Followers

Carian dalam Blog ini

31 March 2010

Kajian Luar 2010



Ambo mencuba tunggang gajah..



Pak belang yang diawetkan.. (mati terjerat)



Spesies kian pupus..



Anak didik ambo..group geo stpm 2010



group semai kesedaran cintai alam sekitar


Satu kajian luar telah ambo bersama group tingkatan 6 (geo+bio) jalankan di Hutan Rezab Krau Lanchang Pahang. Banyak info bermanfaat telah kami perolehi.. insyallah akan saya uploadkan nanti laporan kajian untuk dikongsi dengan pelajar stpm yang lain.

Janjikan bukan jaminan.....

Model Ekonomi Baru janjikan kemakmuran dikongsi semua kaum

2010/03/31

MODEL Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan semalam bakal mengubah senario ekonomi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan memacu pertumbuhan melalui program tranformasi dan andainya tiada berlaku atau berulangnya kemelesetan ekonomi dunia yang teruk dalam tempoh sedekad akan datang, laluan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 akan berada di landasan betul. Datuk Seri Najib Razak sudah menggarapkan inti pati menjadi sebuah negara maju dengan pelbagai pendekatan drastik dan berani, yang menuntut semua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan semua melalui pendekatan yang lebih agresif, spesifik dan jelas. Antaranya sasaran melonjakkan kuantum pendapatan tahunan per kapita kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun akan datang, berbanding AS$7,000 sekarang selain meningkatkan kualiti pekerja dan pada masa sama mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, yang selama ini menjadi nadi kepada pertumbuhan sektor peladangan dan perusahaan. Di sini jelas iltizam politik yang amat kuat daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri, tetapi persoalannya bersediakah rakyat kita untuk menyahut cabaran itu. Apabila per kapita dilonjakkan sekali ganda, sejajar usaha mewujudkan negara berpendapatan tinggi, bermakna upah pekerja lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi, sekali gus menuntut produktiviti tinggi.

Upah yang tinggi juga termasuk bagi pekerja asing dan ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak mahir sebaliknya, lebih tumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Apa yang melegakan terutama bagi masyarakat Bumiputera ialah semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan selama 40 tahun, terus diperjuangkan melalui dasar afirmatif yang diperbaharui dan dilaksanakan berdasarkan mesra pasaran, berdasarkan merit, telus dan berdasarkan keperluan, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik. Kali ini tumpuannya lebih khusus iaitu terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah. Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara atau pendeknya rakyat menikmati kualiti hidup lebih tinggi. Itulah hasrat negara maju bernama Malaysia dengan tidak meminggirkan rakyat miskin, tetapi pada masa sama, amalan ‘patronage’ dihentikan, kerana ia mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah DEB selama ini. Kita berharap pelancaran MEB itu sebagai satu era baru bagi negara ke arah tranformasi menyeluruh termasuk bagi menggerak kemasukan pelaburan asing dan menaik taraf serta membawa masyarakat perniagaan ke peringkat global.

Selepas ini apa yang diharapkan ialah pelaksanaan MEB itu sendiri yang tidak harus dihambat oleh pelbagai kerenah atau prosedur yang sudah tidak lagi relevan.

Asid alfa lipoik anti oksida serba boleh

Asid alfa lipoik merupakan nutrien anti oksida yang dihasilkan oleh tubuh dan ia membantu menukar glukosa dalam darah kepada tenaga. Sebagai anti oksida ia adalah bahan yang melawan radikal bebas, iaitu sisa produk yang terhasil dalam tubuh. Penghasilan radikal bebas ini akan menyebabkan tindakbalas kimia yang berbahaya yang merosakkan sel-sel dalam tubuh. Kesannya, ia menyukarkan atau melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan, selain merosakkan organ-organ dan tisu-tisu tubuh. Di kalangan penghidap diabetes, penghasilan radikal bebas mungkin lebih ketara berbanding dengan orang yang normal. Sebab itulah masalah kebas, rasa mencucuk, pedih atau sakit terutamanya pada kaki akibat terjejasnya kesihatan saraf akan lebih ketara di kalangan penghidap diabetes.

Walaupun seseorang itu bukan penghidap diabetes, anda masih boleh memperolehi manfaat darinya memandangkan ia bersifat anti oksida yang berguna untuk melawan kesan radikal bebas. Berbanding dengan anti oksida lain yang berkesan hanya dalam persekitaran berair (seperti vitamin C) atau tisu-tisu berlemak (seperti vitamin E), asid alfa lipoik bertindak dalam kedua-dua persekitaran ini. Ini bermakna ia boleh bekerja di seluruh tubuh. Selain itu, bukti menunjukkan asid alfa lipoik boleh membantu memulih anti oksida ini dan menjadikan mereka aktif semula.

Berdasarkan laporan Science Daily pada Mei 2007, asid alfa lipoik didapati memperlahankan proses penuaan pada haiwan dengan memperbaiki pengaliran darah dan menguatkan sistem imun serta memberi kesan kepada beberapa faktor yang terlibat dalam penuaan. Hasil penyelidikan yang dibentangkan semasa persidangan mengenai diet dan kesihatan di Universiti Oregon State mendedahkan bahawa nutrien ini membantu mengekalkan paras glutation, iaitu kompaun anti oksida pelindung dan detoksifikasi. Ia juga bertindak sebagai agen anti-radang dan ia sesuai dengan pelbagai penyakit degeneratif.

Asid alfa juga merupakan anti oksida yang boleh memainkan peranan dalam melindungi sel-sel hati daripada kerosakan radikal bebas serta turut membantu vitamin-vitamin B dalam penghasilan tenaga daripada metabolisme karbohidrat, protein dan lemak.

Utusan online 28/2/2010

30 March 2010

Perlembagaan teras kemakmuran negara

Oleh Mohamad Sofee Razak

2010/03/30
PERLEMBAGAAN didefinisikan sebagai kumpulan peraturan atau undang-undang utama sama ada bertulis atau tidak bertulis di mana ia adalah peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah negara ditadbir dan diurus dengan teratur.
Ia juga menjadi neraca atau kayu ukur penting dalam menentukan pembahagian kuasa antara bidang pemerintahan dan pelaksanaannya.

Oleh demikian, perlembagaan ialah aset undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan negara dan sumber utama bagi menggubal undang-undang yang lain.

Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mengandungi 183 perkara adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi dokumen terpenting dalam bentuk undang-undang bertulis yang berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi detik bersejarah dan langkah pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri selepas empayar British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957.
Untuk tugas dan agenda penggubalan perlembagaan yang melahirkan Malaysia seperti mana pada hari ini, British telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja terdiri daripada wakil kerajaan British, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin parti politik utama ketika itu.

Pada Mac 1956, satu suruhanjaya perlembagaan diketuai Lord Reid sebagai pengerusinya bersama-sama Ivor Jennings, Sir William McKell, B Malik dan Hakim Abdul Hamid, telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang kekal sehingga ke hari ini.

Maka lahirlah Memorandum Perlembagaan yang dikenali sebagai Pakatan Murni itu adalah satu konsensus kontrak sosial iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam (Perkara 3), kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan hak kerakyatan sama rata.

Ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas utama pembentukan negara Malaysia. Realiti sejarah ini perlu difahami dan dihayati agar keluhuran perlembagaan terjamin serta dihormati oleh semua rakyat di negara ini.

Raja-raja Melayu misalnya mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia.

Sehubungan itu, tindakan pihak tertentu sejak kebelakangan ini mempertikai dan mempersoalkan perkara berkenaan di laman Internet seperti portal berita, blog, medium komunikasi sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat dan jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan, pergolakan dan persengketaan antara kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara kita.

Aspirasi perlembagaan persekutuan yang akomodatif juga didasarkan demokrasi berparlimen, mesyuarat dwidewan dan kewujudan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat serta berupaya melahirkan suatu rupa bangsa yang sama bagi seluruh Persekutuan dan dalam masa sama memiliki seorang ketua negara iaitu Perdana Menteri yang berkarisma bagi sebuah negara yang berdaulat.

Dalam pada itu, untuk meminda perlembagaan yang wujud hari ini, satu majoriti dua pertiga (2/3) diperlukan di Parlimen dan berdasarkan rekod yang ada undang-undang tertinggi ini telah dipinda sebanyak 42 kali sejak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005.

Sejak merdeka, banyak isu sensitif lain berkenaan Perlembagaan Persekutuan dibangkit dan dibincangkan seperti dalam Perkara 5 (Kebebasan diri), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), Perkara 11 (Kebebasan agama), Perkara 12 (Hak-hak berkenaan pelajaran), Perkara 38 (Majlis Raja-Raja), Perkara 70 (Keutamaan Raja dan Yang Dipertua Negeri), Perkara 72 (Keistimewaan Dewan Negeri), Perkara 89 (Tanah rizab orang Melayu), Perkara 90 (Peruntukan khas mengenai tanah adat di Negeri Sembilan, Melaka dan tanah pegangan orang Melayu di Terengganu).

Lebih membimbangkan apabila wujudnya trend yang cuba mempertikaikan Perkara 181 (Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja) dan Perkara 183 (Tiada tindakan yang boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja kecuali dengan keizinan negara).

Sebagai perbandingan sejarah Islam telah merekodkan Nabi Muhammad s.a.w dalam usaha mewujudkan persefahaman antara pelbagai kelompok dalam masyarakat Madinah pada waktu itu, terbentuklah perlembagaan pertama yang dikenali sebagai Sahifah iaitu kanun tingkah laku atau piagam yang memperincikan hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat

Catatan mengenai Perlembagaan ini banyak diterangkan oleh sarjana Islam seperti Ibn Ishaq, Abu Ubaid, Ibn Kathir, Ibn Abi Kyathaman dan lain-lain dalam banyak bahan penulisan dan kritikan mereka.

