Norkumala Bint Awang Pegawai Penyelidik 01/07/2010 | Artikel Bahasa Malaysia |
Pemakanan merupakan pola yang membentuk sebahagian daripada gaya hidup holistik yang perlu diamalkan secara seimbang disamping faktor-faktor lain yang menyumbang kepada penjagaan dan pemuliharaan kesihatan. Mutakhir ini, banyak sekali sogokan dan keributan di kalangan masyarakat kita berkenaan dengan makanan yang mempunyai antioksidan. Maka, berlumba-lumbalah, pengeluar dan pengilang mengeluarkan makanan tambahan yang mengandungi unsur antioksidan yang dipercayai dapat mencegah dan merawat penyakit. Namun, adakah benar dakwaan bahawa suplemen tersebut mampu memberikan fungsi seperti yang digembar-gemburkan dan benarkah semua jenis makanan mempunyai keupayaan yang sama sebagai antioksidan dalam meneutralkan radikal bebas? Di dalam badan kita, pelbagai jenis tindakbalas berlaku yang tidak diketahui. Radikal bebas dihasilkan oleh badan melalui tindakbalas biokimia tetapi terlalu banyak radikal bebas akan mendatangkan bahaya kepada tubuh badan. Faktor-faktor luaran seperti merokok, minum arak, makan terlalu banyak lemak, cahaya matahari, pendedahan kepada radiasi dan juga pencemaran persekitaran akan menghasilkan lebih banyak radikal bebas di dalam badan. Oleh sebab itu, kita memerlukan antioksidan termasuklah vitamin, mineral dan enzim yang dipercayai dapat melindungi tubuh dan memperlahankan pemusnahan sel yang disebabkan oleh proses pengoksidaan untuk memelihara kesihatan tubuh badan daripada sebarang penyakit. Antara contoh antioksidan ialah vitamin A,C, E, lycopene, beta carotene dan lain-lain lagi. Terdapat antioksidan yang boleh disintesiskan oleh tubuh. Namun begitu, kita juga boleh mendapatkan dan meningkatkan keupayaan antioksidan melalui sumber makanan. Selain daripada itu, setiap individu perlu menjalani gaya hidup yang sihat dengan menjauhi tabiat merokok dan mengamalkan pemakanan seimbang untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan kandungan antioksidan yang terdapat di dalam badan. Untuk memenuhi keperluan badan, seharusnya antioksidan diambil melalui makanan bukannya suplemen seperti vitamin. Ini kerana sumber makanan seperti buah-buahan dan sayuran-sayuran mempunyai kandungan antioksidan yang pelbagai dan juga mineral-mineral lain yang berkerjasama melindungi badan. Sebaliknya, jika antioksidan diambil daripada suplemen vitamin, ia akan membataskan fungsi sekiranya salah satu antioksidan berkurangan di dalam badan. Oleh itu, sebaik-baiknya, kita perlu mendapatkan diet yang kaya dengan sumber antioksidan dalam makanan untuk menjamin kombinasi pelbagai zat tersebut. Ini akan memberikan kebaikan perlindungan berbanding nutrien yang khusus di dalam satu-satu jenis suplemen. Diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran dikatakan dapat memperlahankan proses penuaan yang disebabkan oleh radikal bebas. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Tufts di Boston mendapati pengambilan makanan antioksidan yang tinggi dapat mengelakkan berlakunya hilang daya ingatan dan keupayaan belajar. Di antara antioksidan yang terbaik untuk kesihatan badan ialah glutathion. Ia merupakan antioksidan yang kuat, berada di dalam badan dan amat diperlukan untuk aktiviti antioksidan serta melindungi molekul di dalam badan. Ia dihasilkan oleh sel badan secara semulajadi dan berperanan menyingkirkan toksik badan, menggalakkan sistem imun badan berfungsi secara optimum dan memelihara protein sel badan. Barangkali kita tidak dapat melihat bagaimana fungsi-fungsi tersebut amat penting untuk kita. Ia berlaku secara semulajadi dan perlu dilihat sebagai satu keperluan untuk menyelengara tubuh badan yang kadangkala kita tidak pedulikan pemeliharaannya sehinggalah sesuatu penyakit dapat dikesan. Walaubagaimana pun, glutathione akan berkurang sekiranya seseorang mengidapi penyakit tua seperti Alzheimer, Parkinson dan kanser. Ini adalah kerana, sejajar dengan peningkatan usia, keupayaan untuk menghasilkan glutathione juga berkurang. Di samping itu, kekurangan glutathione juga berkait rapat dengan alergi, atritis dan penyakit koronari. Walaubagaimanapun, aras glutathione di dalam badan tidak boleh dipertingkatkan dengan begitu mudah hanya dengan pengambilan makanan atau suplemen yang mengandungi antioksidan. Ini kerana, ia dihasilkan di dalam sel. Maka, keperluannya adalah menyediakan sumber prekursor glutathione ataupun dengan pengambilan sumber yang mampu meningkatkan penghasilannya di dalam badan. Contohnya mengambil makanan kaya dengan amino asid yang mengandungi sulfur seperti asparagus, brokoli, bayam, telur mentah dan bawang putih. Buah-buahan dan sayur-sayuran perlu diambil sekurang-kurangnya lima hidangan sehari untuk mendapat manfaat daripada antioksidan. Kuncinya adalah kepelbagaian dalam pengambilan sumber makanan tersebut untuk mendapat manfaat perlindungan sepenuhnya. Kadangkala, masa menjadi kekangan individu untuk mendapatkan nutrien semulajadi tersebut tetapi sebenarnya ia boleh diusahakan bagi memenuhi keperluan harian. Contohnya memastikan makan sepotong buah sewaktu bersarapan pagi. Buah juga boleh dijadikan snek di antara waktu sarapan dan waktu makan tengahari. Yang penting kita mesti membuat pilihan yang tepat dan menjadikannya sebagai satu amalan. Lama-kelamaan ia akan menjadi kelaziman dalam hidup kita sepanjang hari. Vitamin E juga merupakan antioksidan semulajadi yang terdapat dalam pelbagai jenis makanan tetapi kebanyakan orang tidak memperolehi jumlah yang mencukupi dalam diet seharian. Ia amat penting untuk memperbaiki dinding sel, kulit, otot, saraf, darah dan jantung disamping juga untuk kesuburan dan sistem imun tubuh. Vitamin E juga disebut sebagai penyembuh semulajadi kerana ia mempercepatkan penyembuhan luka dan mengelakkan parut terjadi. Ini kerana, ia membantu dalam penggantian semula sel kulit, mengelakkan pembekuan darah dan dapat mengurangkan tekanan darah. Pelbagai sumber makanan yang membekalkan vitamin E seperti buah avocado, kentang, sayuran berdaun hijau gelap, kekacang dan semua bijirin. Walaubagaimanapun, vitamin E juga terdapat dalam bentuk suplemen. Vitamin E tergolong dalam kumpulan tocopherols. Oleh itu, apabila membeli suplemen vitamin E, seharusnya kita bijak memilih vitamin E semulajadi dikenali sebagai d-alpha-tocopherol. Terdapat juga yang berbentuk sintetik dikenali sebagai dl-alpha tocopherol, namun ia patut dielakkan. Ini kerana, vitamin E semulajadi adalah lebih aktif secara biologi dan ia lebih mudah diserap dan kekal lama di dalam badan berbanding vitamin E sintetik. Jelas sekali,setiap individu perlu mempunyai maklumat terperinci tentang pemakanan agar tidak mudah tertipu dengan dakwaan yang kadangkala lebih bersifat mengaut keuntungan. Individu yang sarat dengan informasi pemakanan akan mengetahui dengan jelas dan tahu untuk mempertimbangkan sesuatu produk benar-benar mempunyai sifat terapeutik seperti yang didakwa atau tidak. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah az Zumar ayat 9: "....Katakanlah lagi kepadanya, adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna". |
Followers
Carian dalam Blog ini
25 July 2010
Sejauhmana Keperluan Antioksidan Dalam Pemeliharaan Kesihatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment