Followers

Carian dalam Blog ini

01 February 2010

Bilangan pesakit mental meningkat!!!

Salam 1 Malaysia,

Saya pernah mencadangkan di Blog YAB PM tahun lepas agar pesakit mental yang sering kali kita jumpa dijalanan agar ditempatkan di pusat penjagaan khas agar kebajikan mereka terjaga dan mungkin kerajaan dapat menyediakan doktor pakar khas menangani masalah golongan ini. Saya tidak pasti sama ada pegawai YAB PM ambil maklum atau tidak atas cadangan saya itu. Saya agak terkejut bila membaca laporan oleh Sdr. Nur Seema bahawa terdapat 3 juta rakyat Malaysia yang mengalami gangguan mental. Angka ini amat besar sekaligus boleh menjejaskan pertumbuhan penduduk yang berkualiti seperti mana di sasarkan dalam Dasar 70 juta penduduk pada tahun 2100 oleh kerajaan. Rasanya telah tiba saat dan ketika kerajaan melalui JKM bertindak proaktif dalam menyelesaikan isu ini. Berikut adalah laporan sdr. Nur Seema UUM, Sintok yang patut direnungkan bersama oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

TQ
_____________________________________________________________________

STATISTIK salah satu kajian yang dilakukan mendapati kira-kira tiga juta daripada 26 juta penduduk negara kita mengalami gangguan mental. Misalnya statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ketiga pada 2006, menunjukkan semakin ramai remaja tempatan menderita masalah kesihatan mental berbanding golongan lain. Remaja dikatakan paling ramai mengalami masalah mental kerana mungkin disebabkan oleh tekanan dalam pelajaran, masalah cinta dan gagal mencapai apa yang dicita-citakan mereka.

Semua ini menjadikan mereka tertekan dan sukar mengawal perasaan, seterusnya menyebabkan ada segelintir remaja ini mengambil tindakan bodoh seperti membunuh diri, meminum racun, terjun dari bangunan tinggi dan sebagainya.

Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) menyatakan diskriminasi dan penafian di kalangan orang ramai terhadap penyakit mental adalah satu daripada halangan utama kepada pesakit untuk mendapat rawatan penyembuhan.

Kewujudan gangguan mental di kalangan masyarakat sering dinafikan. Malah di kalangan pesakit yang sedang menjalani rawatan pun seboleh-bolehnya tidak mahu sesiapa pun tahu masalah mereka kerana perkara ini dianggap memalukan. Namun tanggapan negatif dan kurang pengetahuan masyarakat yang menjadikannya begitu.

Bagaimanapun, pesakit gangguan mental sebenarnya sangat memerlukan sokongan dan penerimaan keluarga serta masyarakat. Keluarga yang mempunyai ahlinya yang mengalami gangguan mental seharusnya tidak cepat melatah dengan keadaan itu. Keluarga juga tidak boleh berputus asa dalam usaha membantu pesakit untuk sembuh dan menjadi seperti individu lain yang normal.

Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa jumlah pesakit mental semakin meningkat dan ia membimbangkan semua pihak.


NUR SEEMA,
UUM, Sintok.

1 comment:

aco said...

salam cikgu nikmie,
Memang benar apa yg cikgu katakan.Masalah yg paling utama adalah masyarakat.masyarakat memandang rendah orang yg sebegini sebenarnya.Apa yg pasti dengan kaedah rawatan dan penjagaan jg betul, pesakit mental juga boleh menjalani hidup seperti orang lain malahan lebih berjaya.Untuk pengetahuan cikgu ada pencipta sejarah adalah pesakit mental tanpa mereka sedari.Van Gough contohnya adalah seorang pengidap bipolar disorder.Disebabkan tiada rawatan yang sesuai pada masa itu dia telah membunuh diri kerana dia sendiri tidak memahami keadaannya..Kebolehan yg dikurniakan oleh Allah terhadap org sebegini adalah terlalu istimewa.Jika kita mampu memahami orang sebegini mungkin banyak benda yg mampu kita terokai.....