Perlembagaan Madinah turut merangkumi asas hubungan dan penyatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar, termasuk beberapa fasal penting mengenai perjanjian dengan kaum Yahudi.

Antara lain fasal mengenai jaminan agama dan harta serta peruntukan mengenai kewajipan masing-masing terhadap negara dan kaum lain. Jumlah keseluruhan fasal yang terkandung di dalam Piagam Madinah ini adalah 47 fasal di mana 24 daripadanya menyentuh peruntukan hak dan kewajipan orang Yahudi, kelompok minoriti bukan Islam.

Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban Islam ini adalah manifestasi pendirian Islam berteraskan prinsip keadilan yang tercermin melalui sikap dan peribadi Rasulullah yang bersedia berunding dan menjamin hak masyarakat bukan Islam di Madinah.

Oleh yang demikian, dapat difahami dan dihayati bahawa kepentingan dan keluhuran perlembagaan kepada negara kita ialah bagi menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik.

Malah, dapat menentukan rangka, bentuk pemerintahan dan kuasa untuk menerajui kerajaan, menjamin pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Di samping itu, mampu menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.

Perlembagaan juga dapat menggariskan kebebasan dan hak asasi warga negara seperti kebebasan diri, kebebasan bercakap, memiliki harta dan beragama.

Perlembagaan menjadi penentu batasan untuk menjaga keselamatan, kemakmuran rakyat dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar di samping dapat memupuk unsur taat setia kepada negara.

Seseorang itu akan dilucutkan kerakyatannya jika kerajaan mendapati seseorang itu tidak setia atau telah memperoleh kerakyatan negara lain.

Kepentingan perlembagaan juga ialah agar dapat memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum, hak kebebasan asasi manusia dihadkan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum.

Keluhuran perlembagaan juga merangkumi aspek penting dan serius agar hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan sesuka hati sebagaimana yang telah dipersetujui dalam pembentukan awal Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Apa yang paling penting Perlembagaan menjadi landasan bagi mewujudkan iklim integrasi nasional dalam usaha mempercepatkan lagi proses pembentukan negara bangsa yang bersatu padu dan dihormati tanpa membelakangkan prinsip agama dalam segala aspek kehidupan.
Penulis ialah seorang peguam

28 March 2010

27 March 2010

Institut Integriti Malaysia (IIM)

Latarbelakang


Institut Integriti Malaysia (IIM)( merupakan idea YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau mengisytiharkannya pada 5 November 2003. ia ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat. IIM ditubuhkan bagi melengkapkan usaha-usaha pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendaftaran IIM telah pun diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan berkuat kuasa 4 Mac 2004.

Visi
Membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti di mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang murni.

Misi
Melaksanakan objektif, strategi dan program peningkatan integriti warga Malaysia dalam semua aspek kehidupan.

Objektif
Sebagai jentera pelaksana Pelan Integriti Nasional (PIN) ke arah membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.

Falsafah
Meningkatkan integriti sebagai suatu cara hidup rakyat Malaysia melalui amalan prinsip-prinsip etika. Pendekatan falsafah ini akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia merangkumi sektor awam, sektor swasta, sektor politik, pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan dan masyarakat umum.

Peranan
Antara peranan yang dipikul oleh IIM ialah:

  • Mengendalikan penyelidikan berkaitan dengan integriti institusi dan masyarakat;
  • Menganjurkan persidangan, seminar dan forum;
  • Menghimpun pendapat pelbagai sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti;
  • Menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan bercetak, menggubal melaksanakan program-program latihan dan pendidikan;
  • Mengemukakan perakuan-perakuan dasar bagi peningkatan integriti dan etika;
  • Membangunkan pangkalan data mengenai integriti dan etika;
  • Memberikan khidmat nasihat kepada Kerajaan mengenai program-program dan strategi-strategi bagi meningkatkan integriti; dan
  • Mewujudkan jaringan dengan organisasi-organisasi antarabangsa bagi membolehkan peranan dan sumbangan IIM diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dasar Kualiti
IIM adalah komited untuk menerapkan integriti dan profesionalisme sebagai teras budaya kerja

Slogan
Membudayakan integriti masyarakat Malaysia

http://www.iim.com.my/v3/st_corporate/index.php


Tekanan darah tinggi di kalangan rakyat Malaysia

Utusan Malaysia, 21/3/2010

GAYA hidup sihat seperti melakukan senaman dapat mengurangkan masalah tekanan darah tinggi.


Lebih 17.2 juta manusia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit kardiovaskular, dengan itu menjadikannya penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Penyakit tekanan darah tinggi semakin meningkat di Malaysia sepanjang 10 tahun kebelakangan ini dan kini membabitkan kira-kira 4.8 juta rakyat Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Kira-kira 43 peratus rakyat Malaysia yang berumur melebihi 30 tahun menderita penyakit kronik ini, iaitu peningkatan daripada 33 peratus yang direkodkan pada tahun 1996, tambah beliau dalam ucapan pembukaan di Mesyuarat Tahunan Saintifik Ketujuh Persatuan Hipertensi Malaysia.

Di Malaysia, penyakit jantung dan penyakit yang berkaitan peredaran pulmonari merupakan penyebab utama kematian di hospital-hospital kerajaan. Presiden Persatuan Jantung Nasional (NHAM) Dr. Sim Kui Hian berkata negara ini kehilangan beribu-ribu orang yang masih dalam lingkungan umur produktif setiap tahun akibat diserang oleh penyakit-penyakit kardiovaskular.

Bagaimanakah Kita Boleh Mengawal Tekanan Darah Kita?

“Pemeriksaan tekanan darah secara kerap di rumah untuk sentiasa mengamati paras tekanan darah kita.

“Mereka yang mengambil ubat anti hipertensi hendaklah terus mengambilnya setiap hari dan jangan lupakan ia atau berhenti mengambilnya tanpa terlebih dahulu meminta nasihat doktor.

Cara Untuk Mengelak Daripada Serangan Darah Tinggi

  • Jangan merokok
  • Kekalkan berat badan yang sihat
  • Bersenam secara kerap
  • Semua orang dewasa yang sihat dalam lingkungan umur 18-65 tahun seharusnya mendapat sekurang-kurangnya 30 minit kegiatan senaman yang sederhana lima hari seminggu.
  • Makan makanan yang sihat
  • Makan lebih banyak buahan dan sayuran yang segar
  • Kurangkan pengambilan garam
  • Kurangkan makanan bergoreng; pilihlah makanan yang dikukus, panggang atau dibakar
  • Kurangkan pengambilan makanan yang sarat dengan kolesterol.
  • Ambillah suplemen Koenzim Q10 (CoQ10)
  • Apa Itu CoQ10?

    Koenzim Q10 (CoQ10) ialah sejenis jisim yang menyerupai vitamin dijumpai di dalam setiap sel dalam badan manusia. CoQ10 adalah perlu untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular. Para saintis mendapati jantung kita mengandungi 10 kali lebih banyak CoQ10 berbanding mana-mana organ lain dalam badan. Ini kerana jantung kita adalah organ yang paling kuat bekerja sebab ia berdegup kira-kira 100,000 kali sehari. Tidak ada satu degupan pun boleh berlaku tanpa wujudnya tenaga.

    Menjana tenaga yang banyak tidak menjadi masalah semasa kita masih muda. Badan dapat mengeluarkan semua CoQ10 yang diperlukan oleh jantung, tetapi apabila kita semakin tua, badan akan mengeluarkan semakin sedikit CoQ10. Pada peringkat umur 50-an atau 60-an, jantung kita akan mengalami kebuluran tenaga. Sebaik sahaja keadaan ini berlaku, jantung tidak lagi mampu bekerja dengan cekap serta tidak berupaya untuk menyampaikan semua oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh organ dan tisu di seluruh badan. Akibatnya, kita akan berasa letih dan tidak bermaya.

    Manfaat CoQ10 Untuk Kesihatan Jantung

    Banyak penyelidikan telah dilakukan terhadap CoQ10 tetapi hasil yang paling menarik ialah yang dicapai dalam bidang kardiologi.

    Pada tahun 1972, Dr. Karl Folkers (dikenali sebagai “Bapa CoQ10" kerana kajian mendalam beliau mengenai CoQ10) dan Dr. Gian Paolo Littarru membuktikan mereka yang menghidapi penyakit jantung seringkali adalah mereka yang juga kekurangan CoQ10. Paras kekurangan CoQ10 telah pun dimantapkan dengan amat jelas dalam kes-kes kegagalan jantung kongestif dan kardiomayopati (otot jantung yang berpenyakit) yang merupakan penyakit yang melibatkan otot jantung itu sendiri.

    Apabila otot jantung lemah, ia tidak dapat mengepam semua darah yang diterima daripada badan. Juga, apabila otot jantung itu lemah, ia memerlukan lebih banyak jumlah nutrien yang mesti disalurkan ke sel-sel jantung supaya ia dapat mencipta tenaga. Salah satu nutrien yang paling penting ialah CoQ10. Dengan mengambil suplemen CoQ10, maka otot jantung yang lemah itu dengan mudahnya dapat menambah semula simpanan CoQ10-nya. Ini membolehkan otot jantung menjana lebih banyak tenaga dengan itu memperbaiki keadaannya yang lemah itu.

    Koenzim CoQ10 merupakan suatu rawatan yang berkesan bagi mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, menurut satu ujian klinikal yang diterbitkan dalam majalah Southern Medical Journal (2001; 94:112-7).

    Mengikut kata Dr. Peter H Langsjoen, M.D., F.A.C.C. (Doktor, Ahli Biokimia dan Penyelidik), “Dari pengalaman klinikal saya, kekurangan CoQ10 adalah penyebab kepada kekakuan otot jantung, yang akan menyebabkan badan bertindak balas dengan adrenalin. Dan seterusnya akan menyebabkan tekanan darah tinggi”.

    Terdapat beberapa penyelidikan berkaitan CoQ10 dan semuanya menunjukkan peningkatan fungsi otot jantung dan lama kelamaan menurunkan tekanan darah.

    Manfaat daripada CoQ10 untuk jantung kini merupakan suatu fakta yang telah pun diterima ramai di kalangan para doktor pada hari ini. Banyak kajian menunjukkan kebaikan yang konsisten dalam kefungsian jantung di kalangan para pesakit yang mengambil CoQ10. Adalah penting kita menyedari bahawa CoQ10 itu digunakan untuk menyokong rawatan-rawatan tradisi dan bukan sebagai penggantinya.

    Bukan Semua Suplemen CoQ10 Adalah Sama

    Bentuk tradisi suplemen CoQ10 adalah tidak mudah diserap oleh badan (serbuk CoQ10 yang diampaikan dalam minyak soya - kapsul gel lembut, tablet yang berasaskan serbuk, kapsul gelatin keras yang diisikan dengan serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, lagipun ia tidak larut dalam air dan juga susah hendak larut dalam lipid, dengan itu membuatkannya sukar untuk badan menyerapnya.

    Bagaimanapun, kini terdapat suatu bentuk CoQ10 yang ‘larut air’ (hydrosoluble) diperbuat dengan menggunakan teknologi “BioSolv” yang telah dipatenkan. Proses ini dapat mengecilkan saiz zarah daripada 25-70 mikron menjadi hanya 0.3 mikron - iaitu lebih kecil daripada seekor bakteria! Kebiasaannya, lagi kecil saiz sebutir zarah maka lagi baik penyerapannya. Apa yang tidak diserapi ke dalam aliran darah tidak dapat digunakan oleh badan.

    Peta minda Tony Buzan




    SUATU hari, ketika berada di dalam tren di kota London, Tony Buzan terdengar perbualan seorang kanak-kanak perempuan dengan ibunya. Tren yang dinaiki pada pagi itu bergerak pada kadar kelajuan luar biasa.

    "Mak, alangkah baiknya kalau tren ini boleh bergerak pantas sehingga masuk ke hari esok bukan?" tanya anak kecil itu dengan seronok.

    Imaginasi luar biasa anak berusia empat tahun itu bagaimanapun dibalas dengan teguran dan pukulan oleh ibunya. "Jangan fikir yang bukan-bukan!" tegur si ibu.

    Senario itu bagi Buzan, jelas merupakan satu contoh klasik bagaimana masyarakat umum mentakrif khayalan sebagai sesuatu yang tidak bagus, sekali gus menolak tabiat itu mentah-mentah.

    Pengasas teknik pembelajaran terkemuka, Peta Minda itu sebaliknya kagum dengan kredibiliti khayalan si kecil tersebut. Sebabnya, beliau percaya setiap anak memiliki kebijaksanaan kreatif yang boleh diasah dan kreativiti itu lazimnya bermula dengan khayalan.

    "Khayalan atau imaginasi itu penting. Setiap genius juga berkhayal. Malah, saintis terkemuka, Albert Einstein sendiri pernah mengakui imaginasi adalah elemen penting di sebalik kebanyakan kejayaan penemuan sainsnya.


    POTENSI dan fungsi otak lebih jauh daripada yang dijangkakan.


    "Jadi, saya rasa si ibu tadi tidak patut menyerang anaknya. Sebaik-baiknya, si anak harus digalakkan meluahkan khayalan itu dan lakarkan sebuah peta minda mengenainya," katanya kepada ratusan audiens pada ceramah di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands baru-baru ini.

    Memiliki lebih tiga dekad pengalaman dalam mengkaji potensi dan fungsi otak, Buzan mendapati otak sebenarnya bersifat sinergetik. Maksudnya, kedua-dua belah otak perlu bekerjasama bagi memperoleh keberkesanan maksimum. Percaya bahawa potensi setiap orang untuk mahir dan maju dalam semua bidang, segala-galanya berkemungkinan jika seseorang mengikut formula yang betul.

    Malangnya, manusia telah menggunakan pendekatan yang salah dengan mengehadkan daya imaginasi dan keupayaan mereka untuk mengaitkan banyak perkara.

    Lelaki berusia 68 tahun itu juga pernah berkata: "Semakin penyayang, baik hati, terpelajar ataupun berwawasan seseorang itu, semakin cepat dia 'jatuh' jika mengikut formula yang salah."

    Pemikiran linear

    Kata-kata beliau itu bukan tidak berasas. Sambil menyifatkan sistem pendidikan di kebanyakan negara telah mengunakan formula yang salah, beliau sendiri mengakui situasi sama turut melanda negara kelahirannya, Britain.

    "Hampir 80 peratus daripada warga Britain telah menggunakan formula yang salah khasnya golongan kanak-kanak.


    CONTOH Peta Minda yang dipraktiskan oleh individu ilham Tony Buzan.


    "Malangnya, sistem pendidikan yang diikuti oleh kebanyakan orang telah membentuk pemikiran manusia yang lebih linear dan bukannya kreatif ataupun inovatif. Pemikiran linear itu hanya membolehkan manusia berfikir tentang satu siri perkara tunggal dalam satu arah," katanya sambil memberitahu satu-satunya jalan penyelesaian sekarang adalah beralih kepada pendekatan yang lebih efektif.

    Pernah sekali, Buzan menyaksikan sekitar 50,000 orang kanak-kanak yang menonton konsert The Beatles mampu mendendangkan lagu-lagu tersebut walaupun selepas konsert itu tamat.

    Kejadian itu nyata cukup terkesan di dalam mindanya. Sebabnya, beliau yakin pendedahan dan pembelajaran menyeronokkan seperti konsert itu sebenarnya mampu mempertingkatkan memori seseorang kanak-kanak.

    Populariti Buzan mula meletup sekitar 1970-an selepas beliau memperkenalkan teknik Peta Minda menerusi buku pertamanya, Use Your Head. Hakikatnya, Peta Minda lahir daripada pengalaman peribadinya.

    Cara otak berfungsi

    Sewaktu berada di universiti pada lingkungan usia 20-an, Buzan mendapati tahap pembelajaran dan memorinya bertambah teruk biarpun lambakan nota yang diperlukan telah disalin.

    Namun, klimaks pencarian jawapan untuk masalahnya itu berlaku apabila beliau cuba mendapatkan bahan bacaan mengenai fungsi otak di perpustakaan. Sayang sekali, bahan-bahan yang dicari itu tiada dan Buzan sebaliknya diarahkan ke bahagian psikologi oleh pustakawan.

    Sedar akan ketiadaan bahan bacaan seperti itu dan gagal mengenal pasti punca kepada masalahnya, dia mula mengkaji cara otak berfungsi. Pada ketika itulah baru beliau nampak satu masalah besar pada nota-nota tersebut.

    "Nota-nota saya nampak tidak berwarna-warni dan bosan! Patutlah saya tidak ingat!" ceritanya kepada Kosmo! sambil mengakui beliau memasang impian untuk menjadi orang yang bijak.

    Malah, satu statistik ringkas juga pernah mendedahkan manusia melupakan 80 peratus daripada maklumat terperinci bahan yang dipelajari dalam tempoh 24 jam.

    Buzan kemudiannya bereksperimen dengan ringkasan dan memadatkan nota-nota ke dalam kata kunci utama serta konsep. Ringkasan bergelar Peta Minda yang pada asalnya direka untuk membantu memperbaiki tahap memori diri itu kini menjadi antara peralatan paling popular dalam kalangan golongan pendidik.

    Teknik pembelajaran Peta Minda membolehkan kita melihat imej dan jalinan-jalinan pengetahuan secara serentak. Rangkaian imej dan jalinan kaitan di antaranya sekali gus memudahkan pembaca mengingati sejumlah maklumat dalam masa yang singkat.

    Nota Peta Minda

    Peta Minda lazimnya bermula dengan satu imej di tengah-tengah kertas sama ada menggunakan lakaran tangan mahupun perisian komputer. Daripada imej tengah atau konsep pusat, ia memancar keluar seakan-akan cabang-cabang pokok ataupun urat-urat darah yang mengalir dari jantung. Cabang-cabang atau urat-urat itu melambangkan apa yang terkandung di dalam fikiran anda.

    "Saya dapati daya ingatan bertambah baik apabila pelbagai warna dan imej digunakan untuk mencatatkan nota pada Peta Minda," tambahnya.


    KONSEP, warna dan imej dapat membantu meningkatkan keupayaan fungsi otak. - Gambar hiasan


    Tidak hanya terhad kepada satu-satu subjek pembelajaran, Peta Minda sesuai diaplikasikan dalam apa juga bidang, baik untuk matematik, geografi, sejarah mahupun bagi tujuan menilai sesuatu situasi dan masalah.

    Selain diaplikasikan oleh golongan masyarakat normal, Buzan turut menyarankan agar teknik Peta Minda diperkenalkan kepada kelompok masyarakat istimewa. Golongan yang mengalami masalah pembelajaran seperti disleksia dan autistik didapati lebih mudah menyerap sesuatu tugasan setelah didedahkan kepada teknik tersebut. Lebih-lebih lagi dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.

    Seorang pensyarah kanan di IAB, Audrey Lim Bee Yoke yang ditemui Kosmo! berkata, beliau telah mencuba sebahagian daripada aspek integrasi fungsi kedua-dua belah otak anak autistiknya.

    "Saya gunakan konsep, warna dan imej seperti yang disarankan oleh Buzan kerana saya percaya otak seharusnya berfungsi secara sinergetik dan bukan hanya tertumpu kepada sebelah otak. Memang dia memberi tindak balas terhadap warna yang digunakan," katanya sambil memberitahu usaha tersebut adalah sebahagian daripada beberapa intervensi untuk anaknya.

