Followers

Carian dalam Blog ini

16 February 2010

Teknologi Hijau

APAKAH itu teknologi hijau? Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada.

Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk itu akan selamat digunakan, menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan.

Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Objektifnya termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dan dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi.

Selain itu, teknologi hijau memastikan pembangunan mapan, memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dengan lebih meluas. Teknologi ini mampu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan cuaca dunia.

Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai adalah cuaca melampau seperti cuaca panas yang sedang kita hadapi hari ini. Dasar Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan di negara kita berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Daripada aspek tenaga, teknologi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Daripada aspek alam sekitar pula, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara.

Dalam aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara manakala, aspek sosial pula dapat menyaksikan kualiti hidup rakyat dipertingkatkan. Kita boleh mendapat maklumat selanjutnya dengan melayari laman web http://www.kettha.gov.my/bm/index.asp.

"Bumi tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran dilakukan manusia," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptama di Abu Dhabi pada 18 Januari lalu. Dalam pada itu, sumber tenaga Malaysia dibahagikan kepada dua jenis iaitu tenaga konvensional (tidak boleh diperbaharui) dan tidak konvensional (boleh diperbaharui). Sumber tenaga konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan ia semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan.

Contoh sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad digunakan adalah biojisim dan solar.

Semasa Revolusi Industri di Britain pada abad ke-18 hinggalah ke hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia adalah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional.

Bahan api fosil banyak membantu pembangunan tetapi ramai orang tidak sedar impak penggunaan bahan fosil terhadap Bumi.

Penggunaan bahan bakar fosil yang semakin meningkat berperanan besar dalam fenomena pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida (CO2) ke udara dan seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangkan bilangan manusia yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melindungi Bumi, pemimpin dunia memperkenalkan tenaga alternatif bagi menggantikan bahan bakar fosil yang merbahaya.

Terdapat pelbagai bahan boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar (matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim kelapa sawit. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun.

Justeru, kita boleh memanfaatkan cahaya matahari sebagai sumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat matahari untuk jangka masa panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan.

Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta boleh disimpan untuk penggunaan elektrik pada waktu malam. Ia juga boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lampu tiang yang banyak terdapat di Malaysia.

Tenaga hidro berasal dari air mengalir dan boleh diubah menjadi tenaga elektrik. Tenaga ini menampung keperluan pertanian. Tanah Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna telah menjadikan negara kita sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang berterusan.

Hampir 90 peratus daripada sumber tenaga yang diperbaharui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai.

Kelebihan tenaga ini termasuklah ia percuma. Air juga dapat disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang mencemarkan. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin, matahari dan gelombang, selain boleh digunakan sebagai bahan api yang menggerakkan kenderaan.

Biofuel juga merupakan bahan bakar alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel dapat dihasilkan secara langsung dari tanaman atau industri, komersial, domestik, atau pertanian.

Secara kesimpulannya, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan g berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan.

No comments: