Kontrak sosial adalah persetujuan yang
dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India
dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun,
kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan
masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit
tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang
terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat
perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui
proses muafakat dan musyawarah.
Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?
Isu ini timbul mungkin kerana kontrak
sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan
antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan
generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian
masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai
sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang
diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau
keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang
menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu
bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada
kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas
syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan
perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak
istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi
mereka tidak nampak relevannya sekarang.
Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.
Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?
Rakyat Malaysia perlu memahami kontak
sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial
harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat
perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan
sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak
dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika
itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial
adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam
perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang
menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan
konsep negeri dan persekutuan.
Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan
hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan
pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan
negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia
adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity
atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957
memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya
imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan
jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus
difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan
Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.
Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia
KONTRAK SOSIAL MALAYSIA
1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.
2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.
3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.
4. Melalui perjanjian-perjanjian yang
ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak
untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui
dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak
ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini
dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.
5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di
Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang
merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap
sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan
mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan
negara-negara lain.
6. Tetamu asing ini hidup mewah di
Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British
di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat
kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun
merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan
jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat
Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di
negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.
7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri
Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana
Jepun merupakan musuh tradisi mereka.
8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan
menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun
serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis
di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara
ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada
mereka ini dibunuh.
9. Orang Melayu di kampung-kampung
membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan
timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan
kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci
antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.
10. Di dalam keadaan tegang ini British
mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini
hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.
11. Orang Melayu menolak Malayan Union
dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali
keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah
Melayu (Federation of Malaya) yang baru.
12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat
Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam
Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh
lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.
13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada
British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya
mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak
lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.
14. British terus beri tekanan kepada
orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi
orang bukan Melayu.
15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman
memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese
Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya
Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh
kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC
terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu
selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan
sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.
16. Begitu sokongan orang Melayu
terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun
menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya
menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.
17. Tunku sebagai Ketua Menteri
Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan.
British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India
sebagai syarat memberi kemerdekaan.
18. Untuk mengatasi halangan British
terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India
Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua
komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat
baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam
angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor
Melaka.
19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin
ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan
Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu
(Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan
berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam
Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
20. Ianya merupakan agihan yang sama
rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang
bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai
Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam
sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja
Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan
juga termasuk di dalam persefahaman ini.
21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa
Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris
pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan
bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.
22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga
boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar.
Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya
di sekolah menengah swasta.
23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin
Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan
dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar
kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka
diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.
24. Kebanyakan persetujuan dan
persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan
sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang
sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi
tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan
lain-lain kaum Bumiputera sahaja.
25. Demikian walaupun Bahasa Melayu
dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan
di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana
negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak
terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.
26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah
dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat
berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.
27. Difahamkan bahasa Cina yang di
maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang
ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China.
Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya
Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan
di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa
Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.
28. Islam adalah agama rasmi tetapi
agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa
halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada
tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak
menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut
tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan
tetap diberikan.
29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service)
dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang
diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan
profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak
mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi
jawatan-jawatan tersebut.
30. Hasilnya pada awal kemerdekaan
terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi
jawatan dalam Divisyen Satu.
31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja
Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu.
Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen
hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.
32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub
dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan
dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama
lima tahun.
33. Raja-raja akan menjadi Raja
berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar,
Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis
atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.
34. Persetujuan yang paling penting
ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja
Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom.
Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi
ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial
di London.
35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu
diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa
mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik
negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah
tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik.
Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai
apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat
Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.
36. Keputusan untuk melaksana sistem
Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam
pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri
Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang
diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang
parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga
masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak
menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.
37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan
tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan
kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan
Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya
Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di
Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.
38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai
Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di
panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan
Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga
perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan
orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang.
Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo
tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan
semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan
apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang
Melayu tetap tidak berubah.
39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial
dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan
seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah
dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada
penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak
sosial yang asal.
40. Kesemua tindakan susulan oleh
Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus
kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di
setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati
kontrak sosial ini.
41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial
ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana
kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan
kontrak ini.
42. Pelaksanaan kontrak sosial ini
memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini
bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni.
Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan
ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat
kontrak sosial ini.
43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa
yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina
dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak
menerima kontrak sosial ini.
Sumber: Laman Web Tun Mahathir
No comments:
Post a Comment