begitu komited dalam menggalakkan pembangunan para pekerjanya. Melalui institusi sokongan seperti IBFIM dan INCEIF tumpuan latihan, pendidikan dan penyelidikan diberi kepada pekerjanya untuk terus meningkatkan pengetahuan dan juga kemahiran.

Dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki kelak, pekerja akan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan bersedia menyahut cabaran besar tanpa rasa gentar. Selain itu, melalui seminar, ceramah, kursus, bengkel dan juga pelbagai bentuk latihan yang diusahakan oleh majikan kepada golongan pekerja secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan di samping berupaya mengesan kelemahan, mengenal pasti masalah serta mencari penyelesaiannya dengan penuh bijaksana.

Tanpa pengayaan ilmu, proses untuk pembangunan insan dan kemajuan negara amat sukar untuk dicapai malahan akan memberi kesan terhadap perancangan pembangunan negara yang telah disusun. Sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Mujadalah ayat ke-11 yang bermaksud; "... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".

Menyedari hal itu dalam meningkatkan modal insan di kalangan pekerja maka inisiatif yang ditawarkan oleh mana-mana organisasi untuk meningkatkan ilmu pengetahuan perlulah direbut oleh pekerja. Namun, perlu dingat apabila pekerja tersebut dapat menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) misalnya, pembahagian masa antara tugas di pejabat dan masa mengulangkaji perlu diselaraskan dengan baik agar tugasan yang diberikan tidak menjejaskan prestasi organisasi.

Dengan langkah-langkah dan usaha yang diambil oleh organisasi moga-moga dapat mengilap kepakaran yang ada, dapat meningkatkan pembinaan jati diri modal insan di kalangan pekerja dan dapat mencegah aliran keluar golongan bijaksana (International Brain Drain). Justeru, adalah menjadi harapan organisasi agar pengurusan pembangunan modal insan dapat digilap kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan organisasi khususnya, terus berdaya saing dan dapat mentransformasikan negara mencapai status negara berpendapatan tinggi.

No comments: