Followers

Carian dalam Blog ini

26 February 2010

Jadikan contoh... student ku!

Salam to all my student 2010,

Jadikan kejayaan rakan-rakan anda dalam peperiksaan stpm 2009 sebagai perangsang untuk anda juga turut cemerlang nanti. Kesungguhan, ketekunan, keazaman dan kemahuan sendiri yang tinggi untuk berjaya mengatasi segalanya. Renungkanlah faktor-faktor yang membawa mereka ke arah kecemerlangan.

********************************************************

1. Anak penoreh getah dapat 5A

KUALA LUMPUR: “Jika ada kemahuan tidak ada bezanya bagi seorang pelajar untuk mencapai kejayaan walaupun tinggal di bandar atau luar bandar,” kata Nurul Imani Zakaria, 19, yang dipilih sebagai Pelajar Cemerlang Bagi Kategori Luar Bandar dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan semalam.

Beliau yang mendapat 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil berkata, yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan seseorang untuk meraih kecemerlangan dalam pelajaran.

“Tekad saya adalah untuk mengubah kehidupan keluarga dan jalan yang saya lihat adalah melalui pelajaran,” kata anak penoreh getah berasal dari Kampung Panggung, Pasir Puteh, Kelantan.“Saya sudah biasa hidup susah dan sejak kecil sudah mengikut ayah menoreh getah,” kata anak kelima daripada 10 beradik.

Nurul Imani adalah antara 15 pelajar yang dipilih dalam pelbagai kategori bagi menerima anugerah kecemerlangan sempena pencapaian cemerlang dalam keputusan STPM tahun lalu yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak di sini, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, Pasir Puteh itu berkata, beliau menelaah pelajaran lebih empat jam setiap hari.

****************************************************

2. Kemiskinan, kekurangan bukan halangan

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Anak penjual sate, petani, penoreh getah, pembuat pasu dan kerani merupakan antara sembilan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.

Ayu Faridah Nor Azman anak seorang penjual sate, Muhammad Najumuddin Firdaus Abdullah anak seorang petani serta Nurul Imani Zakaria anak seorang penoreh getah diumumkan sebagai pelajar cemerlang kerana memperoleh gred A untuk semua kertas peperiksaan yang diambil dan lulus Gred A untuk lima mata pelajaran.

Yap Jun Fai anak seorang kerani, Yong Kai Yi anak seorang peniaga kecil dan Hoo Xiao Mei anak kontraktor kecilan juga menerima anugerah pelajar cemerlang dengan memperolehi keputusan yang sama.

Apa yang lebih istimewa tiga pelajar cemerlang yang diletakkan dalam kategori istimewa juga datang dari latar belakang keluarga biasa di mana Masmin Mensih pelajar cemerlang kategori rabun, ayahnya Mensih Saidin hanyalah kakitangan Jabatan Perhutanan di Sandakan, Sabah.

Pelajar cemerlang kategori istimewa dari kategori spastik, Muhammad Raizan Ab. Rahman yang mendapat tiga Gred A dan satu C bapanya Ab. Rahman Kassim bertugas sebagai kakitangan kerajaan peringkat sokongan.

Sementara Loh Wei Siong pelajar cemerlang bagi Kategori Buta dan mendapat empat Gred A, bapanya Loh Hua Ming hanya bekerja di kilang sebagai pembuat pasu.

Ayu Faridah dari Tanjung Karang, Selangor di mana bapanya sebagai penjual sate meletakkan keazaman untuk mencapai kecemerlangan dan berharap dapat menjadi pensyarah satu hari nanti merupakan pendorong untuk dirinya berjaya.

''Kejayaan ini adalah berkat doa ibubapa, guru dan usaha yang telah dimulakan sejak memasuki tingkatan enam dengan memastikan belajar sekurang-kurangnya dua jam sehari pada sebelah malam,'' katanya.

Manakala Muhammad Najmuddin yang hanya mengharapkan tunjuk ajar guru dan belajar sahaja tidak menyangka akan mendapat kelulusan cemerlang.

Katanya, kekurangan dari segi kewangan di mana tidak mampu untuk ke kelas tuisyen tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan.

''Apa yang penting ialah untuk mengikuti pelajaran di sekolah dengan tekun dan belajar semula setiap pelajaran yang telah dijelaskan oleh guru berulang kali, itu sahaja formula saya mencapai kecemerlangan dalam STPM,'' katanya.

Sementara Masmin yang menghadapi rabun teruk dan terpaksa membaca buku dengan meletakkannya dua atau tiga inci dari mukanya menegaskan kunci kejayaannya ialah tekun mendengar penjelasan guru di kelas.

Utusan online 26/2/2010

No comments: