Followers

Carian dalam Blog ini

29 July 2010

Najib Gesa Generasi Muda Malaysia Manfaatkan Peluang Dalam Pendidikan

29 Julai, 2010 22:02 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa generasi muda Malaysia memanfaatkan peluang yang diberikan kerajaan untuk cemerlang dalam akademik.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan banyak inisiatif, termasuk semua pelajar yang memperoleh 9A+ dan lebih dalam perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Najib berkata pelbagai inisiatif lain sedang dirumuskan, yang sedang ditelitinya secara peribadi, yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada generasi muda Malaysia untuk mencapai matlamat dan impian mereka.

Katanya sebahagian daripada penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah rasionalisasi subsidi baru-baru ini juga akan disalurkan untuk menyediakan lebih banyak peluang dalam pendidikan.

"Kepada pembaca muda: manfaatkan peluang keemasan ini untuk berjaya. Ini merupakan manifesto jelas bahawa kami berada di sini untuk membantu anda. Kami mahu anda cemerlang.

"Kami telah mengambil maklum keperluan anda dan permintaan yang dikemukakan oleh ibu bapa anda di dalam blog ini dan telah menyediakan laluan yang jelas untuk anda cemerlang dalam akademik. Saya menggesa anda mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian anda," tulis Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com

Najib turut memberikan perhatian terhadap komen-komen yang dikemukakan oleh pelajar dan ibu bapa dalam blog itu berhubung biasiswa bagi pelajar cemerlang SPM, yang menurutnya beliau akan merumuskan langkah-langkah berdaya maju untuk menanganinya.

Sehubungan itu, katanya ibu bapa dan guru perlu sama-sama membimbing dan menggalakkan anak-anak dan pelajar untuk fokus bagi mencapai aspirasi mereka melalui kerja keras.

Katanya mereka perlu mengingatkan generasi muda yang mereka akan mendapat ganjaran jika memperoleh gred tinggi dan jangan sekali-kali biarkan mereka goyah.

"Pendidikan mereka bermula dari rumah. Saya percaya adalah adil untuk mengatakan bahawa disebalik pelbagai ujian dan rintangan yang anda hadapi dalam mendapatkan pelajaran, ramai daripada anda bercita-cita untuk mencontohi ikon-ikon yang ada pada hari ini, yang berada di kedudukan mereka itu adalah hasil daripada usaha gigih mereka tanpa mengenal waktu dan penat lelah.

"Perjalanan untuk mencipta bintang-bintang di hari muka adalah bermula dari hari ini. Saya juga tidak sabar menanti tibanya hari di mana anda, pembaca muda di laman web saya, menjadi antara mereka yang berjaya mencapai kecemerlangan akademik dan memenuhi impian dan cita-cita mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam melaksanakan prinsip meritokrasi dalam sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia, prinsip keadilan sosial juga perlu diaplikasikan.

Untuk itu, katanya pelajar yang serba kekurangan daripada segi peluang sosio-ekonomi yang memperoleh keputusan kurang daripada 9A+ juga akan diberikan bantuan untuk melanjutkan pelajaran.

Sebagai contoh, katanya pelajar yang hidup dalam persekitaran serba kekurangan mungkin tidak dapat memperoleh keputusan 9A+, tetapi masih mampu mencapai keputusan cemerlang, disebalik kekurangan itu.

"Ini memaparkan daya tahan yang tinggi dalam persekitaran amat mencabar, anda patut tahu yang pelajar ini harus dibantu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Oleh yang demikian, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, saya menyaksikan beberapa bantuan diberikan kepada pelajar yang tinggal, antaranya di Tumpat, Long Banga, Kanowit, Brickfields dan di Putrajaya," katanya.

-- BERNAMA

No comments: