Ramai warga Malaysia dah takut dengan kebanjiran PATI
Warga pendidik/masyarakat berhadapan dgn remaja sebegini
Pengguna jalan raya sering menghadapi situasi begini
****************************************************************
Mengurus risiko hipertensi
PEMBUNUH senyap, tekanan darah tinggi atau hipertensi kini menjejaskan kehidupan dan kesihatan fizikal lebih satu bilion pesakit di seluruh dunia.
Di Malaysia, dianggarkan lebih 4.8 juta rakyat menghidap hipertensi yang disifatkan sebagai penyakit gaya hidup paling kronik dan 'giat' menyerang negara-negara membangun.
Secara tempatan, hipertensi merupakan faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular (jantung) termasuk merokok, aktiviti fizikal tidak bersesuaian dan keadaan klinikal seperti diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasinya masih boleh dielakkan.
Ia hanya memerlukan disiplin dalam kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal.
Namun mengamalkan disiplin gaya hidup sihat memerlukan perubahan sikap dan kesungguhan dalam melaksanakannya.
"Untuk mencapai objektif ini, perlu ada usaha kolaborasi antara profesional, penggubal polisi, industri itu sendiri dan tentunya pihak media.
"Kerjasama antara kerajaan dan industri sama pentingnya. Seperti contoh, industri farmaseutikal boleh membantu menyediakan ubatan pada kos lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-7 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Prof. Datin Dr. Chia Yook Chin, Presiden MSH, Dr. Azani Mohd. Daud dan Pengerusi Saintifik, Datuk Dr. Azhari Rosman.
Rawatan
Rawatan bagi tekanan darah tinggi sehingga kini terbukti mampu mengelak timbulnya penyakit kardiovaskular dan membantu memperbaiki kualiti kehidupan pesakit.
Malangnya pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa hipertensi kekal sebagai penyakit yang paling lemah pengendaliannya di mana-mana lokasi seluruh dunia.
"Memang ada peningkatan dari segi kadar rawatan kepada pesakit yang disahkan menghidap hipertensi tetapi kadar kawalan masih terlalu rendah," ujar beliau.
Dari segi pengurusan hipertensi, katanya, terapi paling efektif mampu mengawal tekanan darah tinggi hanya jika pesakit berkenaan bersungguh mengambil ubat yang disaran dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya, motivasi meningkat apabila pesakit melalui pengalaman positif disokong oleh hubungan komunikasi baik bersama doktor.
"Perkongsian klinisian (doktor)-pesakit yang berasaskan kepercayaan, hormat dan pengetahuan holistik berhubung pesakit amat penting sekali.
"Pesakit lazimnya mementingkan kemudahan akses, tidak perlu menunggu terlalu lama dan respons positif yang mempengaruhi kepuasan serta komitmen terhadap rawatan diberikan," jelasnya.
Kelab Hipertensi Malaysia
Justeru, peranan pertubuhan profesional seperti MSG amat penting terutama dalam merangka aktiviti dan menyebarkan kesedaran di masyarakat umum mengenai hipertensi.
Sehingga kini pelbagai garis panduan ke arah pengurusan hipertensi yang efektif telah diterbitkan.
Sebagai bahan rujukan yang penting dalam amalan klinikal, garis panduan tersebut harus dibuat berdasarkan fakta dan bukti yang terkini.
Sejajar dengan itu, Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) edisi ketiga Pengurusan Hipertensi diterbitkan dua tahun lalu dan Panduan Rujukan Pantasnya dilancarkan pada Mesyuarat Saintifik MSH tersebut.
"Hipertensi merupakan penyakit membawa maut dan dalam kebanyakan kes, pesakit langsung tidak melalui diagnosis.
"Sedangkan, tekanan darah mesti diperiksa jika peluang itu timbul dan doktor berkenaan harus berusaha membantu pesakit yang disyaki menghidapnya," tambah beliau.
Selain itu, adalah penting bagi pengamal perubatan memaklumkan pesakit tentang pentingnya mengambil ubat dan risiko kesan sampingan bagi mengawal tekanan darah dengan betul.
Pada masa sama, MSH menubuhkan Kelab Hipertensi Malaysia (MHC) terdiri daripada ahli di kalangan pesakit dan penjaga untuk menyebarkan kesedaran dan mempromosi kaedah penjagaan bagi penyakit tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai hipertensi, kunjungi laman web www.msh.org.my atau Kelab Hipertensi Malaysia di http://mhc.msh.org.my.
No comments:
Post a Comment