ASEAN merupakan asas bagi dasar luar negara
Malaysia. ASEAN juga penting dari segi geopolitik dan ekonomi berkaitan
Malaysia dan kepada negara di rantau ini. Pendirian ASEAN yang menolak
kekerasan dan menggalakkan penyelesaian masalah secara aman menjadi asas kepada
keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini. Menjelang tahun 2015, sebuah
komuniti Asean akan ditubuhkan. Komuniti ini dibina berdasarkan tiga tunggak
kerjasama, iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi
ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).
ASEAN berazam untuk mempercepat pelaksanaan
sepenuhnya bidang, langkah dan prinsip program Komuniti ASEAN dengan
kefleksibelan yang sewajarnya selain mengenal pasti pentingnya negara anggota
ASEAN mengamalkan pendekatan seimbang ke arah mencapai semua tiga tunggak
Komuniti ASEAN. Dengan Pelan Tindakan
dan Protokol yang bersungguh-sungguh, ASEAN semakin menghampiri matlamatnya
untuk membina Komuniti ASEAN yang mempunyai ciri interaksi dan penglibatan
politik dan keselamatan yang lebih baik, pasaran tunggal dan asas pengeluaran
dengan aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan modal dan buruh mahir
serta masyarakat penyayang, menumpukan kepada pembangunan sosial, pendidikan
dan modal insan, kesihatan awam, kebudayaan dan maklumat serta penjagaan alam
sekitar.
ASEAN mengemukakan rangka tindakan bagi tiga
tunggak komuniti yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan
penyelarasan dalam kalangan sektor berkaitan bagi negara anggota ASEAN. Rangka
Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN digunakan oleh pemimpin ASEAN dalam Sidang
Kemuncak ASEAN ke-13 pada November 2007. Dua rangka tindakan lain – Rangka
Tindakan Keselamatan Politik Komuniti ASEAN dan Rangka Tindakan Sosiobudaya
Komuniti ASEAN telah menjalani proses pendrafan dan sedia untuk digunakan oleh
pemimpin ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Thailand. Untuk
menyesuaikan diri dengan persekitaran serantau yang berubah dan cabaran masa
depan, ASEAN mengemukakan Piagam ASEAN. Dengan Piagam ini, ASEAN akan mengalami
perubahan untuk menjadi pertubuhan yang berasaskan peraturan dan bercirikan
undang-undang.
Piagam ini menekankan prinsip sama yang
mengikat kesemua 10 negara anggota ASEAN, iaitu kedaulatan undang-undang,
pentadbiran yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan;
perkongsian komitmen dan tanggungjawab kolektif dalam mempertingkat keamanan,
keselamatan dan kemakmuran serantau; serta mempertingkat rundingan dalam
perkara yang mempengaruhi kepentingan bersama ASEAN. Isu Sebagai anggota asal ASEAN,
dasar luar negara Malaysia terus menekankan kerelevanan dan kepentingan ASEAN
sebagai forum dan pemangkin untuk dialog serantau. Perkongsian Dialog ASEAN,
Forum Rantau ASEAN, ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur
membolehkan anggotanya untuk mengajak kuasa-kuasa besar membincangkan isu
penting serantau dan sejagat.
Dalam usaha menjadikan ASEAN pertubuhan
serantau yang lebih berkesan, bersepadu, berdasarkan peraturan dan
berorientasikan penduduk, negara anggota ASEAN memutuskan untuk merumuskan
Piagam ASEAN yang akhirnya ditandatangani dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 di
Singapura. Piagam ASEAN akan menetapkan rangka kerja institusi yang baru dan
sah untuk memperbaik pelaksanaan, penyelarasan dan proses membuat keputusan.
Piagam ini berkuat kuasa pada 15 Disember 2008.
Strategi
Dalam strategi dasar luar negara, Malaysia
akan terus menegaskan komitmen dan tugasnya dalam ASEAN untuk mencapai
keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini. Malaysia juga akan terus
bekerjasama dengan rakan negara anggota ASEAN ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN
menjelang 2015. Dalam skala yang lebih besar, ASEAN akan menggalakkan hubungan
yang lebih erat dengan kumpulan serantau lain tentang isu kepentingan dan
manfaat bersama.
ASEAN SEBAGAI TONGGAK DASAR LUAR NEGARA MALAYSIA
Di peringkat subwilayah, usaha dipertingkat
untuk memperoleh manfaat daripada konsep segi tiga pertubuhan, seperti
BIMP-EAGA. Usaha tersebut pastinya membolehkan kemakmuran disebarkan ke kawasan
yang kurang membangun, lalu menjadikan “dasar makmurkan jiran anda” menjadi
lebih bermakna.
Di peringkat serantau, Malaysia akan terus
mendesak supaya ASEAN diperkukuh menjadi kumpulan serantau. Ini termasuk
memberikan sokongan kepada semua fungsi kerjasama yang berasaskan sub-serantau
(contohnya Kerjasama Pembangunan Mekong ASEAN) atau yang berasaskan seluruh
ASEAN, pelaksanaan AFTA secara berperingkat dan kawasan pelaburan ASEAN.
Dalam dasar luar negara Malaysia,
kerjasama serantau sentiasa menjadi tumpuan utama. ASEAN terus menjadi asas dalam
dasar ini. Dalam hal ini, Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara di
rantau Asia Tenggara. ASEAN akan terus menjadi asas dalam dasar luar negara
kita dan forum paling berpengaruh untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan
serantau melalui dialog dan kerjasama. Keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang
dinikmati oleh Malaysia pada hari ini sebahagian besarnya disebabkan peranan
ASEAN sebagai pertubuhan yang memupuk kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan
negara anggotanya.
Selaras dengan Perjanjian Bali I dan II, usaha
kita akan ditumpukan kepada mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2020 yang
terdiri daripada tiga tunggak, iaitu Komuniti Keselamatan ASEAN, Komuniti
Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio- Budaya ASEAN. Kita akan terus memberikan
tumpuan untuk mempertingkat mekanisme ASEAN, ASEAN, +3 ARF, merapatkan jurang
teknologi dan pembangunan antara negara anggota ASEAN yang lama dengan yang
baru serta menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan melalui diplomasi dan
dialog.
Sejak penubuhannya, ASEAN telah
membentuk dan memperhalus pelbagai mekanisme dan pengaturan untuk menggalakkan
perdagangan, pelaburan dan aktiviti usaha sama yang lain. Sebahagian besar daya
tarikan ASEAN terhadap dunia luar dibina atas kejayaan ekonomi negara
anggotanya dan potensi untuk terus berkembang. Dengan pelbagai cabaran yang
dihadapi ASEAN, seperti keganasan antarabangsa, kelembapan ekonomi, keadaan
ekonomi semasa dan krisis kewangan, kejayaan kita ialah hasil daripada usaha
sama yang dilaksanakan oleh ASEAN.
Selanjutnya, dalam situasi
pra-perang dingin yang menyaksikan kemunculan kumpulan ekonomi serantau lain
yang memberikan persaingan dan persekitaran keselamatan serantau yang tidak
menentu, Malaysia percaya bahawa ASEAN yang kukuh dan berjaya bukan sahaja
perlu dalam ekonomi, tetapi juga merupakan keperluan yang strategik. ASEAN
makmur, utuh dan stabil dan hidup secara harmoni dengan negara jiran
terdekatnya akan menjamin keselamatan seluruh rantau Asia Tenggara dan Asia
Timur.
ASEAN yang berkembang daripada negara anggota,
asalnya dengan memasukkan negara Asia Tenggara yang lain memberikan sumbangan
yang besar dalam membina daya pulih negara, menggalakkan pertumbuhan ekonomi,
mempertingkat kerjasama serantau dan memastikan wujudnya keamanan dan
keselamatan serantau.
Malaysia percaya bahawa kewujudan ASEAN telah
menggalakkan corak tindakan yang mengurangkan risiko keselamatan dengan
meningkatkan hubungan dua hala serta menerapkan tabiat berdialog secara terbuka
tentang perkara berkaitan politik dan keselamatan secara terbuka termasuk
mengadakan langkah membina keyakinan. Dialog melalui proses ASEAN PMC dan Forum
Serantau ASEAN (ARF), dengan ASEAN berfungsi sebagai kumpulan asas, dapat
membantu mencapai matlamat tersebut.
Malaysia berharap bahawa kewujudan awal zon
yang aman bebas dan berkecuali (ZOPFAN) termasuk zon bebas senjata nuklear Asia
Tenggara (SEANFWFZ) akan membantu mempertingkatkan keselamatan serantau.
Walaupun ada kritikan yang
dilemparkan kepada ASEAN, ternyata bahawa kerjasama dengan negara ASEAN kini
bertambah kukuh. ASEAN tidak pernah hilang kedinamikannya, daya maju dan
kerelevanannya dengan kemasukan negara anggota yang baru. Sebaliknya, minat
yang meningka terhadap ASEAN dan permintaan yang dibuat untuk menjadi rakan
dialog sektor oleh beberapa negara Asia, Afrika dan Amerika Latin menunjukkan
penghargaan tinggi yang diberikan oleh mereka kepada ASEAN sebagai sebuah
pertubuhan serantau.
Sumber: Portal Rasmi Kementerian
Luar Negeri Malaysia.
No comments:
Post a Comment