    Buzan yang dilantik sebagai Resident Thinker di Kolej Wellington, Britain, memberitahu, Peta Minda boleh diperkenalkan kepada anak seawal usia setahun. Malah, teknik tersebut dikatakan telah dipraktikkan oleh si kecil sejak dalam kandungan ibu.

    Hari ini, teknik tersebut digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia termasuk syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Dengan 98 buah buku nukilannya yang mencecah jualan jutaan naskhah di seluruh dunia, Buzan kini boleh tersenyum puas.

    Menerusi kejayaan bukunya yang diterbitkan di lebih 150 buah negara dan diterjemahkan ke dalam 30 bahasa, siapa lagi yang layak digelar guru pembangunan otak dan kreativiti jika bukan Buzan.


    Tony Buzan


    Kehadirannya di Malaysia kali ini sebenarnya bersebab. Buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan dalam versi Bahasa Malaysia yang pertama dilancarkan sempena program Meneroka Minda-Minda Hebat anjuran IAB.

    Ia merupakan satu siri daripada empat buah buku Buzan terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. yang akan dilancarkan pada tahun ini. Tiga buah buku yang lain ialah Buku Memori, buku Peta Minda dan Peta Minda untuk Bisnes.

    Belum bercadang untuk meninggalkan dunia penyelidikan fungsi otak, Buzan ingin terus memberi inspirasi bahawa dengan formula yang betul, bahawa imaginasi juga boleh menjadi realiti.

    26 March 2010

    Anjakan Paradigma + Transformasi Minda = Transformasi Negara

    26 Mac, 2010 16:26 PM

    Penjawat Awam Harus Laksana Transformasi Minda Untuk Transformasi Negara

    KUCHING, 26 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini perlu bersedia untuk melakukan tranformasi minda sejajar dengan tuntutan untuk melaksanakan agenda negara yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias berkata peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.

    Beliau berkata transformasi penting bagi mempertingkatkan mutu pentadbiran, memperkukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian dan merealisasikan matlamat negara seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

    "Transformasi harus dimulakan dengan transformasi minda dan nilai-nilai yang perlu diterapkan dalam minda transformasi kendiri iaitu inovasi, berpretasi tinggi, ketepatan, berilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, dan kebijaksanaan.

    "Penjawat awam perlu memiliki pemikiran yang kreatif dan inovatif kerana kesepaduan minda yang tepat dapat menghasilkan tahun yang berjaya bagi negara," katanya dalam majlis Ceramah Eksekutif bertajuk " Transformasi Minda Dalam Menghadapi Cabaran Global" di Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Jumaat.

    Dr Ismail berkata transformasi minda mampu meningkatkan usaha dan komitmen setiap individu untuk menilai dan mengubah cara berfikir dan menguruskan fikiran mereka ke arah pemikiran yang terkedepan untuk membuat keputusan terbaik.

    Selain itu, beliau berkata transformasi minda dapat mempertingkatkan komitmen setiap individu untuk menilai dan mengubah kehendak dan keinginan kendiri sesuai dengan persekitaran dan situasi semasa yang bersifat bukan egosentrik dan tidak rasional.

    "Transformasi minda akan membolehkan setiap penjawat awam untuk mengurus kecerdasan emosi demi mengerat perhubungan antara manusia selaras dengan peraturan kemanusiaan dan ketuhanan demi kepentingan dan kehormanian bersama," katanya.

    -- BERNAMA

    23 March 2010

    Lulusan STPM, SPM perlu terokai kursus mencabar


    KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 telah diumumkan.

    Seiring itu, institusi pendidikan awam dan swasta mula berlumba-lumba mengiklankan kursus masing-masing, dari peringkat sijil hinggalah ijazah.

    Keadaan sekarang tidak seperti 15 tahun lalu. Ketika itu hanya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang membuat pengiklanan, sementara hanya beberapa buah sahaja Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang baru tumbuh mempamerkan keistimewaan masing-masing.

    Namun kini bukan sahaja IPTS yang galak mempelawa pelajar lepasan SPM atau STPM memilih pusat pengajian mereka, tetapi IPTA juga memainkan peranan berlipat ganda dengan tujuan untuk menambah bilangan pelajarnya.

    Keadaan ini tidak mengambil kira pelbagai karnival pendidikan, ekspo pendidikan dan beberapa acara lain sebagai promosi memperkenalkan program masing-masing serta sebagai platform kepada sesiapa sahaja, termasuk pelajar asing, mendapatkan maklumat kursus yang ditawarkan.

    Ini menunjukkan Malaysia semakin aktif untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan serantau dan sekali gus membuka banyak peluang sosioekonomi tempatan.

    Namun di sebalik keghairahan ini dilihat satu impak negatif akan muncul jika kita terlepas pandang mengenainya. Apakah kesemua kursus yang ditawarkan menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak?

    Apakah masih ada graduan yang bekerja nanti di luar kelayakan ijazah bidang mereka? Peratus golongan menganggur semakin tinggi atau sebaliknya? Adakah keperluan permintaan pekerjaan tersebut melebihi penawaran yang ada atau sebaliknya?

    Persoalan-persoalan ini tidak mudah diketepikan kerana banyak kursus yang sama ditawarkan oleh semua IPT. Sebagai contoh, apabila kerajaan mengatakan negara kekurangan jururawat berdaftar, pelbagai kolej muncul untuk menawarkan kursus kejururawatan.

    Dahulu kita lihat kursus Teknologi Maklumat menjadi sebutan ramai. Kursus lain dipandang sepi dan bukan menjadi daya penarik lagi. Akibatnya banyak kursus tidak dikembangkan dengan alasan tidak mendapat permintaan tinggi. Namun adakah ini suatu akibat atau hakikat, apabila pengangguran mungkin berlaku kepada graduan dalam bidang tersebut pada masa akan datang?

    Sudah tiba masanya pelajar sendiri mempelajari, mengkaji, mendapatkan pandangan serta meneroka lebih jauh masalah ini. Memilih kursus yang glamor, senang dipelajari atau mudah untuk mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman, sepatutnya diketepi awal-awal lagi.

    Terokai bidang baru yang lebih mencabar dengan peluang pekerjaan yang tinggi serta lebih professional. Dengan erti kata lain, menceburi sektor pekerjaan yang sukar mendapat pekerja. Sebagai contoh bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Egronomic merupakan bidang yang wajar dipilih kerana peluang kerjaya ini luas tetapi masih belum dikuasai oleh ramai orang terutama golongan muda.

    Prospek kerjaya ini bukan hanya setakat diploma atau ijazah tetapi layak memperoleh sijil NIOSH atau buku hijau (green book) setelah mempunyai tiga tahun pengalaman bekerja.

    Manakala peluang pekerjaan pula, bukan sahaja dalam industri pembinaan, pembuatan atau minyak dan gas, tetapi sebenarnya merangkumi keperluan semua industri iaitu tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Terokailah dunia kerjaya yang lebih mencabar dan berlainan supaya masa depan anda lebih terjamin.

    SHARIFAH ROSNAH SYED MAHMUD

    Lanchang, Pahang

    22 March 2010

    Memastikan kemapanan sumber air sejagat


    Oleh Jami'ah Shukri
    jamia@bharian.com.my
    2010/03/22

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan empat bilion kes penyakit cirit-birit dan penyakit lain dideritai masyarakat di seluruh dunia setiap tahun berikutan tidak mendapat bekalan air bersih dan selamat.

    Statistik juga mencatatkan daripada jumlah itu 1.7 juta penduduk dunia mati disebabkan cirit-birit, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Secara purata, dianggarkan 1.1 bilion penduduk masih minum air daripada sumber yang tidak bersih dengan lebih 2.6 bilion orang tidak mendapat akses dari segi penjagaan kebersihan yang baik, terutama di Afrika dan Eurasia.

    Pada masa sama, di seluruh dunia setiap tahun sebanyak 1,500 kilometer padu air dibazirkan serta digunakan secara tidak optimum. Air yang terbuang itu boleh digunakan kembali sebagai tenaga dan perairan, tetapi lazimnya berlaku sebaliknya. Di negara membangun, 80 peratus air lebihan tidak dirawat berikutan kurangnya peraturan dan sumber. Peningkatan kepadatan penduduk dan industri turut menjadi punca pencemaran, selain menambah permintaan bagi air bersih untuk kegunaan.

    Perubahan cuaca dan suhu dunia pula yang mengubah kepada musim banjir dan kemarau turut memberi kesan kepada pencemaran sehingga menjejaskan kualiti air. Keadaan itu juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada masyarakat.

    Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memilih tema ‘Air Bersih Untuk Kesihatan Sejagat’ sebagai tema Hari Air Sedunia yang disambut setiap tahun pada 22 Mac. Kempen itu bertujuan meningkatkan profil dan kesedaran mengenai kualiti air pada peringkat politik supaya isu air diberi keutamaan selaras dengan isu kuantiti air.

    Dengan pertambahan jumlah penduduk dunia dan aktiviti lain, menjadikan permintaan terhadap air meningkat. Justeru, penggunaan air perlu diurus dengan cekap serta produktif supaya penduduk tidak menghadapi krisis kekurangan sumber pada masa depan.
    Dalam konteks Malaysia, isu air bersih dan pencemaran sumber air, tetap diberi keutamaan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.

    Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), yang ditubuhkan untuk mengawal selia penggunaan air di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya umpamanya sentiasa menjaga kualiti bekalan air disalurkan mematuhi piawaian ditetapkan sejajar piawaian WHO.

    Bagi memastikan semua itu berjalan lancar, Pengarah Eksekutif Hal-Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, menjelaskan ujian contoh air secara berterusan menerusi makmal bebas bertauliah dilakukan bagi memantau dan memastikan hanya bekalan air berkualiti disalurkan kepada pengguna.

    Syabas menetapkan misi meningkatkan kualiti perkhidmatan antara lain mengurangkan Air Tanpa Hasil (NRW) daripada 42.78 peratus kepada 32 peratus; mengambil tindakan terhadap 3,000 maklumat mengenai kecurian air; meningkatkan kualiti air dibekalkan kepada pengguna dengan menjalankan kerja pencucian ke atas 23,000 kilometer (km) paip lama dan mewujudkan 1,084 stesen persempelan air di kawasan perumahan dan menggantikan kira-kira 6,000km paip asbestos lama, pecah dan bocor.

    Menangani masalah kecurian air menyebabkan kerugian RM100 juta setahun serta membersihkan 1,169 kolam takungan air yang tidak pernah dicuci sebelum ini.

    Abdul Halem berkata, masalah pencemaran sungai umpamanya berlaku disebabkan sikap manusia sendiri yang menjadikan ia sebagai tempat membuang sampah, najis dan bahan toksik.

    Sungai yang menjadi antara sumber utama bekalan air perlu terus dipelihara dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat, selain menerapkan kepentingan sungai kepada pelajar sekolah rendah lagi.

    Justeru, Syabas menubuhkan Briged Penyelamat Sungai, sejak 1998 pada peringkat sekolah rendah bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan sungai kepada kehidupan dan alam sekitar.

    “Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak kebelakangan ini secara langsung turut menjejaskan pembekalan air bersih kepada pengguna di beberapa negeri di Semenanjung berikutan penyusutan ketara takungan di beberapa empangan dan sungai utama yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air.

    “Pengguna di beberapa negeri terjejas ini terpaksa berdepan masalah bekalan air, termasuk mengalami catuan sehingga memaksa sebahagian pengguna mencari alternatif lain, termasuk menggunakan air perigi dan sungai yang cetek untuk kegunaan harian,” katanya.

    Fenomena El Nino yang mencetuskan krisis bekalan air pada 1998 seharusnya dijadikan pengalaman pahit yang terbaik kepada pengguna serta pengemudi sektor pembekalan air di seluruh negara terhadap kesulitan dilalui sebelum ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

    Gunung berapi meletus dekat glasier di Iceland



    GAMBAR menunjukkan lahar yang keluar dari Gunung Eyjafjallajokull di Iceland semalam.


    REYKJAVIK, Iceland - Sebuah gunung berapi meletus dengan mengeluarkan lahar berhampiran kawasan glasier di selatan Iceland menyebabkan 450 penduduk dipindahkan semalam.

    Tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan di sekitar gunung berapi Eyjafjallajokull yang meletus itu namun darurat diisytiharkan kerana para saintis gusar ia mungkin boleh mengakibatkan letusan lebih kuat di gunung berapi Katla.

    "Ia merupakan letusan kecil dan tidak berbahaya. Namun, kami bimbang letusan itu akan mencetuskan satu lagi letusan dari gunung berapi berhampiran iaitu Katla yang boleh memberi kesan terhadap penduduk setempat dan global," kata seorang ahli geofizik di Institut Sains Bumi, Universiti Iceland, Pall Einarsson.

    Pihak berkuasa bimbang letusan yang berlaku 160 kilometer persegi dari glasier Eyjafjallajokull boleh mengakibatkan banjir jika ais di kawasan sekitarnya cair.

    Namun kajian yang dilakukan semalam menunjukkan letusan berlaku di kawasan yang tidak mempunyai ais.

    Pihak Pengurusan Penerbangan Awam Iceland telah mengarahkan kapal terbang untuk berada 120 batu nautika dari kawasan gunung berapi ekoran masalah penglihatan.

    Semua penerbangan domestik telah dibatalkan.

    Tiada letusan dicatatkan di sekitar glasier Eyjafjallajokull sejak tahun 1821. - AP

    21 March 2010

    Awas!!!...Gula racun paling manis....

    21 Mac, 2010 16:35 PM

    Rakyat Malaysia Masuk Lebih 51 Gram Gula Dalam Minuman Sehari

    KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Orang dewasa di negara ini didapati memasukkan tujuh suduh teh atau 51 gram gula sehari dalam minuman mereka, iaitu melebihi saranan pengambilan gula yang disyorkan oleh badan kesihatan dunia.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pengambilan gula dalam minuman itu melebihi saranan tidak lebih 50 gram atau 10 peratus daripada keperluan tenaga harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    "Ini belum lagi ditambah dengan gula yang dijadikan ramuan dalam kuih-muih, bubur, kek, ais krim, coklat dan sapuan roti yang kita makan setiap hari," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2010 di sini pada Ahad.

    Kempen selama enam bulan itu turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

    Liow berkata individu perlu menaiki tangga setinggi 14 tingkat untuk membakar 20 kilokalori tenaga yang dibekalkan dalam satu sudu teh gula.

    "Bayangkan, kita perlu menaiki tangga setinggi 98 tingkat jika mengambil tujuh sudu teh gula yang membekalkan 140 kilokalori tenaga sehari," katanya.

    Liow berkata masyarakat perlu menyedari pengambilan gula yang banyak tanpa diiringi aktiviti fizikal yang seimbang dan bersesuaian akan menyebabkan individu mengalami kegemukan atau obesiti dalam jangka masa panjang.

    Kajian kementerian itu juga mendapati orang dewasa yang berlebihan berat badan telah meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 16 peratus pada 1996 kepada 29.1 peratus pada 2006, katanya.

    "Manakala orang dewasa yang obes pula meningkat tiga kali ganda daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006 dan mendapati pesakit diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas meningkat 8.3 peratus kepada 14.9 peratus dalam tempoh yang sama," katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga telah mengadakan rundingan dengan industri makanan untuk menghasilkan produk makanan dan minuman yang kurang gula supaya masyarakat dapat menikmati gaya hidup yang lebih sihat.

    -- BERNAMA

    Ke Mana Hilangnya Air ?

    1 Mac, 2010 11:21 AM

    Oleh Sakina Mohamed

    Sempena Hari Air Sedunia (22 Mac)

    KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Bayangkan suatu hari nanti, anda terpaksa menggunakan air osmosis balikan (RO) untuk keperluan harian. RO berharga kira-kira 50 sen seliter dan kalau anda menggunakan 1,000 liter sebulan, bil anda boleh mencecah RM500.

    Sanggupkah anda membayar sebegitu mahal untuk air yang digunakan bagi tujuan memasak, mandi atau membasuh baju?

    Mungkin sukar membayangkan senario ekstrem sebegitu. Apa tidaknya, kita kini secara purata hanya membayar 70 sen bagi satu meter padu atau 1,000 liter air. Sumber air bersih dan dirawat dirasakan seperti tidak akan kehabisan.

    Tapi hakikatnya, Malaysia semakin kekurangan sumber air bersih.

    Masalah ini bukan saja membelenggu Malaysia, malah seluruh dunia. Ingat, hanya dua peratus daripada sumber air seluruh dunia boleh digunakan manusia.

    Selebihnya ialah air laut. Dan jika kita gagal menjaga dan melindungi sumber bekalan air yang dua peratus itu, kita mungkin terpaksa menggunakan proses "desalinasi" untuk bekalan air harian kita.

    Desalinasi ialah proses yang membuatkan air laut dapat diminum oleh manusia, seperti osmosis balikan. Namun begitu, prosesnya menelan kos yang begitu tinggi dan tentunya orang ramai akan terbeban membayar air yang dihasilkannya.

    TADAHAN AIR KIAN DIMUSNAHKAN

    Mengapa begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih?

    "Di Malaysia, sebab utama ialah pencemaran dan tadbir urus yang lemah di kawasan tadahan air," kata S. Piarapakaran, Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia.

    "Dan antara petanda pertama perkara ini sedang berlaku ialah tarif air yang semakin meningkat."

    Kata beliau, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Namun, apa yang sedang berlaku ialah kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan itu demi keuntungan jangka pendek.

    Dan hasilnya? Pencemaran di kawasan tadahan air, kos rawatan air yang tinggi dan jika tahap pencemarannya sangat kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup.

    Beliau memberi contoh projek terbaru di sebuah negeri yang merupakan satu projek ladang getah seluas 443 hektar. Projek ini membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air.

    "Apa yang sedang berlaku di situ ialah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam, dengan ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah atau pun disorong ke dalam sungai apabila hujan.

    "Kalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi ammonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran ammonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta," katanya.

    Katanya inilah yang berlaku di Sungai Nilai dan Sungai Langat.

    Piarapakaran mengingatkan bahawa racun yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak turut boleh membunuh manusia.

    KUALITI TURUN, HARGA NAIK

    Dalam kes lain di Cheras pula, sebuah loji rawatan terpaksa ditutup kerana pencemaran ammonia daripada sisa kumbahan.

    "Bayangkan, tiada tangki septik di situ untuk menapis kumbahan, jadi kesemuanya terus masuk ke dalam sungai. Bukannya tidak boleh dirawat, tapi bila kualiti air begitu teruk, kos merawatnya pasti tinggi," katanya.

    Dan bila kualiti air menurun, katanya, tarif pasti akan naik.

    "Ini yang kita tidak mahu. Kami sebagai persatuan pengguna pun tidak dapat terus memperjuang tarif yang rendah jika orang ramai tidak sedar kepentingan melindungi hutan kita."

    Menyentuh kembali isu pewartaan kawasan tadahan air, Piarapakaran menceritakan pula tentang kes kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah.

    Kawasan itu diwartakan ketika jajahan British di Malaya. Namun, pembalakan berleluasa masih berlaku di situ sepanjang tahun 60-an hingga 90-an.

    Pada 2003, kabinet mengarahkan pembalakan di situ dihentikan dan hutan hujan itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air. Namun kerajaan negeri masih nekad untuk melakukan "pembalakan terancang" dengan alasan "memerlukan sumber pendapatan negeri yang lumayan."

    Pembalakan terancang itu dilaporkan memberi pulangan RM16 bilion bagi penebangan tiga atau empat pokok bagi setiap hektar. Namun yang menerima padahnya ialah ekosistem hutan hujan Ulu Muda.

    "Ini akan mengganggu kualiti air di situ dan yang pastinya, harga rawatan air akan meningkat.

    "Ini bukan sahaja masalah bagi Kedah, tetapi juga bagi Pulau Pinang yang bergantung kepada Kedah untuk 40 peratus daripada bekalan airnya," kata Piarapakaran.

    Beliau berkata tidak banyak kawasan tadahan air di Pulau Pinang. Oleh itu, kegagalan Kedah untuk melindungi hutan juga bermaksud kehilangan sumber air bagi Pulau Pinang.

    HUTAN KITA, SUMBER AIR KITA

    Malaysia masih banyak sumber air kerana hutannya.

    "Hutanlah kawasan tadahan air kita. Tetapi kalau pihak berkuasa sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya ingin membuat "pembalakan terancang", kita akan menghadapi masalah yang besar," kata Piarapakaran.

    Katanya di Perak, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa dimusnahkan.

    Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari pantai timur ke pantai barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang "menadah" air hujan itu dan melepaskannya perlahan-lahan ke seluruh Semenanjung.

    Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan atau pun kemarau.

    "Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita," kata Piarapakaran.

    Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti halnya di Perak. Dahulu, jarang sekali didengar banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama.

    Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000mm setahun. Namun, ia tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir.

    Ini semua gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit itu, kata Piarapakaran.

    Beliau menerangkan kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir.

    Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja.

    Katanya perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebuah sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya.

    Katanya negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

    "Lihat sahaja Melaka, yang pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat berapa hutannya yang tinggal. Hampir tiada, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan."

    Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri itu.

    JANGAN SALAHKAN PERUBAHAN IKLIM

    Memang selalu didengar pihak yang mengatakan perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain.

    "Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah 'mendera' sistem itu," kata Piarapakaran.

    Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit - jika hutan dikacau, impaknya pada bekalan air.

    Katanya dua perkara boleh berlaku di Malaysia kerana perubahan iklim.

    "Kita mungkin akan mengalami lebih banyak hujan, ataupun tiada langsung.

    "Bila kadar hujan diganggu, kelangsungan hidup sesebuah negara beriklim tropika juga diganggu. Ini kerana hujan tidak menyokong penyerapan air tanah. Di negara sistem glasier (negara empat musim), kadar aliran masuk tinggi kerana salji cair dengan perlahan.

    "Di sini pula, hutan menadah kebanyakan air hujan yang turun, dan melepaskan sedikit demi sedikit. Sebab itulah jika hujan di KL, paras air di Sungai Klang meningkat. Sebaliknya jika hujan di sana, paras air di sini sangat rendah," katanya.

    Oleh kerana itu, sungai itu biasanya hanya akan melimpah selepas dua jam kerana pelambatan itu, yang merupakan satu proses semula jadi. Namun dengan pemusnahan hutan, tempoh pelambatan itu akan dikurangkan.

    Dan akibatnya ialah apa yang sering dialami kini -- kekurangan bekalan air, tarif yang kian meningkat dan kualiti yang tidak memuaskan sehingga pengguna terpaksa memasang penapis air sendiri.

    Inikah yang akan terus berlaku kepada rakyat Malaysia? Anda tentukan.

    -- BERNAMA

    Tra-GD 6....tak cukup menginsafkan ke....?



    1. KUALA PILAH: Seorang peneroka dan isteri serta cucu lelakinya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Kawasan Rekreasi Ulu Bendul, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

    Roslley meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah manakala isterinya Roziah Shamsudin, 42; yang duduk di sebelah pemandu serta cucu mereka, Mohd Danish Zaquan Mohd Zaidi, 12 bulan, mati di tempat kejadian.


    Turut berada di dalam kereta dipandu Roslley ialah dua anak perempuan, Nurul Zailin, 21, dan Nurul Shamimi serta menantu, Nurul Saidatul Akmal Samsudin, 18. Keluarga malang itu dalam perjalanan ke Terminal 1, Seremban untuk menghantar Nurul Zailin ke Pulau Pinang.

    ************************************************

    2. KERETA Perodua MyVi yang dinaiki tiga wanita tersangkut pada tembok perangkap sampah Sungai Batu selepas terbabas dari MRR II, berhampiran Batu Caves, sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut, 21 Mac. Ketiga-tiga mangsa terselamat. - Utusan

    ***************************************************

    Anggota Bomba dan Penyelamat Baling memeriksa kereta yang terlibat dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Kilometer 59.1 Jalan Kulim-Gerik dekat Kuala Pegang, Kedah, semalam.

    3. 15 maut dalam 8 nahas


    KUALA LUMPUR 20 Mac - Nahas jalan raya tidak mengira waktu dan tempat. Dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 15 maut dalam lapan kemalangan di seluruh negara.

    Tragedi yang meragut paling banyak nyawa berlaku di BETONG, SARAWAK- lima terbunuh apabila sebuah Land Rover polis yang membawa mayat seorang mangsa kemalangan motosikal bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.

    Kejadian berlaku di Kilometer 100, Jalan Sarikei-Sri Aman kira-kira pukul 2.15 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Supritendan Mohd Bukhori Saffai berkata, lima yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Omar Bilu, 67; Ngalambang Ranggau, 30; Robert Unya Mathew Intai, 33; dan Chaong Rangau, 39, manakala Lans Koperal Lee Kui San, 57, pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Ngalambang memandu Naza Citra itu dan ketika kejadian dia bersama dua rakannya iaitu Robert Unya dan Chaong manakala Kui San memandu Land Rover terbabit.

    "Land Rover itu dalam perjalanan menghantar jenazah mangsa kemalangan motosikal ke Hospital Betong iaitu cucu kepada Omar, Zainul Zuhri Amit, 20.

    "Empat ahli keluarga Zainul Zuhri yang menaiki kenderaan itu cedera parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak," katanya.

    Menurutnya, Zainul Zuhri sebelum itu maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh tiang di Simpang Senggalang, Jalan Debak Laut kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

    Di KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN, tiga daripada enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Seremban, tidak jauh dari Taman Rekreasi Ulu Bendul malam tadi.

    Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kereta Proton Saga yang dinaiki dalam perjalanan dari Felda Serting Hilir 1 ke Seremban bertembung dengan kereta Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan.

    Mereka yang terbunuh ialah pemandu, Roslley Hassan, 48; isterinya, Roziah Shamsudin, 42, dan cucu mereka, Mohamad Danish Zaquan Mohd. Zaidi yang berusia setahun lima bulan.

    Roziah dan Mohamad Danish maut di tempat kejadian manakala Roslley pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Jaafar Baba berkata, kemalangan pukul 9.30 malam itu turut mencederakan dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta Iswara Aeroback.

    Di Kilometer 269, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Seremban, seorang wanita warga Britain, Mariam Roslan, 72, terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabas, pukul 2 petang ini.

    Di BALING, KEDAH, dua pemandu kereta maut apabila kenderaan mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 59.1, Jalan Kulim-Gerik dekat Kuala Pegang malam tadi.

    Kedua-dua mereka ialah Mohd. Ishafudin Mohd. Razali, 32, yang berasal dari Felda Teloi Timur dan Mohd. Hisham Che Hashim, 25, dari Labu Besar Kulim.

    Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam apabila kereta Proton Saga dipandu Mohd. Ishafudin bertembung dengan Proton Wira dipandu Mohd. Hisham.

    "Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian," kata beliau.

    Di KUALA LUMPUR, dua terkorban dalam kemalangan berasingan yang berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

    Dalam kejadian pertama, seorang pemandu MPV Toyota Unser meninggal dunia apabila kenderaannya merempuh sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan lebuh raya itu berdekatan Kepong.

    Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, Sikandar Hayat Khan Abdul Rahim, 19, dari Kajang, Selangor maut manakala rakannya, Muhammad Kamil Hasnafar Ali Khan, 18, cedera parah dalam kemalangan yang berlaku pukul 8 pagi itu.

    Dalam satu lagi kemalangan yang berlaku di MRR2 berhampiran Zoo Negara, pukul 4.30 petang, seorang wanita maut manakala tiga lagi parah apabila sebuah Proton Iswara terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Waja.

    Menurut Ketua Trafik Daerah Ampang Jaya, Deputi Supritendan Nordin Mahmod, Nurul Adibah Mohammed Hazim, 19, dari Alor Gajah yang menumpang Iswara itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan itu yang gagal dikawal sebelum terbabas.

    Di KUANTAN, Pahang, seorang juruteknik maut selepas kereta Proton Satria yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah Proton Wira di Kilometer 210, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berdekatan persimpangan Bunga Cengkih hari ini.

    Mohd. Fariz Mohd. Nor, 30, dari Ulu Ceka, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Sementara itu, seramai 41 penumpang nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Kilometer 42, Jalan Kuantan-Kemaman, awal pagi ini.

    Kemalangan pukul 3.45 pagi berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Berang, Terengganu.

    Sumber; utusan online 21/3/2010

    19 March 2010

    Buru je macam pesalah trafik tu...

    Salam to all,

    Tak heranlah kalau kaum wanita serik nak bawa kes ke mahkamah... buat pengaduan pon kes tak dapat membantu.. yang jadi mangsa anak-anak. Jadi saya cadangkan pihak yang kena tuntut ini diburu seperti mana pesalah trafik diburu dari rumah ke rumah atau mahkamah melalui majikan terus memotong gaji pihak yang di tuntut ke akaun anak-anak.

