***********************************************
04/03/2010
Coretan si jongang buat tatapan semua!
BIARPUN isu ini telah berakhir, namun saya masih teringin mencoretkan sesuatu buat tatapan dan iktibar semua.
Ia berkenaan dengan drama bersiri Halimah Jongang.
Banyak reaksi diterima daripada rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap isu itu.
Baik yang mengkritik mahupun yang menyokong. Saya mempunyai pandangan yang tersendiri.
Penerbit A. Aida mempunyai motifnya tersendiri kenapa beliau menerbitkan rancangan sebegitu.
Saya juga memiliki gigi yang jongang, tetapi saya tidak pernah menganggap ia sebagai satu kekurangan, sebaliknya menjadikan saya seorang yang kuat.
Percayalah, gigi jongang adalah satu anugerah Allah. Mungkin saya memiliki kekurangan dari segi itu, tetapi Alhamdulillah Allah mengurniakan kebijaksanaan kepada saya.
Apabila Allah menarik sesuatu daripada kita, percayalah ada sesuatu yang Allah akan berikan yang lebih baik.
Buat adik-adik dan insan-insan yang bergigi jongang, tidak perlulah kita berasa malu atau merendah diri terhadap apa yang kita miliki.
Biarlah orang ingin mengejek kita sekalipun, lambat laun apabila mereka penat, diamlah mereka. Lagipun bukankah berdosa apabila menghina ciptaan Tuhan?
Bagi kita yang telah dewasa kita mungkin faham apa yang tersirat atau moral yang ingin disampaikan melalui sesuatu cerita itu, namun bagi budak-budak, anak-anak kecil mereka sama sekali tidak memahami tentang perkara yang tersirat. Jadi di sinilah timbul isu ejek-mengejek di kalangan pelajar sekolah terutamanya.
Oleh itu, peranan ibu bapa sangat penting bagi menangani isu ini.
Seharusnya para ibu bapa menjelaskan apa yang tersirat yang ingin disampaikan melalui sesuatu karya atau drama itu, mereka sepatutnya menjelaskan bahawa tidak baik sekiranya mempersendakan seseorang yang bergigi jongang kerana itu adalah ciptaan Allah.
Rasanya para ibu bapa tahu bagaimana menjelaskan kepada anak- anak mereka.
Satu perkara lagi, kita yang bergigi jongang seharusnya berbangga kerana ada pihak yang menghargai kita melalui karya televisyen dan lagu yang sedap yang menjadikan siulan ramai.
Adakah lagu khas yang ditujukan kepada mereka yang bergigi cantik? Tidak ada pun.
Sebenarnya apabila seseorang itu memperkatakan tentang kita sebenarnya mereka prihatin terhadap kita. Akhir sekali, buat adik-adik dan semua anggaplah kekurangan yang kita miliki sebagai satu anugerah, janganlah merendah diri dan berasa malu.
WEE
Selangor
No comments:
Post a Comment