LIMA tahun lalu ia adalah sebuah kawasan paya kosong. Hari ini, kawasan tersebut menjadi kediaman kepada lebih 1,200 spesies semula jadi biodiversiti Borneo yang terdiri daripada ikan jerung, ikan pari, ular dan katak.
Kawasan paya itu adalah sebahagian daripada The Green Connection iaitu sebuah akuarium dan pusat penemuan sains yang membuka pintunya kepada orang ramai sejak Mei lalu.
Ia bukan sekadar sebuah taman tema eko yang lazimnya diusahakan oleh perbadanan-perbadanan yang berorientasi keuntungan, sebaliknya ia adalah sebuah pusat konservasi dan pendidikan yang ditubuh serta dikendalikan oleh pakar-pakar konservasi dan Yayasan Sabah.
Terletak kira-kira 2.5 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, pusat itu berusaha meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dengan mempamerkan biodiversiti marin dan daratan yang terdapat di Borneo. Ia juga mendedahkan ancaman yang mereka hadapi dan keperluan untuk memulihara biodiversiti.
Para pelawat akan meredah ekosistem-ekosistem yang boleh didapati di Borneo dan meneroka khazanah semula jadi yang terkandung di dalamnya.
Prof. Steve Oakley, seorang ahli biologi marin sejak 25 tahun lalu adalah antara perintis di pusat itu. Oakley, yang merupakan pengarah teknikal pusat tersebut dari England telah bermastautin di Malaysia sejak 15 tahun lalu dan pernah bertugas di 28 buah negara.
"Beberapa tahun lalu, ahli-ahli konservasi yang bertugas di bawah saya di Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjalankan pelbagai kajian terhadap kemusnahan batu karang di Sabah dan Sarawak.
"Apabila kami menemui punca masalah itu, kami mula mencari jalan penyelesaiannya untuk mewujudkan kawasan-kawasan marin yang dilindungi, tetapi itu tugas pihak berkuasa seperti mengawal kaedah penangkapan ikan yang membawa kemusnahan, bukan peranan sebuah NGO," katanya.
Sehubungan itu, mereka menggunakan satu pendekatan lebih kurang sama dengan pendekatan yang diambil oleh World Wide Fund for Nature (WWF).
Beri nafas baru
"Kami mula memberi nafas baru kepada batu karang, menyelamatkan jerung, pari dan ular, jadi langkah logik yang berikutnya ialah untuk membuka sebuah kemudahan konservasi seperti yang anda lihat hari ini," tambah beliau.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah. Usaha itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dan mengumpul wang sebanyak RM12 juta bagi projek itu.
Mereka bernasib baik kerana bertemu rakan yang mempunyai objektif yang sama iaitu Yayasan Sabah (YS). YS kini merupakan pemegang utama saham bagi Aquatica Aquarium and Discovery Centre Sdn. Bhd. syarikat yang memiliki The Green Connection.
"Kami mencari rakan dengan objektif yang sama untuk mengasaskan pusat ini," kata Oakley.
Seperti objektif teras yayasan itu, pusat tersebut juga mahu membantu membasmi kemiskinan dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada pemuda-pemudi Sabah yang tidak mempunyai kelayakan dan berasal dari pedalaman.
"Hari ini, kita mempunyai kira-kira 80 pemuda-pemudi Sabah yang sedang bekerja bersama kita. Malah kami menghantar beberapa orang untuk bekerja di akuarium-akuarium di seluruh dunia bagi menimba pengalaman," tambah beliau.
Akuarium The Green Connection kata Oakley, berbeza daripada akuarium yang terdapat di Kuala Lumpur, Langkawi atau Pulau Sentosa (Singapura).
"Kami hanya membangunkan satu hektar tanah sahaja untuk akuarium ini tetapi kami mempunyai tangki terumbu karang terbesar di Asia Tenggara dan akuarium ini mempunyai jendela paparan terbesar di Malaysia.
"Aquaria KLCC mempunyai terowong-terowong yang cantik tetapi kami mahu jendela paparan yang besar dan koridor besar supaya dapat memberi penerangan kepada kumpulan pelajar yang besar bagi tujuan pendidikan. Anda tidak boleh melakukannya dalam terowong kerana ruangnya sempit. Akuarium-akuarium pula tidak ditempatkan dalam bangunan jadi batu karang kami dalam akuarium tumbuh dengan baik," jelas beliau.
Sebagai usaha meningkatkan kesedaran, The Green Connection menawarkan pakej pendidikan tiga jam pada harga menarik iaitu RM5 bagi setiap pelajar. Maklumat lanjut mengenai pusat itu boleh didapati di www.the-green-connection.com.
Oakley juga mendedahkan pihaknya sedang menimbangkan idea untuk menubuhkan pusat seumpamanya tetapi pada skala yang lebih kecil di Tawau atau Semporna tidak lama lagi.
Memulihara biodiversiti
"Kami mungkin membina akuarium lain, kami berminat untuk menubuhkan pusat-pusat yang lebih kurang sama di Tawau atau Semporna, kerana ramai pelajar sekolah di kawasan itu tidak mempunyai akses ke pusat utama di sini," katanya. Dalam usaha menyelamatkan spesies-spesies yang diancam kepupusan, The Green Connection membeli ikan, jerung dan pari daripada nelayan sebagai usaha menyelamatkannya daripada menjadi makanan manusia selain berusaha untuk membiakkannya.
Contohnya, pasukan beliau pernah menukar seekor babi hutan dengan seekor penyu yang sepatutnya menjadi hidangan untuk jamuan perkahwinan.
"Semasa kami membeli ikan pari daripada nelayan, kami terlihat seekor penyu agar dalam sangkar yang menurut nelayan tersebut akan dijadikan hidangan majlis perkahwinan.
"Kami beranggapan adalah lebih baik jika penyu agar dibawa ke sini untuk dibiak, jadi kami membeli seekor babi hutan dan menukarnya dengan penyu itu. Apa yang kita perlu buat ialah bayar lebih sedikit untuk mencegah hidupan ini berakhir di dalam kuali," kata Oakley.
Oakley dan rakan-rakan konservasi juga merawat ular yang mengalami kecederaan dan berpenyakit. Mereka melepaskan semula ular jantan ke dalam hutan tetapi menyimpan ular betina sehingga ia bertelur.
"Kami membiak ular laut, biawak, kura-kura dan jerung tetapi masih belum membiak ikan pari," kata beliau bahawa bilangan ikan pari semakin meningkat.
Pusat itu juga membuat persiapan untuk menempatkan jerung dan pari air tawar yang boleh ditemui di sungai Kinabatangan, namun haiwan itu jarang dapat dilihat hari ini kerana bilangannya yang kian merosot. - Bernama
No comments:
Post a Comment