    *****************************************

    Keengganan Bekas Suami Bayar Nafkah, JKSM Kesan 12,349 Kes Tuntutan

    PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Keengganan bekas suami membayar nafkah kepada anak dan bekas isteri seperti yang diarahkan mahkamah syariah merupakan antara sebab sejumlah besar kes tuntutan dikesan sejak tahun 2000 hingga tahun lepas.

    Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Ibrahim Lembut berkata dalam tempoh itu jabatan itu mengesan 12,349 kes tuntutan nafkah berikutan sikap bekas suami menunaikan tanggungjawab mereka.

    Beliau turut mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam pelaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam, sekaligus memungkinkan perkara seumpama itu berlaku.

    "Dari statistik yang kita perolehi, Wilayah Persekutuan mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 1,807 kes manakala kes terendah direkodkan di Perlis dengan jumlah 210 kes," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di sini.

    Katanya walaupun mahkamah syariah telah mengeluarkan perintah, namun semua pihak perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan tersebut kerana kegagalan berbuat demikian dianggap sebagai penganiayaan terhadap pihak yang berhak ke atas nafkah itu.

    "Ada yang cuba melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab ini dan masih ramai yang tidak memberikan kerjasama. JKSM minta pihak yang terlibat tidak berdiam diri sebaliknya membuat aduan kepada kami," katanya.

    Dalam hal ini, katanya, golongan ibu tunggal yang dibebani dengan masalah ini atau yang berkaitan diminta supaya merujuk masalah mereka kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri sebagai jalan penyelesaian.

    "Di bawah BSK ini ada Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana dan Unit Penguatkuasaan serta Pelaksanaan Perintah. Kesemua unit ini berfungsi untuk memberikan nasihat perundangan selain melaksanakan tugas-tugas peguam syarie dan balif bagi pihak ibu tunggal.

    -- BERNAMA

    El-Nino Punca Cuaca Bercelaru

    Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
    Pegawai Penyelidik

    12/03/2010 | Utusan Malaysia

    Kecelaruan dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu lewat kebelakangan ini memberi petanda bahawa fenomena El-Nino (yang juga dikenali sebagai ‘si anak kecil' dalam bahasa sepanyol) berulang kembali. Namun kehadirannya pada kali ini tidaklah seteruk yang pernah berlaku pada tahun 1997-1998 (yang telah menyebabkan berlakunya jerebu, kemarau dan kepanasan yang melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius) dan dikatakan yang paling buruk pernah berlaku sejak 150 tahun yang lampau. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna kita boleh memandang sepi sahaja hal tersebut kerana walaupun ia tidaklah seteruk yang pernah berlaku sebelum ini, namun kita tetap merasai bahangnya.

    Buktinya sepanjang tempoh musim kemarau yang sedang melanda sekarang ini, kita telah menyaksikan empat kebakaran hutan besar yang berlaku di negeri Pahang melibatkan kawasan di Hutan Simpan Ramin (Pekan), ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (Jalan Kuantan-Pekan), hutan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bistari (Sri Pekan) dan kawasan hutan di Kampung Sungai Ular (Gebeng). Kebakaran tersebut melibatkan luas keseluruhan hutan sebanyak 83 hektar. Walaupun kebakaran berkenaan masih pada tahap terkawal, namun ia tidak boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati dan berusaha mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas yang kering kontang seperti sekarang.

    Malah, adalah tidak mustahil jika fenomena El-Nino pada kali ini akan menjadi bertambah buruk. Justeru, dalam menghadapi suhu panas kering dek kehadiran El-Nino, kita perlulah sentiasa berwaspada agar tahap kesihatan kita tidak terjejas. Ini memandangkan dalam keadaan cuaca yang panas kering dan tidak menentu seperti sekarang, kita akan lebih mudah terdedah kepada penularan wabak penyakit. Selain itu, langkah-langkah sewajarnya juga perlu diambil agar kita sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kesan daripada fenomena El-Nino sama ada kesan ke atas tahap kesihatan mahupun kesan terhadap alam sekitar. Langkah berjaga-jaga adalah penting bagi mengelakkan ‘krisis' lampau dek penangan El-Nino berulang kembali kepada kita.

    Jika diimbas kembali, kehadiran El-Nino pada tahun 1997 dan 1998 serta tahun-tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1982 dan 1983, ia begitu memeritkan dan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada kita. Ini kerana fenomena El-Nino pada ketika itu telah menyebabkan dunia secara keseluruhannya berada dalam kecelaruan dan sering diancam bencana alam yang tidak putus-putus. Malah, keadaan panas terik dengan jumlah hujan yang minimum yang dialami oleh negara kita pada waktu itu telah mengheret kita kepada krisis air terburuk dan menyebabkan kita kerugian berjuta-juta ringgit ekoran tanaman yang tidak menjadi sehingga telah menimbulkan kekalutan dalam pasaran komoditi dunia. Ia merupakan pengalaman ngeri yang pernah kita alami kesan daripada fenomena El-Nino dan pastinya kita tidak ingin mengalaminya sekali lagi.

    Kesan daripada El-Nino bukan sahaja boleh menjejaskan tahap kesihatan dan produktiviti tanaman, malah lebih buruk lagi ia turut menjejaskan keseimbangan pelbagai ekosistem di dalam alam sekitar. Salah satu daripada ekosistem yang akan turut menerima tempias dek kesan El-Nino ialah ekosistem marin. Dalam konteks ini, jika kesan El- Nino tidak dapat ditangani dengan sewajarnya ia boleh memusnahkan plankton yang merupakan makanan utama hidupan laut yang seterusnya akan turut menjejaskan industri perikanan negara. Apabila industri perikanan terjejas, maka sudah pasti bekalan sumber protein utama kita juga akan turut terjejas.

    Selain itu, cuaca panas kering yang melampau juga boleh mengundang risiko kebakaran yang lebih dasyat lagi seperti yang pernah terjadi semasa El-Nino pada tahun 1997 dan 1998 yang menyaksikan hutan di Indonesia musnah teruk ekoran kebakaran yang berlaku. Kebakaran tersebut turut memberi kesan yang besar kepada negara-negara serantau dan Malaysia juga tidak terkecuali. Lebih buruk lagi, ia telah membawa kepada berlakunya pelbagai penyakit yang berkaitan dengan pernafasan. Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kebakaran yang berlaku itu telah mengakibatkan pencemaran udara yang teruk kepada negara-negara serantau.

    Bahkan, keadaan pencemaran menjadi lebih serius ditambah pula dengan musim panas yang berpanjangan pada ketika itu sehingga menyumbang kepada masalah jerebu yang teruk yang mengakibatkan mutu kesihatan awam terjejas, di samping turut mengurangkan jarak penglihatan. Masalah jerebu yang melanda negara pada ketika itu telah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Malah, keadaan berjerebu tersebut sangat membimbangkan sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) pada ketika itu meningkat secara mendadak sehingga ke paras yang sangat bahaya.

    Melihat kepada kesan-kesan negatif yang mungkin dialami daripada fenomena El-Nino, adalah wajar sekiranya langkah berjaga-jaga diambil bagi menyedia dan mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kesan daripada fenomena tersebut. Sementelah lagi apabila pakar kaji cuaca meramalkan bahawa El-Nino akan bertambah buruk pada tahun-tahun yang mendatang. Malah kehadiran El-Nino setiap dua hingga tujuh tahun sekali di selatan Pasifik jelas menggambarkan bahawa keadaan cuaca dunia semakin tidak menentu dan kemungkinan berlaku lebih banyak lagi kejadian bencana alam di seluruh dunia adalah tidak mustahil jika ianya terus berlarutan. Walaupun fenomena El- Nino pada kali ini hanya berada pada kategori sederhana atau lemah, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku.

    Justeru, dengan persediaan mantap yang diambil setidak-tidaknya kesan El-Nino dapat dihadapi dan ditangani dengan baik terutamanya dalam menjamin bekalan air sentiasa mencukupi, di samping memastikan sektor pertanian dan perikanan tidak terjejas teruk. Fenomena ini merupakan salah satu daripada fenomena alam yang tidak dapat dielak, maka langkah berjaga-jaga adalah yang terbaik agar kita tidak terkesan teruk lantaran fenomena tersebut.

    Memandangkan sejak kebelakangan ini ramalan atau jangkaan yang diberikan oleh para saintis atau pakar kaji cuaca sering tersasar dan tidak sama dengan keadaan sebenar fenomena tersebut berlaku, maka teknologi canggih yang sedia ada untuk membuat ramalan kedatangan fenomena ini juga perlulah diperkemas dan dimantapkan lagi. Ini bagi membolehkan maklumat awal berhubung kedatangan fenomena berkenaan dapat disampaikan secara tepat kepada seluruh penduduk dunia. Hebahan maklumat yang tepat adalah penting bagi memastikan penduduk dunia lebih bersedia dalam memperlengkapkan diri menghadapi kemelut fenomena El-Nino untuk jangkamasa yang agak panjang dan tidak terkesan teruk dek fenomena tersebut.

    Dasar alam sekitar holistik perlu dirangka


    Oleh Dr Zaini Ujang

    2010/03/19

    EPI wajar lebih komprehensif dan berasaskan pencapaian realistik, bercitra prestasi

    APAKAH relevan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dalam konteks pelestarian alam sekitar? Kali ini, isu itu dibincangkan dalam dua aktiviti penting iaitu pada bengkel Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) dan mesyuarat jawatankuasa pemandu EPI anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS).

    Dalam konteks pencapaian, tumpuan diberi kepada impak jangka panjang secara menyeluruh (outcome) di samping output, iaitu impak dalam kerangka sesuatu agensi, segmen alam sekitar atau tempoh tertentu. Kerap kali program pelestarian alam sekitar tidak mendatangkan impak diharapkan kerana pendekatan serpihan atau tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh agensi pusat.

    Contoh terbaik ialah pengurusan sumber air. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari segi kuantiti dan risiko banjir. Jabatan Alam Sekitar pula bertanggungjawab mengawasi kualiti sungai, tasik dan pantai, serta mengawal selia punca pencemaran berpusat. Selain itu, pihak berkuasa tempatan melulus dan mengawal selia aktiviti berkaitan guna tanah serta perbandaran. Pelbagai agensi lain turut terbabit setidak-tidaknya mengawasi bahan cemar bukan berpusat. Memang pengkhususan serta desentralisasi penting supaya lebih fokus meningkatkan mutu perkhidmatan. Namun demikian, kedua-duanya turut menyebabkan impak hanya tertumpu kepada output bukan outcome. Lebih menyedihkan di sesetengah kawasan, ekosistem sungai dan tasik menjadi kian tercemar. Hal ini bukan saja menyusahkan rakyat dan meningkatkan risiko kepada kesihatan awam, bahkan mengurangkan pulangan ekonomi kepada nelayan dan sektor pelancongan.

    Itu rasional penilaian prestasi alam sekitar holistik menggunakan pendekatan EPI. Sejak 2005, konsep EPI dikemukakan pelbagai pihak, khususnya sekumpulan pakar Universiti Yale dan Universiti Colombia di Amerika Syarikat. Pada 2006, EPI global diumumkan dengan kedudukan Malaysia megah pada tangga ke-9. Bermula 2008, EPI global diumumkan pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland dan kedudukan EPI Malaysia jatuh ke tangga 26. Januari lalu, EPI 2010 global sekali ini menunjukkan kedudukan Malaysia merudum ke tangga 54.

    Saya berpendapat, penurunan itu disebabkan tidak wujud koordinasi dan strategi di kalangan pelbagai agensi untuk membolehkan prestasi pengurusan alam sekitar dirangka dan dilaporkan secara bersepadu tanpa terikat kepada fokus sesuatu agensi saja. EPI global juga memerlukan Malaysia dan semua negara terbabit melakukan kajian semula terhadap dasar berkaitan pelestarian alam sekitar sebagai penambahbaikan kepada dasar lama. Antaranya, perundangan kawalan pencemaran air daripada berasaskan organik kepada berasaskan nutrien dan tindakan lebih menyeluruh menangani isu pelepasan karbon.

    Sehubungan itu, UTM mengambil inisiatif bekerjasama dengan Universiti Colombia dan Yale untuk mengembang serta memajukan konsep EPI kepada Kerajaan Malaysia selain penyelaras peringkat rantau Asia Tenggara. Dari segi dasar dan strategi, kedudukan Malaysia dalam EPI seharusnya dianggap sebagai petunjuk pencapaian pelestarian alam sekitar berbanding negara lain seperti KDNK, Indeks Transpiransi, Indeks Inovasi dan Indeks Daya Saing. Kedudukan rendah secara tidak langsung menggambarkan alam sekitar tidak terurus dan kualiti hidup daif.
    Dalam konteks gagasan 1Malaysia, dasar alam sekitar sejak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperlihatkan dinamisme berasaskan prestasi dan kepentingan rakyat. Sehubungan itu, saya mencadangkan dasar alam sekitar holistik dirangka menggunakan tiga pendekatan strategik iaitu (a) berteraskan pembangunan ekonomi rendah karbon (b) berteraskan pencapaian (c) mendahulukan kepentingan rakyat.

    Pendekatan (a) adalah dasar pembangunan global hasil Sidang Copenhagen pada Disember 2009. Dasar itu mengutamakan paradigma baru mengukur tahap ‘kemajuan’ yang seharusnya tidak lagi terikat kepada untung rugi wang ringgit semata-mata tetapi mengambil aspek kesan sosial, penyuburan budaya bangsa, pengurusan keselamatan serta risiko, pelestarian alam sekitar dan kesejahteraan hidup masyarakat. Dalam konteks ini, teknologi hijau penting untuk memandu arah tahap kesejahteraan dan pelestarian sesuatu dasar dan inisiatif.

    Dasar (b) pula bermakna penekanan kepada objektif lebih bersepadu, holistik dan boleh ukur bagi memastikan konsep pelestarian dilaksanakan dengan lebih telus, berkesan dan efisien. Ketika ini dasar dan pelestarian alam sekitar di Malaysia masih lagi bertindan dan berasaskan sempadan geopolitik dan tembok birokrasi. Kerjasama antara kementerian dan agensi masih belum menyerlah. Akibatnya sektor alam sekitar dilihat secara terpisah mengikut bidang kuasa sesuatu agensi dan peruntukan akta masing-masing.

    Dalam konteks ini, EPI lebih komprehensif dan berasaskan pencapaian yang jauh lebih realistik dan bercitra prestasi berbanding Laporan Kualiti Alam Sekeliling atau lain laporan yang ketika ini disediakan pelbagai agensi seperti termaktub dalam pelbagai akta. Dasar alam sekitar juga perlu lebih prihatin terhadap kepentingan rakyat selari kenyataan Najib dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri kira-kira setahun lalu untuk mendahulukan kepentingan rakyat.

    Isu alam sekitar membabitkan kepentingan rakyat khususnya dari segi kualiti sumber air, bekalan air, loji kumbahan, pencemaran udara, pengurusan sisa pepejal, kebersihan dan bau aktiviti penternakan haiwan, kesesakan jalan raya, kehangatan iklim bandar dan banjir kilat. Rakyat juga prihatin terhadap kos perkhidmatan alam sekitar seperti bekalan air, sumber tenaga dan pengangkutan awam.

    Takutilah....minta di jauhkan.

    Azabnya seksa neraka

    Allah SWT menyebut lagi tanda-tanda kekuasaannya dan semua penciptaannya menggambarkan betapa hebatnya kudrat Ilahi.

    Justeru, dengan menghayati ayat-ayat al-Quran yang membabitkan hari balasan dan keajaiban penciptaannya akan menambahkan lagi keimanan kita.

    Firman Allah SWT: Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Hari Jumaat adalah Hari Pembalasan sama ada baik atau tidak mengikut amalan keimanan seseorang.

    Firman Allah SWT: Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke padang Mahsyar). Ini mengikut ketentuan Ilahi dan wajib kita imani dan yakin.

    Firman Allah SWT: Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas. Dan gunung-ganang setelah dihancurkan diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

    Syed Qutb berkata: Itulah keadaan yang amat dahsyat jelas dilihat pada revolusi alam buana seperti keadaan di Mahsyar selepas ditiup sangkakala. Itulah hari pengadilan yang telah ditentukan dengan hikmah dan tadbir Ilahi.

    Firman Allah SWT: Sesungguhnya neraka jahanam adalah disediakan. Ibn Jarir dan Ibn Mundhir meriwayatkan hadis daripada al-Hasan berkata: "Seseorang itu tidak dimasukkan ke dalam syurga sebelum melintasi neraka. Jika dia dapat melintasinya, maka dia akan selamat dan jika tidak dia tertahan di neraka.

    Firman Allah SWT: Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum tuhan, sebagai tempat kembalinya.

    Al-Maraghi berkata: Neraka merupakan tempat kembali orang yang melampaui batas, sombong dan tidak mahu mendengar ajakan yang membawa mereka kepada petunjuk Allah SWT dan cahaya kebenaran.

    Firman Allah SWT: Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Ditafsirkan oleh al-Qurtubi: Kinayatun anit ta'bidd, sebagai kata ungkapan daripada kekekalan. Bila telah masuk, payah akan keluar lagi. Ibn Jarir berkata: Dan yang benar bahawa hal itu tidak ada akhirnya.

    Firman Allah SWT: Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman. Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir.

    Ibn Kathir berkata: Di neraka mereka tidak mendapatkan sesuatu yang dingin bagi mereka dan tidak juga mendapatkan minuman segar yang dapat mereka minum. Abul 'Aliyah berkata: Dikecualikan dari dingin adalah panas dan daripada minuman itu nanah.

    Firman Allah SWT: Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal. Semua yang mereka alami berupa hukuman, sesuai dengan amal perbuatan mereka yang tidak benar yang mereka kerjakan semasa di dunia.

    Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid dan Qatadah. Al-Biqa'ie berkata: Untuk lebih menekankan sifat buruk mereka itu kerana biasanya manusia mengharap dan menginginkan sesuatu yang baik, walau kemungkinan terjadinya sangat kecil namun sikap mereka sebaliknya.

    Firman Allah SWT: Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan kami.

    Ibn Kathir berkata: Mereka berdusta semua hujah dan bukti-bukti Allah yang diturunkan kepada Rasul dengan penentangan.

    Firman Allah SWT: Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

    Al-Maraghi berkata: Di sebutkan dengan perkataan kitaban (tertulis) bukan ihsa'an (terhitung) kerana menulis itu adalah asas untuk menguatkan sesuatu yang diketahui.

    Orang yang ingin menghimpun percakapan seseorang supaya tidak hilang sedikit pun, ia hendaklah dibantu dengan tulisan.

    Di sini Allah SWT berfirman: Segala sesuatu telah Kami hitung dengan teliti dan memadai dengan suatu kepastian.

    Firman Allah SWT: (setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain daripada menambah berbagai azab kepada kamu".

    Hamka berkata: Setelah dimasukkan ke dalam neraka jahanam, janganlah berharap untuk dikurangkan azab bahkan ia akan terus bertambah dengan berlipat kali ganda secara terus menerus.

    Penutup

    Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa dahsyatnya hari kiamat dan seterusnya menggambarkan sifat neraka Allah.

    Seperti kata al-Maraghi: Disebabkan mereka tidak mahu bersiap sedia menunggu kedatangan hari perhitungan amal, mereka selalu melakukan perbuatan buruk dan maksiat serta mendustakan bukti-bukti yang dikemukakan Allah SWT untuk membenarkan Rasul-Nya.

    Semoga kita menjadi golongan yang selamat daripada balasan seksaan. Amin.