Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin Pegawai Penyelidik 12/03/2010 | Utusan Malaysia |
Kecelaruan dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu lewat kebelakangan ini memberi petanda bahawa fenomena El-Nino (yang juga dikenali sebagai ‘si anak kecil' dalam bahasa sepanyol) berulang kembali. Namun kehadirannya pada kali ini tidaklah seteruk yang pernah berlaku pada tahun 1997-1998 (yang telah menyebabkan berlakunya jerebu, kemarau dan kepanasan yang melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius) dan dikatakan yang paling buruk pernah berlaku sejak 150 tahun yang lampau. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna kita boleh memandang sepi sahaja hal tersebut kerana walaupun ia tidaklah seteruk yang pernah berlaku sebelum ini, namun kita tetap merasai bahangnya. Buktinya sepanjang tempoh musim kemarau yang sedang melanda sekarang ini, kita telah menyaksikan empat kebakaran hutan besar yang berlaku di negeri Pahang melibatkan kawasan di Hutan Simpan Ramin (Pekan), ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (Jalan Kuantan-Pekan), hutan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bistari (Sri Pekan) dan kawasan hutan di Kampung Sungai Ular (Gebeng). Kebakaran tersebut melibatkan luas keseluruhan hutan sebanyak 83 hektar. Walaupun kebakaran berkenaan masih pada tahap terkawal, namun ia tidak boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati dan berusaha mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas yang kering kontang seperti sekarang. Malah, adalah tidak mustahil jika fenomena El-Nino pada kali ini akan menjadi bertambah buruk. Justeru, dalam menghadapi suhu panas kering dek kehadiran El-Nino, kita perlulah sentiasa berwaspada agar tahap kesihatan kita tidak terjejas. Ini memandangkan dalam keadaan cuaca yang panas kering dan tidak menentu seperti sekarang, kita akan lebih mudah terdedah kepada penularan wabak penyakit. Selain itu, langkah-langkah sewajarnya juga perlu diambil agar kita sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kesan daripada fenomena El-Nino sama ada kesan ke atas tahap kesihatan mahupun kesan terhadap alam sekitar. Langkah berjaga-jaga adalah penting bagi mengelakkan ‘krisis' lampau dek penangan El-Nino berulang kembali kepada kita. Jika diimbas kembali, kehadiran El-Nino pada tahun 1997 dan 1998 serta tahun-tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1982 dan 1983, ia begitu memeritkan dan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada kita. Ini kerana fenomena El-Nino pada ketika itu telah menyebabkan dunia secara keseluruhannya berada dalam kecelaruan dan sering diancam bencana alam yang tidak putus-putus. Malah, keadaan panas terik dengan jumlah hujan yang minimum yang dialami oleh negara kita pada waktu itu telah mengheret kita kepada krisis air terburuk dan menyebabkan kita kerugian berjuta-juta ringgit ekoran tanaman yang tidak menjadi sehingga telah menimbulkan kekalutan dalam pasaran komoditi dunia. Ia merupakan pengalaman ngeri yang pernah kita alami kesan daripada fenomena El-Nino dan pastinya kita tidak ingin mengalaminya sekali lagi. Kesan daripada El-Nino bukan sahaja boleh menjejaskan tahap kesihatan dan produktiviti tanaman, malah lebih buruk lagi ia turut menjejaskan keseimbangan pelbagai ekosistem di dalam alam sekitar. Salah satu daripada ekosistem yang akan turut menerima tempias dek kesan El-Nino ialah ekosistem marin. Dalam konteks ini, jika kesan El- Nino tidak dapat ditangani dengan sewajarnya ia boleh memusnahkan plankton yang merupakan makanan utama hidupan laut yang seterusnya akan turut menjejaskan industri perikanan negara. Apabila industri perikanan terjejas, maka sudah pasti bekalan sumber protein utama kita juga akan turut terjejas. Selain itu, cuaca panas kering yang melampau juga boleh mengundang risiko kebakaran yang lebih dasyat lagi seperti yang pernah terjadi semasa El-Nino pada tahun 1997 dan 1998 yang menyaksikan hutan di Indonesia musnah teruk ekoran kebakaran yang berlaku. Kebakaran tersebut turut memberi kesan yang besar kepada negara-negara serantau dan Malaysia juga tidak terkecuali. Lebih buruk lagi, ia telah membawa kepada berlakunya pelbagai penyakit yang berkaitan dengan pernafasan. Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kebakaran yang berlaku itu telah mengakibatkan pencemaran udara yang teruk kepada negara-negara serantau. Bahkan, keadaan pencemaran menjadi lebih serius ditambah pula dengan musim panas yang berpanjangan pada ketika itu sehingga menyumbang kepada masalah jerebu yang teruk yang mengakibatkan mutu kesihatan awam terjejas, di samping turut mengurangkan jarak penglihatan. Masalah jerebu yang melanda negara pada ketika itu telah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Malah, keadaan berjerebu tersebut sangat membimbangkan sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) pada ketika itu meningkat secara mendadak sehingga ke paras yang sangat bahaya. Melihat kepada kesan-kesan negatif yang mungkin dialami daripada fenomena El-Nino, adalah wajar sekiranya langkah berjaga-jaga diambil bagi menyedia dan mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kesan daripada fenomena tersebut. Sementelah lagi apabila pakar kaji cuaca meramalkan bahawa El-Nino akan bertambah buruk pada tahun-tahun yang mendatang. Malah kehadiran El-Nino setiap dua hingga tujuh tahun sekali di selatan Pasifik jelas menggambarkan bahawa keadaan cuaca dunia semakin tidak menentu dan kemungkinan berlaku lebih banyak lagi kejadian bencana alam di seluruh dunia adalah tidak mustahil jika ianya terus berlarutan. Walaupun fenomena El- Nino pada kali ini hanya berada pada kategori sederhana atau lemah, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku. Justeru, dengan persediaan mantap yang diambil setidak-tidaknya kesan El-Nino dapat dihadapi dan ditangani dengan baik terutamanya dalam menjamin bekalan air sentiasa mencukupi, di samping memastikan sektor pertanian dan perikanan tidak terjejas teruk. Fenomena ini merupakan salah satu daripada fenomena alam yang tidak dapat dielak, maka langkah berjaga-jaga adalah yang terbaik agar kita tidak terkesan teruk lantaran fenomena tersebut. Memandangkan sejak kebelakangan ini ramalan atau jangkaan yang diberikan oleh para saintis atau pakar kaji cuaca sering tersasar dan tidak sama dengan keadaan sebenar fenomena tersebut berlaku, maka teknologi canggih yang sedia ada untuk membuat ramalan kedatangan fenomena ini juga perlulah diperkemas dan dimantapkan lagi. Ini bagi membolehkan maklumat awal berhubung kedatangan fenomena berkenaan dapat disampaikan secara tepat kepada seluruh penduduk dunia. Hebahan maklumat yang tepat adalah penting bagi memastikan penduduk dunia lebih bersedia dalam memperlengkapkan diri menghadapi kemelut fenomena El-Nino untuk jangkamasa yang agak panjang dan tidak terkesan teruk dek fenomena tersebut. |
Followers
Carian dalam Blog ini
19 March 2010
El-Nino Punca Cuaca Bercelaru
Labels:
Artikel,
Isu Alam Sekitar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment