27 Julai, 2010 18:56 PM
Oleh Nurul Halawati Azhari
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pengalaman Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) selama 18 tahun merawat dan memulihkan penagih dadah mendapati amalan keibubapaan yang kurang baik menjadi antara punca kepada masalah tingkah laku anak mereka.
Menurut Presiden Pengasih Yusuf Pathi, apabila anak-anak disakiti emosi, fizikal dan rohaninya oleh ibu bapa, adik-beradik atau anggota keluarga yang lain, akan meninggalkan kesan mendalam serta menjejaskan pertumbuhan psikologi anak-anak itu.
Ada ibu bapa yang melepaskan kemarahan serta bebanan kepada anak atau bertengkar di hadapan mereka. Bila abang dan kakak mempunyai masalah, ia dilepaskan kepada adik.
"Ada juga ibu bapa yang melakukan penderaan fizikal, seksual selain mengabaikan keperluan emosi anak-anak. Selain hubungan yang tidak mesra di antara adik-beradik," tambah Yusuf.
Gaya keibubapaan negatif yang diamalkan oleh ibu bapa ini `bertoksik' dan akan diturunkan kepada anak mereka.
"Tanpa disedari, keibubapaan negatif di rumah menyebabkan anak hilang pertimbangan. Ibu bapa bertoksik ini mencederakan anak-anak melalui perlakuan, perbuatan serta kata-kata mereka."
ELAK TOKSIK DALAM KELUARGA
Selain itu, Yusuf juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sikap terlalu mengkritik juga boleh menjurus kepada kecacatan kendiri anak.
�Ibu bapa janganlah terlalu ego. Mungkin mereka bijak, tetapi janganlah meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak. Ada anak tidak boleh berjaya dalam bidang akademik, tapi mereka boleh berjaya dalam bidang lain.
"Kita sebagai ibu bapa mesti jujur dengan anak serta tidak meletakkan peraturan yang mengelirukan mereka,� tambahnya.
ANAK-ANAK KITA DALAM RISIKO
Sikap dan perilaku ibu bapa yang melampau seperti masuk campur dalam hal anak, terlalu mengongkong, memaksa kehendak mereka pada anak, membuat tuntutan yang tidak realistik, membuat peraturan yang mengelirukan, membezakan kasih sayang ialah antara sikap keibubapaan yang perlu dielakkan.
Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu menambah pengetahuan mereka mengenai dunia anak-anak hari ini. Sikap ambil tahu penting supaya mereka tidak mudah ditipu atau diperdaya anak sendiri.
�Anak-anak kita hari ini ialah anak-anak yang bermaklumat. Setiap daripada mereka menghadapi risiko, jadi ibu bapa juga perlu mengubah cara pemikiran mereka dengan menerima perubahan zaman dan mendidik anak secara seimbang. Kita kena faham tentang jiwa remaja,� jelas Yusuf.
Ibu bapa juga perlu peka terhadap tanda-tanda awal remaja yang berisiko, contohnya, apabila anak mula renggang dengan ibu bapa, tidak dapat bertentang mata bila berkomunikasi, mula memberontak, terlalu berahsia dan sebagainya.
BERMULA DARI RUMAH
Mahu atau tidak, ibu bapa perlu menjadi contoh baik buat anak-anak, membimbing dan melatih anak dalam membuat keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah, mengetahui apa yang anak lakukan serta perkembangannya selain perlu mengenali rakan sebaya anak.
Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana rumah yang harmoni. Ini dapat dicapai melalui diskusi dengan anak tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar masalah anak.
Misalnya, solat berjemaah dengan anak-anak untuk menerapkan nilai agama dan kebersamaan yang boleh melahirkan anak cemerlang.
MENDIDIK SATU PROSES BERULANG
Proses mendidik dan membentuk anak yang cemerlang ialah proses berulang dan memerlukan kesabaran.
Menurut Dr Yahya Don daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur, mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak boleh wujud dalam diri setiap ibu bapa.
�Ada ibu bapa yang merungut seperti �dah berbuih mulut saya menegur atau menyuruh anak saya berubah, tetapi masih begitu juga�.
"Persoalannya, berapa kerapkah ibu bapa menegur atau membimbing mereka? Adakah mereka ditegur dengan cara yang betul?
"Atau adakah mereka sudah melaksanakannya setiap hari atau sudah melebihi 20 kali? Proses ini perlu berlaku secara kerap,� ulas Dr Yahya.
Masalah lain yang sering dihadapi ialah sikap tidak sabar ibubapa untuk melihat anak mereka berubah dalam sekelip mata atau dalam tempoh beberapa hari.
Dr Yahya berpendapat perubahan tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu. Cepat atau singkat perubahan tingkah laku bergantung kepada pengaruh motivasi dan persekitaran anak-anak.
Ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Tetapi, akibat sikap tidak sabar untuk melihat perubahan serta merta, berlakulah tindakan seperti menampar, mengherdik, merotan dan sebagainya.
Kesannya akan berlaku kerenggangan di antara anak-anak dengan ibu bapa, hilang motivasi, dendam, murung, stres, tingkah laku ganas dan sebagainya.
�Perlu diingat anak-anak bukanlah robot yang boleh diubah berdasarkan kepada kemahuan kita. Kadang-kadang apa yang ditegur hari ini mungkin, akan memberi kesan perubahan diri mereka, lima atau 10 tahun akan datang.
�Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlulah bersabar dan yang penting, amanah dan tanggungjawab kita untuk menegur, membimbing dan mendidik anak-anak perlu dilaksanakan dan jangan merungut.�
LEPAS TANGAN
Malah ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil sikap lepas tangan atau memindahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada orang lain. Contohnya kepada pihak sekolah atau guru-guru yang sudah terlalu banyak komitmen dan tanggungjawab seharian.
Dr Yahya juga menyentuh sikap ibu bapa yang sedia maklum dengan sikap negatif anak di sekolah tetapi sengaja menutup mata dan telinga mereka.
Menurutnya, ada ibu bapa yang maklum tentang sikap dan prestasi anak di sekolah tetapi mereka buntu dan tidak tahu untuk bertindak dan mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.
Beliau berpendapat perkara sedemikian memperlihatkan bahawa waris juga memerlukan sesi khidmat kaunseling dalam mendidik dan membentuk anak-anak di rumah.
�Contohnya apabila anak terjebak dengan dadah, menjadi ganas, menghidu gam dan bertindak di luar batasan, ibu bapa mula takut untuk bertindak.�
Berdasarkan pengalamannya, Dr Yahya melihat ada ibu bapa yang tidak mahu mengambil tindakan kerana malu dengan masyarakat, takut anak-anak bertindak nekad melarikan diri dari rumah, takut ditangkap polis, dipenjarakan dan sebagainya.
Dalam hal ini, ibu bapa begini perlu dibantu kerana kasih sayang membuatkan mereka buta hingga tidak tahu membuat keputusan. Selain ibu bapa dan guru, masyarakat dan persekitaran turut mempengaruhi perkembangan anak-anak.
Bagi Dr Yahya, mendidik memerlukan kesabaran, kasih sayang, perhatian, dorongan, motivasi, bimbingan dan sebagainya secara kerap dan berterusan.
Ibu bapa perlu memahami proses, keperluan dan kehendak mereka untuk membentuk anak yang cemerlang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment